22.2.07

Makanan ringan! Makanan berat!

Minggu ini, heboh pula mengenai makanan ringan. Apakah itu makanan ringan? Adakah ia seringan kapas? Atau adakah mudah dikunyah? Dia ringan disebabkan lazatnya hingga menjilat jari? Kecohnya makanan ringan hingga hendak dibincang dalam kabinet.

Teringat saya semasa zaman kecil. Emak akan memastikan anak-anaknya cukup makan pada waktu pagi, tengahari, minum petang dan makan malam. Bagi kami yang keturunan melayu jawa, nasi tidak pernah ditinggalkan. Sarapan pagi dengan nasi, tidak kiralah nasi putih, nasi lemak, nasi goreng, sudah tentunya emak yang masakkan. Tidak ternilai jasa emak memasakkan makanan yang enak bagi kami adik beradik.

Jika nasi tidak jadi menu sarapan pagi hari itu, digantikan pula dengan lain seperti lempeng, cekodok, mee hoon goreng dan lain-lain. Waktu pagi, perut kami sudah kencang dan tidak terfikir dengan diisi perut itu dengan makanan ringan yang lain. Makanan ringan tidak berpeluang langsung masuk ke dalam menu kami adik beradik.

Waktu tengahari, sudah tentulah makan tengahari, cukup dengan nasi, ikan, sayur dan berkuah. Itulah zat makananan yang asli dan dimasak dengan enak oleh air tangan emak. Emm sedap tidak terkata. Tiada peluang makanan ringan hendak masuk dalam menu makan tengahari.

Waktu petang pula, emak rajin memasakkan kami sarapan seperti cekodok pisang, pengat pisang, ubi goreng, pisang goreng atau apa sahaja yang ringan tapi buatan sendiri. Kami tidak berpeluang untuk beli makanan ringan. Lagipun bajet beli makanan ringan tidak diperuntukkan kepada kami.

Waktu malam pula, biasalah makan nasi dan lauk pauk seperti makan tengahari. Dan pula kami adik beradik tidak bimbang jadi gemuk gedempul. Tidak ada masalah berat badan. Sehingga kini nasi dan sayur mayur tetap menjadi makanan utama.

Hairanlah yeh! Kenapa kita hari ini begitu takut nak makan nasi takut gemuk? Tapi kalau makan makaanan ringan tidak pula! Sebenarnya makanan ringan itulah puncanya kegemukan dan pelbagai penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, tekanan perasaan dan pelbagai penyakit lain.

Namun kita perlu beringat, makan itu harus berpada-pada, makan apabila lapar, berhenti makan apabila sudah kenyang. Bukan makan ikut perut, melantak bagaikan esok hati kita tidak akan jumpa makanan lagi! Ada kisah benar di sebalik makanan ringan ini.... bersambung....

20.2.07



Iman tidak diwarisi

Kisah 1

Masih ada yang tidak memahami hukum fekah terutamanya yang melibatkan rukum Islam iaitu mengerjakan solat lima waktu. Sebagai umat Islam, wajib mengerjakan solat lima waktu walau dalam keadaan yang sukar, bukan alasan meninggalkan rukun yang menjadi dosa besar bila meninggalkan secara disengajakan.

Tapi, itulah hakikatnya, iman tidak boleh diwarisi dari bapa ke anak cucunya. Meskipun, bapa itu imam yang terkenal di kampung, atau pun bapanya bekas mufti atau ulamak, iman tetap tidak boleh diwariskan. Apabila iman dapat diwarisi, sudah tentulah aman dunia ini.

Berbalik kepada tanggungjawab menunaikan solat wajib, ada di antara kita bila terlantar di hospital dan tidak boleh bergerak tetapi masih sedar dan boleh berbual serta makan, kira itu masih bernafas dan berkemampuan untuk berfikir. Tetapi sebaliknya memberi seribu alasan tidak mampu menunaikan solat kerana sakit. Baru sahaja Allah menguji sedikit, kita sudah memberi pelbagai seribu alasan yang direka sendiri bagi menafikan tanggungjawab itu.

Kata seorang saudara kepada saya, "Mengapakan mak cik itu begitu?"

Tanya saya, "Kenapa? Apa yang tidak kena dengannya?"

Saudara saya terdiam dan kemudian dengan berat dia bersuara, "Entahlah! Hendak dicakap, dia mak cik saya. Bila tidak cakap rasa serba salah. Tapi saya hendak cakap juga, biar hati ini tidak rasa bersalah."

Saya memandang wajahnya dan menantikan kata-kata seterusnya.

"Mak Cik saya itu baru dibedah tempurung lututnya. Kalau sebelum ini dia rajin mengerjakan sembahyang tetapi sekarang tidak. Saya sedih. Mereka ini keturunan baik-baik, nenek moyang, ibu bapa mereka semuanya dari baik-baik."

"Baik-baik macamana?"

"Bapa dan datuk mereka dahulu imam kampung ini."

"Habis itu kenapa pula?"

"Mengapa mereka tidak seperti datuk nenek mereka?"

"Iman tidak boleh diwarisi, saudaraku. Mungkin ilmu sudah diberikan tetapi terpulanglah pada kita sama ada hendak amalkan atau tidak."

"Tapi saya sedihlah. Mereka sudah meningkat usia tua. Inilah masa membuat banyak amal ibadah."

"Saya bimbang jika mereka nampak yang mereka buat itu sebagai adat keluarga sahaja bukan sebagai kewajipan individu yang mesti dilakukan hanya kerana Allah. Bila kita lihat sekeliling kita rajin solat, kita pun solat. Kita lihat orang lain pakai tudung, kita pun pakai tudung. Tetapi malang niat mereka itu tidak disertai dengan ikhlas dan juga ilmu yang mantap"

"Betul itu. Kita buat ibadah ini bukan semata-mata terikut-ikut dengan orang lain."

Kisah 2

Kita dikejutkan dengan nekad seorang ibu yang sanggup membunuh dua anak lelakinya semata-mata kerana geram dengan sikap suaminya yang kononnya hendak berkahwin lagi satu. Apakah kewarasan seorang manusia hari ini hilang pedoman dan iman Islam?

Sebenarnya, iman itu tidak diwarisi!

19.2.07

Bukan sekadar teori tapi praktikal

Meskipun, kita sudah membaca buku yang membicarakan mengenai ilmu komunikasi, namun begitu bukan semudah itu bagi mempraktikkan dalam kehidupan kita. Itulah dia, kekurangan kita sebagai manusia ini. Ada ilmu tetapi tidak semua ilmu yang kita miliki itu mampu dijelmakan dengan perbuatan.

Bagi yang terlibat dalam dunia pekerjaan, lebih-lebih lagi yang meruntun bekerja dalam satu kumpulan perlulah menyesuaikan diri dengan segera. Ini bermaksud, bukan kita mengharapkan orang lain mengajar kita ilmu komunikasi secara terperinci, tetapi lebih penting bagaimana hendak memulakannya?

Komunikasi lebih berkesan jika kita mulakan dengan senyuman kemudian diikuti dengan pertanyaan. Terutamanya bagi yang baru memulakan kerjaya. Usahlah malu tidak bertempat. Jika tidak tahu, apa salahnya bertanya? Biarlah orang mengata kita, bodoh. Mana lebih baik, kita tidak tahu tetapi pura-pura tahu? Atau kita memang tidak tahu tetapi malu hendak bertanya? Siapa yang rugi kalau sifat malu yang tidak bertempat?Secara praktikalnya, banyak bertanya mendapat ilmu? Betulkah? Orang merendah diri adalah lebih baik orang yang menunjukkan dirinya hebat. Lebih baik bersifat mendengar daripada bersikap suka cakap banyak tetapi kesannya tidak positif kepada yang mendengar. Bila bercakap biarlah mengandungi unsur-unsur yang logik.

Berbalik kepada bekerja secara kumpulan. Misalnya, pengalaman saya yang pernah terlibat dalam industri penyiaran tv. Jawatan yang disandang sebagai penolong penerbit rancangan tv cabarannya hebat. Saya yang bukan berlatarbelakangkan penyiaran berani memasuki bidang ini dengan semangat ingin belajar. Dan saya jenis yang cepat belajar. Cuma kelebihan saya adalah boleh menulis dan pengalaman membuat kerja-kerja kewartawanan sebelum ini.

Bekerja dalam industri penyiaran berlainan dengan media cetak. Ia menuntut kesungguhan, pengorbanan masa, kekuatan fizikal dan ketabahan mental dan juga emosi. Semuanya terangkup dalam satu jalinan yang sewajarnya perlu ada dalam diri seseorang yang hendak menceburkan diri dalam bidang penyiaran.Bagaimana saya terlibat dalam industri penyiaran ini? Tunggulah saya menulisnya .....Banyak yang hendak dikongsi.

Semoga dapat menulis pada hari berikutnya.. Ini kerana kesibukan dengan menulis disertai masa yang semakin pantas berlalu, adakalanya tidak terkejar...sabarlah yeh!

18.2.07

Berubah juga akhirnya

Teringat semasa menjadi wartawan diarahkan membuat satu temuduga dengan seorang artis yang baru mengalami perubahan fizikal apabila balik daripada mengerjakan haji di Mekah. Satu temu janji dibuat.

Apabila tiba masanya, satu wawancara panjang diadakan dengan artis antarabangsa itu. Ramai yang kagum dengan perubahannnya walaupun beliau bukanlah begitu popular lagi semasa itu. Tetapi disebabkan perubahan drastiknya itu, membuat orang ramai ingin mengetahui perkembangan lanjut mengenai dirinya itu.

Beliau mengatakan yang dia tidak akan menoleh ke belakang. Yang sudah lepas itu pasti ditinggalkan sebagai sejarah silam. Itu satu pengakuan yang boleh dihormati ketika itu. Dalam hati ini kagum dengan keikhlasannya melepaskan segala kemashyuran dirinya. Itu satu pengorbanan yang tinggi dan harus diteladani. Apakah yang menyebabkan dia berubah? Satu soalan cepu mas ditujukan kepadanya. Beliau keberatan hendak menjawab, tetapi apabila didesak, beliau kata boleh. Tetapi dengan syarat off record. Jadi maklumat itupun off record. Hingga kini tetap off record.

Tetapi bila lihat beliau hari ini, sungguh dikesali. Dia berubah juga tetapi kepada yang negatif. Mengapakah begitu? Di manakah ungkapannya yang berjanji tidak menceburi bidang itu lagi?

Ya Allah! Ku pohon padamu semoga aku ditetapkan pendirian dalam perjuangan suci ini sehingga akhir hayat. Amin....!
Batas bicara

Dalam era globalisasi ini memungkin semua golongan masyarakat memahirkan diri dengan dunia IT. Ini termasuklah golongan profesional dan mempunyai kerjaya dahulunya bergantung kepada komputer dan buku-buku rujukan, kini juga menyemak maklumat di internet. Golongan pelajar juga tidak ketinggalan. Termasuklah juga golongan wanita yang menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Mereka menghabiskan masa senggang dengan melayari internet yang menghidangkan pelbagai maklumat.

Tidak hairanlah, pengguna internet yang dari pelbagai latar belakang melayari internet bagi mencari maklumat mahupun kepuasan ataupun menjalin hubungan dengan orang yang dikenali. Ini semua satu perkembangan positif. Maklumat seantero dunia mudah diperoleh hanya terletak di hujung jari sahaja.

Namun begitu, bagi mereka yang sudah jelas berkeluarga dan beranak pinak, harus membataskan diri dalam melayari dunia tanpa sempadan ini. Keasyikkan melihat skrin yang memaparkan berbagai perkara, membuat kita lupa dengan tanggungjawab yang sepatutnya didahulukan. Ini terjadi apabila, kita tidak pandai membahagikan masa antara tanggungjawab dan juga masa senggang atau pun hobi. Mana yang harus didahulukan?

Sebagai seorang Islam dan juga wanita yang bersuami, harus mendahulukan tanggungjawabnya kepada suami dan anak-anak. Jangan disebabkan keasyikan kita berbual dengan orang yang tidak dikenali dalam ruang siber, kita lupa dengan amanah yang patut kita laksanakan. Tanpa kita sedari, kita sudah melakukan satu dosa kerana menduakan suami dan menipu keluarga kita.

Meskipun itu hanya sekadar bualan dalam bentuk tulisan dalam ruang siber, sedikit sebanyak ia melibatkan mainan perasaan. Apatah lagi, jika bualan disertai dengan 'kemesraan' yang dibina dan dibentuk secara tidak sengaja sehingga membibitkan 'kemesraan' melampau. Ini harus dijauhkan. Ingat yang kita ini ada amanah yang perlu dijaga. Allah itu maha melihat.

Lainlah, apabila kita ini masih bujang dan sedang mencari pasangan. Seperti seorang kawan yang sehingga kini masih bujang. Satu cadangan diberikan kepadanya, supaya rajin-rajinlah layari internet, mungkin dari situ dapat ramai kenalan dan mungkin calon pasangannya! Manalah tahu, jodoh itu Allah tentukan, kita yang perlu berusaha. Tapi itu bagi orang bujang. Bagi yang sudah berkeluarga, lupakan saja hendak bermesra dengan orang yang bukan mahram. Ingat itu dosa! Allah sahaja yang mengetahui!
Bila bicara ikut hati

Heboh satu Malaysia apabila seorang artis terkeluar daripada mulutnya menghina isteri Nabi Muhammad yang dicintai umat Islam. Itulah dia akibat keceluparan mulut yang sudah dijadikan sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan seharian. Akibat dari kebiasaan itulah, yang tidak dapat membezakan antara yang positif dan negatif. Bercakap ikut sedap hati tetapi bukan berdasarkan ilmu.

Mungkin perasaan diri begitu hebat dan glamour sehingga melupakan asal usul diri sendiri. Kita yang melihat dan mendengar, anggaplah ini sebagai satu pengajaran dalam hidup kita. Biar apa juga bidang yang diceburi, sedikit sebanyak hendak kita belajar cara berkomunikasi dengan baik. Apabila kita tidak tahu jawapannya, hendaklah jawap tidak tahu ataupun mendiamkan diri. Berdiam diri itu adalah lebih baik dari banyak bercakap yang tidak ada isinya.

Menyentuh mengenai komunikasi, dalam dunia yang serba mencabar dan tanpa sempadan ini, komunikasi adalah cara kita berhubung dengan orang lain. Ini bergantung kepada kebijaksanaan kita berhubung sama ada melalui berbual, membalas tulisan melalui email, dan apa cara sekalipun, bahasa komunikasi itu harus dijaga.

Dalam era tahun 2000 ini, pelbagai bahasa rojak sudah mencemari bahasa melayu. Ini mempengaruhi golongan muda atau lebih tepat, budak sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di universiti. Bahasa campur sering digunakan sama ada dalam bentuk pertuturan seharian ataupun dalam bentuk tulisan. Bila situasi ini berterusan, sudah pasti kita tidak lagi bertemu dengan anak muda yang berbudi bahasa tinggi. Benarkah begitu?

Mungkin tidak ada yang menghormati orang tua dengan panggilan mak cik, pak cik, nenek, datuk tetapi digantikan dengan kau, lu, hei orang tua! atau panggilan nama sahaja. Tiada lagi panggilan, en. puan, saudara, saudari dan sebagainya. Tidakkah ini menakutkan? Harap-harap masyarakat kita tidak begitu. Amin.

4.2.07

Anugerah yang tidak mencermin budaya melayu

Malam ini berlangsung satu anugerah yang dikatakan berprestij dengan menjanjikan hadiah yang ribuan ringgit. Anugerah yang kononnya mengangkat martabat masyarakat seni di negara kita ini. Anugerah sedemikian memanglah ramai yang suka dan yang pernah dikatakan oleh sifu saya, dosa yang nampak cantik. Malam itu, ramai yang tampan-tampan dan jelitawan hadir. Tetapi benarkah mereka ini tampan dan jelitawan? Fikirkanlah.

Apa yang hendak disentuh, apabila tiba majlis anugerah seperti itu, maka itulah saatnya golongan yang terbabit ingin menonjolkan kehebatan masing-masing. Terutamanya dari segi pakaian. Bagi kaum adam, mungkin tiada masalah. Pakaian mereka sungguh sopan dan tampan. Tetapi ada juga yang tidak kacak apabila perasan menjadi seperti orang yang ketinggalan zaman. Berambut panjang, mewarnakan rambut, memakai rantai seperti wanita, memakai anting-anting , gelang dan pelbagai aksesori yang mudah didapati di pasaran.

Sementara kaum hawanya pula, memanglah anggun dan cantik. Lebih-lebih lagi apabila dengan sengaja mendedahkan dada yang bidang. Mungkin badi, seorang pelakon yang sebelum ini gemar berkemban. Jadi adalah pengikut setianya sehingga kini.

Persoalannya, inikah yang dikatakan budaya melayu asli? Heboh sana sini mempertahankan budaya melayu, tetapi segelintir manusia sibuk pula mengagungkan budaya barat!

Yang jeleknya apabila bercakap sepatah dua kata, ingat pula pada Allah tetapi penghayatan rasa syukur itu tidak pernah dipraktikkan dalam hidup. Allah sahaja maha mengetahui.

Apalah salahnya, jika malam anugerah seperti itu, dikenakan pakaian seperti baju kurung ataupun baju-baju tradisional yang boleh dibanggakan. Entahlah! Apa hendak jadi dengan industri seni di negara kita ini yang semakin tidak senonoh!
Sukar menerima teguran

Saya pernah mengedit buku seseorang yang bagi saya dia baru dalam dunia penulisan. Saya tidaklah mengatakan saya ini seorang yang hebat dalam penulisan. Ini kerana saya masih terus menimba ilmu penulisan buktinya saya masih berguru dengan sifu baru saya Pn. Ainon Mohd. Walaupun saya sudahpun menimba ilmu secara formal di sebuah universiti tempatan dan juga pernah menjawat pelbagai jawatan yang melibatkan saya dalam dunia penulisan.

Berbalik kepada apa yang hendak saya katakan, individu itu pun menyerahkan manuskripnya kepada saya. Saya pun dengan rela hati mengambil dan membawanya balik ke rumah. Sekali imbas saya baca, saya sudah dapat menduga yang dia ini baru mula hendak menulis . Saya tidaklah banyak mengubah ayat dan kedudukan perenggan dalam manuskrip itu. Gaya bahasanya biasa sahaja tiada yang puitis mahupun yang menyentuh hati. Mana kala jalan ceritanya juga biasa-biasa, kisah cinta yang tiada bezanya dengan cinta yang lain terdapat dalam buku lain.

Tiba masanya, saya pulangkanlah balik manuskrip itu dan memintanya membetulkan apa-apa yang sudah saya tandakan. Ini kerana ada pengulangan ayat dan juga bahasa yang tidak sesuai digunakan. Bagi saya dia perlu perbaiki bahasanya supaya lebih tepat, matang dan tidak kebudak-budakan.

Entahlah, mungkin saya ini bukan jenis yang pandai berkata-kata macam sifu saya, tetapi saya telus. Bila saya katakan begitu, dia tidak boleh terima, malahan dia ingin membuktikan kepada saya bahawa ada orang lain mengatakan yang tulisannya itu bagus dan bermutu tinggi.

Terdetik dalam hati saya, sekiranya saya ini tidak pandai edit buku orang, mengapakah dia menyuruh saya? Tidak tahulah. Mungkin dia baru lagi dalam penulisan. Dan dia belum jumpa orang lain yang lebih laser dari saya bila memberi komen. Saya ini kiranya lebih beralas, hendak menjaga hati orang supaya tidak terluka. Akhirnya saya yang terluka...Aduh sakit kepala jadinya!
Renungilah Langit

Kawanku!
Tidakkah kau melihat langit
Bagaimana Allah
Membinanya, menghiasinya
Sehingga tiada langit yang retak walau sedikit.

Kawanku!
Tahukah kamu
Allah maha kuasa
Menjadikan tujuh petala langit
dan juga bumi
dengan perintah-Nya
dengan ilmunya yang melaut.

Kawanku!
Allah menjadikan warna langit
Untuk kita
yang begitu indah
sinaran matahari memakmurkan alam
kerlipan bintang bertaburan di persada langit
cahaya bulan purnama mengambang lembut gemalai
serata alam buana

Renungkanlah kawanku!
kebesaran Allah yang perkasa
tiada tandingan.
Ilmu itu

Kawanku!
Ilmu yang tidak bersama amal
Namanya gila!

Amal yang tidak bersama ilmu
Namanya sia-sia!

Ketahuilah!
Memiliki ilmu saja
Tidak akan menjauhkanmu dari maksiat
Tidak akan membawamu kepada ketaatan
Tidak akan memeliharamu daripada api neraka

Jika engkau tidak beramal dengannya
Janganlah engkau lalai dalam
Ilmu dan amal.
Ziarah orang sakit

Beberapa hari lalu, saya ziarah seorang saudara yang bergelar pak cik. Dia di masukkan ke dalam sebuah hospital yang jauh dari tempat tinggalnya. Ini memandangkan penyakitnya serius dan dikatakan yang hospital itu berkemampuan menyembuhkan penyakitnya.

Apabila sampai bersama ahli keluarga yang lain, saya melihat pak cik itu terbaring sambil mata dilelapkan. Salah seorang dari kami memberi salam, dan salam bersambut dengan suara yang lemah. Dimaklumkan yang pak cik itu sudah berada hampir sebulan di hospital.

Dalam wad yang sama, ada beberapa pak cik-pak cik yang kebanyakannya sudah tua dan bertaraf pencen. Masing-masing menghidap penyakit yang sama seperti pak cik saya. Memandang waktu zuhur sudahpun masuk, lalu kami pun pergi menunaikan solat zuhur di surau yang berdekatan dengan wad itu.

Apabila selesai sahaja solat, kami pun masuk kembali ke dalam wad itu. Kelihatan seorang pak cik yang agak uzur sedang mengerjakan solat zuhur di atas katilnya. Saya asyik memandang beliau yang sedang khusyuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang maha penyayang. Saya mengalihkan pandangan kepada pak cik saudara saya, yang masih membaringkan dirinya dan seolah-olah tidak bermaya hendak berbual mahu pun menegakkan badannya di katil itu.

"Tidak pernah kamu membawa keluar berjalan-jalan pada waktu petang," tanya saya kepada anak pak cik saudara itu.
"Saya hendak membawanya tapi dia menolak," katanya dengan suara yang perlahan bimbang didengari oleh bapanya. Dia pun menyambung dan berkata,"Doktor pun menyuruh bapa berdikari seperti berdiri sendiri, bergerak menggunakan tangan dan juga belajar menggunakan kerusi roda ini. Tetapi...." dia terhenti dari berkata-kata dan keluarlah keluhan kecil.
Saya memandang wajah saudara saya itu dengan penuh pengertian. Saya faham maksudnya dengan melihat wajah sayunya.

Apabila tamat masa melawat, saya berbual dengan ahli keluarga saya dan bertanya adakah pak cik saya itu mengerjakan sembahyang.

"Itulah yang abang pernah katakan padanya, tetapi dia nampaknya marah," kata abang saya dengan nada kesal.
"Itulah menunjukkan kita ini begitu jahil tentang amalan ibadah dalam Islam," sambung abang saya lagi sambil menggeleng kepalanya.
"Sebenarnya dalam masa sakit ini lah yang memudahkan kita beribadah. Kalau kita tidak boleh solat berdiri, kita boleh berbaring. Itu kan satu cara yang mudah," kata salah seorang saudara saya yang lain. Saya yang mendengarnya hanya mengangguk sahaja.

"Bila abang cakap kena sembahyang, pak cik bagi alasan badan tidak bersih," kata abang lagi."Kita tidak boleh bagi alasan begitu. Mustahil sepanjang hari badan kita sentiasa kotor," ujar abang dengan tegas.

Bayangkanlah, sekiranya sudah 30 hari berada di hospital itu dan sejak itulah juga tidak mengerjakan sembahyang. 30 hari darab dengan 5 waktu solat yang ditinggalkan secara sengaja.....Banyaknya hendak kena ganti. Tapi itu bukan persoalannya...kalau sempat mengqadar sembahyang, tapi jika tak sempat sudah meninggal dunia, bagaimana?

Itulah akibatnya kalau dalam soal agama diambil sebagai remeh dan sampingan sahaja. Bukan dijadikan sebagai satu cara hidup. Entahlah, saya pohon kepada Allah semoga dikuatkan iman dan amal saya ini..Amin.

Dalam minda saya, masih adakah orang yang masih tidak faham mengerjakan solat semasa sakit? Perlu dilakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Adakah mungkin perlu ada sebuah buku yang membicarakan mengenai cara-cara mengerjakan ibadah semasa sakit?