29.6.07

Ayat Quran meredakan panas baran

Kelahiran Umar bin Khattab dalam keluarganya, sungguh menggembirakan terutamanya, bapanya Khattab bin Nufail Al Muhzumi. Umar meningkat dewasa dengan penuh perhatian dan kasih sayang dari bapanya dan juga ibunya, Hantamah binti Hasyim. Bapanya melatih dirinya menjadi seorang yang kuat semangat dan juga kuat fizikalnya. Umar dilatih oleh orang tuanya menjaga binatang ternakan peliharaan keluarganya. Sedangkan kerja yang diberi adalah berat tidak sesuai dengan usianya yang masih muda. Tetapi itulah hasrat bapanya hendak membentuk tubuhnya supaya gagah dan sasa fizikalnya.

Umar menjadi seorang pemuda yang gagah dan apabila berjalan, dia berjalan dengan pantas. Satu kelemahan Umar adalah sifat panas barannya. Kemarahannya disifatkan seperti 1000 lelaki yang sedang marah. Beliau sebelum memeluk Islam, sungguh bengis kepada mereka yang mengikut kepercayaan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Pada suatu hari, Umar menghadiri perbincangan dengan pemimpin-pemimpin Quraisy. Mereka membincangkan mengenai ajaran baru yang disampaikan oleh Muhammad dan dilihat yang boleh menggugat kedudukan mereka sebagai pembesar Mekah. Mereka mencadangkan Umar membunuh Muhammad. Ini kerana, Umar bila sudah marah, dia tidak mempunyai perasaan belas kasihan. Dia seorang yang gagah dan berani menakut-nakutkan orang serta mengugut ibarat singa yang lapar. Namun begitu, ada seorang lelaki tidak bersetuju dan berkata, “Wahai Umar! Uruskanlah keluargamu dahulu! Adik perempuan kamu dan suaminya sudah memeluk agama Muhammad! Kamu harus betulkan adik kamu itu!.”

Apabila mendengar kata-kata lelaki itu, Umar mulai marah. Dia bangun dan terus menuju ke rumah adiknya. Apabila dia mendekati rumah adiknya, Umar mendengar sesuatu yang belum didengarinya sebelum ini. Dia menghayati bacaan yang dibaca oleh adiknya yang didengar dari dalam rumah itu. Tiba-tiba suara itu terhenti dan Umar kembali sedar lalu mengetuk pintu rumah adiknya. Dia memanggil nama adiknya dengan lantang.

“Siapakah itu?” Fatimah bertanya.
“Aku!” kata Umar dengan suara keras.
“Aku Umar! Abangmu. Cepat buka pintu ini!” Umar meninggikan suaranya.
Fatimah membuka pintu rumah. Umar tanpa berlengah menerpa masuk ke rumah, dan melihat hanya Said, adik iparnya dan Fatimah sahaja berada di dalam rumah itu. Umar berlegar-legar dalam rumah itu mencari jika ada orang lain, tetapi dia hampa. Tiada sesiapa selain mereka berdua sahaja.
“Apakah ada orang lain bersama kamu tadi?!” tanya Umar dengan keras.
“Tidak ada,” jawab Fatimah dengan segera. “ Kami berdua sahaja.
“Apakah yang aku dengar tadi? Kamu membaca apa tadi?” tanya Umar bertalu-talu.
“Apa yang abang dengar?” Fatimah bertanya dan kemudiannya berkata, “Abang tidak mendengar apa-apa.” Sebenarnya, Fatimah sedang menyembunyikan kepingan tulisan-tulisan ayat Quran di belakangnya.
“Betul, aku belum pekak lagi. Aku mendengarnya apa yang kamu baca tadi,” kata Umar dengan tegas dan menyambung lagi, katanya, “Aku tahu kamu berdua sudah mengikut agama Muhammad, betulkah?”

Umar menghampiri adik iparnya lalu memegangnya. Dia hendak memukulnya. Fatimah mengetahui niat abangnya itu yang mahu melakukan sesuatu perkara jahat. Dia cuba menolong suaminya dengan menarik suaminya. Tetapi tangan Umar lebih pantas. Umar cuba memukul adik iparnya tetapi pukulan itu terkena adiknya. Kepala Fatimah luka dan darah meleleh di mukanya. Fatimah naik marah akibat rasa sakit yang dialaminya.
Dengan perasaan marahnya, Fatimah berkata, “Ya kami sudah memeluk Islam. Kami percaya kepada Allah dan Rasulnya. Apa yang abang hendak lakukan kepada kami, lakukanlah apa sahaja!” Fatimah menangis apabila habis bercakap. Hatinya merasa sedih.. Suaminya hanya mendiamkan diri. Dia bimbang.

Apabila melihat darah bercucuran daripada kepala Fatimah, Umar menyesal atas perbuatannya itu. Dia kasihan melihat adiknya yang menangis teresak-esak itu. Dia menyesal atas tindakannya yang tergesa-gesa tanpa menyiasat terlebih dahulu.
Umar cuba cara berlembut kerana dia ingin mengetahui apakah yang dibacakan oleh mereka tadi.“Berikanlah kepada aku bahan yang kamu baca itu tadi,” kata Umar dengan suara lembut. Kemudian dia berkata lagi, “Aku berjanji tidak akan buat perkara yang tidak elok. Aku ingin tahu, apakah yang dibawa oleh Muhammad itu?” sikap Umar yang garang mulai bertukar menjadi lembut.
“Kami bimbang, jika kau tidak kotakan kata?” jawab Fatimah.
“Usah bimbang! Aku bersumpah dengan Tuhan Muhammad, aku kembalikan nanti sesudah membacanya.” Umar meyakinkan adiknya.
Umar disuruh oleh Fatimah supaya mandi jika dia masih hendak memegang Quran itu. Umar mengikut kata Fatimah dan dia pergi mandi dahulu. Kemudiannya Fatimah menyerahkan kepingan yang bertulis ayat Quran di atasnya. Umar menerima dan membaca dengan penuh teliti. Ayat-ayat Quran itu adalah daripada ayat Taha.
Apabila selesai membacanya, Umar berkata, “Sungguh indahnya kata-kata ini!”
Fatimah melihat keadaan abangnya berubah dan dia begitu gembira kerana abangnya mulai berminat dan tertarik dengan ayat-ayat Quran itu. Dia berdoa, semoga hati abangnya terbuka memeluk Islam.

Selepas itu, Umar mengambil keputusan hendak bertemu dengan Nabi Muhammad. Apabila sampai di rumah itu, Umar mengetuk pintu. Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bangun dan menuju ke pintu. Alangkah terperanjatnya dia, apabila melihat Umar berada di hadapan pintu dengan pedangnya. Dia segera memberitahu Nabi Muhammad kedatangan Umar dengan perasaan takut.

“Wahai Nabi Muhammad! Umar bin Khattab berada di hadapan pintu rumah ini dengan pedangnya!” kata lelaki itu.Nabi Muhammad bertenang sahaja. Semoga doanya dimakbulkan oleh Allah. Umar datang dengan sendiri dan tiada siapa yang memujuknya.“Benarkan dia masuk!” kata Nabi Muhammad kepada sahabat-sahabatnya.

Umar dipersilakan masuk ke dalam rumah itu. Nabi Muhammad bangun dan menyambutnya dan dijemputnya masuk ke dalam sebuah bilik. Kemudian Nabi Muhammad mengambil kainnya lalu diletakkan ke tubuh Umar dan direntapnya dengan kuat.
Nabi Muhammad berkata dengan tegas dan berani, “Apa yang menyebabkan kamu ke mari, wahai Umar!”“Wahai Nabi Allah! Aku datang ini kerana hendak beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan apa yang kau bawa daripada Allah,” ujar Umar menerangkan maksud kedatangannya.Nabi Muhammad kemudiannya bertakbir dengan lantang dan seluruh sahabat Nabi merasa gembira.

22.6.07

Tag Bunga dari Sahabat Blog

Bunga sering dikaitkan dengan wanita, mengapa dan kenapa? Mungkin bunga itu sifatnya cantik dan dikaitkan dengan wanita yang cantik sehingga tercipta peribahasa melayu yang mengaitkan hidung, pipi, mata, bibir. Tetapi tidak kurang yang mengutuk wanita sebagai bunga plastik. Sememang begitu, manusia itu tidak sempurna, ada yang memuja dan ada yang mengeji. Itu lumrah alam. Tetapi apabila berkata mengenai bunga, semuanya pasti memberi jawapan spontan, "cantiknya bunga itu!" Itu bagi yang mempunyai deria rasa seninya terhadap keindahan ciptaan Allah. Tetapi bagi hatinya yang tepu dan beku, semua yang cantik dibilangnya tidak cantik (hendak tunjuk hatinya yang keras..)l

Bagi saya, bunga itu satu ciptaan Allah yang teramat indah. Bunga segar dan hidup, manusia pun tidak mampu menciptanya. Bunga plastik yang direka pun banyak kelemahannya. Manusia tidak boleh tandingi kuasa Allah!

Apabila sahabat blog,
Nor Ash Burn, (maaflah nor, baru ada masa hendak menulis tentang bunga) men tag saya tentang bunga, terbayang di ruang mata ini bunga ros dan bunga tulip. Mengapa bunga ros? Ini kerana ros adalah salah satu tumbuhan yang mengeluarkan bunga menawan dan mempunyai keharuman lembut. Dalam kebudayaan Barat dan kini dalam kebudayaan Melayu, bunga ros melambangkan bunga cinta. Benarkah begitu, cinta itu bunga, bunga itu cinta? Ah! manusia terlalu mudah membuat persamaan cinta dengan bunga. Bunga apabila kelopaknya gugur setelah dipetik beberapa hari, adakah itu diibaratkan cinta manusia sesama manusia...ibaratnya gugur kelopak yang sudah reput dan kecut, maka di carinya cinta yang baru? Bagaimana cinta manusia kepada Pencipta bunga itu?


Sementara bunga tulip pula, adalah bunga yang menjadi kenangan bagi saya sepanjang kerja di bidang penyiaran. Kenangan tidak boleh lupa terpaksa panjat Gunung Jerai kerana hendak membuat liputan mengenainya. Dan dari situlah, baharu saya kenal yang tidak dikatakan bunga tulip. Bunga Tulip mempunyai pelbagai warna dan bentuk. Bunga tulip bunga liar dari kawasan Asia Tengah seperti Turki. Dikatakan, bunga tulip menjadi bunga yang ditanam di halaman Kesultanan Ottoman sejak 1000 tahun yang lalu.


Kemudiannya, bunga tulip pertama kali dibawa masuk ke Belanda sekitar tahun 1590-an oleh Carolus Clusius, Biologi dari Wina yang menjadi pengarah Hortus Botanicus di Leiden.


Dia mendapat Tulip dari kawannya, Augier Ghislian de Busbecq, duta Ausria di Constantinopel. Sejak dari itu orang mula memiliki Tulip, yang namanya diambil dari bahasa Turki untuk Tulban karena bentuknya menyerupai Tulban.

20.6.07


Ku Hulurkan Tangan Tanda Terjalin Persahabatan


Cendekiawan Islam yang terkenal, Imam Shafie berkata,


"Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang seiring sejalan denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.


Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia kepadanya.


Ku hulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana kau akan merasa senang. Semakin banyak aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri."


Sahabat di waktu susah


"Belum pernah ku temukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal, hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Kalau duka melanda, aku sering bertanya, "siapakah yang sudi menjadi sahabatku?


Di kala aku senang, sudah biasa bahawa banyak orang yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah merekapun bertepuk tangan."


Asingkan diri


"Bila tidak ku temukan sahabat-sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang-orang jahat. Duduk sendirian untuk beribadah dengan tenang adalah lebih menyenangkanku daripada bersahabat dengan kawan yang mesti ku waspada selalu."


Sahabat sejati


"Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan. Tidak ada yang abadi, dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah.


Sepanjang hidupku, aku berjuang keras mencari sahabat sejati sehinggalah pencarianku melenakan ku. Ku kunjungi seribu negara, namun tidak satu negarapun yang penduduknya berhati manusia."

18.6.07

Mengapa Emak Sedih?

Di sebuah kawasan perumahan yang baru diduduk sejak setahun yang lalu oleh sebuah keluarga yang berjumlah 10 orang. Si ayah bertungkus lumus seorang diri mencari nafkah bagi memelihara seorang isteri dan lapan anaknya yang lain. Ada yang sudah bekerja tapi belum berkahwin, ada yang sedang belajar dan akan hadapi peperiksaan penting, ada yang masih bersekolah menengah dan rendah, dan ada juga yang belum bersekolah, masih lagi berhingus.


Si isteri setia dan kasih pada suami dan anak-anaknya. Tetap melakukan tugasan yang menjadi rutin kehidupannya tanpa jemu. Mengemas rumah, membasuh kain baju, memandikan anak kecil, memasak, dan sebagainya yang tidak pernah putus dari melakukannnya dari pagi hinggalah ke malam.


Pada suatu hari, kelihatan beberapa anaknya merasa hairan dengan sikap Si Emak yang mendiamkan diri dan sugul.


“Mengapakah emak dari tadi abang lihat termenung dan tidak banyak bercakap?” tanya Abang Tiga kepada Adik Lima yang sedang membuat kerja sekolahnya. Tahun ini dia akan mengambil peperiksan Sijil Rendah Pelajaarn.


“Tidak tahulah Abang Tiga. Tetapi sejak tengahari tadi, bapa tidak pulang makan. Agaknya sebab itu emak susah hati,” kata Adik Lima tanpa menoleh kepada Abang Tiga yang duduk disebelahnya.


“Mengapakah bapa tidak balik. Selalunya, dia balik makan bersama kita. Abang rasa macam tidak sedap hatilah," Abang Tiga berkata dengan nada perlahan. Dia juga akan mengambil peperiksaan penting seperti Adik Lima iaitu Sijil Pelajaran Malaysia.


“Baiklah abang pergi tanya kepad emak sendiri,” ujar Adik Lima sambil memandang Abang Tiga.


“Tidak mahulah. Nanti emak marah abang”, kata Abang Tiga sambil membuka buku teks untuk mengulangkaji pelajaran.


“Kalau begitu, biar Adik sahaja yang bertanya," Abang Tiga mengangguk tanda bersetuju.


Adik Lima mengemas buku-bukunya dan disusun rapi di atas meja. Emaknya pantang melihat barang yang berselerak. Adik Lima duduk di sisi emaknya yang masih melipat baju.


“Emak tidak sihatkah?” tanya Adik Lima sambil memicit bahu emaknya. Emak mendiamkan diri tanpa menoleh ke arah Adik Lima.


“Emak, mengapakah emak tidak banyak bercakap selepas kita makan tengahari tadi?” tanya Adik Lima sekali lagi apabila pertanyaannya yang pertama tidak disahut oleh emak.


“Tiada apa-apa,”jawap emak dengan nada perlahan.


“Adik tahu emak mungkin risau sebab bapa tidak tidak balik makan. Mungkin bapa kerja lebih masa. Emak janganlah merasa risau,”Adik Lima cuba memujuk hati emaknya agar tidak susah hati.


“Emak merasa tidak sedap hati sahaja hari ini. Emak harap tidak ada apa-apa yang terjadi pada hapa kamu,”ungkapan emak mengejutkan Adik Lima. Abang Tiga bangun dan menuju ke ruang tamu. Abang Tiga menyertai Adik Lima duduk berdekatan dengan emak.


“Mengapa emak berkata demikian? Apa yang telah berlaku kepada bapa?”tanya Abang Lima dengan suara cemas.


“Tidak ada apa-apa. Cuma emak teringat, bapa kamu kata akan balik tengahari tadi. Dan sebelum itu, pagi tadi dia meninggakan pesanan agar emak jaga kamu dengan baik. Itulah yang emak pelik,”suara emak semakin sendu dan mula menitiskan air matanya ke pipi. Abang Tiga dan Adik Lima merasa terharu. Adik Lima memeluk emak dengan erat. Abang Tiga hanya memerhatikan sahaja.


“Emak, janganlah bimbang. Saya yakin tidak ada apa yang berlaku pada bapa,”kata Abang Tiga lalu memandang wajah sayu emaknya.


Telefon rumah berbunyi. Abang Tiga mengangkat telefon dan kemudiannya memanggil emak.


“Emak, ini Abang Sulung bercakap. Hendak beritahu bahawa bapa dimasukkan ke dalam hospital,”suara tenang Abang Sulung didengar dengan teliti oleh emak.. Abang Sulung yang merupakan anak sulung sudah bekerja di bawah satu bumbung dengan bapa.


“Emak, bersabarlah dan jangan bimbang. Saya akan menjaga bapa di sini. Esok emak datanglah. Hari ini tidak sempat. Waktu melawat sudahpun tamat,”kata Abang Sulung lagi.


“Bagaimanakah keadaan bapa sekarang? Apakah yang sebenarnya terjadi?”tanya emak dengan nada lemah.


“Bapa tidak sedarkan diri. Saya sendri belum bercakap denganya. Kawan bapa iaitu Pak Cik Jalal cerita, bahawa bapa jatuh apabila hendak turun dari lori, “ Abang Sulung tidak dapat menahan sebak di dadanya. Dia mendiamkan diri sebentar.


“Kamu masih ada di situ di situ?”suara emak memanggil Abang Sulung yang tidak bersuara di corong telefon.


“Emak, lepas itu bapa hendak balik tetapi Pak Cik Jalal tidak benarkan kerana bapa hendak naik motor. Pak Cik Jalal bawanya ke kantin untuk berehat, apabila tiba di kantin bapa terus pengsan,”kata Abang Sulung dengan suara teresak-esak.


“Kamu tunggulah di situ sehingga bapa sedar. Esok nanti emak akan datang ke hospital,” emak berpesan kepada Abang Sulung.


Waktu Remang Petang


Abang Kedua yang baharu sahaja pulang dari sekolah merasa hairan suasana sunyi di rumah.


“Emak, mengapa rumah kita sunyi sahaja? Abang Sulung belum balik lagikah?” Abang Kedua membuka kasut dan meletakkannya di tepi pintu. Abang Kedua memang rapat dengan Abang Sulung.


“Abang kamu belum balik. Dia berada di hospital,”jawab emak sambil menghulurkan secawan air kepada Abang Kedua yang dahaga.


“Bapa tidak balik lagikah? Mengapa Abang Sulung pergi hospital?” tanya Abang Kedua setelah habis minum air.


“Bapa kamu di hospital,”kata emak perlahan.


“Hospital! Bapa sakit apa? Saya hendak pergi hospital sekarang,” Abang Kedua mendekati emak yang sedang memotong bawang.


“Esok pagi kita pergi. Petang ini tidak sempat,”kata emak tanpa menoleh kepada Abang Kedua.


Mimpi


“Pergi tengok adik bongsu, sudahkah bangun dari tidur agaknya,”kata emak yang sedang sibuk menyediakan makan malam untuk kami adik beradik.


“Emak, mengapa bapa tidak balik?”tanya Adik Tujuh yang baru berumur tiga tahun.


“Bapa sakit. Adik mesti sudah lapar. Pergi panggil abang-abang, nanti boleh makan sama,”emak melihat Adik Tujuh menggangguk kepalanya. Adik Tujuh berlari ke ruang tamu dan memanggil abang-abangnya yang baharu selesai mengerjakan solat Maghrib.


“Abang Dua, Abang Tiga, Abang Empat…emak panggil makan,”kata Adik Tujuh dengan nada pelatnya. Dia menaik tangan Abang Tiga. Abang Tiga tersenyum dan bangun. Mereka menuju ke dapur.


“Kakak, esok ambil cuti. Esok, emak hendak pergi hospital. Tolong jaga adik-adik kamu di rumah,”kata emak selepas mereka sekeluarga habis makan. Kakak yang telah bekerja sementara mengangguk sahaja.


“Emak, Abang Tiga hendak ikut pergi hospital,”Abang Tiga membawa pinggan kotor ke singki.


“Kamu sekolah, tidak boleh ikut,”kata emak sambil mengemas meja. Kakak pula sibuk mencucu pinggan.


“Kami semua hendak ikut,”kata Adik Tiga menolong kakaknya membilas pinggan yang sudah disabun.


“Tidak boleh. Tidak muat teksi kalau semuanya hendak pergi,”kata emak dengan nada perlahan.


“Kami boleh naik bas,”Adik Enam menyampuk.


“Sudah pukul sepuluh ini. Pergi solat Isyak dan kemudian tidur awal. Esok kita hendak bangun cepat,”emak mengusap kepala Adik Bongsu yang lena dalam pangkuannya.


“Tolong dukung Tujuh itu. Sudah tertidur di kerusi itu. Baringkannya di atas katil emak,”Abang Kedua mematuhi arahan emak.


Malam itu mereka tinggal lapan orang sahaja dalam rumah tanpa bapa dan Abang Sulung.


Lampu telah dipadamkan. Tetapi Adik Kelima tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya memikirkan tantang bapanya. Apakah yang menyebabkan bapanya tiba-tiba pitam? Emak pula tidak pasti apakah puncanya? Ini kerana bapa kelihatan sihat. Akhirnya , Adik Kelima terlelap.


“Abang Kedua, bangun!” kedengaran suara emak mengejutkan Abang Kedua.
“Kakak! Bangun!”emak mengoncang kaki Kakak. Kakak terjaga.


“Ada apa emak?” Kakak menggosok matanya. Emak memasang lampu bilik.


“Pergi kejutkan adik-adik yang lain,”kata emak dengan suara yang cemas.


Setelah semuanya terjaga, mereka berkumpul di hadapan emak kecuali Adik Tujuh dan Adik Bongsu.


“Bapa kamu sudah meninggal dunia,”kata emak dengan sedih dan tiba-tiba mengalirkan air matnya.


“Innaillahi wainnaillahi rajiun,” Kakak berkata dengan perlahan. Mereka kemudiannya menangis serentak dan memeluk emak. Emak kelihatan tenang meskipun air matanya mengalir deras di pipi. Emak mengesat pipinya dengan tangan.


“Baiklah. Emak hendak kamu bersabar. Sekarang semuanya pergi mandi dan solat Subuh. Kemudian kemas apa-apa yang patut seperti baju untuk di bawa ke kampong. Bapa kamu akan dikebumikan di kampong,”kata emak dalam suara sendunya. Mereka semuanya mengangguk.


“Emak, patutlah malam tadi Adik Lima bermimpi gigi tercabut. Ustaz kata, kalau mimpi gigi tercabut, tandanya ada orang terdekat yang hendak tinggalkan kita,”Adik Lima memeluk emak dan menangis teresak-esak. Emak dan yang lain menangis lagi.


Anak Yatim


“Emak, bapa pakai apa itu?”tanya Adik Tujuh yang merasa hairan melihat bapa terbujur dalam kain putih.


Emak memndiamkan diri. Dipipinya mengalir air mata. Adik Lima mengambil Adik Tujuh dari emak dan memangkunya. Adik Tujuh yang keletah minta dilepaskan. Dia berlari ke arah Abang Sulung yang berada di sisi jenazah bapa.


“Abang, bapa tidurkah?”tanya Adik Tujuh pada Abang Sulung. Semua yang hadir memandang ke arah kedua beradik itu.


‘Kasihan. Anak-anaknya ramai dan masih kecil lagi,”kedengaran suara wanita berkata dengan perlahan. Ramai saudara mara dari sebelah bapa dan juga emak datang menziarahi jenazah bapa. Bapa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampung emak. Mudah bagi kami, adik beradik untuk menziarahi pusara bapa, itu kata emak.


“Apakah penyakit arwah?”tanya seorang wanita tua yang datang meziarahi jenazah bapa pagi itu. Emak menoleh ke arahnya.


“Menurut doktor, dia disahkan ada penyakit darah tinggi,”kata emak dengan suara yang sayu. Wanita itu memegang tangan emak. Mungkin itu caranya untuk memberi semangat kepada emak agar bersabar. Emak memangku adik Bongsu yang sedang tidur.


“Dia mungkin tidak mengenali bapanya. Masih kecil lagi sudah jadi anak yatim,”kata wanita itu sambil mengusap kepala Adik Bongsu yang sedang lena. Emak hanya memandang dengan sayu.


“Sabarlah, Allah menyayangi suami kamu itu. Doakanlah semoga rohnya berada bersama orang-orang yang salih,”tambah wanita itu sambi bersalam dengan emak untuk meminta diri. Emak hanya mengangguk kecil. Mata emak sudah sembab.


“Berapakah anak kamu?”tanya seorang wanita yang seusia dengan emak.


“Semuanya lapan orang,”kata emak dengan perlahan sambil memandang wajah wanita yang berada dihadapannya. Emak melemparkan senyuman kelat.


“Terima kasih kerana datang ziarah,”kata emak lagi dengan nada perlahan.


“Itu anak–anak kamu?”wanita itu menunjuk ke arah Abang Sulung, Abang Kedua, yang duduk di sisi jenazah bapa. Emak mengangguk lemah.


“Ini semua ujian dari Allah. Bersabarlah,”kata wanita itu sambil meminta diri untuk pulang.


“Panggil ahli keluarganya untuk melihat wajah terakhir arwah,”kata Pak Cik Long yang merupakan abang ipar emak. Dia duduk di sisi mayat bapa. Jenazah bapa telah selamat di mandi dan juga dikafankan.


Seorang demi seorang datang melihat wajah bapa bagi kali terakhir. Anak-anak bapa juga dapat melihat dan mencium muka bapa sebelum ditutup. Emak hanya melihat dari jauh. Emak kelhatan tenang sahaja. Sebaik sahaja kami adik beradik selesai melihat wajah bapa, kami menangis teresak-esak. Rasa sebak yang ditahan selama ini terhabur juga. Suasana hening tercemar dengan bunyian tangisan anak-anak kehilangan bapa yang menjadi tempat bergantung dan mendambakan kasih sayangnya. Al-Fatihah untuk bapa!

17.6.07

Aspek Estetika


Dalam menghasilkan karya sastera, estetika adalah ciri yang penting. Kata Dr. Shafie, sasterawan melalui sentuhan hati dan jiwanya melihat keseluruhan kejadian indah yang mencerminkan sifat indahnya Allah. Ketepuan pengalaman estetika ini mahu ditumpahkan ke dalam bahasa secara indah. Oleh itu, pengarang menggunakan berbagai elemen estetik melalui bahasa, baik yang bersifat luaran mahupun yang bersifat dalaman bagi menggambarkan rasa indahnya.Contohnya, seorang penyair akan memindahkan pengalaman estetika yang diilhami baginya melalui lambang bahasa.


Salah satu cara lain, bagi meningkatkan estetika dalam karya adalah dengan menghiasinya dengan pelbagai elemen. Konsep hiasan ini dapat diambil daripada al Quran sebagai prinsip. Dalam surah al-Baqarah, ayat 11, yang bermaksud,


"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya."


Kita boleh mengambil pengajaran ayat ini dari segi seni dan sastera iaitu Allah yang bersifat Maha Indah itu mencipta alam ini begitu indah sebagai manifestasi sifat indah untuk dihayati oleh yang mencintai keindahan, terutama seniman dan penyair. Katanya lagi, pelbagai elemen keindahan yang dicipta Allah. Langit membiru luas berhias dengan planet dan bintang-bintang. Menjadi pedoman bagi mereka dalam pelayaran.

Para saintis ingin mengkaji kerana hendak mengetahui rahsia alam yang tersimpan. Matahari yang bersinar pada siang hari menjadi sumber kehidupan. Laut yang terbentang luas yang menjadi sebahagian dari bumi ini, menjadi perlambangan bagi kehidupan dan rezeki. Rahsia-rahsia alam terpendam yang mencabar untuk diterokai, tenaga kudrat yang bergerak tidak henti-hentinya, tasbih alam yang berterusan dan berbagai-bagai lagi boleh ditafsirkan.


Menurut Dr. Shafie lagi, ayat-ayat al Quran memperlihatkan fenomena ciptaan Allah baik di langit, di darat mahupun di bumi yang menjadi ilham bagi seniman dan sasterawan. Kejadian ciptaan Allah pada hakikat dan hikmat adalah indah. Hal ini dapat dihayati oleh mata seni sasterawan yang sememangnya mempunyai persepsi yang tajam.








16.6.07

Apakah Estetika?

Dalam kamus dewan, estetika bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Sementara itu, menurut Dr. Shafie Abu Bakar, estetika merupakan ciri utama yang membezakan antara sesebuah hasil penulisan sama ada sebuah karya sastera atau tidak.


Katanya lagi, tanpa ciri estetik, ia bukanlah sebuah karya kreatif. Estetika terumus dalam karya sastera hasil dari citra indah hati nurani terhadap alam dan hakikat cipta yang ditumpah ke dalam bahasa yang bersifat estetik. Manakala, dari segi pandangan Islam (Teori Takmilah), bahawa keindahan yang menjadi sumber estetika adalah sifat Allah yang manifestasinya terpancar pada kewujudan yang mencerminkan kesempurnaan Allah.


Menurutnya, seniman termasuk sasterawan yang lebih tajam tanggapan hati nuraninya dalam menanggapi elemen-elemen estetika ini ialah penghayat yang terpesona dengan keindahan ciptaan Ilahi. Pengalaman estetik sedemikian diperturunkan ke dalam karya mereka. Unsur inilah juga yang menarik dan mengesan khalayak membacanya.


Oleh itu, katanya lagi, unsur hati nurani menjadi salah satu unsur yang penting di dalam diri manusia dan unsur ini menjadi lebuh utama dalam berkreatif. Maka dari itu, Islam juga turut menggunakan elemen ini dalam menyampaikan pengajaran dan pendidikan. Ini terbukti, wujudnya cerita-cerita dalam al Quran yang boleh dijadikan contoh teladan bagi umat.


Bahkan katanya, terdapat elemen-elemen puisi di dalamnya, dan lahirnya ilmu balaghah yang mempunyai kaitan rapat dengan unsur estetika, terutama dari aspek bayan dan badi' pada asalnya dari tujuan mengkaji dan menghayati kandungan ayat-ayat al Quran.


(...sambung.. Aspek Estetika...)

15.6.07

Garapan Ilham

Dr. Shafie Abu Bakar berpendapat, garapan ilham adalah satu cetusan awal yang membawa kepada ilham dan penampilannya sebagai karya. Ini termasuklah, aspek-aspek seperti mood, persepsi, sensitiviti, imaginasi, bahan, garapan dan saring hingga ia lahir sebagai sebuah karya.


Tambahnya lagi, pengkarya bolehlah diibaratkan sebagai tapak semaian bagi ilham. Jika tapak semaian itu mempunyai kesuburan tanah keislaman (jiwa dan pemikirannya memang disirami dengan nilai-nilai keislaman), mood, persepsi, sensitiviti dan imaginasinya berorientasikan keislaman. Oleh itu, ilham yang diterimanya dalam keadaan murni dan mengarah kepada yang bersifat keislaman. Allah berkata,


"Orang-orang yang berjuang pada jalan Allah, akan kami tunjuki mereka itu pada jalan-jalan kami itu. Dan sesungguhnya, Allah bersama orang-orang yang memperbuat kebaikan. "(Surah al-Ankabut,ayat 69)


Menurut Dr. Shafie lagi, jika hati seseorang itu tidak disinari dengan cahaya keimanan dan nilai-nilai keimanan, dia tidak akan mengarah kepada keilhaman yang bernilai keislaman.


Oleh itu, pengkarya yang terdidik dengan ilmu dan nilai-nilai keislaman menerima ilham sesuatu yang bernilai keislaman. Hamka seorang tokoh ulama terkenal, menulis karya-karya bernilai keislaman. Bahkan apabila beliau menghasilkan penulisan kreatif seperti cerpen, novel dan puisi, karya-karyanya selaras, malah memperkukuh nilai-nilai keislaman yang mendidik khalayak.


"Tiap-tiap kalam yang tahu membawa corak pakaian yang ia lahir darinya." (Hikam Ibn 'Atai Allah)


Lantaran itu, katanya lagi, orang yang tidak mendalami dalam sesuatu bidang keilmuan juga sastera tidak akan mampu memperkatakan keilmuan dengan baik dan mendalam.


(..sambungan..'Estetika' )

14.6.07

Nilai sastera Islam

Dalam satu kertas kerja tulisan Dr. Shafie Abu Bakar yang bertajuk, Fokus Sastera Islam, menekankan, dalam menghasilkan sesebuah karya sastera Islam, perlu melalui beberapa tahap penyerapan, pemerosesan dan pengadunan melalui diri pengarang sehingga terhasil sebagai sebuah karya yang dihasilkan untuk kelompok pembaca atau sasaran khalayaknya.


Seseorang yang bergelar pengarang hendaklah memperhatikan tahap-tahap tertentu. Garapan yang baik dari tahap-tahap itu memungkin penghasilan karya yang bermutu dari sudut sastera Islam. Bagi pengarang muslim, antaranya yang perlu dititikberatkan adalah,


Nilai


Pengarang muslim hendaklah mempunyai asas-asas ilmu Islam yang merangkumi ilmu akidah, ilmu syariat dan mungkin tasawuf. Individu itu hendaklah mengamal nilai-nilai itu dalam hidupnya terutama pegangan yang teguh dan iman yang kuat kepada Allah serta tingginya akhlak dalam peribadinya. Seorang pengarang muslim juga perlu mempunyai bekalan ilmu lain bagi membantu kefahaman dalam pelbagai aspek hidup bagi mencernakan pandangannya sesuai dengan kehendak Islam. Misalnya, individu itu perlu mempunyai ilmu sastera sebagai alat untuk menghasilkan karya sastera berpandukan kepada a Quran. Karya itu hendaklah terkawal dari segi etik, kaya dari segi estetik dan sempurna dari segi teknik.


Menurut beliau lagi, sasterawan Muslim perlu mengikuti perkembangan ilmu kesusasteraan dan kemanusiaan dengan teori dan kritikan dalam pelbagai cabang untuk meluaskan kefahaman dan menyesuaikannya dengan sastera Islam. Tidak ada bezanya seorang sasterawan Muslim dengan seorang sasterawan lain di dalam mencari ilmu, kecuali seorang Muslim melihat dan menggunakannya dari perspektif keislaman.


Katanya lagi, seorang sasterawan Muslim tidak akan maju berkembang tanpa memperkembangkan dirinya dengan perkembangan ilmu. Contohnya, Imam Syafie seorang ulama yang mencintai ilmu di dalam berbagai bidang termasuklah sastera. Begitu juga dengan Muhammad Iqbal, seroang lulusan peringkat Ph. D dari Universiti Munich (1908) dalam bidang metafizik Islam dan mendalami bidang perpuisian dengan hati dan jiwanya yang berorientasikan Islam. Karya-karyanya mencerminkan jiwa dan perjuangan Islamnya.


Kesimpulannya, pembinaan nilai keislaman dalam diri sasterawan Muslim penting. Tanpanya, sasterawan itu tidak mampu menerapkan nilai-nilai keislaman ke dalam hasil-hasil karyanya. Sasterawan yang mempunyai latar keislaman dan dengan niat yang baik akan dapat menjiwakan karya sasteranya dengan nilai dan kefahaman yang betul serta bercirikan estetik bagi tatapan khalayaknya.


(...sambung.. Garapan Ilham....)

13.6.07

Pembaca perlu kepuasan!

Si Kakak mempunyai adik beradik yang lain berkongsi hobi membaca novel. Setiap bulan, ada sahaja novel baru di beli sama ada novel Melayu atau Inggeris, sebaik sahaja habis membaca, mereka amalkan sistem baxter, jadi tidaklah membebankan bahu si Kakak hendak membeli novel. Adakalanya, si Kakak saling mengingatkan, "Adik jangan beli buku ini, kakak sudah beli, adik belilah buku lain. Nanti kita tukar suka sama sukalah!" Si Adik hanya mengangguk walaupun si Kakak bukannya nampak (sebabnya mereka bercakap melalui telefon bimbit).


Kakak dan adik-adiknya minat membaca semua jenis novel termasuklah novel cinta (ini memang wajib), novel thriller, novel sastera, novel seram dan apa apa aje selagi buku itu bernama novel. Maka setiap kali selepas membaca novel, kakak dan adik-adiknya menjadi pengkritik tidak berbayar.


"Novel ini baguslah, kakak baca dalam dua hari sudah habis! Jalan ceritanya menarik dan watak-wataknya menarik. Sungguh tercabar fikiran membacanya. Asyik yang tidak terkata. Heronya membuat akak tertarik kepadanya. Macam terasa kita berada dalam alam yang digambarkan dalam novel itu. Akak rasa tidak rugi beli novel ini."


"Adik punya bagus juga. Hero dan heroin sungguh mengancam. Macam adik pula bercinta. Sungguh puitis dan romantik ayat-ayat yang tersusun dalam novel itu. Adik rasa, perasaan adik turut terbuai sama. Oh! Alangkah asyiknya kalau adik memainkan peranan watak heroin itu. Beruntungnya badan!" Teruk juga si adik yang menghayati novel cintanya. Ini kiranya sudah kena badi novel tersebut.


"Emmm! Adik rasa membazir je beli novel ini. Entah apa-apa yang ditulisnya. Bahasa kaku dan langsung tiada seni menulis. Rasa adiklah, penulis ini tangkap syok sendiri. Jadi, bukunya terbit dan duit masuk poket. Apa dia ingat, kita beli bukunya itu hendak mengkayakan dirinya sahaja. Kita sebagai pembaca hendak juga ada penghayatan bila membaca, barulah dikatakan novel itu berjaya menambat hati kita! Ini kalau tulisan dan gaya bahasanya hanya sesuai untuik darjah satu je, buat habis boras je! Menyesal beli buku ini. Adik bukannya habis baca pun. Tutup buku bila sudah baca muka surat ke 10. Kakak dan kakak, jangan baca buku ini. Adik ingat nak sedekah je pada tadika dekat rumah kita ini. Harap buku tebal dan harganya mahal pula tu!" mendengus-dengus si adik bongsu sambil menghentak-hentak novel baru yang dipegangnya.


Kakak dan si adik merenung adik bongsu yang sedang masam mencuka. "Kira nasib adik tidak baiklah ini! Mulai hari ini, kita boikot syarikat yang mengeluarkan buku yang tidak bermutu ini. Baik kita renung logo syarikat ini dan sematkan dalam otak kita sepanjang. BIla pergi ke kedai buku, jangan sentuh buku yang ada logo syarikat ini. Ingat!" Masing-masing mengangguk dan merenung tajam ke arah buku yang mempamerkan logo syarikat itu.

12.6.07


Adakah wanita itu gagah?


Dalam sebuah akhbar harian di ruangan sukan , tercetak tajuk, "Wanita makin gagah!" Tersenyum dan mula berfikir, benarkah wanita itu gagah? Apakah yang dimaksudkan dengan gagah? Adakah wanita hendak sama gagahnya dengan kaum lelaki? Itulah persoalan-persoalan yang menerjah di kotak fikiran yang cetek?


Seorang kawan memberi pandangannya, "Apakah kita ini hendak melawan fitrah yang memang sedia ada pada diri kita?"


"Apa maksud awak?"


"Kita ini hendak jadi gagah yang macam mana? Adakah perlu otot-otot kita berketul-ketul macam ahli sukan bina tu, baru dikategorikan sebagai gagah? Bagi akulah, tak perlulah wanita-wanitanya ini menjadi gagah macam tidak feminin lagilah. Jadilah wanita cerdik, penyayang, pendidik yang terbaik, jadi isteri yang solehah, jadi wanita beriman, lemah lembut berbudi bahasa dan lain-lain yang bersangkut paut dengannya."


Kawan lain yang mendengar perbincangan kami menyampuk, "Aku lihat, kaum sejenis kita yang terlibat dalam aktiviti sukan macam sudah bertukar jantina pula. Muka tu sudah tidak ada manisnya sebagai wanita tetapi macam jantan," lasernya mulut kawan saya itu. Saya hanya tersenyum sumbing. Tiba-tiba, datang lagi seorang kawan, kali ini lelaki. Dia ini kalau bab-bab wanita, suka sangatlah hatinya memberi pandangan walaupun tanpa diminta.


"Memang wanita hari ini ramai yang hendak jadi jantan. Aku pun hairan, muka cantik dan comel tiba-tiba hendak jadi ganas. Hendaklah tunjuk hebat dari orang lelaki. Wahai kaum wanita sekalian! Sedarlah diri, bahawa kalau sudah perempuan akan tetap jadi perempuan!" amboi sedapnya mulut si lelaki ini memberi pandangan bernasnya. Aku hanya terpana sebentar, ada benarnya juga kata-katanya.


"Apa faedahnya jika wanita lebih dari lelaki? Cuba jawab!" katanya, lalu memandang kami satu demi satu. Kami menggeleng kepala dan ketawa kecil.


"Dari segi hukum Islam, siapa yang patut jadi ketua keluarga? Dalam adik beradik pula, lelaki atau perempuan yang banyak tanggungjawab terhadap ibu bapa? Siapa yang patut lahirkan anak, perempuan atau lelaki? Dalam masyarakat pula, siapa yang patut jadi pemimpin? Bila akad nikah, kata-kata siapa yang mengatakan nikah itu sah? " Soalan-soalan yang diajukan oleh kawan lelaki itu dalam pelbagai soalan yang sensitif.


Tidak sanggup pula hendak menulisnya di sini. Tetapi kesimpulannya, setuju dengan pendapatnya dan biarlah tidak jadi wanita yang gagah tetapi biarlah gagah dalam mendidik anak, mendapatkan ilmu, mempertahankan maruah diri, memperkasakan iman yang teguh, menguratbesikan kekuatan dalaman bagi menangkis serangan negatif, tabah dan sabar menghadapi ujian dari Allah, gagah dalam menolong orang yang memerlukan dan sebagainya yang sesuai dengan sifat fitrah kaum wanita.

11.6.07

Pandanglah ke Atas!

Dalam dunia yang semakin pelik tapi benar, termasuklah manusia yang juga bersikap ganjil tapi benar. Bila seorang yang kontraktor sanggup melakukan perkara yang terkutuk bagi memuaskan nafsunya sendiri.

Oleh itu, kaum wanita dan juga lelaki berhati-hatilah apabila masuk ke tempat yang peribadi seperti, tandas atau bilik air atau jamban. Dalam bahasa Inggeris, toilet, washroom atau restroom (banyak lagi panggilannya).

Buat masa kini, pastikan setiap kali hendak masuk ke tempat sebegitu, pandang ke atas terlebih dahulu. Mana tahu ada kamera kecil yang akan merakam aksi anda secara percuma. Perbuatan jahat ini sentiasa menjadi satu kegemaran kepada mereka yang sakit jiwa dan mental.

Bayangkan sekiranya hampir dua tahun, kamera sisi di pasang di dalam bilik peribadi itu dan mungkinkah pelbagai aksi yang sudah disaksikan oleh si lanun moden itu! Ini terjadi kepada sekumpulan pelajar wanita yang menyewa di Kuala Lumpur. Tuan punya sering datang ke rumah sewa kerana semata-mata hendak melihat tandas yang dikatakan perlu dijaga supaya kekal baik dan selamat digunakan. Rupa-rupanya, dia memasang cctv atau litar kamera tertutup di tiga-tiga bilik kecil di rumah itu.

Bayangkanlah apakah aksi yang sudah dillihatnya ADUH!!!!! Sungguh memalukan!! Dan kasihanlah adik-adik pelajar itu...Apalah nasib mereka yang malang itu. Meskipun sudah ditangkap orang sewel itu, tapi apakah maruah adik-adik pelajar itu boleh dikembalikan???

Pernah juga terdengar di salah sebuah pusat membeli belah yang gah bangunannya, juga pernah ada cctv dalam bilik sulit itu dan gambar-gambar itu sudahpun di siar dalam internet. Ingatkan perkara ini berlaku ditempat yang gah sahaja tetapi juga di dalam rumah.

OLEH ITU, BERHATI-HATI MASUK BILIK SULIT ITU DAN JANGAN LUPA PANDANG KE ATAS !!!


9.6.07

1. Wanita dengan sifat fitrahnya

Ada orang kata, terutamanya lelakilah (entah betul entah tidak), kaum wanita ini kalau benda-benda remeh temeh atau kecil-kecil, dia akan nampak kesalahan atau kesilapannya. Misalnya, kalau baju itu terkoyak sikit di celah ketiak, bulat matanya memandang. Meskipun terlindung dengan kain tudung yang dipakai. Sementara kaum lelaki pula, benda remeh temeh ini, dia tidak peduli, bak kata orang biasa, tak mainlah! Nak sibuk-sibukkan diri benda leceh ini! Contohnya buat air minum untuk anak? Atau suruh dia menyapu laman rumah, lebih rela basuh kereta dari menyapu habuk! Apakah kaedah atau pandangan sedemikian benar? Baiklah dijawab sendiri, ada benar dan ada juga tidak benarnya.


Misalnya, kaum wanita ini kalau mengemas rumah, termasuklah menyapu, membasuh kain, basuh pinggan dan kerja-kerja yang sinonim dengannya begitu teliti apabila melakukannya. Tetapi kaum lelaki sebaliknya, sambil lewa je janji buat kerja. Ini yang membuat kaum wanita cakap dengan menjeling, "Baik tak payah tolong, tolong buat sepah adalah!"


Tapi bila beri kepada kaum lelaki buat kerja-kerja besar dan nampak di depan mata, dia boleh siap dengan baik dan teliti. Adakah ini boleh dikatakan sifat dan sikap yang berbeza antara lelaki dan wanita? Itulah dia ciptaan Allah, sifat kaum tidak sejenis adalah berbeza. Tapi sekiranya sama pula sifatnya, apa nak jadi? Tidak indahlah hidup ini! (Sendiri tanya, sendiri jawab...sahabat bagaimana pula?)

