15.12.07



Pixel Code Graphics

Pixel Code Graphics

Apakah yang kita telah korbankan?

Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya AidilAdha. Orang Melayu sebut Raya Korban. Sebab dikaitkan dengan peristiwa korban yang hendak dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya, Nabi Islmail. Mengimbas balik peristiwa itu, sungguh besar pengorbanan seorang ayah yang taat kepada perintah Tuhannya yang satu. Meskipun, kasihnya sepenuh jiwa raga terhadap anaknya, tetapi atas rasa taat dan patuh dengan perintah Allah yang maha berkuasa, dia terpaksa korban anaknya demi kerana Allah. Namun begitu, atas taat yang tidak berbelah bagi seorang hamba-Nya dan menghargai pengorbanan itu maka Allah pun menggantikan Ismail dengan seekor kibas bagi menggantikan korban sembelihan ayahnya.

Itulah dia, taat seorang insan kepada tuannya, Allah yang mencipta dirinya, anaknya dan juga alam semesta. Pengorbanan yang dilakukan tiada berbelah bagi. Tanpa rasa kesal beraja di hatinya. Kita, manusia yang banyak kelemahan ini , apakah korban dan pengorbanan yang telah dan sudah kita lakukan demi Allah? Mungkin kita hendak korban wang seringgit dua pun, kita berkira. Mungkin kita hendak bagi sekeping dua roti kepada orang lain untuk berkongsi rasa, pun kita berkira. Mungkin orang lain bertanya kepada kita, sedikit ilmu yang kita ada, pun kita berkira-kira nak bagi tahu. Mungkin orang lain minta resepi masakan pun kita kedekut nak bagi dengan alasan diberi, ini resepi keluarga, rahsia keluarga. Aik! takkan rahsia sebegitu pun boleh bawa ke kubur! Kedekut betul, takut benar orang lain akan masak seperti itu dan menjualnya kepada orang lain.

Orang hari ini, kalau sekadar meminta tanpa menghulur dibawah, jangan haraplah hendak dapat apa yang dihajati. Entahlah, ye! Sekarang ini, duit ibarat memandu hidup manusia di dunia ini. Bukan kita yang urus duit, tapi duit yang urus hidup kita! Macam mana tu? Benarkah kenyataan itu? Maaflah, tulisan ini sudah melalut pula!

Menyentuh tentang raya korban ini, maka sesi yang paling ditunggukan umat Islam adalah solat iduladha dan juga upacara penyembelihan lembu (kebiasaannya lembu di negara kita ini, tapi ada juga yang sembelih unta). Tidak pernah tengok secara siaran langsung orang sembelih lembu tapi dalam bentuk rakaman tu adalah. Ialah, kita ni perempuan takkan nak terlongo sama dengan orang lelaki sembelih lembu. Biarlah itu kerja orang-orang lelaki, takkan itu pun perempuan nak ambil alih. Dan kebanyakan masjid dan surau ada melakukan ucapan korban binatang itu.

Scene 1:

Tapi, teringat cerita dari seorang jiran. Dia kini menjadi penduduk tetap di sebuah negeri. Rumahnya berdekatan dengan sebuah masjid yang besar, indah dan sophitikated. Orang minangkabau kata, "gadang" (betul ke?). Kiranya besar sungguh masjid itu. Kalau satu saf itu mungkin ada 100 orang. Kalau ada 10 saf sudah berapa? Jadi benorlah masjid itu besar bangat! Bila tiba solat iduladha, memanglah ramai yang datang. Kebanyakan yang datang mereka yang tinggal berhampiran di kawasan perumahan yang digolongkan kelompok elit dan juga orang-orang kampung. Kiranya, majoriti di situ, penduduknya, Melayu-Islam lah.

Kebiasaannya, tiba iduladha, kalau masjid besar sudah tentu perlu ada upacara korban. Tentulah, lembu berpuluh-puluh ekor seperti di sebuah masjid lama dekat kampung saya yang terkenal lagi termasyhur dengan program bubur lambuknya. Berekor lembu disembelih hasil dari korban orang perseorangan mahupun perberian syarikat terkenal. Tapi yang peliknya, di masjid yang gadang itu, lepas sembahyang raya, semua orang terus balik.

"Aik! Ustaz, tak ada korban lembukah"

"Ada awak nampak seekor lembu kat dalam kawasan masjid ni?"

"Tak ada pun! Kot ustaz sorok lembu ke?"

