27.3.09






Siri Young Aisyah dilamar oleh Penerbit Gramedia, Jakarta untuk dilesen


Berita gembira ini aku terima dari editor PTS Islamika, Sdri. Asyura seawal pagi 1 Mac melalui pesanan ringkas. Pada mulanya aku bagaikan tidak percaya, kerana novel itu baharu sahaja berada di pasaran pada awal Februari lalu.

Aku pun membalas sms itu, meminta kepastian. Menurut Asyura, Sdra. Imran Azmi, editor PTS Islamika yang merupakan salah seorang yang hadir Pesta Buku Islami, Jakarta terus mengkhabarkan berita itu secara langsung dari Indonesia. Pihak Gramedia berminat hendak melesenkan siri Pindah Rumah dan juga sirinya yang lain sekiranya masih dijaga dari segi kualitinya.

Alhamdulillah, itu satu berita yang benar-benar membuatkan hatiku terharu. Tidaklah sampai ke situ jangkauan bahawa novel kanak-kanak Islami itu akan ke seberang. Kerana selama ini, sukar bagi genre novel untuk ke seberang laut. Ini satu berita yang membuatkan aku bersemangat untuk terus menulis genre seperti itu.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai berita itu sila layari
sini

25.3.09

Kasihan Penulis kita

Bulan lalu, ada satu jualan murah buku di Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama MPH Book Store. Aku telah dijemput untuk memeriahkan lagi satu program bual bicara bersama dengan penulis yang lain.

Meskipun ruang legar yang dijadikan sebagai pameran buku tidak luas tetapi tetap meriah. Sebaik sahaja aku habis dijamu selera tengahari itu, aku pun mengajak suami melihat beberapa gerai yang ada di sekitar kawasan luar PNM itu. Selain MPH, ada juga beberapa gerai dari penerbit lain seperti Dawama.

Seperti yang aku jangkakan, syarikat itu mesti ada menjual buku yang murah semurah RM1/-. Sebelum ini, sekiranya aku berkunjung di kedai buku DBP, maka buku-buku lama memang menjadi sasaran aku untuk membelinya.

Tetapi kali ini, buku yang dilelong begitu banyak judul yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Maka memandangkan aku datang bersama suami, maka aku tiada masalah untuk memborongnya. Kereta yang akan mengangkut buku itu, bukan seperti selalu aku yang usung buku naik lrt turun lrt.

Pilih punya pilih, termasuk suami aku juga berperanan memilih, bila mengiranya , semuanya berjumlah 33 buah buku. Wow! Hanya dengan harga RM33, mendapat 33 buah buku. Dan tajuk-tajuk yang dipilih, hebat-hebat belaka.

Kasihan penulis-penulis terkenal di negara kita...bukunya terpaksa dilelong, itu kata sipenjual kerana kalau tidak berlonggok di dalam stor!

Berikut antara judul buku yang sempat ditaip:

1. Batas-batas Perhitungan ; Norhisham Mustapha
2. Denyut Nadi; Ali Jusoh
3. Lepaskan Kembali Aku ke Laut ; Shaari Isa
4. Nukilan Hati ;Solveigvon Schoultz Antologi cerpen Finland
5. Ketipung Bunga Jambu
6. Yang Indah Belum Menjelma Lagi ; Ayi Kwei Armal
7. Jalinan (Kumpulan Esei)
8. Sayembara-Esso-Gapena: Malaysian Short Stories
9. Tragedi Lubuk Mandi -Mohamad Jusoh
10. Syed Syeikh al Hadi: Sasterawan Progresif Melayu; Talib Samat
11. Dan Fikirkan Sejenak
12.Hikayat Purasara ; Khalid M Hussain
13. Untuk Siapa Genta Bergema ; Ernest Hemingway
14.Kabilah Adnan; Abu Hamid Jandal al Shalihar
15. Autobiografi Seorang Wartawan dari Kodiang Ke Jalan Riong; Tajuddin Saman
16. Riak dan Gelombang Sastera Melayu; Ramli Isin
17. Menangani Penulisan Kreatif Sastera Remaja; Talib Samat
18. Sastera: Pengalaman Ilmu Imaginasi dan kitarannya; Shahnon Ahmad
19. Kesusasteraan Bandingan seabgai Satu Displin
20 Pengenalan Kritikan Sastera ; M.K. Danziger/W/S Johnson
21. Organisasi Yang Membantu Dunia; Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ; Michael Pllard
22. Persediaan Menulis Esei Sastera ; Rahman Shaari
23. Istilah Psikologi
24.Aisyah Ghani Memoir Seorang Pejuang

19.3.09

18.3.09


Wajah Kulit Novel Young Aisyah Siri 3: Juara Kampung Badak Berendam
Novel ini bakal berada di pasaran pada penghujung bulan ini. Adik-adik yang mengikuti siri ini sila dapatkan di kedai yang berhampiran.

17.3.09




Young Aisyah Siri Ke 3




Akhirnya, aku dapat juga menyiapkan manuskrip ke 3 siri Young Aisyah dalam masa seminggu. Alhamdulillah. Tempoh yang sungguh mencabar. Diberi tugas saat terakhir. Sepatutnya aku tidak terlibat dalam siri ke 3 tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, editor meminta aku menulisnya.




Untuk membina mood menulis dalam masa yang terdesak amat payah. Tetapi aku menganggap itu sebagai satu cabaran. Kerana selama ini pun aku memang suka buat kerja di saat-saat terakhir.(Jangan ada yang mencontohi, satu teladan yang tidak baik). Tetapi itulah aku, sudah terbiasa sejak menjadi wartawan dahulu dan juga semasa sedang belajar. Namun alhamdulillah, kadang-kadang kerja di saat terdesak itu menghasilkan sesuatu yang baik. Dan aku mengharapkan hasilnya berkualiti.




Tidak sangka pula, tahun ini tiga siri Young Aisyah akan mewarnai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 nanti. Harap-harap para pembaca terutama adik-adik yang minat membaca dapat memberi sokongan yang baik. Hanya pada-Nya aku berserah!

15.3.09

Promosi novel Young Aisyah di MPH



Temui saya di MPH, Alpha Angle, Wangsa Maju, pada 22 Mac 2008 bermula dari 2.00 petang.

3.3.09



Siri 2 Inilah Dunia Aisyah Sofia: Buli

Siri 2 Aisyah Sofia akan berada di pasaran minggu hadapan. Adik-adik, kakak, ibu bapa, mak cik dan pak cik sila dapatkannya di kedai-kedai berhampiran. Selamat membaca!