18.1.08


Sungguh menguji minda dan emosi


Hari Jumaat. Begitu pantas masa berlalu, pejam celik pejam celik sudah tiba ke hari Jumaat. Penghulu segala hari. Hari yang dianjurkan kita umat Islam banyakkan beristighfar dan juga selawat ke atas Nabi Muhammad s.aw.


Apakah yang aku sudah lakukan dalam seminggu? Kerja-kerja penulisanku masih lagi tertangguh. Minta maaflah kepada sahabat yang sudah lama menunggu manuskrip masuk. Tetapi, penulisanku kali ini sungguh mencabar minda dan emosi. Penulisan fiksyen yang perlukan juga kajian dari segi fakta dan maklumat. Perlu juga dirasai dari segi emosi watak yang dipaparkan itu. Semuanya itu menguji diriku yang cuba untuk menghasilkan karya fiksyen yang pertama.


Kali ini kesukaran itu meraja di hatiku. Rasanya aku lebih cekap dalam menulis non-fiksyen. Lebih cepat dan pantas menghasilkannya. Entahlah! Ada orang kata, tulis fiksyen lebih mudah. Sebabnya mudah direka, mudah dicipta, mudah dikembangkan episod-episodnya. Bagi aku pula, sungguh meletihkan. Letih dari segi minda dan emosi. Adakah ini perasaan seorang penulis yang menghasilkan novel? Lebih-lebih lagi macam aku cuba menghasilkan novel yang ringan tapi berat. Macam mana tu? Itulah yang memeningkan kepalaku sendiri! Aku sendiri masih tidak yakin dengan tulisanku kali ini. Macam 50-50. Bolehkah aku menjadi penulis novel?


Tapi keseronokan itu mula terasa. Jari-jemari mula tidak sabar hendak menamatkan cerita yang aku reka sendiri. Tunggulah! Sahabat-sahabat, doakan aku berjaya menghasilkan karya sulung ini! Amin!!!

14.1.08


Adakah kita semakin tak selamat?


Bermulanya hari-hari di awal tahun Islam mahu pun Masihi, kita dikejutkan dengan beberapa peristiwa yang menggugah perasaan. Kehilangan anak-anak kecil yang hanya bermain di taman permainan sungguh memeranjatkan. Seolah-olah kanak-kanak tidak bebas lagi untuk bermain di luar. Teringat semasa zaman kecil-kecil. Sudahlah taman permainan belum lagi wujud tapi kanak-kanak masa itu bebas bermain, berlari-lari, melompat-lompat dan boleh bermain sepanjang masa. Tapi hari ini, hendak keluar rumah pun takut. Bukan sahaja kanak-kanak, orang tua pun rasa gerun hendak berjalan seorang diri.


Jika dulu, kanak-kanak ditakutkan dengan unsur-unsur mistik. Jangan pergi ke padang, nanti jumpa hantu kum kum! Pergilah main kat sana, nanti jumpa pocong baru tau! Degil tak nak dengar cakap emak, biar hantu galah hempap dia! Itulah antara dialog larangan dari emak kita. Tapi, tidak peduli dengan larangan itu, tetap bermain dan selamat pula tiada gangguan dari makhluk asing!


Tapi hari ini, nak pergi berlenggang ke padang pun tidak selamat. Sekarang ini, kita bukan takut dengan hantu tetapi takut dengan manusia spesis yang senyap tapi ganas, yang berupa baik tapi sadis, yang kononnya pemurah tapi pembelit, yang zahir nampak alim tapi masya Allah lebih jahat dari syaitan, yang bijaksana tapi tong kosong, yang bijak berkata-kata tapi malas bekerja, dan pelbagai spesis lagi sehinggakan tak tersenarai.


Keselamatan orang dewasa pula kini terancam. Silap sikit, nyawa melayang. Nyawa dan maruah boleh hilang dan boleh berlaku di mana sahaja. Malah dalam rumah sendiri pun tidak selamat. Yang kena rompak kemudian dirogol, yang kena ragut kemudian terhantuk di batu pun mati, yang berdendam terus ditembak mati, yang rempit terus dihimpit atau dihempoknya kita, yang baik tengah tunggu bas, diculik, yang hendak bunuh diri pun ada sesama sendiri; mat motor berlaga dengan geng mat motor sendiri. Dan macam-macam yang pelik berlaku dan akan berlaku.


Kembalilah kita kepada yang Satu. Minta perlindungan dari Allah yang Masa Berkuasa. Hanya kepadanya kita bertawakal! Tapi jangan pula sudah terhantuk baru hendak terngadah! Sudah terkena baru hendak insaf. Sedangkan iman itu tiang agama. Jadi perkukuhkan tiang agama sebelum mereput atau rapuh!

5.1.08

Sentiasa Berazam

Bila bertemu dengan tahun baru Masihi, setiap orang yang mengenali diri kita bertanya dengan soalan yang lazim, "Apa azam baru?" Kadang-kadang terkedu juga lidah hendak menjawab. Sebabnya, memang tak ada azam setiap awal tahun. Tetapi azam itu sentiasa tersemat di dalam hati setiap saat.

Mula-mula hendak jadi individu yang taat beribadah dan mengamalkan ajaran Islam. Patuh kepada yang diwajibkan dan hindar daripada yang dlarang oleh Tuan kita, Allah yang Maha Penyayang lagi Mengasihi. Sentiasa berazam hendak tambah ilmu dan ibadah. Melakukan banyak sedekah dari segi senyuman (petua awet muda tapi biar bertempat kalau senyum), ilmu, wang, tenaga dan sebagainya. Tidak kedekut sama ada ilmu, wang, pertolongan, pinjam barang atau apa sahaja. Hendak sampaikan ilmu melalui yang termampu, kalau boleh hendak terus menulis dan menulis yang bermanfaat (ya Allah! kabulkanlah cita-citaku ini), berbakti pada suami, keluarga dan masyarakat. Dan banyak lagi...pokoknya azam itu tetap tersemat selagi hayat dikandung badan!

Hendak jadi isteri yang solehah. Taat dan patuh kepada suami. Setia dan percaya pada suami. Berkongsi suka dan duka dengan suami. Dan segala-galanya dengan suami. Tiada rahsia antara kami. Itu dikatakan sehati sejiwa. Doakan untuk kebaikan diri, suami dan keluarga.

Hendak jadi anak yang baik taat pada ibu dan ibu mentua. Menghormati dan menyayangi mereka sepenuh hati. Menerima ilmu yang diberi sebagai panduan. Belajar dari pengalaman mereka yang lebih makan garam dari kita.

Hendak menjadi adik dan kakak yang baik kepada adik beradik kandung, ipar duai, biras dan saudara mara jauh dan dekat. Menjalin hubungan silaturrahim yang mesra dan ikhlas. Hubungan tetap terjalin walau dalam apa keadaan sekalipun.

Hendak menjadi pekerja yang bekerja dalam penuh tanggungjawab. Melaksanakan amanah yang diberi dengan baik dan bersungguh-sungguh. Menjadi pekerja yang sukses, ceria, cekap, kreatif, berdaya saing. Tidak curi tulang atau mengambil kesempatan atas kebaikan majikan kita yang telah memberi kepercayaan kepada diri ini. Mampu berdikari dan menghadapi cabaran!

Hendak menjadi ahli masyarakat yang menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Sekurang-kurangnya bersikap mesra tidak sombong atau angkuh, bersikap ringan tulang dalam kenduri kendara, mudah mesra, peramah, dan sebagainya setakat yang termampu.

Antara yang terakhir, ingin menulis buku sebanyak-banyak yang mampu. Ya Allah! Berikanlah daku kekuatan, semangat jitu dan kejayaan ini . Serta permudahkanlah. Amin!