27.7.08

Hujung minggu yang bermakna

I



Dalam bulan Rejab dan Syaaban, pasti ramai yang ingin membuat kenduri arwah dan perkahwinan. Aku dan suami juga tidak ketinggalan membuat kenduri yang sekian lama tertangguh atas sebab musabab yang munasabah. Alhamdulillah, akhirnya hasrat itu dapat ditunaikan. Pada sabtu lalu, kami membuat kenduri kecil yang layak dipanggil 'hi tea' kerananya menu utamanya bukanlah makan nasi seperti biasa orang buat. Tetapi, keputusan diambil untuk membuat menu utama 'mee rebus' dan juga kuih muih yang lain. Itupun sudah dikira berat kerana belanjanya turut 'berat'. Memandangkan harga barang semuanya sudah naik. Sekiranya, menunya makanan asasi, rasa-rasanya 'budjet' nya pun tinggi. Apa yang penting, niat kami hendak membuat kenduri terlaksana. Tak kisahlah apa menunya. Tapi, rezeki itu berada di mana-mana dan Allah permudahkan dengan menu yang semakin bertambah sumbangan dari ibu mertua dan juga adik beradik yang lain. Jadi dari menunya yang dirancang dalam lima jenis menjadi berjenis-jenis. Terima kasih kepada semua yang menyumbang, hanya Allah sahaja yang membalas.


Tetamu yang dijemput adalah terdiri dari adik beradik kandung, dan ipar duai. Tidak lupa jiran-jiran terdekat. Dan juga diundang sahabat dari PTS. Yang hadir adalah Pengurus PTS Islamika, Tuan Faris dan isteri serta anak-anaknya yang comel (sayang terlupa ambil gambar disebabkan kesibukan melayan tetamu yang datang dan juga nak balik).


Semua yang hadir bertanya, mengapa buat kenduri? Kenduri sempena apa? Susah juga hendak menjawab, tetapi banyaklah alasan termasuklah alasan teringat arwah-arwah bapa, ayah mentua, nenek tersayang dan datuk tercinta. Sebenarnya, alasan itu kuat termasuklah mendapat rezeki dari royalti buku. Dan ada beberapa alasan yang munasabah biarlah ia menjadi rahsia. Semuanya ingin dikongsi bersama dengan orang lain kegembiraan yang dikecapi secara tidak langsung.


Sudah lama tidak masak memasak untuk kenduri, jadi itulah masanya memasak banyak untuk dijamu oleh orang ramai. Menu utama, tuan rumah yang masak sendiri. Alhamdulillah, habis! Minta maaflah kepada kawan-kawan yang dikenali sama ada dalam blog mahupun rakan penulis tetapi tidak dapat menjemputnya kerana kenduri kali ini memang kecil dan lain kali saudara sekelian akan dijemput, insya-Allah. Tunggulah!




II


Dalam sibuk-sibuk membuat persiapan terakhir (ceh! Macam nak buat kenduri kahwin) maksud sedang menggetel karipap, ibu mentuaku mendapat satu panggilan terkejut dari anak buahnya. Anak buahnya bukanlah muda lagi tetapi bertaraf pencen yang ada gelaran 'datuk'. Aku memang mengenalinya kerana dia sepupu suami dan kami selalu datang ke rumahnya apabila ada majlis-majlis tertentu seperti rumah terbuka hari raya. Dia orang penting dan pernah jadi datuk bandar shah alam. Tetapi kami tidaklah rapat memandangkan masing-masing ada komitmen sendiri. Jumpa pun bila ada kenduri kahwin dan majlis makan-makan.

Memang sedari awal, sudah diketahui yang sepupu suami akan berkahwin dengan kawan lamaku. Alahai, Hamidah Hamzah, bertemu jodoh juga akhirnya dengan saudara den! Datuk itu menjemput mak ciknya ke majlis perrnikahan. Ibu mentuaku mula-mula malu (alahai mak mentuaku!) tetapi memandangkan anak buah, dia pun mengajak aku pergi. Katanya aku kawan lama hendaklah temankannya pergi. Aduhai! Kalau diikut hati ini memang malas, sebab badan dah mula rasa sengal-sengal akibat bertungkus lumus memasak dan menyediakan menu-menu kenduri. Tetapi mulut ini kata, insyaAllah, emak! Emm! Ok juga kalau pergi, sudah lama tidak berjumpa dan harap-harap dapat jumpa kawan-kawan lama. Tapi tengoklah keadaan, kalau tak terkehel ke. Sakit belakang ke, bolehlah pergi. (itu baru buat kenduri kecil, jika kenduri besar mahunya demam seminggu). Tapi ibu mentuaku, asyik menyebutnya sehingga ke malam hari. Alahai, nampaknya kena pergi jugalah!


Hari ini, aku bersiap seawal 10 pagi. Walaupun badan terasa sengal-sengal (maklumlah usia semakin senja) tapi semangat untuk bertemu dengan kawan lama tetap ada. Memandangkan dia juga sudah berhijrah, aku rasa kena pergi untuk bagi sokongan (ialah macamlah dia perlukan sokongan moral dari kawan lama yang hampir 10 tahun tak jumpa. Entah ingat atau tak).

Sebaik sahaja di rumah adiknya, sempatlah juga aku menyaksikan majlis pernikahannya. Berseri muka Hamidah atau semasa di RTM, aku lebih senang memanggilnya 'Kak Mid' dan juga pengantin lelaki, yang berseri dan nampak muda. Dan sempatlah juga aku bergambar kenangan dengannya. Juga bertegur sapa dan alhamdulillah dia masih ingat aku yang selalu menjadi penulis skripnya untuk rancangan 'Selamat Pagi Malaysia”. Selamat Pengantin Baru Datuk Ramlan dan Datin Hamidah Hamzah. Semoga bahagia sehingga akhir hayat!

No comments: