Showing posts with label Cerita Insan. Show all posts
Showing posts with label Cerita Insan. Show all posts

13.6.07

Pembaca perlu kepuasan!

Si Kakak mempunyai adik beradik yang lain berkongsi hobi membaca novel. Setiap bulan, ada sahaja novel baru di beli sama ada novel Melayu atau Inggeris, sebaik sahaja habis membaca, mereka amalkan sistem baxter, jadi tidaklah membebankan bahu si Kakak hendak membeli novel. Adakalanya, si Kakak saling mengingatkan, "Adik jangan beli buku ini, kakak sudah beli, adik belilah buku lain. Nanti kita tukar suka sama sukalah!" Si Adik hanya mengangguk walaupun si Kakak bukannya nampak (sebabnya mereka bercakap melalui telefon bimbit).


Kakak dan adik-adiknya minat membaca semua jenis novel termasuklah novel cinta (ini memang wajib), novel thriller, novel sastera, novel seram dan apa apa aje selagi buku itu bernama novel. Maka setiap kali selepas membaca novel, kakak dan adik-adiknya menjadi pengkritik tidak berbayar.


"Novel ini baguslah, kakak baca dalam dua hari sudah habis! Jalan ceritanya menarik dan watak-wataknya menarik. Sungguh tercabar fikiran membacanya. Asyik yang tidak terkata. Heronya membuat akak tertarik kepadanya. Macam terasa kita berada dalam alam yang digambarkan dalam novel itu. Akak rasa tidak rugi beli novel ini."


"Adik punya bagus juga. Hero dan heroin sungguh mengancam. Macam adik pula bercinta. Sungguh puitis dan romantik ayat-ayat yang tersusun dalam novel itu. Adik rasa, perasaan adik turut terbuai sama. Oh! Alangkah asyiknya kalau adik memainkan peranan watak heroin itu. Beruntungnya badan!" Teruk juga si adik yang menghayati novel cintanya. Ini kiranya sudah kena badi novel tersebut.


"Emmm! Adik rasa membazir je beli novel ini. Entah apa-apa yang ditulisnya. Bahasa kaku dan langsung tiada seni menulis. Rasa adiklah, penulis ini tangkap syok sendiri. Jadi, bukunya terbit dan duit masuk poket. Apa dia ingat, kita beli bukunya itu hendak mengkayakan dirinya sahaja. Kita sebagai pembaca hendak juga ada penghayatan bila membaca, barulah dikatakan novel itu berjaya menambat hati kita! Ini kalau tulisan dan gaya bahasanya hanya sesuai untuik darjah satu je, buat habis boras je! Menyesal beli buku ini. Adik bukannya habis baca pun. Tutup buku bila sudah baca muka surat ke 10. Kakak dan kakak, jangan baca buku ini. Adik ingat nak sedekah je pada tadika dekat rumah kita ini. Harap buku tebal dan harganya mahal pula tu!" mendengus-dengus si adik bongsu sambil menghentak-hentak novel baru yang dipegangnya.


Kakak dan si adik merenung adik bongsu yang sedang masam mencuka. "Kira nasib adik tidak baiklah ini! Mulai hari ini, kita boikot syarikat yang mengeluarkan buku yang tidak bermutu ini. Baik kita renung logo syarikat ini dan sematkan dalam otak kita sepanjang. BIla pergi ke kedai buku, jangan sentuh buku yang ada logo syarikat ini. Ingat!" Masing-masing mengangguk dan merenung tajam ke arah buku yang mempamerkan logo syarikat itu.

6.6.07

Cucu Bandar ke Kampung

Di suatu kampung yang digelar Kampung Sebaru, ada seorang budak bandar yang ingin merasakan bercuti di Kampung Sebaru yang didiami oleh nenek kesayangannya. Neneknya seorang yang rendah dan berketurunan Jawa Tanah Melayu dan dia lebih senang memanggil 'Nyai' walaupun adakalanya lidahnya tergeliat hendak menyebut dengan betul. Kadang-kadang di panggil 'Yai' atau lebih teruk 'ai..ye' tetapi neneknya tetap ceria dengan kehadiran cucu bandarnya yang seperti pelat hendak menyebut perkataan jawa yang mudah itu.

