6.6.07

Cucu Bandar ke Kampung

Di suatu kampung yang digelar Kampung Sebaru, ada seorang budak bandar yang ingin merasakan bercuti di Kampung Sebaru yang didiami oleh nenek kesayangannya. Neneknya seorang yang rendah dan berketurunan Jawa Tanah Melayu dan dia lebih senang memanggil 'Nyai' walaupun adakalanya lidahnya tergeliat hendak menyebut dengan betul. Kadang-kadang di panggil 'Yai' atau lebih teruk 'ai..ye' tetapi neneknya tetap ceria dengan kehadiran cucu bandarnya yang seperti pelat hendak menyebut perkataan jawa yang mudah itu.

Si cucu bandarnya bukan main gembira tiba di rumah kayu Nyainya. Asyik berlari ke hujung rumah kemudian ke hadapan rumah bagi merasakan irama yang tersendiri hasil hentakan kakinya ke lantai kayu milik rumah Nyanya. Nyainya menggeleng kepala tetapi tidak kisah kerana lantai kayunya masih kukuh lagipun cucunya itu hanya ibarat sekeping papan jasadnya, jadi si Nyai itu tidaklah khuatir. Tidak retak pun lantai kayunya itu. Setelah puas berlari-lari, berhentilah nanti cucu bandarnya itu.

Setelah penat berlari di atas rumah, cucu bandarnya itu bermain di halaman. Pokok rambutan yang rimbun dengan buahnya yang merah menarik minat si cucu bandar itu. Di desaknya Nyainya mengait buah rambutan. Nyai tersenyum dan melayan penuh kasih sayang dengan cucu bandarnya itu. Sebakul rambutan dikumpul dan di bawa ke pangkin yang terletak di pondok beratap nipah. Apa lagi, si cucu bandar meratahnya seorang diri tanpa melihat kanan dan kiri. Kiranya sudah kenyang makan buah rambutan itu sahaja tanpa menyentuh nasi.


Pada waktu malam, selepas makan malam, si cucu bandar mula tidak tentu arah.
“Yai, sakit perut!” Cucu bandar menekan perutnya yang memulas ibarat pusaran anak puting beliung. Mukanya berkerut ibarat orang hendak beranak. Muka pucat seperti ditoreh dengan pisau.


“Makan banyak buah rambutan tadi.” Kata Nyai dengan selamba sambil mengobek sirihnya di pangkin dapur. Nyai mengunyah sirih yang dianggapnya sebagai pencuci mulut selepas makan tadi.

“Adik makan tidak banyak. Mengapakah perut ini begitu sakit?” Cucu bandar masih memegang perutnya dan wajahnya berkerut menahan sakit. Sakit hati juga kerana Nyai bukan tidak endah sahaja.


“Nanti Nyai ambilkan minyak angin.” Nyai berhenti mengobek sirihnya dan bangun dari tempat duduknya lalu menuju ke atas untuk mengambil ubat di biliknya. Si Cucu bandar mengikut langkah Nyainya turut naik takut ditinggalkan seorang diri di ruang dapur yang luas itu. Lampu gasolin pula makin muram..eh! seram dibuatnya.


“Sapukan minyak ini di perut. Ini sudah pukul 9.00 malam. Kamu tidur di bilik Nyai.” Nyai menghulur botol minyak yang berbalut hijau. Cucu bandar mengambilnya dan masuk ke dalam bilik. Di bilik itu hanya ada lampu pelita kecil yang disangkut di dinding. Suasana yang suram membuat dirinya merasa seram sedikit. Tetapi memikirkan perutnya sakit, dia terus membaringkan dirinya di tilam yang sudah disediakan oleh Nyai di sebelah katil bujang dalam bilik itu.



“Mana Nyai ini?” bisik cucu bandar sambil menyapu minyak angin dengan banyak di perutnya. Nyai masih belum masuk ke dalam bilik. Cucu bandar merasa dia telah berada terlalu lama di bilik itu.



“Sudah tidur?” Nyai membuka pintu bilik.



“Belum,” Cucu bandar bersuara untuk menjawab pertanyaan Nyainya. Hati merasa lega kerana Nyainya sudah masuk ke bilik.



“Sudah disapu minyak di perut itu?” Nyai mendekatinya.



“Sudah. Rasa lega sedikit. Terima kasih Nyai.” Cucu bandar tersenyum meskipun dia yakin Nyainya bukannya nampak dalam cahaya yang suram itu.



“Tidurlah. Sudah lewat malam ini.” Nyai membaringkan diri di atas katil bujang di sebelah baringan cucu bandar.



Cucu bandar memejamkan matanya. Namun dia tidak boleh tidur. Dilihatnya Nyai, dalam cahaya yang samar. Orang tua itu tidak bergerak. “Mungkin Nyai sudah lena,” bisiknya dalam hati. Akhirnya Cucu Bandar terlelap.



“Nyai!” Cucu Bandar menekan perutnya. Perutnya terasa sakit kembali.



“Nyai! Hhendak buang air.” Cucu bandar berbisik perlahan sambil tangannya menyentuh bahu kanan Nyai. Namun Nyai tidak bergerak.



“Nyai!” Cucu bandar keraskan suaranya.



“Ya. Hendak apa?” Nyai memandang cucunya yang sudah duduk di sisinya.



“Sakit perut. Hendak buang air.”



“Pergilah di dapur. Tidak ada orang .” ujar Nyai sambil menggosok matanya.



“Bukan hendak buang air kecil tetapi hendak buang air besar.” Cucu bandar menekan perutnya yang semakin senak dan rasa hendak terburai. “Nyai tolong temankan. Takut, di luar itu gelap.”



“Baiklah.” Nyai bangun dari katilnya. Nyai membuka pintu bilik sambil mengambil lampu suluh yang diletakknya di tepi dinding. Cucu bandar mengikut Nyainya dari belakang.



“Ya..i.., takutlah. Jauh sangat jamban ini.” Cucu Bandar mengikut langkah Nyai dengan berhati-hati. Dalam otaknya terbayang, pacat kecil dikatakan suka menghisap darah. Eee! gelinya. Dia mengikut Nyai merentasi semak kecil yang terdapat di hadapannya. Perlahan-lahan diredah tetapi matanya tidak dapat menangkap jalan di hadapan kerana gelap dan suram.



“Sekejap lagi sampailah. Janganlah takut. Nyai ada lampu suluh. Tidaklah gelap. Lagipun, bulan sedang mengambang.” Nyai menunjuk ke arah langit.



Apabila mendengar Nyai menyebut bulan mengambang, bulu romanya tiba-tiba meremang. Terasa dingin sekali menyapa tubuhnya.



“Sudah sampai. Pergilah masuk ke dalam.” Nyai menunjukkan jamban yang dibuat dari kayu dan terletak di tengah-tengah semak. Tanpa lengah terus masuk ke dalam.



“Nya..i!” Cucu Bandar menjerit kecil.

“Apa dia?”

“Mana ada air dalam jamban ini?”

“Memang tidak ada. Balik rumah nanti basuhlah!’ Nyai tersenyum sambil menunjukkan giginya yang jarang.


“Ah!” Cucu Bandar menjerit kecil.

No comments: