28.7.08

Hadir di pesta buku

Saya bersama dengan penulis PTS yang lain akan berada di Pesta Buku Selangor dan Pesta Buku Malaysia.









2/8 Sabtu



Ceramah Utama "Mendorong Anak Cemerlang": Dr. Tengku Asmadi
Bahtera Nabi Nuh: Saridah Hamid
Rahsia Melabur dalam Unit Amanah: Sunthara Segar
50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia: Norlela Zubir
Salju Sakinah: Zaid Akhtar






PESTA BUKU MALAYSIA di PWTC Kuala Lumpur



3/8 Ahad


10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga: Saridah Hamid
Hadiah untuk Pengantin: Wan Shuhairi Wan Muhammad
Rahsia Islam di China: Ann Wan Seng
Salju Sakinah: Zaid Akhtar
Hanya Tuhan yang Tahu: A. Razak Adam
Makan Gaji Tetapi Kaya: Shamsuddin Abdul Kadir
Tarik Kekayaan dengan Kuasa Minda: Amar Mahmood



Maklumat dipetik dari blog Pn. Ainon Mohd.

27.7.08

Hujung minggu yang bermakna

I



Dalam bulan Rejab dan Syaaban, pasti ramai yang ingin membuat kenduri arwah dan perkahwinan. Aku dan suami juga tidak ketinggalan membuat kenduri yang sekian lama tertangguh atas sebab musabab yang munasabah. Alhamdulillah, akhirnya hasrat itu dapat ditunaikan. Pada sabtu lalu, kami membuat kenduri kecil yang layak dipanggil 'hi tea' kerananya menu utamanya bukanlah makan nasi seperti biasa orang buat. Tetapi, keputusan diambil untuk membuat menu utama 'mee rebus' dan juga kuih muih yang lain. Itupun sudah dikira berat kerana belanjanya turut 'berat'. Memandangkan harga barang semuanya sudah naik. Sekiranya, menunya makanan asasi, rasa-rasanya 'budjet' nya pun tinggi. Apa yang penting, niat kami hendak membuat kenduri terlaksana. Tak kisahlah apa menunya. Tapi, rezeki itu berada di mana-mana dan Allah permudahkan dengan menu yang semakin bertambah sumbangan dari ibu mertua dan juga adik beradik yang lain. Jadi dari menunya yang dirancang dalam lima jenis menjadi berjenis-jenis. Terima kasih kepada semua yang menyumbang, hanya Allah sahaja yang membalas.


Tetamu yang dijemput adalah terdiri dari adik beradik kandung, dan ipar duai. Tidak lupa jiran-jiran terdekat. Dan juga diundang sahabat dari PTS. Yang hadir adalah Pengurus PTS Islamika, Tuan Faris dan isteri serta anak-anaknya yang comel (sayang terlupa ambil gambar disebabkan kesibukan melayan tetamu yang datang dan juga nak balik).


Semua yang hadir bertanya, mengapa buat kenduri? Kenduri sempena apa? Susah juga hendak menjawab, tetapi banyaklah alasan termasuklah alasan teringat arwah-arwah bapa, ayah mentua, nenek tersayang dan datuk tercinta. Sebenarnya, alasan itu kuat termasuklah mendapat rezeki dari royalti buku. Dan ada beberapa alasan yang munasabah biarlah ia menjadi rahsia. Semuanya ingin dikongsi bersama dengan orang lain kegembiraan yang dikecapi secara tidak langsung.


Sudah lama tidak masak memasak untuk kenduri, jadi itulah masanya memasak banyak untuk dijamu oleh orang ramai. Menu utama, tuan rumah yang masak sendiri. Alhamdulillah, habis! Minta maaflah kepada kawan-kawan yang dikenali sama ada dalam blog mahupun rakan penulis tetapi tidak dapat menjemputnya kerana kenduri kali ini memang kecil dan lain kali saudara sekelian akan dijemput, insya-Allah. Tunggulah!




II


Dalam sibuk-sibuk membuat persiapan terakhir (ceh! Macam nak buat kenduri kahwin) maksud sedang menggetel karipap, ibu mentuaku mendapat satu panggilan terkejut dari anak buahnya. Anak buahnya bukanlah muda lagi tetapi bertaraf pencen yang ada gelaran 'datuk'. Aku memang mengenalinya kerana dia sepupu suami dan kami selalu datang ke rumahnya apabila ada majlis-majlis tertentu seperti rumah terbuka hari raya. Dia orang penting dan pernah jadi datuk bandar shah alam. Tetapi kami tidaklah rapat memandangkan masing-masing ada komitmen sendiri. Jumpa pun bila ada kenduri kahwin dan majlis makan-makan.

Memang sedari awal, sudah diketahui yang sepupu suami akan berkahwin dengan kawan lamaku. Alahai, Hamidah Hamzah, bertemu jodoh juga akhirnya dengan saudara den! Datuk itu menjemput mak ciknya ke majlis perrnikahan. Ibu mentuaku mula-mula malu (alahai mak mentuaku!) tetapi memandangkan anak buah, dia pun mengajak aku pergi. Katanya aku kawan lama hendaklah temankannya pergi. Aduhai! Kalau diikut hati ini memang malas, sebab badan dah mula rasa sengal-sengal akibat bertungkus lumus memasak dan menyediakan menu-menu kenduri. Tetapi mulut ini kata, insyaAllah, emak! Emm! Ok juga kalau pergi, sudah lama tidak berjumpa dan harap-harap dapat jumpa kawan-kawan lama. Tapi tengoklah keadaan, kalau tak terkehel ke. Sakit belakang ke, bolehlah pergi. (itu baru buat kenduri kecil, jika kenduri besar mahunya demam seminggu). Tapi ibu mentuaku, asyik menyebutnya sehingga ke malam hari. Alahai, nampaknya kena pergi jugalah!


Hari ini, aku bersiap seawal 10 pagi. Walaupun badan terasa sengal-sengal (maklumlah usia semakin senja) tapi semangat untuk bertemu dengan kawan lama tetap ada. Memandangkan dia juga sudah berhijrah, aku rasa kena pergi untuk bagi sokongan (ialah macamlah dia perlukan sokongan moral dari kawan lama yang hampir 10 tahun tak jumpa. Entah ingat atau tak).

Sebaik sahaja di rumah adiknya, sempatlah juga aku menyaksikan majlis pernikahannya. Berseri muka Hamidah atau semasa di RTM, aku lebih senang memanggilnya 'Kak Mid' dan juga pengantin lelaki, yang berseri dan nampak muda. Dan sempatlah juga aku bergambar kenangan dengannya. Juga bertegur sapa dan alhamdulillah dia masih ingat aku yang selalu menjadi penulis skripnya untuk rancangan 'Selamat Pagi Malaysia”. Selamat Pengantin Baru Datuk Ramlan dan Datin Hamidah Hamzah. Semoga bahagia sehingga akhir hayat!

21.7.08


Kulit Buku Surah-surah Rindu


Akan keluar pada 08.08.2008

15.7.08

Pengalaman seorang pr tak bertauliah...

Semasa diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, dalam fikiran ini tiada lain untuk mengambil media massa dalam jurusan kewartawanan. Hati ini telah terarah ke arah itu. Sesuailah dengan jiwa yang memberontak sentiasa ingin ambil tahu tentang orang lain (maksudnya itu, suka melapor kebenaran). Semasa dalam pengajian, memang pelbagai ilmu ditimba dalam merungkai erti makna media masa dan komunikasi. Termasuklah terpaksa belajar psikologi (tapi tak sangka pula dalam markah terbaik dalam subjek itu, kiranya bolehlah jadi seorang pakar kaunseling), perhubungan awam, ekonomi, sejarah dunia, politik dan pelbagai ilmu termasuklah ilmu pengajian Islam (alhamdulillah subjek ini juga selalu tinggi). Kiranya bekalan untuk menjadi seorang wartawan itu telah dilengkapi dengan pelbagai ilmu. Tapi masa itu, ilmu komputer memang dapat cukup makan kiranya bolehlah meluluskan diri mendapat segulung ijazah. Dan kemudahan bilik komputer ketika di universiti amat menyedihkan meskipun universiti itu gah sebagai sebuah universiti untuk bumiputera sepenuhnya. Tapi mungkin masa kini, bilik-bilik itu sudah dimodenkan ataupun sudah dipasang penghawa dingin yang canggih.

Sebenarnya, yang ingin disentuh adalah subjek perhubungan awam. Meskipun ambil kewartawanan tapi ilmu perhubungan awam juga penting. Sebagai seorang yang berinteraksi dengan orang ramai, ilmu pr (public relation) ini teramat penting. Di kalangan orang-orang seperti bahasa penting untuk perhubungan awam dipanggil pr je. Jadi, pr itu penting bagi orang yang menggelarkan diri mereka orang media. Apatah lagi jika seseorang itu menjadi pegawai perhubungan awam dalam sektor awam mahupun swasta. Kalau semasa di kampus, sesiapa yang mengambil kursus pr kebanyakan mereka terdiri dari kelompok yang digolong sebagai individu yang mempunyai personaliti menarik, suka tersenyum, peramah, mudah bergaul, pandai dwi bahasa, tidak sombong, sanggup melayan tetamu sampai selesai...dan pelbagai lagi. Dari sekecil-kecil perkara sehingga ke perkara yang besar. Pokoknya , kena jaga tetamu yang diundang. Orang kata kena entertain. Kena layan tanpa mengira status kedudukan seseorang selagi dia bergelar tetamu untuk tempat kerjanya.

Pengalaman menjadi pr secara tidak langsung lebih ketara semasa menjawat jawatan sebagai penolong penerbit rancangan tv. Dari mengarang surat jemputan, menghubungi, berbual mesra, memujuk tetamu supaya hadir dalam program yang dirancang, meminta sponsor tempat penginapan apabila bekerja di luar daerah atau out station. Semua itu kena dilakukan secara persendirian. Tiada siapa nak tolong, pandai-pandai buat kerja sehingga rancangan yang diterbitkan itu sempurna. Tiada siapa yang hendak ambil tahu tentang kerja-kerja yang akan dilakukan. Sesungguhnya pengalaman mendewasakan sikap kita supaya lebih toleransi, tidak sombong, tidak bangga diri, tidak syok sendiri, tidak terlalu merendah diri atau terlalu tinggi diri, dan ribuan pengalaman yang mendewasakan akal fikiran dan tindakan. Pelbagai jenis manusia sudah ditemui sama ada dari yang tinggi kedudukannya sehinggalah rakyat marhain. Pelbagai jenis kenderaan sudah dinaiki dari setinggi langit kapal terbang sehinggalah ke sampan nelayan. Cumanya belum berpeluang naik kapal selam je. Sementara hotel pula, dari yang hampir 6 bintang sehinggalah ke rumah tumpangan. Tetapi apapun dalam menerokai alam media itu, pr mesti ada.

Bekerja dengan media lebih-lebih lagi penyiaran, memang kena lasak. Lasak dari segala-galanya. Adakalanya terasa macam tomboy pula. Namun batas-batas sebagai wanita solehah (moga-moga jadi wanita yang solehah) memang dijaga. Sebab itu, ketegasan harus ditonjolkan di samping kelembutan. Entahlah, rasa-rasa sukar hendak menjadi seorang yang lemah lembut seperti seorang arwah penerbit yang banyak membimbing diri ini menjadi seorang yang berkeyakinan pada diri. Perwatakannya memang lembut dan orangnya memang cantik boleh dikatakan bidadari dunia lah. Sekiranya perempuan yang melihat cair hati apatah lagi orang lelaki. Kata-katanya yang lemah lembut tapi berisi masih terngiang-ngiang di telinga ini. Dalam hati berkata, “alahai bolehkah aku seperti dia.” Sebabnya diri ini memang dilingkungi dengan kaum adam. Dari ahli keluarga sehinggalah anak saudara semua kaum adam. Suami pun kaum adam, hish! hish! Itu sudah semestinya!. Maaflah kiranya merapu tapi itulah hakikatnya. Setiap orang dijadikan berbeza sifatnya dan rupanya.

