8.2.08

Hendak jadi penulis tapi malas baca buku atau buat kajian

Seorang sahabat bercerita dan sekali gus meminta pandangan. Ada seseorang menghubunginya untuk memberi cadangan yang dia hendak menulis mengenai kisah hidupnya sebgai seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Sahabat pun pening memikirkannya. Bolehkah cerita demikian ada permintaan di pasaran buku hari ini? Sedangkan buku-buku mengenai wanita terutama dalam edisi bahasa Melayu kurang mendapat sambutan. Dia pun mencadangkan kepada wanita yang bercita-cita hendak menjadi penulis supaya mengubah cadangannya itu menjadi lebih menarik dan bermotivasi serta boleh manfaatkan supaya lebih banyak adakan tips yang boleh dikongsi bersama. Bukan sekadar cerita yang tiada isi.

Boleh dikatakan, ramai wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa dan sudah tentu bila isi yang tiada boleh dijadikan panduan, sudah tentu pembeli akan rasa tertipu. Bila cadangan itu diberi kepada wanita yang bercita-cita menjajdi penulis itu, jawapannya yang diberi, "Dik oi! Akak ni mana ada masa hendak baca buku dan buat kajian. Akak sibuk dengan anak-anak!"

Saya yang mendengar cerita itu pun menggaruk kepala yang tidak gatal. "Macamana nak jadi penulis? Malas baca buku dan malas pula buat kajian!"

Sahabat itu pun tersenyum, dia geleng kepala. " Hairan kan? Nak jadi penulis tapi malas baca buku. Buat kajian, lagilah jauh! Tapi bagi alasan sibuk dengan anak-anak, adakah masa dia nak menulis?"

"Satu soalan cepumas, apa tujuan dia hendak menulis? Adakah hendak kaya cepat? Adakah hendak glamor? Adakah menulis sekadar isi masa bosannya? Dan apa sebenarnya?"

"Itulah yang musykil. Agaknya bila dia lihat ramai wanita yang menulis, jadi dia pun hendak menulislah. Dia ingat dengan semudah itu hendak jadi penulis. Orang yang hendak tulis novel pun kena buat kajian, bukan sembrono tulis sesuka hati. Lainlah kalau novel syok sendiri, atau novel picisan! Tak perlu nak fikir-fikir. Tulis sahaja yang terlintas difikiran.Saya akur, bahawa bukan semudah itu hendak meluahkan segala melalui tulisan. Menulis ini adalah satu seni juga. Dan bukan semua orang boleh menulis dengan baik dan berkesan atau berbekas di hati pembaca!"

"Apa tindakan awak?""

"Saya akan bagi syarat. Kalau tidak boleh buat apa yang saya hendak, lupakanlah hendak jadi penulis."

Mungkin tanggapan orang, senang jadi penulis. Sedangkan ada orang yang menulis berpuluh tahun masih lagi membaca buku, menelaah, mengkaji, mencari pengalaman hidup yang mana semua itu nanti akan menjadi perencah dalam tulisan. Macam-macam ragam manusia yang hendak menjadi senang dengan mudah. Tidak mahu bersusah payah. Tidak mahu terima pandangan orang lain. Mudah memperlekehkan idea orang lain. Mudah memperkecilkan orang lain. Dia sahaja yang betul dan orang lain tak betul. Dan bermacam lagilah perangai manusia di akhir zaman ini.

5.2.08

Akhirnya, dan masa yang cemburu!

Akhirnya, dapat menghabiskan bait-bait terakhir manuskrip fiksyen. Alhamdulillah! Sepertii beban yang berat semakin ringan. Nafas pun sudah tidak semput lagi. Semoga usaha itu berbaloi. Editor yang menanti manuskrip itu tersenyum lebar. Tapi, keseronokan menulis fiksyen semakin terasa. Lepas ini, sudah terangka dalam minda jalan cerita untuk fiksyen yang kedua pula.

Atas kesibukan yang melampau dan juga kesihatan yang tidak mengizinkan, maka blog ini sudah lama diisikan dengan cerita baru. Dalam hati, ingin sekali setiap hari mengisi ruang-ruang kosong dalam blog ini. Macam-macam yang hendak ditulis dan dikongsi bersama. Pelbagai maklumat yang hendak dicatat tetapi apakan daya. Masa berlalu dengan pantas! Perkara semalam rasanya masih baru berlalu. Sehinggakan buku dan majalah yang dibeli untuk dijadikan sebagai penambah maklumat dalam minda ini, belum habis di baca.

"Rasanya, majalah ini baru je di beli. Belum habis baca, sudah beli edisi yang baru!" Mamak yang mendengar keluhan saya, ketawa kecil. Saya pun ketawa sama. Memang benar, majalah bulan lalu belum lagi habis dibaca, tapi majalah bulan ini sudah keluar. Kena beli juga...! Dan ada banyak buku baru yang dibeli, tapi saya tak ada kesempatan hendak membacanya! Masa sungguh cemburu kan saya atau saya yang tiada masa! Entahlah! Dunia terasa berputar dengan pantas. Dan kita tidak dapat mengejar masa yang bergerak laju!