Si cucu bandarnya bukan main gembira tiba di rumah kayu Nyainya. Asyik berlari ke hujung rumah kemudian ke hadapan rumah bagi merasakan irama yang tersendiri hasil hentakan kakinya ke lantai kayu milik rumah Nyanya. Nyainya menggeleng kepala tetapi tidak kisah kerana lantai kayunya masih kukuh lagipun cucunya itu hanya ibarat sekeping papan jasadnya, jadi si Nyai itu tidaklah khuatir. Tidak retak pun lantai kayunya itu. Setelah puas berlari-lari, berhentilah nanti cucu bandarnya itu.

Setelah penat berlari di atas rumah, cucu bandarnya itu bermain di halaman. Pokok rambutan yang rimbun dengan buahnya yang merah menarik minat si cucu bandar itu. Di desaknya Nyainya mengait buah rambutan. Nyai tersenyum dan melayan penuh kasih sayang dengan cucu bandarnya itu. Sebakul rambutan dikumpul dan di bawa ke pangkin yang terletak di pondok beratap nipah. Apa lagi, si cucu bandar meratahnya seorang diri tanpa melihat kanan dan kiri. Kiranya sudah kenyang makan buah rambutan itu sahaja tanpa menyentuh nasi.


Pada waktu malam, selepas makan malam, si cucu bandar mula tidak tentu arah.
“Yai, sakit perut!” Cucu bandar menekan perutnya yang memulas ibarat pusaran anak puting beliung. Mukanya berkerut ibarat orang hendak beranak. Muka pucat seperti ditoreh dengan pisau.


“Makan banyak buah rambutan tadi.” Kata Nyai dengan selamba sambil mengobek sirihnya di pangkin dapur. Nyai mengunyah sirih yang dianggapnya sebagai pencuci mulut selepas makan tadi.

“Adik makan tidak banyak. Mengapakah perut ini begitu sakit?” Cucu bandar masih memegang perutnya dan wajahnya berkerut menahan sakit. Sakit hati juga kerana Nyai bukan tidak endah sahaja.


“Nanti Nyai ambilkan minyak angin.” Nyai berhenti mengobek sirihnya dan bangun dari tempat duduknya lalu menuju ke atas untuk mengambil ubat di biliknya. Si Cucu bandar mengikut langkah Nyainya turut naik takut ditinggalkan seorang diri di ruang dapur yang luas itu. Lampu gasolin pula makin muram..eh! seram dibuatnya.


“Sapukan minyak ini di perut. Ini sudah pukul 9.00 malam. Kamu tidur di bilik Nyai.” Nyai menghulur botol minyak yang berbalut hijau. Cucu bandar mengambilnya dan masuk ke dalam bilik. Di bilik itu hanya ada lampu pelita kecil yang disangkut di dinding. Suasana yang suram membuat dirinya merasa seram sedikit. Tetapi memikirkan perutnya sakit, dia terus membaringkan dirinya di tilam yang sudah disediakan oleh Nyai di sebelah katil bujang dalam bilik itu.



“Mana Nyai ini?” bisik cucu bandar sambil menyapu minyak angin dengan banyak di perutnya. Nyai masih belum masuk ke dalam bilik. Cucu bandar merasa dia telah berada terlalu lama di bilik itu.



“Sudah tidur?” Nyai membuka pintu bilik.



“Belum,” Cucu bandar bersuara untuk menjawab pertanyaan Nyainya. Hati merasa lega kerana Nyainya sudah masuk ke bilik.



“Sudah disapu minyak di perut itu?” Nyai mendekatinya.



“Sudah. Rasa lega sedikit. Terima kasih Nyai.” Cucu bandar tersenyum meskipun dia yakin Nyainya bukannya nampak dalam cahaya yang suram itu.



“Tidurlah. Sudah lewat malam ini.” Nyai membaringkan diri di atas katil bujang di sebelah baringan cucu bandar.