Berbalik kepada sikap pr yang baik yang penting harus bijak menangani masalah. Itupun satu perkara juga. Nasib baiklah ilmu pr yang ditimba tidak sia-sia. Ia lebih bermakna jika dipraktikkan di medan yang sebenarnya bukan sekadar teori. Dan untuk praktikkanya mengambil masa juga bukan dalam sekelip mata boleh jadi bagus. Pengalaman kena maki hamun pun ada. Dipuji pun ada apatah lagi dilayan sebagai vip pun ada (he he he! Perasanlah tu) tapi itulah hakikatnyanya. Ada masa kita kena layan orang sebagai vip dan sebaliknya kita pula di layan oleh pr lain sebagai vip. Bagaimana saya dilayan sebagai vip? Nantilah saya akan sambung ke coretan yang lain. Jari jemari saya yang baru nak jadi lembut ini terasa sengal...kita jumpa lagi, itupun kalau ada orang nak bacalah...atau saya saja je nak curah perasaan, sebab kagan untuk kembali menjadi pr....he he he! Atau mungkin syok sendiri...peduli apa...ini blog saya suka hatilah nak tulis apa pun! Jangan marah ye! (ada ke orang nak marah?) ...bersambung.

2.7.08


Surah-Surah Rindu

Alhamdulillah, segala kesyukuran itu ditujukan kepada Allah yang mengurniakan kepada saya yang lemah ini kekuatan untuk terus menghabiskan bait-bait terakhir novel sulung ini. Sememangnya ingin menghasilkan novel bermula dari sejak diri ini melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak 18 tahun yang lalu. Tetapi atas kesibukan bekerjaya yang membuatkan diri ini kesuntukan masa kerana terlibat dalam dunia kewartawanan dan penyiaran meruntun tumpuan sepenuhnya.

Namun setelah mengambil keputusan untuk bekerja secara bebas, cita-cita untuk menghasilkan novel yang bercorak ilmu dan Islam itu mula menggebu kembali. Apatah lagi setelah bertemu dengan penerbit yang mempunyai matlamat untuk menghasilkan novel sastera Islami. Mungkin sesetengah orang menganggap bahawa penulis tempatan tertiru-tiru gaya penulis luar yang telah berjaya dalam menghasilkan novel islami. Biarlah apa pun tanggapan orang, perkara yang baik perlu ditiru demi kemaslahatan masyarakat hari ini.

Terima kasih kepada PTS Millenia yang memberikan peluang kepada saya untuk turut mewarnai dunia sastera. Mungkin hasil sulung ini banyak kelemahan. Tetapi itulah hasilnya setelah hampir empat bulan bertungkus lumus menyiapkan dengan sokongan dari suami tercinta, Hj.Mohd Fauzi Abu Bakar. Begitu juga dengan peringatan yang sentiasa diberi oleh bekas editor PTS Millenia, Nurul Hafizah Mokhtar, sering merangsang agar teruskan penulisan sehingga noktah terakhir. Tidak lupa kepada seluruh ahli keluarga yang sentiasa menantikan karya seterusnya kerana diri inilah satu-satunya yang memeriahkan dunia penulisan. Terima kasih atas sokongan anda!
Nota: Gambar diambil dari blog universitipts...mohon Puan Ainon izinkan. Manakah satu yang lebih menarik?

1.7.08

Alahai DBP!

