22.4.09

Aku di Pesta Buku Antarabangsa KL








18 April 2009


Kini, baru aku dapat mencatatkan serba sedikit suasana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung PWTC selama 10 hari bermula dari 17 April hingga 26 April. Memandangkan aku diminta untuk mengisi sesi tandatangan buku dan siri kuiz pada 18 April yang lalu, aku pun mengambil keputusan untuk datang lebih awal.


Setibanya aku ke PWTC dengan menaiki LRT dari Bandar Tun Razak, dalam pukul 11 pagi aku sudah sampai. Aku mencari gerai PTS terlebih dahulu supaya memudahkan aku untuk mengunjunginya bila-bila masa. Setelah bertemu tempat yang dituju, aku lihat orang ramai berpusu-pusu dan saling tolak menolak di lorong yang sempit. Gerai PTS berhadapan dengan Dewan Kedah/Johor. Ruang yang disediakan untuk gerai-gerai di situ memanglah sempit.


Aku terpaksa berjalan mengikut arus orang ramai. Hendak berhenti jumpa dan berbual dengan editor memang tidak boleh. Sekadar melaporkan diri kepada editor Islamika, Cik Asyuura yang aku sudah berada di PWTC. Aku tidak singgah malah aku ikut bersesak dalam orang ramai dan aku hendak mencari pintu keluar kerana kepalaku sudah mula pusing. Akhirnya aku dapat meloloskan diri dari sesakan orang ramai.



Apa lagi, aku pun menuju ke ruang legas utama yang menempatkan pentas untuk pelbagai acara yang dirancang. Aku pun mencari kerusi kosong dan duduk termenung merenung orang ramai yang berpusu-pusu. Ada yang baru datang dari dua arah. Satu dari hadapan dan satu lagi dari belakang yang berdekatan dengan hotel. Ada yang turun dan naik tangga berjalan sendiri untuk ke tingkat yamg menempatkan gerai-gerai yang lain.


Lama juga aku duduk untuk menghilangkan rasa kepala yang pusing-pusing. Aku hantar sms kepada kawan yang katanya akan datang pada pagi itu. Rupanya dia tidak dapat datang pagi tetapi sebaliknya sebelah petang. Nampaknya aku kena berjalan seorang diri meninjau gerai demi gerai. Sementara acara dipentas masih belum bermula lagi. Bosannya kalau seorang diri tanpa teman berbual.


Akhirnya, aku melangkah dengan lemah untuk pergi ke gerai-gerai di bahagian tingkat atas. Aku tidak berniat hendak membeli buku kerana masa masih panjang. Hanya untuk meninjau apa yang terbaru di pasaran.


Setelah bosan, aku pergi sekali lagi ke gerai PTS. Masih tidak berubah. Aku pun masuk ke dalam dewan untuk melihat perlancaran buku Ain Maisarah. Tetapi malang, tiada tempat duduk. Dalam badan aku yang masih sengal-sengal belakang, aku tidak mampu untuk berdiri lama. Jadi aku ambil keputusan untuk keluar dewan. Terus menuju ke ruang legar yang menempatkan pentas utama. Tidak ingat acara apa yang sedang berlangsung ...Dalam termangu seorang diri, dapat sms dari adik yang dia akan hadir sekeluarga kalau tiada halangan kerana anaknya bersukan.

Tidak lama kemudian, dapat panggilan yang adikku sudah berada di PWTC. Emm! Ada juga teman. Kami berjumpa dan aku dapat melepaskan rindu dengan anak-anak buah yang sudah lama tidak berjumpa. Adikku hendak mengeluarkan wang dari mesin wang. Begitu juga aku. Dalam pada itu, aku berjumpa dengan Puan Kursyi Hirdan, penulis dari PTS One sebaik sahaja aku hendak ke mesin wang itu. Kami berbual sebentar beberapa perkara.

Setelah belanja anak buah dengan membelikan siri Young Aisyah, aku menunggu kawan penulis, Ainin Naufal yang datang seorang diri. Akhirnya kami bertemu. Aku mengajaknya untuk berkunjung ke gerai-gerai buku yang terletak di tingkat atas. Baru seronok, kerana sudah ada teman berbual. Tetapi, dalam masa yang singkat, tidak lama kemudian dapat panggilan dari editor yang meminta aku segera ke gerai PTS.


Tiba masanya, aku ke gerai PTS untuk sesi tandatangan buku 31 Kisah. Aku bersama dengan Saudara Mohd Allif Mohd Nor dan Saudara Reja (pelukis siri young aisyah). Boleh tahan ramainya yang hendak sertai kuiz yang dianjurkan oleh PTS Islamika. Sdri. Asyuura bertindak selaku pengacara.



19 April 2009

Hari ini juga aku tiba awal seperti semalam. Kali ini aku terus ke ruang legar. Aku hendak bertemu dengan kawan. Kali ini aku menanti kedatangan Ainin Naufal pada sebelah pagi. Dan tidak lama kemudian rupanya Ainin Naufal datang bertemankan Siti Hajar. Tidak lama kemudian aku berjumpa dengan kawan, Nora yang selalu aku panggil dengan nama itu.

Aku dan Siti berjalan bersama untuk meninjau gerai-gerai buku. Akhirnya aku memborong semua majalah Solusi terbitan Telaga Biru yang sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Alhamdulilah dapat membeli dengan harga diskaun yang lumayan.

Setelah penat, kami menjamu selera di tepi sungai yang lesu. Badanku pun lesu dan tidak berapa selera hendak menjamu menu yang terhidang. Yang habis, adalah dua gelas air. Memang sungguh dahaga dengan cuaca yang panas terik.

Selepas itu dalam pukul 2.30, aku dan kawan yang lain memasuki Dewan Kedah untuk melihat Seminar Sai-Fai. Aku sebenarnya tidaklah berminat sangat dengan Sai-Fai. Tetapi ingin sekadar menambah ilmu. Dan ternanti-nanti juga bual bicara dari para panel. Emm..boleh tahan juga ahli panel membentangkan pandangan mereka. Malangnya aku tidak boleh mengikutinya sehingga habis kerana sesi tandatangan bagi Siri Young Aisyah bermula pada pukul 4.00 petang.

Seronok apabila bertemu dengan penggemar buku dari kanak-kanak. Mereka datang membeli bersama ibu bapa masing-masing. Boleh tahan juga mereka yang menyertai kuiz yang diadakan. Semuanya dapat menjawab dengan tepat setiap soalan yang dikemukakan oleh Sdri. Asyuura.

Tidak lama kemudian, muncul Puan Ezee Rahmani dengan suami. Terharu bertemu dengannya. Kerana sudah lama tidak berjumpa apatah lagi, katanya, dia datang petang itu untuk bertemu dengan aku. Oh! terima kasih Kak Engku! Kemudian, tiba Puan Ainon, Sifu PTS bertanya khabar dengan kami yang berada di meja penulis.




Sila ke blog Young Aisyah :
http://aisyahsofia-sah.blogspot.com/














15.4.09


Semua diijemput memeriahkan program di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009
Pesta buku kini kembali menjelma. Semacam hari raya pula. Tetapi inilah masanya semua penulis dan pencinta ilmu dan buku bertandang dan berkumpul untuk melihat,membelek dan terus membeli buku yang diminati.
Bagi para penulis yang karyanya terbit pada tahun ini sudah tentu tidak sabar hendak melihat reaksi pembeli dan pembaca buku yang pelbagai golongan. Ini termasuklah aku yang akan sama-sama memeriahkan booth PTS bagi mempromosikan buku terbaru. Aku bersama dengan penulis lain akan menceriakan hari yang ditetapkan.
Saudara-saudari yang membaca blog ini, dijemput hadir kerana ada hadiah misteri menanti anda. Berikut adalah jadual aku berada di booth PTS.
Selamat berpesta buku dan jumpa anda di sana!!


1) Program: Sesi Autograf Bersama Penulis 31 Kisah dan Kuiz


Penulis:Saridah Hamid & Mohd Alif Md Nor

Tarikh:18 April 2008 (Sabtu)

Masa: 5:00 hingga 6:00 petang

Tempat: Booth PTS (72-79), PWTC bersebelahan dewan Tun Hussien Onn

Anjuran: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Diskripsi: Sesi autograf bersama penulis buku 31 kisah. Kuiz juga turut diadakan.Soalan mudah dan senang dijawab. Pemenang akan menerima hadiah buku 31 kisah. Maklumat lanjut, sila hubungi Siti Asyuura Jalaluddin , 016-6612014. Penyertaan adalah percuma. Semua dijemput hadir.

2) Program: Bicara Buku Young Aisyah, Sesi Autograf dan sesi Melukis Bersama Penulis


Penulis:Saridah Hamid & Rezarly Musa

Tarikh:19 April 2008 (Ahad)

Masa: 4:00 hingga 5:00 petang

Tempat: Booth PTS (Booth PTS (72-79), PWTC bersebelahan dewan Tun Hussien Onn

Anjuran: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Diskripsi: Penulis akan bercerita tentang buku bersiri Young Aisyah. Selain sesi autograf dan sesi melukis bersama ilustrator komik Young Aisyah. Kuiz juga turut diadakan. Soalan mudah dan senang dijawab.Pemenang akan menerima hadiah buku siri Young Aisyah. Maklumat lanjut, sila hubungi Siti Asyuura Jalaluddin , 016-6612014. Penyertaan adalah percuma. Semua dijemput hadir.


-- Siti Asyuura bt Jalaluddin Editor PTS Islamika

8.4.09

1.4.09





Surah-surah Rindu dalam Mata Pena di IKIM.FM




Semalam aku dijemput ke radio IKIM.FM untuk rakaman bagi program Mata Pena kendalian DJ Fairuz Hj Nordin. Program yang membicarakan mengenai novel dan kali ini aku berpeluang untuk membicarakan novel sulungku Surah-Surah Rindu.




Menurut DJ Fairuz, program Mata Pena adalah satu program baru. Baru sebulan diperkenalkan kepada pendengar. Program itu disiarkan setiap hari Isnin dari pukul 9.15 malam.




Pada mulanya, rakaman berjalan dengan lancar, tetapi apabila disemak semula, DJ Fairuz kata, "Alah kak, mesin tak rakam perbualan kita. Ada rosak sikit. Pada hal tadi, akak cakap dah cantik. Emm! Nampaknya kena buat rakaman lagi sekali."




Semput juga mendengarnya. Entah apa-apa yang aku telah cakap pada rakaman pertama. Tapi aku rasa itu yang terbaik. Ini sudah masuk kali kedua...alahai, bolehkah aku bercakap perkara yang sama. Entahlah, rasanya dialog aku bertukar..hehehe.. Bukannya aku ada sediakan skrip. Semuanya lahir secara spontan.




Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku habiskan rakaman. Bila dengar suara balik..alahai! Bagi yang sering mendengar radio IKIM.FM, jangan lupa pada Isnin, 6 April, pada pukul 9.15, minggu hadapan.




Cuak juga rasa!!