19.4.10

Menjadi Ibu Bapa Soleh

Sebagai insan yang lemah, masih lagi banyak perkara yang tidak diketahui, maka perlulah banyak mengkaji. Dan untuk mengkaji sudah tentu perlu membaca. Belajar itu bukan tamat setelah tamat sekolah atau universiti, tetapi belajar itu perlu sepanjang hayat selagi nyawa dibadan.

Tetapi, ada sesetengah orang, setelah tamat peperiksaan penting, dan mendapat keputusan sama ada cemerlang atau sederhana, sudah mencukupi bagi mereka. Itu pandangan cetek. Budaya membaca dan menuntut ilmu tidak beraja di hati mereka. Yang lebih penting, ada pekerjaan, cukup makan, pakaian, ada harta..semua itu sudah mencukupi.

Sedangkan menuntut ilmu adalah sepanjang hayat. Tidak kiranya ilmu dunia apatah lagi ilmu bekalan akhirat. Untuk mengeluarkan belanja bagi memiliki beberapa buah buku pun berkira. Tidak menguntungkan, kata mereka. Apatah lagi hendak membeli majalah ilmiah yang mendidik.

Sejauh mana kita sebagai Islam sudah mendalami ilmu fardu ain yang pelbagai cabang itu? Apatah lagi ilmu fardu kifayah, yang juga pelbagai.

Begitu juga apabila sudah mendirikan rumahtangga. Bukan sekadar lulus ujian di kursus perkahwinan, tetapi juga perlu lulus dalam menjalani hidup berumahtangga.

Kita rasa gembira apabila dikurniakan anak. Ya, anak adalah warisan kita. Yang bakal mendoakan kita apabila berada di alam barzakh. Tetapi adalah kita menyedarinya bahawa jika kita sudah mempunyai zuriat, adakah kita akan membiarkan anak itu membesar dengan sendirinya?

Dari akal yang waras, sudah tentu tidak! Kita yang sudah dewasa ini pun diasuh dan dididik oleh ibu bapa kita. Begitu juga prosesnya yang berterusan, dan kini kita pula sebagai ibu dan bapa yang perlu mengasuh dan mendidik anak-anak kita, bukan orang lain. Tetapi, adakah kita sedar tentang tanggungjawab itu?

Sebelum ini kita sering mendengar kisah-kisah mengenai anak-anak yang derhaka. Tetapi pernahkah kita terfikir, bahawa ibu bapa hari ini juga ada yang derhaka kepada anak-anaknya?

Baru-baru ini, aku membeli sebuah majalah yang penuh dengan informasi ilmiah ilmu Islam. Sungguh berbaloi membelinya. Sarat dengan ilmu yang tidak termampu untuk insan biasa seperti aku ini menceduk dari kitab-kitab agama.

Tajuk depan majalah itu, Ibu Bapa Derhaka?

Memang benar, akhir zaman ini, ada ibu bapa derhaka selain anak-anak derhaka. Kita mendengar pelbagai cerita tentang bapa yang merogol anak, ibu bapa yang tidak memberikan perhatian dan kasih sayang apatah lagi didikan agama kepada anak-anak. Mereka mengharapkan sepenuhnya, sang nenek atau pembantu rumah menjaga anak-anak mereka apabila keluar bekerja. Kalau boleh sepenuh masa. Mereka tidak merasa malu atau rasa bersalah, apabila anak-anak membuat maksiat, astagfirullah! Itu yang menakutkan aku.

Lebih-lebih lagi dalam zaman moden yang canggih ini, mudah sahaja anak-anak terpengaruh dengan perkara negatif. Aku mohon jauhkanlah semua itu dari terkena tempias ke atas keluargaku.

Ibu Bapa Derhaka? Mengapakah jadi begitu?

Seorang ayah dari berjumpa dengan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau mengadu mengenai sifat derhaka anak lelakinya. Khalifah Umar memanggil sianak dan menasihatinya. Antara lain beliau menasihatkan, supaya sianak taat kepada ibubapanya dan tidak mengabaikan hak-hak ibubapanya.

Anak itupun menjawab, "Wahai Ketua Kerajaan Islam, bukankah seorang anak mempunya hak terhadap orang tuanya?"

"Sudah tentu."

"Apa hak itu, wahai Amirul Mukminin?"

"Seorang bapa wajib memilih ibu yang baik baginya, memberikan nama yang baik kepadanya serta mengajarkan kepadanya."

"Wahai Amirul Mukminin, bapaku tidak melakukan itu semua. Ibuku adalah seorang Majusi (penyembah api. Dia memberiku nama Ju'al (yang bererti kotoran kumbang) dan dia tidak mengajarkan kepadaku satu ayat daripada al-Quran."

Kemudian Khalifah Umar menoleh ke arah bapanya dan berkata,
"Kamu datang kepadaku untuk mengadu ketidaktaatan anakmu, padahal kamu terlebih dahulu gagal melaksanakan tugas-tugasmu kepadanya. Kamu telah melakukan kesalahan kepadanya sebelum ia melakukan kesalahan kepadamu."

Dalam majalah itu juga memberikan ciri-ciri ibu bapa Mukmin dan profesional:
  • lemah lembut dan tidak kasar
  • sabar
  • penyayang
  • mengambil yang paling ringan daripada dua perkara selama mana perkara itu tidak berdosa.
  • menjauhi sifat marah
  • bersikap sederhana dan seimbang
  • mempunyai kemahiran berkomunikasi
  • tahu mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya.

Imam al-Ghazali memberi pesanan,

"Anak-anak adalah amanah bagi kedua ibu bapanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung kepada apa sahaja yang mempengaruhinya. Jika dia dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, maka tumbuhlah menjadi anak yang baik. Dengan itu, kedua ibu bapanya akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Sedangkan apabila dibiasakan berbuat jahat dan dibiarkan begitu sahaja seperti membiarkan binatang ternak, maka dia akan sengsara dan binasa. Dosanya akan dipikul oleh ibu bapanya yang bertanggungjawab menguruskannya!"