Minggu lalu, ku ajak suami berjalan-jalan. Meskipun orang kata jimat cermat tapi kali ini aku nak lepas geram sebab hendak beli buku. Yang paling penting nak beli kamus terbaru terbitan DBP kerana semasa pesta buku tak sempat nak beli kerana kesibukan dan juga malas nak bawa sebab kamus itu berat. Dari hari sehari tangguh pergi ke DBP, tapi kesempatan diambil apabila suami beri maklumat yang DBP ada sambutan 50 tahun, kiranya seperti hari ulang tahun DBP. Itu pun dia terlihat kain rentang yang meriah disangkut di pagar DBP. Kiranya, orang-orang yang terlalu dekat situlah sahaja yang boleh lihat. Itu pun sekiranya mereka terlihat dan terbaca. Bagi yang tidak prihatin langsung buat tak tahu. Terdetik dalam hati ini, kenapa tiada promo? Setiap hari aku belek ruangan berita dalam alam maya, tapi satu maklumat tentang sambutan itu langsung tiada. Dan aku menjangkakan sudah tentu orang ramai tak tahu.

Aku bertanya kepada beberapa kawan seangkatan denganku, yang memang golongan penulis. Mereka tidak tahu langsung tentang program itu. Malah bila diajak pergi, malaslah. Memang kalau ikut hatiku ini malas juga nak pergi, tapi aku ghairah nak beli kamus, sebab dikatakan ada potongan yang diberi, tak tahulah berapa agaknya.

Akhirnya, sampai juga aku ke DBP dan aku lihat kain rentang yang sedikit punya panjang maklumat yang ditulis. Kiranya semput juga membaca sebab banyak sangat program yang hendak dilakukan sepanjang 4 hari berlangsung sambutan ulang tahunnya. Tak sempat aku membaca sehingga habis, suami sudah meninggalkan aku di belakang. Terkejar-kejar juga. Mulut aku yang gatal pun berkata, “Macam tak ramai orang pun!” Suamiku mengangguk tanda setuju.

Memang tak ramai, masuk saja ruang DBP kedengaran lagu dipasang. Macam karaoke je. Atau macam majlis orang kahwin. Tapi orang ramai masih boleh dibilang dengan jari sedangkan hari itu adalah hari Ahad. Agaknya orang malas nak pergi sebab kena jimat cermat. Lagipun apa yang ada dalam DBP tu? Entahlah. Ada beberapa gerai didirikan di hadapan pintu masuk bangunan itu. Entah gerai apa pun tak tahulah. Nampaknya macam orang jual produk makanan. Aku dan suami ambil kesempatan minum air percuma..teh ais..entah apa rasanya. Hanya seteguk saja sebab cawan yang diberi alahai kecil bonar. Tapi minatku taklah nak beli produk begitu, menghabiskan duit den je! Aku dan suami terus masuk ke dalam bangunan dan singgah di bilik pameran sejarah DBP. Seseorang menghulur kertas dan pen. Katanya cubalah masuk kuiz. Aku pun ambil hulurannya, takut dia kecil hati pula. Dalam dewan pameran yang disusun cantik dan kemas, tak ada orang. Yang ada seorang wanita dengan dua anaknya yang cuba menjawab kertas soalan kuiz. Aku pun cuba lepas tu malas sebab bukannya semua jawapan ada di dewan itu. Kena pula pergi ke tingkat 4.. ini yang buat aku tak ada selera nak masuk kuiz.

Suami pun ajak masuk ke kedai buku DBP. Aku setuju kerana sudah bosan. Apa yang sebenarnya DBP buat ni? Aku terus cari kamus dan buku-buku berkenan di hati. Akhirnya, aku beli buku-buku novel dan antologi cerpen yang berharga antara RM2 dan RM3. Alahai kesian penulis mapan dan sasterawan, buku mereka dijual atau dilelong murah! Aku harus berfikir secara matang untuk menghantar karya ku ke DBP. Ibarat pesanan maut dari sahabatku, “DBP adalah penerbit yang terakhir kalau nak hantar karya.” Maksudnya, faham-faham je lah!