30.3.07

Sabar mengharungi ujian hidup

Pada suatu hari, Nabi Muhammad ke rumah anak perempuannya, Fatimah. Apabila sampai di rumah Fatimah, Nabi Muhammad bertanya kepada anaknya, “Di manakah kedua-dua cucu bapa?”


Fatimah menjawab, “Hari ini kami tidak memiliki apa-apa pun untuk di makan. Segala puji bagi Allah, suami saya telah mendapat kerja dengan seorang Yahudi. Suami saya turut membawa ke dua-dua anak lelaki bersamanya.”


Setelah mendengar penjelasan Fatimah, Nabi Muhammad pun pergi mencari cucu-cucunya iaitu Husin dan Hasan. Apabila Nabi Muhammad bertemu dengan cucu-cucunya, beliau melihat mereka sedang bermain di suatu tempat. Di tangan mereka masih menggenggam sisa kurma.


Apabila Nabi Muhammad melihat cucu-cucunya yang asyik bermain sementara menantu serta sepupu beliau iaitu Ali sedang membuat kerja, Nabi Muhammad pun berkata, “Ali, tidakkah kamu hendak bawa pulang anak-anakmu sebelum panas terik matahari?”


Ali menjawab, “Ya Nabi Allah, pagi ini kami sekeluarga tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan. Oleh itu, biarlah kami anak beranak di sini untuk mengumpul buah kurma dengan lebih banyak untuk dibawa balik dan memberikannya kepada Fatimah.”


Nabi Muhammad apabila mendengar jawapan daripada menantunya itu, pun turut bersama-sama dengan Ali dan cucu-cucunya membuat kerja seperti mengangkat air. Upah mengangkat air sebaldi bersamaan dengan satu biji kurma. Ali dan Nabi Muhammad melakukan pekerjaan itu sehinggalah berjaya mengumpulkan beberapa biji kurma. Selepas berpuas hati dengan hasil itu, mereka pun pulang ke rumah.


Begitulah kehidupan Fatimah anak kepada seorang utusan Allah iaitu Nabi Muhammad yang begitu sabar dalam mengharungi kehidupannya. Fatimah tidak pernah menunjukkan perasaan menyesal atau kesedihan di wajahnya. Fatimah hanya akan berkata, “Segala puji bagi Allah, yang memuliakan diriku dengan kematian mereka. Aku berharap, Allah akan menghimpunkan aku bersama dengan mereka dalam naungan rahmatnya.”


Petikan dari buku: Selembut Bicara


Sempena menyambut Maulidur Rasul...tanamkan azam di dalam diri kita hendak mengikut jejak sunah Nabi Muhammad.

29.3.07


Tertipu oleh 1 April


Semasa sekolah sering juga dikenakan dengan mainan April Fool. Tetapi tidak tahu apa yang menyebabkan orang suka mengenakan orang lain dengan lawak bodoh atau perbuatan yang tidak berfaedah. Baru hari ini mengetahui maklumat itu dari rencana sebuah akhbar tempatan. Sungguh bodohnya! Kita dikenakan lagi sekali oleh orang kafir yang dilaknat Allah. Astagfirullah al azim. Semoga Allah melindungi kita semua dari mainan syaitan yang direjam.


Rupa-rupanya 1 April itu dikatakan satu sambutan yang diraikan sempena kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Islam sudah lama bertapak di Wilayah Granada dan akhirnya dikalahkan oleh tentera-tentera Kristian. Manakala, penduduk Islam terpaksa menyelamatkan diri mereka dengan berlindung di dalam rumah masing-masing.


Namun begitu, kebuasan dan keganasan tentera Kristian terserlah kerana mereka tidak puas hati selagi tidak dapat melenyapkan umat Islam dari muka bumi Sepanyol. Pada suatu hari, tentera Kristian melakukan satu muslihat jahat iaitu dengan memberitahu penduduk Islam bahawa mereka boleh keluar dari Sepanyol dengan menggunakan kapal mereka sendiri tanpa gangguan. Dan orang-orang mempercayai dakwaan tentera Kristian itu.


Pada keesokan harinya, iaitu jatuh pada 1 April, penduduk Islam membawa barang-barang mereka dan membawanya ke kapal. Dan pada masa itulah, tentera Kristian menyelongkar rumah mereka dan membakarnya. Penduduk Islam tidak sempat hendak menaiki kapal kerana kapal itu turut dibakar oleh tentera Islam. Tentera Kristian mengambil peluang dengan membunuh semua penduduk Islam yang tidak bersedia termasuklah lelaki, perempuan dan kanak-kanak.


Tentera Kristian begitu gembira dengan kemenangan itu dan mereka meraikan kejayaan itu pada setiap tahun di seluruh dunia. Pelbagai gelaran diberi antaranya, April Fool's Day, April Mop atau The April's Fool Day dan disambut sejak 1487M atau 892 H.


Oleh itu, janganlah kita terlalu mudah terikut-ikut budaya yang tidak tentu asal usulnya. Ini termasuklah hari valentine yang jelas disambut oleh orang kristian. Kalau hendak bergurau pun bukan hanya pada 1 April tetapi tiap-tiap hari pun boleh bergurau dengan cara Nabi Muhammad s.a.w.

Tanggungjawab moral dalam tulisan

Seorang kawan pernah bertanya, "Mengapakah kamu suka menulis?"

Saya tersenyum mendengar pertanyaannya. Saya mendiamkan diri sambil menyelak buku novel yang sedang saya pegang.

"Kamu juga suka baca novel?"

Saya hanya mengangguk.

"Kamu tidak sukakah?" tanya saya balik.

"Kurang minat."

"Kenapa?"

"Buang masa!"

Saya tersenyum lagi. Tidak menyalahkan dirinya. Masing-masing punya minat yang tersendiri. Saya ini lainlah, memang sejak sekolah menengah dalam aliran sastera. Buku-buku cerita, sajak dan lain-lain menjadi koleksi peribadi. Semasa sekolah sudah belajar menganalisis novel dan puisi atau sajak dan genre yang lain. Oleh itu dapatlah sedikit sebanyak membezakan mutu penulisan yang baik atau tidak.

Bagi saya, penulis sama ada novel, artikel, wawancara, skrip, puisi dan lain-lain mempunyai tanggungjawab moral dalam penulisan mereka. Namun yang menyedihkan tidak semua penulis memahami etika itu. Mereka menulis kerana minat, jadi tujuan menulis itu tidak dipedulikan.

Tidak hairanlah sekiranya pada hari ini kita lihat perlambakan novel yang kurang tanggungjawab moralnya. Mungkin ada yang tidak setuju dengan pandangan saya. Terpulang. Ini yang hendak saya sampaikan bahawa menulis itu bukan sekadar minat atau seronok-seronok bila nama tertera di buku tetapi hendaklah juga menitikberatkan apa yang hendak disampaikan dalam penulisan itu.

Kita perlu tahu bahawa buku yang kita tulis itu akan kekal sampai 10 tahun akan datang (itupun jika diulang cetak). Oleh itu, tulisan yang tertera dalam buku itu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, anak, cucu, cicit, piut dan orang lain. Tulisan itu mencerminkan peribadi dan pemikiran kita.

Oleh itu, apabila kita menulis novel dengan penceritaan yang baik, ada unsur pengajaran dan pendidikan moral, teladan yang molek, peribadi yang mulia dan unsur-unsur baik, itu adalah satu penyampaian dakwah kepada pembaca dan kita secara tidak langsung sudah berdakwah kepada mereka yang membaca.

Tetapi jika dalam penulisan novel itu terdapat unsur-unsur tidak baik seperti perempuan tidak bertudung, mudah di ajak keluar, mudah disentuh, mudah diusik pipi dan membelai rambutnya, berdua-duaan, berdating dan sebagainya, itu satu cara merendah moral wanita hari ini. Dan, lelaki juga tidak suci kerana sifatnya yang mudah digoda dan menggoda, menyentuh perempuan yang bukan muhrimnya, mudah melontar kata-kata lucah, tidak berakhlak, tidak bersopan, kurang ajar dan sebagainya. Itu juga satu gambaran nilai moral yang tidak baik.

Oleh itu, para penulis fahamllah tanggungjawab kita. Ini kerana kita akan ditanya oleh Allah pada dunia yang lagi satu iaitu alam akhirat.



28.3.07


Asal boleh tidur!


Buku kedua bagi tatapan remaja

Cerita-cerita 25 utusan Allah yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Cerita-cerita yang memberi keinsafan bagi mereka yang peka. Mungkin cerita-cerita ini masih berulang pada zaman ini dalam situasi dan masa yang berbeza tetapi perbuatan umat dahulu lebih kurang serupa dengan umat hari ini.

Harga Rm 12 sahaja. Dapatkanlah di kedai-kedaii buku terkemuka atau terus di PTS. Insya-Allah berada di pasaran minggu pertama bulan April ini.

26.3.07


Kenalan baru Muharam. Jumpa di taman orkid.




























Benarkah bunga orkid menjadi pujaan kaum wanita?

Taman Orkid


Mengaku sahaja orang Kuala Lumpur tetapi jarang berjalan-jalan makan angin di kota metropolitan itu. Dahulu, masa zaman sekolah rendah dan menengah, rajin juga jalan-jalan ke KL lepas sekolah (dahulu nakal tidak beritahu emak pun kalau merayau). Adakalanya, jalan kaki ke Muzium Negara, Tasik Perdana (sempat skoding orang), Masjid Negara.


Masa itu mana ada taman burung, taman orkid, planetarium, pusat sains dan sebagainya, banyak pula hendak mencatatnya di sini. Dataran Merdeka pun belumlah glamour seperti hari ini.


Semalam berpeluang berjalan dengan suami tercinta dan juga mak cik yang datang dari kampung. Kami memenuhi hajatnya yang hendak melihat taman orkid dan juga memborong orkid. Saya pun ambil kesempatan (tidak pernah pergi) meredah taman orkid dan merakam gambar hampir 100 keping (nasib baik digital tak payah yang basuh gambar).


Memang hobi ambil gambar dan teringat semasa menjadi wartawan dan juga penolong penerbit di RTM, kamera peribadi mesti di bawa dan merakam segala aktiviti kerja dan juga minat saya. Koleksi gambar memang beribu (kebetulan suami pula minat). Dan kini, berpeluang memiliki kamera digital (alhamdulillah berkat upah sebagai editor freelance di PTS), ke mana sahaja pergi mesti diselitkan dalam beg tangan.


Marilah sama-sama hayati keindahan pokok ciptaan Allah yang maha indah. (Minta maaflah gambar tidak berapa fokus kerana beli kamera yang murah je!)

24.3.07


Berani kerana Benar


Fatimah memeluk Islam di awal penyebaran Islam yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah. Dia adalah wanita mulia dan berasal daripada golongan terhormat kaum Quraisy. Dia memeluk Islam secara rahsia bersama suaminya dan tidak diketahui oleh ahli keluarganya yang lain, terutama abangnya Umar. Bagi menambahkan ilmu dan kefahamannya tentang Islam, Fatimah dan suaminya mempelajari membaca Quran daripada Khabbab yang selalu datang ke rumahnya.

Umar adalah salah seorang yang paling kuat memusuhi Nabi Muhammad. Pada suatu hari, Umar keluar daripada rumahnya dalam keadaan marah dan bengis dan seperti biasa membawa bersamanya pedang. Kali ini dia berazam mencari Muhammad dan membunuhnya jika ada peluang.

Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya,
“Wahai Umar, hendak ke mana?” Lelaki itu tahu bahawa Umar sedang dalam keadaan marah dan wajahnya kelihatan bengis. Dia juga tahu jika Umar membawa pedangnya, mesti ada sesuatu perkara yang hendak dilakukannya.

“ Aku hendak membunuh si Muhammad itu!” jawab Umar dengan nada marah sambil merenung tajam kepada lelaki yang menegurnya. Lalu ia bertanya kembali kepada lelaki itu, “Kamu tahu di manakah dia berada sekarang?!”

“ Bagaimanakah kamu hendak menyelamatkan dirimu daripada tuntutan bela kaum Muhammad iaitu Kaum Hasyim dan Kaum Zohrah, sekiranya kamu berjaya membunuhnya?” tanya lelaki itu pula. Lelaki itu merasa kurang senang dengan sikap Umar, kerana Muhammad itu adalah saudaranya. Menjadi tanggungjawab bangsanya melindungi sanak saudaranya yang teraniaya daripada perbuatan kejam orang lain.

“Aku fikir tentu kamu juga sudah menukar agamamu, betulkah?” tanya Umar dengan nada mengugut.

Lelaki itu tidak menjawab soalan Umar, tetapi dia berkata, “ Kamu hendak tahukah mengenai satu perkara yang sekiranya aku beritahu kepada kamu, sudah tentu kamu terperanjat?”

Umar terperanjat mendengar kata-kata lelaki itu dan dia pun bertanya dengan pantas, “ Apakah dia?”

“Adik ipar kamu, Saad bin Zaid dan adik kamu sendiri, Fatimah, kedua-duanya sudah memeluk Islam. Dan mereka meninggalkan agama kamu.” terang lelaki itu.

Umar sungguh terperanjat mendengar berita yang disampaikan oleh lelaki itu. Dia terharu sekali. Sikap bengis bertambah. Dia tidak berkata walau sepatah perkataan pun. Dia terus meninggalkan lelaki itu. Jika benarlah berita itu, dia begitu malu sekali! Apakah yang hendak dikatakan kepada kawan-kawannya nanti?

Dalam keadaan yang malu dan marah, Umar menuju ke rumah adiknya. Secara kebetulan, Khabbab yang selalu datang ke rumah Fatimah bagi mengajar mengaji Quran, ada di situ. Fatimah dan suaminya sedang belajar mengaji. Daripada jauh, Umar terdengar bacaan yang tidak difahaminya dari rumah adiknya itu. Dia menghampiri rumah adiknya dengan perlahan supaya tidak diketahui oleh orang-orang yang berada di dalam rumah itu. Apabila merasa puas adiknya cuba merahsiakan sesuatu daripadanya, Umar pun mengetuk pintu rumah itu. Umar mengetuk pintu rumah itu dengan kuat sekali. Ketukan kuat itu menakutkan orang-orang yang berada di dalam rumah itu.

“Siapakah itu?” Fatimah bertanya.

“Aku!” kata Umar dengan suara keras. “Aku Umar! Abangmu. Cepat buka pintu ini!” Umar meninggikan suaranya.

Semua orang yang berada di dalam rumah itu bimbang. Umar bin Khattab dikenali sebagai musuh Islam yang paling kuat sedang berada di hadapan pintu rumah Fatimah dengan membawa pedangnya. Sudah tentu ada sesuatu yang hendak dilakukannya. Khabbab yang berada dalam rumah itu amat bimbang sekali. Apabila mendengar sahaja suara Umar, dia dengan segera mencari tempat bersembunyi. Dia berharap tiada kejadian yang tidak baik berlaku.

Fatimah membuka pintu rumah. Umar tanpa berlengah menerpa masuk ke rumah, dan melihat hanya Said, adik iparnya dan Fatimah sahaja berada di dalam rumah itu. Umar berlegar-legar dalam rumah itu mencari jika ada orang lain, tetapi dia hampa. Tiada siapa selain mereka berdua sahaja.

