10.11.09

Selamat Menunaikan Haji Kak Engku

Bulan November ini adalah bulan orang-orang Muslim pergi mengerjakan haji ke Mekah. Sungguh bertuah pada sesiapa yang mendapat seruan untuk menunaikan haji pada tahun ini. Aku pula entah bila agaknya. Belum ada rezeki ini tetapi niat untuk ke sana, memang sudah lama dipasang.

Baru-baru ini aku baru dapat berbual dengan rakan penulis, Puan Ainin Naufal. Antara cerita yang disampaikan kepada aku ialah bahawa rakan penulis yang sedang menunggu jawapan untuk mengerjakan haji tahun ini adalah Ezee Rahmani. Atau aku selalu memanggilnya dengan Kak Engku.

Hari ini aku tergerak hendak menelefon Kak Engku untuk bertanyakan khabar. Alhamdulillah aku dapat bercakap dengannya. Dan aku bersyukur kerana rupa-rupanya hari ini Selasa adalah tarikh Kak Engku akan meninggalkan rumahnya untuk pergi ke Kelana Jaya dan esok (Rabu) akan bertolak ke Mekah. Aku mengucap syukur kerana dapat berbual dengannya buat kali terakhir dia berada di Malaysia. Terharu rasanya, kerana dengan kesihatannya yang kurang memuaskan, akhirnya hajatnya hendak menunaikan haji termakbul.

Aku mendoakan semoga Kak Engku dan suaminya, Abang Rosli selamat pergi ke Mekah dan kembali ke tanahair dengan selamat. Semoga mendapat haji mabrur. Amin!!!

5.11.09




Selembut Bicara menjadi Oasis Hati






Alhamdulillah Selembut Bicara telah dilesenkan secara rasmi dan kini menjadi Oasis Hati, judulnya yang baru yang diterbitkan oleh Gramedia di Indonesia. Aku menerima 5 naskhah buku dari pihak Gramedia melalui PTS Islamika yang diterima dalam dua bulan yang lalu. Tajuknya agak berbeza berbanding dengan buku yang lagi satu. Tidak mengapalah, yang penting, isi kandungan itu dapat dibaca dengan baik oleh pembaca di sana. Kerana segala isinya telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia



Kepada pengunjung dari Indonesia, bolehlah mendapatkan buku itu di kedai-kedai buku di Indonesia. Selamat Membaca!

1.11.09

Kembali ber-blog

Sekian lama tiada cerita baru dalam blog peribadi, kini kembali ber-blog. Alhamdulillah! Itupun atas rasa prihatin dari suami yang kasihan melihat aku termangu kerana sudah lama tidak melayari internet. Banyak cerita yang hendak dicoretkan di sini, apakan daya, banyak halangan yang melanda. Tetapi, biasalah itu hanya ujian kecil, insan yang lain, lebih besar ujian yang dihadapi. Alhamdulillah, akhirnya dapat bersiaran..macam hendak keluar tv pula. Baiklah..insya-Allah aku akan menulis cerita-cerita yang tertangguh...