2. Wanita dan baju

Apabila setiap hari pergi pejabat, kaum wanitalah yang paling cerewet. Tiap-tiap pagi (selepas Subuh, itupun kalau sempat Subuh) mesti garu kepala tidak gatal dulu kerana memikirkan apa yang hendak dipakai. Asyik berfikir dan sempat pula berkhayal sambil menghitung baju yang tergantung berderet di almari mahupun gantungan tambahan di luar almari ala-ala butik itu.

Dialog biasa yang keluar dalam hati, "Semalam aku sudah pakai baju hijau. Minggu lalu aku sudah pakai yang kuning. Dulu semalam aku sudah pakai unggu. Hari ini hari Rabu, apa yang hendak aku pakai?" Sedangkan berderet-deret baju di hadapan dengan bermacam corak, warna dan fesyen.

Akhirnya, si suami merungut kerana bajunya masih belum disediakan kerana si isteri sibuk menghitung baju yang belum dipakai atau yang akan dipakai. Suami geleng kepala lihat kerenah isteri yang berlagak macam model. Suami mengata dalam hati, "Tengok aku ini, pakai baju yang sama atau warna baju yang sama orang lain tidak ambil peduli pun! Paling penting bersih dan ada bau harum!" Suami tersengeh macam kerang bila lihat isteri yang syok sendiri.


3. Lawa baju!

Apabila sampai di pejabat, adalah seorang dua kaum wanita yang menjadi seorang pengkritik baju dan termasuklah tudung. Tiap-tiap hari kerjanya memandang orang lain maksudnya kaum sejenis dialah, pakai tudung atau baju apa hari ini. Apakah tujuannnya, tidaklah diketahui (mungkin kena buat kajian). Bila dia rasa agak pelik corak baju seseorang itu, dia hampiri dengan senyum sumbing.

"Lawa baju awak!" pujinya sambil membelek dan menyentuh baju sipemakai. Mungkin lepas itu senanglah bagi dia hendak buat komentar.


"Lembut kain ini dan coraknya cantik, padanlah dengan kulit awak," Dalam hati si pemakai tertawa besar kerana baju yang dipakai itu adalah baju semasa jadi anak dara dulu yang berusia 10 tahun yang lalu. Nasib baik boleh muat kerana badan masih stabil macam anak dara. Jadi si Tipah tu tertipulah!

8.6.07

Taubat Mu di Terima

Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang bernama Fazil bin Ayaz. Dia adalah seorang ketua kepada sekumpulan perompak. Walaupun dia melakukan kerja-kerja jahat seperti merompak harta orang lain, namun begitu dia tidak melupakan tanggungjawabnya menunaikan sembahyang lima waktu. Dia juga tidak pernah meninggalkan ibadah puasa di bulan Ramadan. Dia hidup dalam keadaan sederhana termasuklah berpakaian yang biasa seperti orang lain.



Pada suatu hari, dia mengetuai kumpulannya menyerang sekumpulan pedagang yang baru pulang dari berniaga. Fazil tidak menyertai serangan itu tetapi dia hanya memerhatikannya dari jauh. Apabila rombongan pedagang itu melihat sekumpulan perompak menuju ke arah mereka, ketua pedagang itu ternampak Fazil yang berdiri tercegat tidak jauh daripada tempat mereka. Ketua pedagang itu menyangkakan bahawa Fazil seorang yang baik berdasarkan air muka dan pakaian yang dipakainya tidak melambangkan dia seorang yang jahat.


Ahli rombongan pedagang yang lain telah berjaya ditawan oleh perompak-perompak itu. Hanya ketua pedagang sahaja yang masih belum ditawan. Oleh itu, ketua pedagang itu segera pergi ke arah Fazil dan bertanya, “Saudara, bolehkah saya minta tolong?”


Fazil hanya mendiamkan diri sahaja.


Ketua pedagang menyambung katanya, “Saya meminta saudara simpankan wang dan harta benda yang saya bawa ini. Kumpulan kami sedang dirompak. Apabila mereka sudah pergi, barulah saya datang mengambilnya semula.”


Fazil tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Dia hanya melihat sahaja. Tetapi ketua pedagang itu tetap memberi barang-barang kepada Fazil supaya disimpan bagi pihaknya.
Apabila orang-orang Fazil selesai merompak kumpulan pedagang itu, mereka pun berkumpul di tempat Fazil menunggu. Sedangkan ketika itu, ketua pedagang itu masih bersama dengan Fazil. Ketua pedagang itu terperanjat kerana tidak menyangka bahawa Fazil adalah ketua perompak. Dia menyesal kerana mempercayai Fazil menjaga harta dan wangnya.


Apabila Fazil melihat wajah ketua dagang yang berubah itu, dia pun berkata dengan lembut, “Jangan bimbang tuan. Oleh kerana tuan mempercayai dan persangka baik dengan saya, tidak sampai hati saya hendak mengambil harta tuan.”


Tiba-tiba muncul seorang tua dengan menaiki seekor unta lalu di hadapan mereka. Semasa melintas di hadapan mereka, orang tua membaca sepotong ayat dari kitab Quran, yang bermaksud, “Orang yang melakukan kejahatan itu masih mempunyai peluang bertaubat dari segala dosa-dosanya itu.”


Fazil terpegun sebentar apabila selesai mendengar ayat Quran itu. Cahaya hidayat sudah meresap ke jiwanya. Jiwanya terusik apabila menghayati ayat itu. Dengan segera dia memanggil kawan-kawannya.


Dia berkata, “Wahai kawan-kawanku! Saya hendak kamu tahu, mulai hari ini saya tidak melakukan kerja-kerja jahat yang dilarang Allah. Sesungguhnya, saya bertaubat kepada Allah dan saya berdoa semoga Allah ampunkan segala dosa-dosaku yang lalu.”


Kemudiannya, Fazil juga menyeru kawan-kawan supaya bersama dengannya meninggalkan kerja-kerja yang tidak baik itu dan mengikutnya ke jalan kebenaran. Tetapi kawan-kawannya enggan. Mereka terus meninggalkan Fazil bersama dengan ketua dagang itu. Mereka tidak mengambil harta yang sudah dirompak itu. Mereka takut dengan Fazil yang sudah bertaubat. Fazil pula meminta maaf kepada ketua dagang dan juga yang lain atas perbuatannya dan kawan-kawannya. Dia memulangkan balik harta rampasan itu kepada mereka.


Namun begitu, ada seorang Yahudi dalam rombongan dagang itu tidak mahu memaafkan Fazil. Dia memberi syarat dan berkata, “Saya boleh memaafkan kamu sekiranya kamu melakukan dua syarat yang saya kenakan nanti.”


Fazil tidak marah malahan dia tersenyum dan bertanya kepada lelaki Yahudi itu, “Apakah syarat-syaratnya?”


Lelaki Yahudi itu tersenyum dan yakin yang Fazil tidak boleh melakukannya nanti. Dia pun berkata, “Syarat pertama, hendaklah kamu alihkan sebuah bukit pasir ke suatu tempat lain.”

Fazil memandang lelaki Yahudi dengan hairan. Tetapi dengan yakin dia menjawab, “Baiklah saya cuba dahulu.”


Fazil menghadapkan dirinya dengan penuh yakin ke arah bukit itu. Tanpa disangka, tiba-tiba berlaku satu tiupan angin kencang yang memindahkan bukit itu ke suatu tempat yang tidak jauh dari situ. Fazil memandang kepada lelaki Yahudi itu dan bertanya, “Apakah syarat kamu yang kedua?”


Fazil melihat lelaki Yahudi mengambil guni besar dan memasukkan tanah liat. Kemudiannya, dia berkata, “Ambil guni ini tetapi saya mahu kamu pulangkan balik guni ini kepada dengan berisikan emas.”


Fazil hanya mengangguk dan dia mengambil guni itu dari lelaki Yahudi. Pada keesokan harinya, Fazil membawa guni itu kepada lelaki Yahudi itu. Lelaki Yahudi tersenyum dan berfikir mustahil Fazil boleh lakukan seperti yang dia suruh.


Alangkah terkejutnya apabila dibuka guni itu kelihatan emas berkelipan. Melihat keajaiban itu, lelaki Yahudi itu lalu sujud di kaki Fazil dan dia berkata, “Saya yakin kamu sudah bertaubat sepenuhnya. Saya sudah membacanya dalam kitab Taurat yang menyatakan iaitu seseorang yang bersungguh bertaubat atas segala kesalahannya boleh dilihat kesungguhannya melalui dua perkara. Iaitu seperti dua syarat yang saya berikan kepada kamu itu. Bagi orang lain, adalah mustahil hendak melakukannya. Tetapi kamu ikhlas. Sesungguhnya, kamu adalah orang yang baik dan mulia.”

7.6.07

Padahnya Cemburu


Adalah dikatakan bahawa sesiapa yang memiliki sifat cemburu yang hattanya digolongkan ke dalam tahap cemburu tercela termasuklah dia dalam keadaan jiwa atau hatinya yang hina lagi menghinakannya! Adapun kiranya jiwa itu tidak dikekang atau dipantau dengan hukum dan peraturan Islam, maka dikhuatirilah jiwa itu akan merana sepanjang hayatnya.


Maka, adalah tidak dihairankan jika sipelakunya itu terjebak dalam kancah kebinasaan. Adalah di sini diberikan beberapa jenis cemburu yang tercela dan terhina adanya;

  • Rasa cemburu sang suami yang terlebih-lebihan terhadap sang isterinya. Akibat dan kesan dari sikap api cemburu yang dashyat itu maka wujudlah api yang marak lalu bolehlah wujudnya rasa buruk sangka yang sungguh berbisa. Sayugialah tiadalah tawar menawar dari sang suami akibat cemburu butanya dan sifat ragu-ragunya tidak boleh dibendung lagi. Maka sang suami, renungkanlah hadis peringatan dari Nabi Muhammad yang tercinta,
"Sesungguhnya ada di antara cemburu yang disukai Allah, dan apa pula cemburu yang dibenci Allah. Cemburu yang disukai Allah adalah cemburu yang disertai keragu-raguan. Sedangkan cemburu yang dibenci Allah adalah cemburu yang tidak disertai keragu-raguan."


  • Maka ini pula diterangkan cemburu sang iseri yang terlebih-lebihan terhadap sang suami. Manakala sifat cemburu yang tidak terkawal itu mengesankan buruk akibatnya kerana menyebabkan sang suami tertanggung dosa sang isteri atas tingkah buru sang isteri yang sering mengadu domba, berdengkian, iri hati, dan diiringi dengan dosa-dosa lain yang tidak terkata senarainya.

Dikatakan juga bahawa cemburu yang digolong tercela itu adalah akibat dari;

  1. Iman yang senipis kulit bawang dan sering lupakan tanggungjawab kepada Allah.


  2. Pengaruh besar dari makhluk terkutuk iaitu syaitan laknatullah.


  3. Di dalam hati ada penyakit umpamanya dengki, hasad dan iri hati.


  4. Akibat sikap sang suami sendiri yang tidak berlaku adil kepada sang isteri-sang isterinya dengan tidak meletakkan hak mereka di tempat yang benarnya. Dan lebih mementingkan perkara-perkara yang kurang penting. (Tahu kahwin tetapi tidak tahu jalankan tanggungjawab. Amboi! hendak seronok aja!).


  5. Sudah tahu ada kekurangan pada dirinya tetapi buat tidak tahu untuk baiki kelemahan itu.


  6. Ini yang terlebih cemburu disebabkan sikap suami yang suka menyebut kelebihan wanita yang tidak ada sangkut paut dengan dirinya di hadapan sangisterinya yang setia.

Maka diperturunkan kaedah-kaedah meredkan keadaan atau menghilang api cemburu yang marak itu;

  1. Insafkan diri dan bertakwalah kepada Allah.


  2. Sentiasa ingat-ingat akan pahala yang diberi Allah apabila sentiasa mengamalkan sikap sabar.


  3. Jauhkan diri daripada tempat-tempat yang boleh membuat diri kita merasa riya dan asyik.


  4. Hendaklah sentiasa berbaik sangka dengan orang lain.


  5. Sentiasalah kita mengingati hari kematian yang tidak tahu bilakah masanya dan juga hari akhirat yang juga kita tidak tahu tarikhnya.


  6. Sentiasalah rajin-rajinkan diri berdoa. Berdoalah dalam apa keadaan jua. Usahlah malas tetapi selalunya berdoa kepada Allah. Allah itu maha mendengar segala permintaan hambanya meskipun di dalam hati,hattanya.

Sekian pesanan dalam era klasik adanya...salam...




6.6.07

Cucu Bandar ke Kampung

Di suatu kampung yang digelar Kampung Sebaru, ada seorang budak bandar yang ingin merasakan bercuti di Kampung Sebaru yang didiami oleh nenek kesayangannya. Neneknya seorang yang rendah dan berketurunan Jawa Tanah Melayu dan dia lebih senang memanggil 'Nyai' walaupun adakalanya lidahnya tergeliat hendak menyebut dengan betul. Kadang-kadang di panggil 'Yai' atau lebih teruk 'ai..ye' tetapi neneknya tetap ceria dengan kehadiran cucu bandarnya yang seperti pelat hendak menyebut perkataan jawa yang mudah itu.

Si cucu bandarnya bukan main gembira tiba di rumah kayu Nyainya. Asyik berlari ke hujung rumah kemudian ke hadapan rumah bagi merasakan irama yang tersendiri hasil hentakan kakinya ke lantai kayu milik rumah Nyanya. Nyainya menggeleng kepala tetapi tidak kisah kerana lantai kayunya masih kukuh lagipun cucunya itu hanya ibarat sekeping papan jasadnya, jadi si Nyai itu tidaklah khuatir. Tidak retak pun lantai kayunya itu. Setelah puas berlari-lari, berhentilah nanti cucu bandarnya itu.

Setelah penat berlari di atas rumah, cucu bandarnya itu bermain di halaman. Pokok rambutan yang rimbun dengan buahnya yang merah menarik minat si cucu bandar itu. Di desaknya Nyainya mengait buah rambutan. Nyai tersenyum dan melayan penuh kasih sayang dengan cucu bandarnya itu. Sebakul rambutan dikumpul dan di bawa ke pangkin yang terletak di pondok beratap nipah. Apa lagi, si cucu bandar meratahnya seorang diri tanpa melihat kanan dan kiri. Kiranya sudah kenyang makan buah rambutan itu sahaja tanpa menyentuh nasi.


Pada waktu malam, selepas makan malam, si cucu bandar mula tidak tentu arah.
“Yai, sakit perut!” Cucu bandar menekan perutnya yang memulas ibarat pusaran anak puting beliung. Mukanya berkerut ibarat orang hendak beranak. Muka pucat seperti ditoreh dengan pisau.


“Makan banyak buah rambutan tadi.” Kata Nyai dengan selamba sambil mengobek sirihnya di pangkin dapur. Nyai mengunyah sirih yang dianggapnya sebagai pencuci mulut selepas makan tadi.

“Adik makan tidak banyak. Mengapakah perut ini begitu sakit?” Cucu bandar masih memegang perutnya dan wajahnya berkerut menahan sakit. Sakit hati juga kerana Nyai bukan tidak endah sahaja.


“Nanti Nyai ambilkan minyak angin.” Nyai berhenti mengobek sirihnya dan bangun dari tempat duduknya lalu menuju ke atas untuk mengambil ubat di biliknya. Si Cucu bandar mengikut langkah Nyainya turut naik takut ditinggalkan seorang diri di ruang dapur yang luas itu. Lampu gasolin pula makin muram..eh! seram dibuatnya.


“Sapukan minyak ini di perut. Ini sudah pukul 9.00 malam. Kamu tidur di bilik Nyai.” Nyai menghulur botol minyak yang berbalut hijau. Cucu bandar mengambilnya dan masuk ke dalam bilik. Di bilik itu hanya ada lampu pelita kecil yang disangkut di dinding. Suasana yang suram membuat dirinya merasa seram sedikit. Tetapi memikirkan perutnya sakit, dia terus membaringkan dirinya di tilam yang sudah disediakan oleh Nyai di sebelah katil bujang dalam bilik itu.



“Mana Nyai ini?” bisik cucu bandar sambil menyapu minyak angin dengan banyak di perutnya. Nyai masih belum masuk ke dalam bilik. Cucu bandar merasa dia telah berada terlalu lama di bilik itu.



“Sudah tidur?” Nyai membuka pintu bilik.



“Belum,” Cucu bandar bersuara untuk menjawab pertanyaan Nyainya. Hati merasa lega kerana Nyainya sudah masuk ke bilik.



“Sudah disapu minyak di perut itu?” Nyai mendekatinya.



“Sudah. Rasa lega sedikit. Terima kasih Nyai.” Cucu bandar tersenyum meskipun dia yakin Nyainya bukannya nampak dalam cahaya yang suram itu.



“Tidurlah. Sudah lewat malam ini.” Nyai membaringkan diri di atas katil bujang di sebelah baringan cucu bandar.



Cucu bandar memejamkan matanya. Namun dia tidak boleh tidur. Dilihatnya Nyai, dalam cahaya yang samar. Orang tua itu tidak bergerak. “Mungkin Nyai sudah lena,” bisiknya dalam hati. Akhirnya Cucu Bandar terlelap.



“Nyai!” Cucu Bandar menekan perutnya. Perutnya terasa sakit kembali.



“Nyai! Hhendak buang air.” Cucu bandar berbisik perlahan sambil tangannya menyentuh bahu kanan Nyai. Namun Nyai tidak bergerak.



“Nyai!” Cucu bandar keraskan suaranya.



“Ya. Hendak apa?” Nyai memandang cucunya yang sudah duduk di sisinya.



“Sakit perut. Hendak buang air.”



“Pergilah di dapur. Tidak ada orang .” ujar Nyai sambil menggosok matanya.



“Bukan hendak buang air kecil tetapi hendak buang air besar.” Cucu bandar menekan perutnya yang semakin senak dan rasa hendak terburai. “Nyai tolong temankan. Takut, di luar itu gelap.”



“Baiklah.” Nyai bangun dari katilnya. Nyai membuka pintu bilik sambil mengambil lampu suluh yang diletakknya di tepi dinding. Cucu bandar mengikut Nyainya dari belakang.



“Ya..i.., takutlah. Jauh sangat jamban ini.” Cucu Bandar mengikut langkah Nyai dengan berhati-hati. Dalam otaknya terbayang, pacat kecil dikatakan suka menghisap darah. Eee! gelinya. Dia mengikut Nyai merentasi semak kecil yang terdapat di hadapannya. Perlahan-lahan diredah tetapi matanya tidak dapat menangkap jalan di hadapan kerana gelap dan suram.



“Sekejap lagi sampailah. Janganlah takut. Nyai ada lampu suluh. Tidaklah gelap. Lagipun, bulan sedang mengambang.” Nyai menunjuk ke arah langit.



Apabila mendengar Nyai menyebut bulan mengambang, bulu romanya tiba-tiba meremang. Terasa dingin sekali menyapa tubuhnya.



“Sudah sampai. Pergilah masuk ke dalam.” Nyai menunjukkan jamban yang dibuat dari kayu dan terletak di tengah-tengah semak. Tanpa lengah terus masuk ke dalam.



“Nya..i!” Cucu Bandar menjerit kecil.

“Apa dia?”

“Mana ada air dalam jamban ini?”

“Memang tidak ada. Balik rumah nanti basuhlah!’ Nyai tersenyum sambil menunjukkan giginya yang jarang.


“Ah!” Cucu Bandar menjerit kecil.

2.6.07

Saya ini feminin!

Beberapa tahun yang lalu saya memang rapat dengan seorang rakan ini. Sama-sama belajar dan kemudiannya berpisah kerana masing-masing sibuk dengan amanah kerjaya masing-masing. Rakan saya ini suka mengkritik orang lain tetapi dia pula tidak suka orang mengkritiknya. Pelikkan tapi itu benar. Itulah manusia, suka menghentam orang lain tetapi sukar untuk menerima apabila diri dihentam. Kelemahan manusia dan dia tidak bersifat sempurna. Tipulah seseorang itu kalau mengaku dirinya sesempurna dan sebaik Nabi Muhammad.


Pada suatu hari, saya bertemu dengannya di suatu tempat yang dijanjikan. Saya suka bertemu dengan rakan-rakan meskipun tidak sekepala dengan mereka. Nama juga manusia, jadi pelbagailah ragamnya. Rakan saya ini nampak sahaja seperti pendiam tetapi jika di dalam alam siber, dialah orangnya yang berani mengutuk, mengata, mengkritik, menunjuk pandai, serba tahu, dan banyak lagilah yang boleh menonjolkan dirinya hebat di alam siber.


Macamana saya tahu? Sebab dia yang bagi tahu pada saya! Kalau jumpa, tiada lagi ceritanya mengenainya kehebatannya melayari alam siber yang tanpa sempadan itu. Habis diredahnya, kawasan tempatan dan juga antarabangsa. Dari bahasa Jawa-Melayu hinggalah bahasa peringkat antarabangsa, dia tunjuk kehebatannya! Saya yang ketika itu tidak pernah melayari Internet kerana sibuk kerja lebih lapan jam sehari dan asyik out-station tanpa henti dan jarang sekali mengambil cuti atau pun cuti terkejut (mc lah tu), dan paling teruk bila doktor hendak bagi cuti, saya tolak dengan alasan, "siapa pula yang hendak buat kerja saya tu?" Doktor pun geleng kepala dan garu kepalanya yang semakin beruban. Akhirnya, ubatlah peneman saya supaya sentiasa segar dan sihat.


Jadi bila rakan saya ini cerita pasal Internet, saya hanya terlopong mendengarnya. Saya kalau usik pc pun kerana hendak menulis skrip yang perlu disiapkan. Ada kalanya sampai larut malam, memikirkan ayat-ayat yang perlu disusun dengan baik dan menarik serta tidak merepek-repek. Dalam fikiran, langsung tidak berminat hendak melayari Internet kerana bagi saya buang masa. Ini kerana, masa itu saya kena buat duit dulu.


Berbalik kepada rakan saya itu, apabila berjumpa dialah orangnya yang banyak berbual berbanding saya. Saya malas hendak menyampuk tapi kalau menyampuk pun bagi membetulkan fakta-faktanya yang tidak tepat. Tetapi lepas itu, dia pulun seorang diri bercakap. Saya hanya menampung dagu saya supaya tidak jatuh. Letih juga telinga ini mendengar dia bercerita dari satu ke satu cerita tentang kehebatannya dalam dunia siber. Air yang diminum pun sudah kering tapi makanan tidak juga di order. Tekak sudah kering dan perut sudah lapar. "Dia ini hendak belanja aku atau tidak?" itu bisikan hatiku sahaja. Akhirnya saya pesan makanan untuk diri sendiri, dia pula tidak memesan kerana jaga badan. Dalam hati ku, "Jaga badan atau kedekut hendak belanja?" jahatnya saya mengutuk rakan dalam hati.


"Saya ini feminin sikit," tiba-tiba dia berkata demikian. Hampir tersedak saya yang sedang mengunyah nasi beriani ayam (tapi taklah gam) dan nasib baik tidak tersembur. Apakah dia tahu makna feminin itu? Tapi saya tidak lontarkan soalan itu. Seperti yang saya katakan tadi, dia yang banyak bercakap dari saya. Jadi saya diamkan saja.


"Saya pantang kalau orang lelaki tidak hormat dengan saya!" katanya tiba-tiba suaranya yang lembut itu, tinggi pula nadanya. Mengalahkah suara Siti Nurhaliza bila nada tingginya bergema. Nasib baiklah tidak bergegar meja kedai mamak itu. (Eh! lebih-lebih pula saya...) Akhirnya saya bersuara setelah melihat rakan saya ini macam dia seorang yang berhak bersuara. Dia belum dengar lagi saya bersuara!


"Baiklah, kalau awak itu feminin, kenapa perangai awak tidak feminin? Dan awak tahu tak apa makna feminin? Jadi selama ini awak kurang femininlah?" tembak saya bertalu-talu kepada kawan saya itu dengan soalan-soalan yang berputar-putar itu. Saya lihat mukanya berubah dari putih jadi merah jambu. Bukan niat saya hendak menjatuhkan sifat femininnya tapi bagi saya macam tidak kena caranya. Cara dia bercakap bertentangan dengan sifat feminin yang dia pertahankan itu.


Apa itu feminin? Feminin itu maknanya bersifat perempuan. Dan memanglah, dia dan saya ini seorang perempuan. Jadi mengapa dia kata, "saya ni feminin sikit." Apa selama ini, dia bukan bersifat perempuankah? Dan saya ini bukan perempuankah bila dia ajukan ayat itu kepada saya. Saya menggeleng kepala. Rakan saya itu cakap banyak tetapi dia tidak tahu apa yang dia cakap? Itulah akibatnya kalau banyak bercakap tetapi tidak ada isi kerana sebab apa? Antaranya sebabnya kurang membaca, kurang menerima pandangan orang lain, kurang hormat orang yang berpengalaman, kurang menginsafi diri yang terkurang itu tetapi mengaku terlebih dari orang lain. Tidak jujur dalam hubungan, suka menunjuk diri hebat tetapi bila berhadapan dengan orang yang dia selalu kritik itu, gementar pula dan tidak terkata, kelu hendak berkata-kata.


Moralnya di sini, peringatan bagi diri sendiri (sayalah tu!) janganlah tunjuk berani tidak bertempat. Jika hendak kritik, hendaklah yang membina bukan sebaliknya membentuk satu hubungan yang tidak baik sampai bergaduh kerana orang itu tidak terima kritikannya. Seperti menegak benang yang basahlah (eh betul ke pepatah ini?). Berbuallah dengan jujur dan ikhlas, bukan sembunyi-sembunyi fakta yang betul atau suka reka cerita yang syok sendiri. Mula-mula orang boleh terima, tetapi selepas itu mungkin orang sudah benci dan perlahan-lahan menjauhkan diri dari kita. Orang mengganggap kita sebagai lalang tidak boleh didekati dan dipercayai kerana sikap kita yang tidak konsisten (faham tak makna ni...carilah dalam kamus!)


Rakan saya itu terdiam bila dia dengar nada tinggi dan rendah suara saya. Saya ini jenis kalau cakap suka terang-terang tidak mahu belakang-belakang. Tapi saya sebelum bercakap saya berfikir dahulu. Takut kata-kata saya itu memakan diri sendiri. Dalam keadan lain pula, bila saya tahu jenis orang yang sukar terima pandangan, ada kalanya saya diam sahaja. Buat habis beras sahaja dengan orang jenis ini. Bukannya dia hendak dengar cakap kita, kerana dia sudah ada jawapannya iaitu tidak boleh terima apa yang hendak kita katakan. Akhirnya, rakan saya sejak hari itu dia tidak mahu lagi mengajak saya berbual. Mungkin sudah nasib badan saya atau mungkin kata-kata feminin saya itu membuatnya diam seribu bahasa. Mudah-mudahan dia terimalah apa yang saya katakan. Dan saya tidak kata, yang kata-kata saya itu benar. Kita ini manusia (manusia lagi!) yang sentiasa ada kesilapan. Suka hati dialah sama ada hendak terima atau tidak, yang penting saya sudah sampaikan apa yang saya tahu.


Bagi saya, semua wanita itu adalah feminin. Tapi bila sebut feminis atau feminisme lain pula maknanya. Itu kita boleh bincang di lain hari...