“Apakah ada orang lain bersama kamu tadi?!” tanya Umar dengan keras.

“Tidak ada,” jawab Fatimah dengan segera. “ Kami berdua sahaja."

“Apakah yang aku dengar tadi? Kamu membaca apa tadi?” tanya Umar bertalu-talu.

“ Apa yang abang dengar?” Fatimah bertanya dan kemudiannya berkata, “Abang tidak mendengar apa-apa.” Sebenarnya, Fatimah dendang menyembunyikan kepingan tulisan-tulisan ayat Quran di belakangnya.

“Betul, aku belum pekak lagi. Aku mendengarnya apa yang kamu baca tadi,” kata Umar dengan tegas dan menyambung lagi, katanya, “Aku tahu kamu berdua sudah mengikut agama Muhammad, betulkah?”

Umar menghampiri adik iparnya lalu memegangnya. Dia hendak memukulnya. Fatimah mengetahui niat abangnya itu yang hendak melakukan sesuatu perkara jahat. Dia cuba menolong suaminya dengan menarik suaminya. Tetapi tangan Umar lebih pantas. Umar cuba memukul adik iparnya tetapi pukulan itu terkena adiknya. Kepala Fatimah luka dan darah meleleh di mukanya.

Fatimah naik marah akibat rasa sakit yang dialaminya. Dengan perasaan marahnya, Fatimah berkata, “Ya kami sudah memeluk Islam. Kami percaya kepada Allah dan Rasulnya. Apa yang abang hendak lakukan kepada kami, lakukanlah apa sahaja!” Fatimah menangis apabila habis bercakap. Hatinya merasa sedih sekali. Suaminya hanya mendiamkan diri. Dia bimbang sekali.

Sementara, Khabbab yang bersembunyi dan mendengar apa yang Fatimah katakan tadi bertambah bimbang dan kecut perutnya.

Apabila melihat darah bercucuran daripada kepala Fatimah, Umar menyesal atas perbuatannya itu. Dia kasihan melihat adiknya yang menangis teresak-esak. Dia menyesal atas tindakannya yang tergesa-gesa tanpa menyiasat terlebih dahulu. Umar cuba cara berlembut kerana dia ingin mengetahui apakah yang dibacakan oleh mereka tadi.

“Berikanlah kepada aku bahan yang kamu baca itu tadi,” kata Umar dengan suara lembut. Kemudian dia berkata lagi, “Aku berjanji tidak akan buat perkara yang tidak elok. Aku ingin tahu, apakah yang dibawa oleh Muhammad itu?” sikap Umar yang garang sudah bertukar menjadi lembut.

“ Kami bimbang, jika kau tidak kotakan kata?” jawab Fatimah.

“Usah bimbang! Aku bersumpah dengan Tuhan Muhammad, aku kembalikan nanti sesudah membacanya.” Umar menyakinkan adiknya.

Fatimah melihat wajah abangnya dan dia merasa abangnya jujur kali ini. Perasaan kasih sayang antara adik dan abang tidak hilang. Meskipun, Fatimah tahu hati abangnya itu degil tetapi dia berharap abangnya dapat menerima kebenaran Islam. Tetapi hendak menyerahkan kepingan yang tertulis ayat quran adalah mustahil kerana Umar masih lagi belum memeluk Islam. Apakah yang perlu dilakukannya?

“ Wahai abangku! Abang masih belum memeluk Islam. Aku tidak boleh menyerahkan Quran ini melainkan mereka yang bersih dan sudah memeluk agama Muhammad,” terang Fatimah kepada Umar tentang syaratnya.

Umar disuruh oleh Fatimah supaya mandi jika dia masih hendak memegang Quran itu. Umar mengikut kata Fatimah dan dia pergi mandi dahulu. Kemudiannya Fatimah menyerahkan kepingan yang bertulis ayat Quran di atasnya. Umar menerima dan membaca dengan penuh teliti. Ayat-ayat Quran itu adalah daripada ayat Taha. Apabila selesai membacanya, Umar berkata, “Sungguh indahnya kata-kata ini!”

Khabbab yang masih di tempat persembunyiannya, tidak sabar apabila mendengar pengakuan kata-kata Umar tentang ayat Quran itu. Dia segera keluar dan mendekati Umar. Umar terperanjat melihat Khabbab berdiri di sisinya secara tiba-tiba.

“Wahai Umar! Demi Allah, aku berharap supaya Allah memasukkan kamu dalam doa Nabi Muhammad. Semalam aku dengar Muhammad berdoa, 'Yal Allah! Ya Tuhanku! Permudahkan agama Islam ini dengan bantuan Abul Hakam bin Hisyam ataupun dengan Umar bin Khattab.' , kata Khabbab dengan beraninya dan kemudiannya menyambung, “ Pergilah kau kepada Muhammad dengan segera, Umar!”

“Apakah Muhammad berdoa supaya aku menjadi penyokongnya?” tanya Umar dengan hairan.

“Ya,” jawap Khabbab.

Fatimah yang melihat keadaan abangnya, begitu gembira kerana abangnya mulai berminat dan tertarik dengan kata-kata Khabbab itu. Dia berdoa, semoga hati abangnya terbuka memeluk Islam.

“Baiklah, aku setuju bertemu dengan Muhammad, kau boleh tunjukkan di mana dia berada sekarang supaya aku boleh memeluk agamanya?” Umar meminta Khabbab membawanya ke tempat Muhammad.

Khabbab menunjukkan kepada Umar tempat Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya berkumpul. Apabila sampai di rumah itu, Umar mengetuk pintu. Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bangun dan menuju ke pintu. Alangkah terperanjatnya dia, apabila melihat Umar berada di hadapan pintu dengan pedangnya. Dia segera memberitahu Nabi Muhammad kedatangan Umar dengan perasaan takut.

“Wahai Nabi Muhammad! Umar bin Khattab berada di hadapan pintu rumah ini dengan pedangnya!” kata lelaki itu.

Hamzah bin Abdul Muttalib adalah bapa saudara Nabi Muhammad yang berada bersamanya menyampuk dan berkata, “ Wahai Rasul Allah! Benarkan dia masuk. Sekiranya dia berniat baik, kita akan layannya dengan baik. Tetapi, jika niatnya jahat, kami sendiri membunuhnya dengan pedangnya sendiri.”

Nabi Muhammad bertenang sahaja. Semoga doanya dimakbulkan oleh Allah. Umar datang dengan sendiri dan tiada siapa yang memujuknya.

“Benarkan dia masuk!” kata Nabi Muhammad kepada sahabat-sahabatnya.

Umar dipersilakan masuk ke dalam rumah itu. Nabi Muhammad bangun dan menyambutnya dan dijemputnya masuk ke dalam sebuah bilik. Kemudian Nabi Muhammad mengambil kainnya lalu diletakkan ke tubuh Umar dan direntapnya dengan kuat. Nabi Muhammad berkata dengan tegas dan berani, “Apa yang menyebabkan kamu ke mari, wahai Umar!”

“Wahai Nabi Allah! Aku datang ini kerana hendak beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan apa yang kau bawa daripada Allah,” ujar Umar menerangkan maksud kedatangannya.

Nabi Muhammad kemudiannya bertakbir dengan lantang dan seluruh sahabat Nabi merasa gembira.

Fatimah yang mengetahui tentang abangnya yang memeluk Islam, gembira sekali. Hatinya tenang kerana tidak ada orang yang boleh mengancamnya ketika dia dan suaminya menyebarkan agama Islam.

Petikan dari buku, "Selembut Bicara...."

Daripada tidak ada langsung...


Ini adalah buku pertama saya. Inilah juga usaha dan sumbangan kecil bagi menyahut pesanan Nabi Muhammad (Allahumma solli 'ala saidina Muhammad wa'ala aalihi wa as-haabihi ajma'in) sampaikanlah walau pun hanya sepatah ayat.


Saya ini bukanlah mendapat didikan agama seperti orang lain yang sepenuhnya mendapat didikan agama sehingga ke tahap ijazah sampai ke Phd dalam bidang syariah, usuluddin, hafiz dan sebagainya. Malah buta Arab lagi, walau pun pernah ambil kelas bahasa Arab, tetapi sekerat jalan. Namun begitu, sebagai seorang Islam yang hendak juga menyumbangkan sesuatu kepada dunia Islam, inilah usaha kecil saya.


Mungkin semasa saya masih bersekolah, saya bergerak aktif dalam persatuan pelajar Islam dan dari situ saya bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja dakwah di peringkat sekolah menengah dan juga universiti. Tetapi, apabila sudah berkeluarga, gerakan itu semakin berkurangan dan juga langsung tidak berpeluang. Lebih-lebih lagi apabila sudah menjawat kerjaya yang meruntun masa sepenuhnya dengan kerjaya itu. Tiada masa langsung untuk meluangkan masa bagi kerja-kerja dalam gerakan Islam.


Bagi saya yang mempunyai bakat terpendam dalam penulisan, inilah istiqamah saya bagi meneruskan usaha-usaha dakwah walaupun dalam bentuk yang lain. Menulis semula cerita-cerita teladan yang memberi impak yang baik kepada diri seseorang itu. Itupun sekiranya seseorang membaca dengan penuh ikhlas dan menginsafi segala cerita yang boleh dijadikan sebagai teladan dan sempadan. Jika itu berjaya, sayalah orang yang paling bersyukur. Alhamdulillah!


Tetapi saya agak kecewa sedikit namun tidaklah sampai patah semangat apabila kawan karib sendiri menyatakan buku saya itu biasa-biasa sahaja. Saya akui memanglah buku saya itu biasa-biasa sahaja dan tiada yang luar biasa. Dan itulah tujuan sebenar PTS Islamika menerbitkan buku yang biasa-biasa supaya mudah dibaca dan difahami oleh mereka yang biasa-biasa juga.


Buku saya itu sasaran pembacanya bukanlah ustaz-ustaz, cerdikpandai, golongan elit, datuk-datuk terhormat, senator, wartawan (yang serba tahu) dan mereka yang sewaktu dengannya. Sasaran buku saya itu kepada mereka yang buta sejarah Islam, buta cerita Islam, buta Islam, buta buku (langsung malas baca buku agama) dan sebuta dengannya.
Gaya penulisan buku ini adalah dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca yang buta bahasa Arab. Digarap dengan lebih ringkas dan padat supaya mesej yang hendak disampaikan itu berhasil.


Seorang remaja memberi reaksi kepada saya, "Bagus buku ini. Ia mengandungi cerita-cerita yang belum pernah saya ketahui sebelum ini."


Berbunga hati saya mendengarnya. Sekurang-kurangnya ada yang berminat hendak membaca. Saya juga mengharapkan remaja itu mendapat iktibar dari maklumat yang dibacanya. Itulah niat saya. Saya menulis bukan kerana nama atau royalty. Saya hendak menyampaikan mesej Islam seperti orang lain.


Bagi saya daripada tiada langsung, baiklah saya ada hasilkan sesuatu iaitu buku. Dan itulah cita-cita saya yang telah sampai ke kemuncaknya. Setelah semua genre penulisan saya sudah terokai seperti artikel, cerpen, sajak, puisi, pantun, menulis skrip dan yang saya sedang usahakan sekarang adalah hendak menghasilkan tulisan novel pula!


Doakanlah saya berjaya. Amin.


Dalam pada terima kritikan itu, tunggulah kemunculan buku saya yang seterusnya, 25 Rasul terbitan PTS Islamika.

23.3.07


Bila jiran tidak tahu jaga hati jiran


Sudah hampir setahun menyewa rumah teres biasa di Semenyih. Alhamdulillah, boleh dikatakan barang dapur, murah sedikit berbanding duduk di rumah lama. Selalu jugalah pergi ke pasar yang menawarkan pelbagai jenis sayur kampung dan juga ikan-ikan yang segara.

Namun begitu, apabila duduk berjiran dan dalam kawasan rumah teres ini, sudah tentulah kita bertemu dengan jiran sebelah menyebelah. Kebanyakan penghuni di sini banyak menggunakan khidmat pembantu rumah asing. Oleh itu, yang lebih dikenali adalah pembantu rumahnya daripada tuan rumah itu sendiri.

Itu tidak mengapa lagi. Ada seorang jiran sebelah rumah tidak begitu mesra alam dan juga tidak tahu jaga hati jiran lain. Sesuka hati membuang sampah dan juga membakar sampah. Kalau setakat sampah kecil boleh tahan lagi, ini tidak katil dan almari tidak pakai dicampakkannya di seberang jalan berhadapan rumah. Satu pemandangan yang tidak cantik. Lepas itu sesuka hati membakar sampah sehingga hampir memusnahkan rumpunan serai dan juga pokok buah yang lain.

Anak-anaknya pula tidak dijaga dan dididik dengan sopan. Sesuka hati masuk ke dalam pagar rumah dan mencampakkan segala sampah seperti bekas makanan ringan, kulit limau, dan sebagainya. Hati tetap bersabar dan suamilah menjadi mangsa mengutip sampah. Kami masih lagi berdiam diri. Teringat peristiwa Nabi Muhammad dengan wanita Yahudi yang suka membuang sampah.

Tetapi itu wanita yang bukan Islam dan kes saya ini pula orang yang menganut Islam. Tidak pernah terungkap di mulutnya hendak meminta maaf. Sabar, sabar (mengurut dada yang semakin semput). Nasib baiklah, Muharam saya itu sebagai penawar. Hendak marah pun tidak jadi marah. Nasib baik tidak terkena tekanan darah tinggi.


Bukan setakat anaknya suka memanjat pagar dan masuk ke dalam rumah saya tetapi bapanya juga sama. Nasib baiklah umur pagar itu panjang dan masih kukuh, kalau tidak satu hal pula suami saya kena betulkan pagar. Semuanya ini berlaku di depan mata saya. Mereka ingat saya tidak berada dalam rumah. Telinga ini masih belum pekak. Setiap bunyi bising di luar, saya menjenguk. Takutlah ada pencuri masukkah? Tetapi bukan pencuri tetapi jiran sebelah. Entahlah, agaknya dia tidak tahu saya berada di dalam rumah. Namun begitu, jika seseorang itu tahu adab berjiran, dia tidak akan dan tidak boleh buat begitu.

22.3.07

Musim Hujan

Musim hujan kini tidak menentu. Itulah dia perancangan Allah terhadap alam ciptaannya. Tiada siapa yang boleh menyangkal akan kekuasaannya. Kita ini sebagai makhluknya haruslah patuh dan taat dengan ketetapannya.

Hujan yang lebat mengakibatkan banjir dan tanah runtuh. Tidak sangka, tanah runtuh di Putrajaya. Itulah kuasa Tuhan! Kita hendaklah jadikan itu sebagai satu peringatan kepada diri yang sentiasa alpa akan amanah yang diberikan.

Jika mangsa banjir terpaksa duduk sementara di balai-balai raya, mangsa tanah runtuh juga begitu. Walaupun rumah mereka tidak mengalami kenaikan air tetapi keruntuhan tanah di tebing. Mengapakah ia begitu? Renungkanlah!

21.3.07
















Muharam yang manja
Siapakah Muharam? Muharam adalah seekor kucing yang manja. Lihatlah aksi-aksinya. Muharam memiliki cerita yang menarik. Saya akan menulis kisahnya yang lucu.

14.3.07


Daerah kaum Sadum ditonggengkan

Nabi Lut adalah anak kepada Hasan bin Tareh. Beliau mengikut bapa saudaranya Nabi Ibrahim berhijrah dari negeri Babil ke negeri Syam. Apabila beliau dilantik menjadi Nabi oleh Allah dan diutus ke sebuah negeri bernama Sadum. Penduduknya yang menyeleweng dan tidak patuh kepada perintah Allah. Akhlak dan budi pekerti penduduk di situ begitu hina kerana menolak amalan perkahwinan dalam Islam. Lelaki tidak mahu berkahwin dengan perempuan tetapi mereka lebih suka berkahwin dengan kaum sejenisnya.

Nabi Lut datang menemui penduduk di situ dan berkata, “Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk di dunia ini sebelum kamu.”

Kemudiannya, Nabi Lut menyambung lagi, katanya, “Patutkah kamu mendekati orang lelaki bagi memuaskan nafsu kamu? Kamu menghalang orang yang berjalan di sini bagi tujuan jahat kamu? Dan kamu juga melakukan perbuatan yang hina di tempat-tempat kamu berkumpul?”
Apabila mendengar kata-kata dari Nabi Lut, mereka tidak menjawab malahan mengejek-ejeknya. Mereka berkata dengan sombong, “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah yang kamu janjikan itu. Jika betul kamu dari orang-orang yang benar.”

Nabi Lut yang merasa sedih dan marah dengan sikap mereka, berdoa kepada Allah, “Wahai Tuhanku! Tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan dan menderhaka kepada mu!”

Pada suatu hari, datanglah utusan dari Allah ke rumah Nabi Lut bagi menyampaikan pesanan. Utusan itu adalah berupa seorang lelaki yang kacak dan segak menjadi tetamu Nabi Lut. Masyarakat Sadum yang terkenal dengan sikap gelojoh apabila melihat lelaki kacak mula terpesona dengan lelaki utusan Allah itu. Mereka mula hendak mengacaunya.

Tetamu lelaki itu berkata kepada Nabi Lut, “Negeri ini akan dibinasakan oleh Allah dengan seksaan yang dahsyat.”
Nabi Lut yang mendengar berita itu begitu bimbang. Tetapi utusan Allah berkata lagi, “Janganlah engkau takut dan bersedih, sesungguhnya kami akan menyelamatkan mu dan keluargamu serta pengikut-pengikut mu kecuali isteri mu.”

Kaum Sadum yang derhaka itu mengintai-intai tetamu yang berada di rumah Nabi Lut. Mereka tanpa rasa segan meminta supaya tetamu yang kacak itu diserahkan kepada mereka.

Pada sebelah malamnya, Nabi Lut, ahli keluarga serta pengikut-pengikut setianya keluar dari negeri itu. Tidak lama kemudian, negeri Nabi Lut diterbalikkan dengan isi penghuninya. Ini terdapat dalam kitab Quran pada surah Hud ayat 82, Allah berkata, “Maka apabila datang perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu ditonggengkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar dan menimpanya dengan bertalu-talu.”

Petikan dari buku "25 Rasul"

Benarkah Nabi Isa di bunuh?

Para pengikut Nabi yang juga dikenali dengan Hawariyin adalah pengikut setia serta beriman kepada Allah dan juga rasulnya, iaitu Nabi Isa yang diberikan kepada Kitab Injil. Pada suatu hari, pengikut Nabi Isa yang setia itu pernah bertanya kepadanya. Mereka bertanya, “Wahai Isa anak kepada Maryam! Adakah Tuhan kamu itu mempunyai kuasa menurunkan satu hidangan dari langit bagi kami?”

Nabi Isa menjawab dengan nada amaran kepada pengikut-pengikutnya, “Hendaklah kamu takut kepada Allah, sekiranya kamu itu orang yang beriman!”
Pengikut-pengikut Nabi Isa tidak berpuas hati dan bertanya lagi, “Kami hanya ingin makan dari hidangan itu supaya kami boleh makan bagi mendapat berkat dan supaya tenang hati kami. Dan supaya bertambah yakin kepercayaan kami. Sesungguhnya, kamu seorang yang bercakap benar. Dan kami hendak menyaksikan kebenaran itu dengan sendiri.”
Nabi Isa pun berdoa kepada Allah, “Ya Allah, ya Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit bagi menjadi hari raya kami. Ia adalah satu mukjizat daripadamu sebagai bukti kebesaran dan kekuasaanmu. Dan berikanlah kami rezeki kepada kami kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki.”

Allah menurunkan hidangan seperti yang diminta Nabi Isa. Maka bertambah kepercayaan dan keimanan pengikut-pengikut Nabi Isa. Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya meneruskan usaha sebarkan ajaran Allah. Ajaran Nabi Isa sama seperti agama Islam. Ajaran yang mengatakan bahawa Tuhan itu hanya satu. Nabi Isa bukan anak Tuhan bahkan dia adalah rasul pilihan Allah.
Pengikutnya semakin bertambah dan pengikut-pengikut Nabi Isa diberi nama Nasara atau Nasari. Namun bergitu tidak semua yang mahu mendengar ajakan Nabi Isa. Ada yang menerima dan terus beriman dan ada juga yang masih dalam amalan sesat.

Orang-orang yang menentang ajaran Nabi Isa adalah musuh utama Nabi Isa. Mereka ini sejak dari dahulu tidak suka dengan Nabi Isa. Mereka mengadakan mesyuarat dan membincangkan bagaimana hendak menghentikan ajaran Nabi Isa. Satu keputusan sudah diambil iaitu mereka hendak menangkap Nabi Isa dan kemudian membunuhnya. Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya melarikan diri.

Namun begitu, ada di kalangan sahabat Nabi Isa yang sudah berpaling tadah dan murtad ( iaitu keluar dari agama). Nama sahabat Nabi Isa yang berpaling tadah itu ialah Yahuza. Dialah yang memberi maklumat mengenai Nabi Isa kepada orang-orang yang hendak menangkap Nabi Isa. Musuh-musuh Nabi Isa percaya kepada maklumat itu tetapi dengan kuasa Allah, orang yang ditangkap oleh musuh itu bukanlah Nabi Isa. Akan tetapi dia ialah Yahuza yang khianat itu. Dengan kuasa Allah, muka Yahuza seolah-olah serupa dengan muka Nabi Isa. Yahuza ditangkap dan dia pula di paku di batang kayu sehingga terbunuh. Sedangkan Nabi Isa, dengan kuasa Allah, dia diangkat naik ke alam ghaib. Sesungguhnya, manusia tidak dapat tandingi kuasa Allah!

Petikan dari buku "25 Rasul Allah" yang akan terbit tidak lama lagi. Sesuai bagi bacaan kanak-kanak dan juga remaja. Orang dewasa juga boleh membacanya bagi tambahan maklumat. Insya Allah terbit pada hujung bulan Mac ini.


Bila laporan mendahului maklumat benar


Apabila sesebuah maklumat yang belum pasti sahih atau tidak beritanya, sudah digembar-gemburkan sehingga melibatkan perasaan orang yang menerima berita itu. Inilah yang berlaku apabila wartawan dan juga sidang redaksi sebuah akhbar yang begitu ghairah hendak mengejar berita 'terkini' akibatnya berita yang disiarkan itu sama sekali tidak benar maklumatnya. Keputusan yang dikatakan akan diraih oleh seorang pelajar perempuan dengan mendapat 19 A menjadi tidak tepat bila disiarkan pada Isnin lalu. Alangkah malunya si calon itu yang mengharapkan dia dapat memecahkan rekod SPM yang terdahulu yang dipegang juga oleh seorang pelajar wanita.

Sedangkan pihak kementerian sendiri tidak berani hendak mengumumkan lebih awal siapakah pelajar yang paling cemerlang dalam Malaysia ini. Akibatnya, tiada pelajar yang cemerlang. Sungguh ajaib dan pelik akhbar itu yang berani membuat spekulasi yang boleh meninggalkan luka di hati orang yang menerimanya. Sungguh mengaibkan! Itulah dia akibat melanggar etika kewartawanan yang sepatutnya melaporkan berita yang benar lagi sahih.

Itu baru berita yang berkaitan dengan kejayaan pelajar yang tidak cemerlang, apatah lagi beribu-ribu berita yang disiarkan setiap hari itu adakah ia benar atau palsu? Kita sebagai pembaca haruslah bijak menapis berita yang sahih dan tidak sahih. Gunakan akal dengan kreatif dan jangan cepat menerima berita sebulat-bulatnya tanpa mengetahui asal-usulnya. Fikir-fikirkanlah. Banyak berita yang sudah di x-fileskan! Benarkah!

9.3.07







Kau pergi jua
seorang sahabat, kakak dan mak cik.

Akhirnya seorang yang dianggap sebagai sahabat, kakak dan juga mak cik pergi meninggalkan alam ini dan bersemadi di alam barzakh. Salam takziah buat keluarganya. Semoga rohnya di cucuri rahmat Ilahi.

Seorang wanita yang tabah menghadapi ujian yang diberi oleh Allah. Penyakit barah yang tiada ubat penawarnya. Namun kesungguhannya melawan penyakit yang bahaya itu amat dikagumi. Selama 14 bergelumang dengan barah yang major antara barah payudara, barah rahim dan juga barah tulang.

Wanita inilah juga yang membawa dan membimbing diri ini menjadi manusia yang kreatif dalam bidang penyiaran. Terima kasih aku ucapkan, semoga ilmu yang diberikan itu sebagai amalan bagi di bawa ke sana. Ilmu yang dimilikinya tidak disimpan malah dicurahkan kepada adik-adik yang masih baru dalam bidang itu. Itulah mentor sejati tidak kedekut dengan ilmunya.

Ku iringi pemergian mu sehingga ke tanah perkuburan dan itulah dia kali terakhir aku melihat jasadmu di masukkan ke alam lain. Semoga wanita yang dikasihi itu bersemadi dengan aman. Amin. Al Fatihah.