1.7.08

Alahai DBP!

Minggu lalu, ku ajak suami berjalan-jalan. Meskipun orang kata jimat cermat tapi kali ini aku nak lepas geram sebab hendak beli buku. Yang paling penting nak beli kamus terbaru terbitan DBP kerana semasa pesta buku tak sempat nak beli kerana kesibukan dan juga malas nak bawa sebab kamus itu berat. Dari hari sehari tangguh pergi ke DBP, tapi kesempatan diambil apabila suami beri maklumat yang DBP ada sambutan 50 tahun, kiranya seperti hari ulang tahun DBP. Itu pun dia terlihat kain rentang yang meriah disangkut di pagar DBP. Kiranya, orang-orang yang terlalu dekat situlah sahaja yang boleh lihat. Itu pun sekiranya mereka terlihat dan terbaca. Bagi yang tidak prihatin langsung buat tak tahu. Terdetik dalam hati ini, kenapa tiada promo? Setiap hari aku belek ruangan berita dalam alam maya, tapi satu maklumat tentang sambutan itu langsung tiada. Dan aku menjangkakan sudah tentu orang ramai tak tahu.

Aku bertanya kepada beberapa kawan seangkatan denganku, yang memang golongan penulis. Mereka tidak tahu langsung tentang program itu. Malah bila diajak pergi, malaslah. Memang kalau ikut hatiku ini malas juga nak pergi, tapi aku ghairah nak beli kamus, sebab dikatakan ada potongan yang diberi, tak tahulah berapa agaknya.

Akhirnya, sampai juga aku ke DBP dan aku lihat kain rentang yang sedikit punya panjang maklumat yang ditulis. Kiranya semput juga membaca sebab banyak sangat program yang hendak dilakukan sepanjang 4 hari berlangsung sambutan ulang tahunnya. Tak sempat aku membaca sehingga habis, suami sudah meninggalkan aku di belakang. Terkejar-kejar juga. Mulut aku yang gatal pun berkata, “Macam tak ramai orang pun!” Suamiku mengangguk tanda setuju.

Memang tak ramai, masuk saja ruang DBP kedengaran lagu dipasang. Macam karaoke je. Atau macam majlis orang kahwin. Tapi orang ramai masih boleh dibilang dengan jari sedangkan hari itu adalah hari Ahad. Agaknya orang malas nak pergi sebab kena jimat cermat. Lagipun apa yang ada dalam DBP tu? Entahlah. Ada beberapa gerai didirikan di hadapan pintu masuk bangunan itu. Entah gerai apa pun tak tahulah. Nampaknya macam orang jual produk makanan. Aku dan suami ambil kesempatan minum air percuma..teh ais..entah apa rasanya. Hanya seteguk saja sebab cawan yang diberi alahai kecil bonar. Tapi minatku taklah nak beli produk begitu, menghabiskan duit den je! Aku dan suami terus masuk ke dalam bangunan dan singgah di bilik pameran sejarah DBP. Seseorang menghulur kertas dan pen. Katanya cubalah masuk kuiz. Aku pun ambil hulurannya, takut dia kecil hati pula. Dalam dewan pameran yang disusun cantik dan kemas, tak ada orang. Yang ada seorang wanita dengan dua anaknya yang cuba menjawab kertas soalan kuiz. Aku pun cuba lepas tu malas sebab bukannya semua jawapan ada di dewan itu. Kena pula pergi ke tingkat 4.. ini yang buat aku tak ada selera nak masuk kuiz.

Suami pun ajak masuk ke kedai buku DBP. Aku setuju kerana sudah bosan. Apa yang sebenarnya DBP buat ni? Aku terus cari kamus dan buku-buku berkenan di hati. Akhirnya, aku beli buku-buku novel dan antologi cerpen yang berharga antara RM2 dan RM3. Alahai kesian penulis mapan dan sasterawan, buku mereka dijual atau dilelong murah! Aku harus berfikir secara matang untuk menghantar karya ku ke DBP. Ibarat pesanan maut dari sahabatku, “DBP adalah penerbit yang terakhir kalau nak hantar karya.” Maksudnya, faham-faham je lah!

No comments: