15.7.08

Pengalaman seorang pr tak bertauliah...

Semasa diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, dalam fikiran ini tiada lain untuk mengambil media massa dalam jurusan kewartawanan. Hati ini telah terarah ke arah itu. Sesuailah dengan jiwa yang memberontak sentiasa ingin ambil tahu tentang orang lain (maksudnya itu, suka melapor kebenaran). Semasa dalam pengajian, memang pelbagai ilmu ditimba dalam merungkai erti makna media masa dan komunikasi. Termasuklah terpaksa belajar psikologi (tapi tak sangka pula dalam markah terbaik dalam subjek itu, kiranya bolehlah jadi seorang pakar kaunseling), perhubungan awam, ekonomi, sejarah dunia, politik dan pelbagai ilmu termasuklah ilmu pengajian Islam (alhamdulillah subjek ini juga selalu tinggi). Kiranya bekalan untuk menjadi seorang wartawan itu telah dilengkapi dengan pelbagai ilmu. Tapi masa itu, ilmu komputer memang dapat cukup makan kiranya bolehlah meluluskan diri mendapat segulung ijazah. Dan kemudahan bilik komputer ketika di universiti amat menyedihkan meskipun universiti itu gah sebagai sebuah universiti untuk bumiputera sepenuhnya. Tapi mungkin masa kini, bilik-bilik itu sudah dimodenkan ataupun sudah dipasang penghawa dingin yang canggih.

Sebenarnya, yang ingin disentuh adalah subjek perhubungan awam. Meskipun ambil kewartawanan tapi ilmu perhubungan awam juga penting. Sebagai seorang yang berinteraksi dengan orang ramai, ilmu pr (public relation) ini teramat penting. Di kalangan orang-orang seperti bahasa penting untuk perhubungan awam dipanggil pr je. Jadi, pr itu penting bagi orang yang menggelarkan diri mereka orang media. Apatah lagi jika seseorang itu menjadi pegawai perhubungan awam dalam sektor awam mahupun swasta. Kalau semasa di kampus, sesiapa yang mengambil kursus pr kebanyakan mereka terdiri dari kelompok yang digolong sebagai individu yang mempunyai personaliti menarik, suka tersenyum, peramah, mudah bergaul, pandai dwi bahasa, tidak sombong, sanggup melayan tetamu sampai selesai...dan pelbagai lagi. Dari sekecil-kecil perkara sehingga ke perkara yang besar. Pokoknya , kena jaga tetamu yang diundang. Orang kata kena entertain. Kena layan tanpa mengira status kedudukan seseorang selagi dia bergelar tetamu untuk tempat kerjanya.

Pengalaman menjadi pr secara tidak langsung lebih ketara semasa menjawat jawatan sebagai penolong penerbit rancangan tv. Dari mengarang surat jemputan, menghubungi, berbual mesra, memujuk tetamu supaya hadir dalam program yang dirancang, meminta sponsor tempat penginapan apabila bekerja di luar daerah atau out station. Semua itu kena dilakukan secara persendirian. Tiada siapa nak tolong, pandai-pandai buat kerja sehingga rancangan yang diterbitkan itu sempurna. Tiada siapa yang hendak ambil tahu tentang kerja-kerja yang akan dilakukan. Sesungguhnya pengalaman mendewasakan sikap kita supaya lebih toleransi, tidak sombong, tidak bangga diri, tidak syok sendiri, tidak terlalu merendah diri atau terlalu tinggi diri, dan ribuan pengalaman yang mendewasakan akal fikiran dan tindakan. Pelbagai jenis manusia sudah ditemui sama ada dari yang tinggi kedudukannya sehinggalah rakyat marhain. Pelbagai jenis kenderaan sudah dinaiki dari setinggi langit kapal terbang sehinggalah ke sampan nelayan. Cumanya belum berpeluang naik kapal selam je. Sementara hotel pula, dari yang hampir 6 bintang sehinggalah ke rumah tumpangan. Tetapi apapun dalam menerokai alam media itu, pr mesti ada.

Bekerja dengan media lebih-lebih lagi penyiaran, memang kena lasak. Lasak dari segala-galanya. Adakalanya terasa macam tomboy pula. Namun batas-batas sebagai wanita solehah (moga-moga jadi wanita yang solehah) memang dijaga. Sebab itu, ketegasan harus ditonjolkan di samping kelembutan. Entahlah, rasa-rasa sukar hendak menjadi seorang yang lemah lembut seperti seorang arwah penerbit yang banyak membimbing diri ini menjadi seorang yang berkeyakinan pada diri. Perwatakannya memang lembut dan orangnya memang cantik boleh dikatakan bidadari dunia lah. Sekiranya perempuan yang melihat cair hati apatah lagi orang lelaki. Kata-katanya yang lemah lembut tapi berisi masih terngiang-ngiang di telinga ini. Dalam hati berkata, “alahai bolehkah aku seperti dia.” Sebabnya diri ini memang dilingkungi dengan kaum adam. Dari ahli keluarga sehinggalah anak saudara semua kaum adam. Suami pun kaum adam, hish! hish! Itu sudah semestinya!. Maaflah kiranya merapu tapi itulah hakikatnya. Setiap orang dijadikan berbeza sifatnya dan rupanya.

Berbalik kepada sikap pr yang baik yang penting harus bijak menangani masalah. Itupun satu perkara juga. Nasib baiklah ilmu pr yang ditimba tidak sia-sia. Ia lebih bermakna jika dipraktikkan di medan yang sebenarnya bukan sekadar teori. Dan untuk praktikkanya mengambil masa juga bukan dalam sekelip mata boleh jadi bagus. Pengalaman kena maki hamun pun ada. Dipuji pun ada apatah lagi dilayan sebagai vip pun ada (he he he! Perasanlah tu) tapi itulah hakikatnyanya. Ada masa kita kena layan orang sebagai vip dan sebaliknya kita pula di layan oleh pr lain sebagai vip. Bagaimana saya dilayan sebagai vip? Nantilah saya akan sambung ke coretan yang lain. Jari jemari saya yang baru nak jadi lembut ini terasa sengal...kita jumpa lagi, itupun kalau ada orang nak bacalah...atau saya saja je nak curah perasaan, sebab kagan untuk kembali menjadi pr....he he he! Atau mungkin syok sendiri...peduli apa...ini blog saya suka hatilah nak tulis apa pun! Jangan marah ye! (ada ke orang nak marah?) ...bersambung.

No comments: