25.9.08

Siri 'Young Aisyah' dilukis oleh Jonos

Siri novel Islami ini adalah dalam bentuk novel campur komik. Oleh itu, komiknya pula akan dilukis oleh Sdr. Jonos. Kiranya dalam menghasilkan novel kanak-kanak ini, ada cerita dan komik.

Masa kini, Sdr. Jonos sedang bertungkus lumus melakar watak Aisyah dan rakan-rakannya. Bukan sesuatu kerja yang mudah. Perlu dilakukan sedikit sebanyak kajian tentang watak utama dan sampingan dan dicernakan dalam bentuk lukisan. Begitu juga dengan props yang hendak dihasilkan, terutamanya baju dan rekaannya.

Inilah kali pertama aku bekerjasama dengan Sdr. Jonos. Tetapi malangnya, aku masih belum ada kesempatan untuk berbincang secara bersemuka dengan beliau dan yang lain. Seperti yang aku katakan sebelum, halangan itu belum lagi dapat aku rentasi. InsyaAllah, mungkin dalam bulan Syawal aku berkesempatan untuk berbincang secara serius tentang perkara itu.

Terima kasihlah semua yang terlibat kerana memahami keadaan aku ini. Semoga Allah permudahkan kerja-kerja yang mulia ini.

Ingin aku siarkan lakaran awal Sdr. Jonos...tapi nantilah, kena minta izin dari tuannya terlebih dahulu.

Doakan semoga kerjasama kami ini membuahkan yang terbaik untuk semua. Amin!
Siri Novel Islami Kanak-kanak "Young Aisyah"

Alhamdulillah, akhirnya dalam bulan berkat ini aku dapat menghasilkan satu manuskrip untuk novel Islami khusus untuk kanak-kanak. Walaupun pada peringkat awalnya ingin disiapkan sebelum Ramadan, tetapi aku hanya mampu merancang yang menentukan adalah Allah SWT. Namun atas semangat bulan berkah ini, aku gagahkan jari jemari ini untuk menghasilkan bait-bait seterusnya sehingga ke noktah terakhir.

Syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya aku berjaya menyiapkannya pada hari ini, 25 Ramadan bersamaan 25 September ini. Ini percubaan aku untuk terjun dalam novel kanak-kanak pula. Kalau sebelum ini aku pernah menghasilkan karya untuk kanak-kanak tetapi aku tidak puas hati dengan cara penyelenggaraan buku itu. Dan aku mengharapkan, novel Islami kanak-kanak ini atas usaha PTS Islamika juga bakal menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk kanak-kanak pada hari ini. Dan juga sebagai satu alternatif yang tepat untuk mereka. Moga-moga mendapat sambutan!

Pelawaan yang diberi oleh Encik Faris, Pengurus PTS Islamika aku sambut dengan senang hati. Cita-citaku memang hendak menulis sesuatu khusus untuk golongan kanak-kanak bawah 13 tahun. Kelompok mereka ini juga tidak ketinggalan dalam memeriahkan dunia buku. Mereka memang memerlukan bacaan yang bermutu untuk dijadikan sebagai tambahan ilmu.

Usaha awal PTS Islamika perlu diberi sokongan dan aku sanggup memikul tanggungjawab untuk menghasilkan siri pertama, Young Aisyah. Teruja juga hati ini sebaik sahaja memulakan penulisan manuskrip.

Hasil perbincangan secara online dengan editor terbabit, Sdri. Assyura yang pada awalnya meminta datang ke pejabat untuk berbincang lebih lanjut. Tetapi keadaan tidak mengizinkan. Itu yang aku kesal tapi hendak buat macam mana, ada halangan bersebab. Tapi, berkat kegigihan editor yang memberikan kerjasama yang tidak putus-putus dan atas kepercayaannya pada diri aku ini, aku bersyukur dapat melunaskan janji ku kepada mereka.

Tunggulah kemunculan novel islami kanak-kanak pada bulan November, insyaAllah.

15.9.08






Kad ucapan raya istimewa

Bulan Ramadan dan Aidil Fitri sungguh bermakna bagi diriku dan suami. Selain dengan kehadiran seseorang yang memeriahkan hidup kami juga sesuatu yang tidak diduga menerima kad ucapan hari raya dari seseorang yang penting di negeri tumpah tinggalku semasa aku remaja sehinggalah berkahwin.

Dalam usia semakin senja, inilah kali pertama seumur hidup mendapat kad ucapan hari raya Aidil Fitri dari seorang yang meneraju negeri Selangor. Terkejut juga apabila menerima sampul surat berlabel "URUSAN SERI PADUKA BAGINDA". Dalam hati berkata, siapalah yang menghantar kad ucapan raya ini atas urusan negara? Bukan aku sahaja yang terima tetapi juga suami.


Sabtu lalu, 13 September 2008 kad itu sampai di rumah ibu mentuaku. Hari itu aku berbuka puasa dengan beliau. Ibu mentuaku berkata, "Ada kad raya baru sampai." Terkejut juga siapa pula hantar kad raya guna alamat ibu mentuaku?



Akhirnya terteralah kad ucapan raya itu dan sekaligus menjemput rumah terbuka pada 1 Syawal. Terima kasihlah Menteri Besar Selangor yang juga merangkap ahli parlimen Bandar Tun Razak yang menjadi wakil parlimen tempat tinggal aku. Alhamdulillah ada juga orang ingat pada kita.

10.9.08


Selembut Bicara diulas dalam Berita Harian


Seawal pukul 9.38 pagi dan bertarikh 10 September 2008, aku menerima satu pesanan melalui telefon bimbit. Segeralah aku melihatnya pesanan awal pagi itu. Tertera nama Pegawai Perhubungan PTS, Sdra. Roslan. Memaklumkan aku bahawa buku pertama, "Selembut Bicara" diulas dalam akhbar harian, Berita Harian. Dan menasihatkan aku supaya membelinya di kedai.


Tidak lama kemudian, aku pun ke kedai runcit yang berdekatan. Kalau diikutkan hati memang malas hendak membeli dan aku memang jarang membeli akhbar harian kecuali hujung minggu. Ini kerana sudah ada akhbar online, maka tidaklah lagi perlu beli suratkhabar..boleh jimat duit. Dan duit beli akhbar tiap-tiap hari itu bolehlah aku kumpul bayar bil Internet.


Tapi memandangkan ada kepentingan diri (he..he..he) maka aku melangkah ke kedai berhampiran dalam keterpaksaan (bulan Ramadan ini malas pergi kedai apatah lagi stok bahan memasak masih ada, jadi tak rasa hendak pergi selalu ke kedai). Aku membelek suratkhabar yang terjuntai dan bergoyang ditiup angin. Akhbar harian masih banyak lagi. Mungkin orang lain macam aku kot, baca sahaja dalam Internet.


Aku mengambil senaskhah dan membawanya balik ke rumah. Belek punya belek..mana ada keluar? Rungut aku sendirian. Nasib baik tidak ada orang yang dengar. Sudah tiga kali membelek..rasa macam nak putus asa. MasyaAllah, rupa-rupanya aku tersalah beli suratkhabar! Yang aku terambil dan beli adalan Harian Metro! Ceh! Memanglah tak jumpa! Sampai tahun depan aku tak nampak kelibat ulasan itu. Nampaknya penangan mata aku yang semakin kuyu ini yang menyebabkan aku tersalah ambil.


Dengan rasa lelah, aku melangkah keluar rumah lagi menuju ke kedai yang sama. Nasib baiklah kedai dengan rumah aku dekat mengambil masa hanya 3 minit sahaja boleh sampai. Nasib baiklah adik yang mengambil bayaran akhbar dari aku itu tidak bertanya "Kenapa? Baru je beli dah beli paper lain?" Itu nasib baiklah. Agaknya bulan Ramadan ini, orang malas hendak bercakap banyak. Jadi apa yang diambil dibayar dengan tepat itu sudah bagus bagi mereka.


Sebaik sahaja sampai di rumah, tanpa berlengah lagi aku membelek sehelai demi sehelai. Ah! Baru jumpa! Lega! Alhamdulillah! Tapi, ulasannya kalau dihitung dari segi masa, tidak sampai 2 minit sudah boleh habis membacanya. Jadi bacalah apa yang ditulis oleh pengulas.


Terima kasih pengulas, sukran jamil, PTS yang memberi peluang untuk aku menyumbang tulisan. Dengar khabar yang sahih, buku Selembut Bicara akan diulang cetak dan dipakej dalam bentuk yang lebih kecil sama saiz dengan buku Bahtera Nabi Nuh dan Sepuluh Sahabat diJamin Syurga. Terima kasih semua!

2.9.08


Salam Ramadan




Salam Ramadan kepada semua pembaca blog yang sudi bertandang ke terataq ini. Sudah pasti diharapkan Ramadan kali ini lebih bermakna dari yang lalu. Tingkatkanlah azam supaya berkemampuan untuk melaksanakan segala yang wajib dan sunat di bulan yang mulia ini. Moga-moga Allah permudahkan diri ini untuk melakukan perkara yang memberi ganjaran yang besar itu. Apatah lagi, kini tanggungjawabku lebih sedikit dari dahulu. Begitu juga ujian-ujian yang bakal dilalui diharapkan dapat aku atasi dengan baik.




Ya Allah! Permudahkanlah semua urusanku kali ini. Semoga kami sekeluarga dapat menjalani hidup ini sebagai umat-Mu dengan sempurna. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup. Melakukan segala suruhan-Mu dan meninggalkan segala yang mungkar. Lindungilah kami sekeluarga dari segala bala bencana, fitnah dan kekejaman di dunia ini. Semoga kami selalu dilimpahi rahmat kasih sayang-Mu. Amin!