"Ish! Awak ini, nak buat apa saya sorok. Dah tak ada kerja lain!"

"Yalah, ustaz. Selalunya, kat masjidlah orang buat korban lembu. Tengok masjid kat KL, ramai yang buat korban!"

"Itu orang KL. Mereka kaya dan pemurah hati pula! Kat sini, nak kata tak kaya, tengoklah rumah mereka. Tapi, mungkin mereka buat korban kat tempat lain tak tahu lah saya."

"Sedih la ustaz."

"Yang kamu tu cakap orang lain, kamu tu pernah buat korbankah?"

"Eh! he he he....saya....saya.....buat korban kat kampung isteri saya lah ustaz!"

Scene kedua:

Bila siap sahaja upacara sembelihan, maka berlakulah upacara pengagihan. Berkilo-kilo daging sudah dipotong termasuklah ekor, paru, hati, otak lembu, kepala lembu, kulit lembu, babat (ini paling suka sedap kalau digoreng dengan cili padi, resepi nenek gemuk), dan tentu isi daging dan tulang temulang lembu. Kalau ikut adab, yang membuat korban perlu mengambil sedikit dari sembilihan itu seperti yang ditetapkan agama Islam. Yang lain-lain tu, sedekah kepada mereka yang memerlukan.

Ada surau yang setakat satu ekor lembu, mereka ambil keputusan gotong royong masak sup ke, masak rendang ke, masak kicap ke, masak kari ke dan diperkena dengan nasi minyak atau nasi putih ataupun nasi beriani!

Tapi kalau, berpuluh ekor dikorban, maka agih-agihkan daging sekilo demi sekilo kepada mereka yang ada kupon. Jadi semua orang boleh menikmati daging korban.

Namun begitu, ada juga segelintir manusia yang gelojoh dan tamak haloba. Bila dia terlibat secara kecil dalam upacara sembilih, mulalah dia hendak tunjuk kuasa. Segala tulang lembu, hati lembu, paru-paru lembu, ekor lembu malah kulit lembu dan kepala lembu pun dia nak ambil buat perkasam atau cenderahati balik ke rumah. Tak tahulah sama ada dia nak makan atau nak jual atau pun buat pameran kat rumah. Ada juga manusia sebegitu yang seperti tidak pernah jumpa daging lembu dan isi-isi lembu! Alahai! Ada manusia yang tamak dan bertambah tamak nak makan seorang. Dia tidak tahu hukum agama mengambil yang bukan haknya! Entahlah! Ini belum lagi sentuh tentang tabiat suka bungkus makanan orang tanpa kebenaran!

Selamat Hari Raya Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin.
Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Walhamdulillah!

3.12.07

Sekadar ujian kecil

Berita-berita yang menggembirakan hati insan yang kerdil ini bertambah teruja dengan kepercayaan yang diberi bagi menanggung amanah baru. Maka, perubahan tanggungjawab yang perlu digalas menguji kekuatan minda dan fizikal. Ujian melanda diri ini. Demam mengejut. Jika diri ini sebelum ini amat kebal dengan demam. Kini demam selsema melanda diri yang lemah ini. Situasi tubuh yang lemah terasa pada pertengahan November lalu. Lebih-lebih lagi setelah diperlukan untuk melaksanakan satu tugas baru di tempat baru yang bercuaca sejuk. Diri ini tidak boleh menyesuaikan diri dengan suasana sejuk, (maklumlah dilahirkan di bawah atap rumbia) maka, ketahanan menahan sejuk tidak kebal.

Alhamdulillah, ujian itu dapat dilalui dengan sabar. Meskipun sang doktor menawarkan diri ini istirehat satu hari, tetapi daku menolaknya. Ini kerana, sekadar ujian yang sedikit harus ditentang. Belum lagi menghadapi ujian-ujian besar seperti yang dialami orang para srikandi Islam. Siapalah diri ini yang kerdil di sisi Allah. Alahai! Amanah besar harus daku laksanakan dengan jayanya. Kini daku seorang diri bertungkus lumus melaksanakannya. Dan daku terasa bahagia kerana masih ada kepercayaan orang lain terhadap diriku yang biasa-biasa ini.

Inilah kekuatan yang daku terima untuk terus menulis di sini. Akalku masih lagi waras. Cumanya tubuhku masih lagi lemah akibat penangan ubat yang membuatkan daku hampir terlena. Baiklah, hingga di sini coretan singkatku....