Cucu bandar memejamkan matanya. Namun dia tidak boleh tidur. Dilihatnya Nyai, dalam cahaya yang samar. Orang tua itu tidak bergerak. “Mungkin Nyai sudah lena,” bisiknya dalam hati. Akhirnya Cucu Bandar terlelap.



“Nyai!” Cucu Bandar menekan perutnya. Perutnya terasa sakit kembali.



“Nyai! Hhendak buang air.” Cucu bandar berbisik perlahan sambil tangannya menyentuh bahu kanan Nyai. Namun Nyai tidak bergerak.



“Nyai!” Cucu bandar keraskan suaranya.



“Ya. Hendak apa?” Nyai memandang cucunya yang sudah duduk di sisinya.



“Sakit perut. Hendak buang air.”



“Pergilah di dapur. Tidak ada orang .” ujar Nyai sambil menggosok matanya.



“Bukan hendak buang air kecil tetapi hendak buang air besar.” Cucu bandar menekan perutnya yang semakin senak dan rasa hendak terburai. “Nyai tolong temankan. Takut, di luar itu gelap.”



“Baiklah.” Nyai bangun dari katilnya. Nyai membuka pintu bilik sambil mengambil lampu suluh yang diletakknya di tepi dinding. Cucu bandar mengikut Nyainya dari belakang.



“Ya..i.., takutlah. Jauh sangat jamban ini.” Cucu Bandar mengikut langkah Nyai dengan berhati-hati. Dalam otaknya terbayang, pacat kecil dikatakan suka menghisap darah. Eee! gelinya. Dia mengikut Nyai merentasi semak kecil yang terdapat di hadapannya. Perlahan-lahan diredah tetapi matanya tidak dapat menangkap jalan di hadapan kerana gelap dan suram.



“Sekejap lagi sampailah. Janganlah takut. Nyai ada lampu suluh. Tidaklah gelap. Lagipun, bulan sedang mengambang.” Nyai menunjuk ke arah langit.



Apabila mendengar Nyai menyebut bulan mengambang, bulu romanya tiba-tiba meremang. Terasa dingin sekali menyapa tubuhnya.



“Sudah sampai. Pergilah masuk ke dalam.” Nyai menunjukkan jamban yang dibuat dari kayu dan terletak di tengah-tengah semak. Tanpa lengah terus masuk ke dalam.



“Nya..i!” Cucu Bandar menjerit kecil.

“Apa dia?”

“Mana ada air dalam jamban ini?”

“Memang tidak ada. Balik rumah nanti basuhlah!’ Nyai tersenyum sambil menunjukkan giginya yang jarang.


“Ah!” Cucu Bandar menjerit kecil.

20.5.07

Rejab meninggalkan Muharam

Isnin lalu Rejab yang merupakan adik angkat dan kawan Muharam tidak masuk ke dalam rumahku seperti biasa untuk makan bersama Muharam. Hatiku menjadi resah, kerana selalunya Rejab pantang mendengar pintu kayu rumah ku di buka, pasti dia yang akan terjah dahulu dari Muharam.

Muharam pun masuk ke dalam rumah tanpa Rejab. Aku tidak ambil pusing ketika itu, mungkin si Rejab berjalan-jalan atau pun di ambil orang lain. Ini kerana, kesan dari makanan yang aku berikan selalu yang penuh dengan vitamin, sesuai untuk kucing makan, Si Rejab mempunyai bulu yang cantik dan gebu. Namun masuk hari Selasa, Rejab tidak juga datang.


Muharam sudah seperti orang putus kasih. Dia sudah tidak selera hendak makan seperti selalu. Ini kerana kebiasaannya dia makan berebut-rebut dengan adik angkatnya. Aku juga semakin gelisah dan gundah gulana kerana melihat Muharam termenung dan makin monyok. Lihat betapa seekor binatang juga mempunyai perasaan cumanya dia tidak tahu bercakap je. (Kalau Muharam tahu bercakap sudah tentu saya tanya mengapa dan apa yang terjadi kepada Rejab..teringat Nabi Sulaiman yang boleh bercakap dengan binatang.)

Akhirnya, aku mendengar berita yang sungguh sedih, Si Rejab mati dilanggar oleh kenderaan. Tidak tahulah sama ada motor, kereta atau lori. Berita itu aku sambut dengan rasa sedih dan memeluk Muharam yang sudah pasti tambah sedih.

Muharam tidak tentu arah, seleranya sudah tiada. Sudah dua hari dia tidak mahu makan. Kepalaku semakin pening dan hatiku semakin rungsing mengenangkan nasib Muharam yang kehilangan adik dan juga sahabat karib. Buktinya, lihatlah gambar-gambar yang sempat aku rakamkan begitu akrab dan mesranya mereka berdua. Itulah kasih sayang antara binatang. Apatah lagi kita manusia, jika kehilangan seseorang atau putus cinta, lagi teruk!

Aku memikirkan strategi supaya Muharam hendak makan. Aku bimbang, badannya yang berat hampir 4 kilo itu nanti turun mendadak. Aku tidak mahu dia kelihatan seperti tiada tuan. Akhirnya, aku bagi makan ayam goreng dan juga ikan lampan goreng. Amboi! Bukan main berselera ibarat dia tidak makan 10 hari. Tapi itu hanya sehari sahaja aku bagi makan seperti itu sebagai memujuk hatinya yang sedang rawan.

Kini Muharam banyak termenung kerana tiada kawan hendak bermain. Kucing-kucing lain yang berkeliaran mengikut Muharam tidak serasi untuk dijadikan kawan. Sukar mencari pengganti Rejab. Tetapi Muharam tetap menjalani aktiviti hariannya menjadi pemburu- memburu cicak, lipas, cicak kubing, anak biawak dan anak ular.

Muharam! Muharam! Aku doakan supaya hatimu tenteram dan bahagia semula!

16.5.07


Kenangan Bersama Guru


Semasa bersekolah rendah di pinggir ibu kota, aku berjalan kaki. Subuh masih belum merangkak fajar, aku dan kawan-kawan melangkah dalam kegelapan pagi yang pekat. Kami meredah waktu pagi beramai-ramai, sambil mulut berceloteh dan kepoh sebentar kerana masing-masing hendak bercerita yang berlaku semalam di rumah masing-masing. Aku yang bersifat pendiam ketika itu, leka melihat dan mendengar kata-kata kawanku, terutama Si Normah bercerita. Mulutnya becok mengalahkan ayam betina yang aku pelihara. Tapi, disebabkan dialah yang menjadi radio bergerak kami, terpaksalah menadah telinga mendengar. Nanti kecil hati dia pula. Tidak pasal-pasal kena pujuk. Si Normah kalau sudah merajuk mengalahkan orang yang berkahwin seperti suami kena pujuk isteri. Membentak-bentak minta dirayu, tidak padan dengan saiz badan kecil tapi kalau sudah merajuk, masyaallah bergegar jalanraya!

Tanpa disedari, kami sudahpun sampai ke sekolah. Waktu masih awal dan murid-murid pun belum ramai lagi. Kami meletakkan beg di luar bilik darjah yang masih berkunci kerana guru kelas belum sampai. Kami pun pergi ke padang dan bermain kejar-kejar mengeliling pokok pain, main tali getah (itu pun kalau tidak lupa membawanya) , lompat macam katak pagi-pagi..dengan aktiviti seperti itu peluh betina menitik keluar dan bau bedak talkum yang ditabur dibadan jadi masam dan muka yang ditempek dengan bedak batu emak pun jadi berkilat. Bila waktu kelas bermula, masing-masing membawa aroma bau yang pelbagai. Ada dari Paris, ada aroma dari Jamaica, ada bau dari India dan ada juga yang bau dari Chow Kit.

Tapi kenangan yang tidak boleh dilupakan apabila Cikgu Mariam masuk kelas dengan membawa sebatang pembaris panjang. Dengan muka masam dan tidak pernah tersenyum memaksa kami bangun dan ucap dengan serentak, "Selamat pagi cikgu!" Dalam hatiku berkata, "Selamat apa, sekejap lagi tidak selamat kami semua!"

Cikgu Mariam mengajar ilmu hisab (kini matematiklah, aku pun tidak tahu sebabnya mengapa ditukar nama sebegitu. Mungkin supaya nampak canggih dan elegan!) Satu subjek yang cukup aku dan kawan-kawan merasa gerun. Bukan gerun dengan subjeknya tetapi gerun dengan gurunya. Kami tidak berani mengangkat muka untuk melihat wajah Cikgu Mariam yang boleh dikatakan cun juga. Masing-masing menundukkan muka ke arah buku tanpa bergerak walau seinci pun. Masing-masing dalam hati berdoa, "Ya Allah janganlah aku di tanya oleh cikgu ini! Amin" Nasib baik juga, Cikgu Mariam tidak mendengar doa kami yang tidak masuk akal itu!

Masing-masing buka buku teks (yang diberi pinjaman dan sudah layak dibuat bungkus belacan) dan mengeluarkan buku latihan. Tiba-tiba suara gempita dari Cikgu Mariam, memeranjatkan kami yang sedang berkhayal kerana masing-masing sedang berzikir (berdoa tolak bala!)

"Zul! Kamu bangun dan jawab soalan di papan hitam itu!" Nada tinggi yang dilontarkan oleh Cikgu Mariam bagaikan hendak tercabut jantung kami yang masih kecil lagi. Masing-masing mengurut dada.

Zul bangun dan berjalan menuju ke papan hitam dan terus menjawab soalan itu. Zul seorang budak yang bijak, jadi dia tidak mempunyai masalah hendak menjawabnya. Kelihatan Cikgu Mariam tersenyum. Tetapi bagi kami senyumannya itu menakutkan kami yang masih lagi terkial-kial hendak memahami apa yang diajarnya.

"Atan! Kamu pula buat jawapan seterusnya." kata Cikgu Mariam sambil berjalan ke arah belakang dengan setia memegang pembaris panjangnya itu.

Atan keluar dengan terhegeh-hegeh dan terus menulis jawapan di papan hitam. Entah apa salahnya, Cikgu Mariam tiba-tiba menuju ke hadapan.

"Apa kamu ini Atan? Masih tidak boleh menjawabnya. Sini hulurkan tangan kamu!" Muka Cikgu Mariam yang putih melepak kini menjadi merah seperti buah apel merah. Kami yang melihatnya mula gementar. Terasa hendak terkucil pun ada. Ada juga terasa hendak buang air besar pun ada. Kami sudah pasti satu peristiwan bersejarah hari ini akan terjadi.

"Pang!" Bunyi yang sungguh menakutkan kami.Berdesing kedengaran di telinga. Atan dipukul di tapak tangannya dan dia cuba menjerit tetapi seperti di tahan-tahan jeritan itu. Apa yang lebih aku terperanjat, pembaris panjang itu patah kepada dua! Apa lagi, kami terus menikus dan kalau boleh nafas kami pun tidak diizinkan berbunyi. Kelas itu sunyi ibarat malaikat sedang lalu.


Itulah kisah yang tidak dapat aku lupakan. Tetapi itu perkara biasa apabila Cikgu Mariam masuk kelas. Dan tidaklah menjadi satu masalah besar cikgu memukul murid! Tapi hari ini, aku merasa hairan, cikgu cubit sikit pun boleh buat laporan polis! Agak-agaknya, cikgu dahulu cubitannya tidak berkesan, dan cikgu sekarang kalau cubit kesannya boleh disaman di mahkamah. Ini mesti disebabkan cikgu bela kuku panjang...hehehe!


Walau apa pun, aku masih kenang jasa guru-guru semasa sekolah rendah, sekolah menengah, tingkatan enam dan juga di universiti. Jasa kamu tetap di kenang sepanjang hayat. Jika tidak kerana guru tidaklah saya menjadi pandai membaca, menulis, mengeja dan mengira. Dan kini aku sudah pun bergelar penulis.( alhamdulillah!) Semoga semua guru-guru, ustaz, ustazah dan pensyarah berada dalam rahmat Allah kerana ilmu yang disampaikan oleh mu!