1.11.07

Alahai Rumah Terbuka!

Hampir seminggu tidak menulis dalam blog. Terasa macam ada yang tidak kena dengan semangat dalam diri ini. Mungkin penangan raya yang masih menghambat diri ini untuk terus bermalasan menulis di sini. Dalam fikiran, banyak perkara yang hendak ditulis meluahkan rasa hati yang sememangnya tidak pernah berpuas hati.

Menyentuh tentang raya, ada seorang rakan bertanya, "Tak buat rumah terbukakah?" Seorang saudara yang lain pula bertanya, "Bila nak buat rumah terbuka?" Tanya pula adik sendiri, "Kak Idah tak buat rumah terbukakah? Selalu rajin buat?"

Bila memikirkan pertanyaaan sebegitu yang sering bermain di bibir orang-orang bandar (yang tinggal di bandarlah, tapi di kampung aku tidak tahu), semacam "rumah terbuka" itu satu budaya yang mesti diadakan pada bulan Syawal. Apakah, sekiranya tidak ada rumah terbuka, maka kita tidak boleh datang ke rumah seseorang itu dan beraya? Adakah mengadakan "rumah terbuka" sesuatu yang mesti atau wajib? Adakah kita perlu datang ke rumah seseorang itu hanya bila ada "rumah terbuka"?

Budaya ciptaan orang-orang bandar ini baru sahaja wujud sekitar tahun 90-an (kalau tidak silaplah. Tidak ada catatan sejarah yang tepat tentang budaya rumah terbuka ini). Semacam wajib mengadakannya. Ada yang mendakwa, buat rumah terbuka ini adalah memudahkan untuk kawan-kawan dan sanak saudara datang sekali gus. Itu alasan biasa. Kita lihata pro dan kontra budaya rumah terbuka ini.

Alasan Pro (Baiklah):


1. Sekali gus menjemput orang.

2. Menjimatkan masa (Hanya dibuat pada hujung minggu).

3. Melayan tetamu pun sekali gus (tidak perlu layan pada hari-hari lain).

4. Tidak ada masa (mungkin hujung minggu tiada di rumah..selalu je balik kampung atau bekerja) jadi memilih tarikh dan masa yang sesuai untuk orang lain beraya di rumahnya.

Kalau ada tambahan sila tambah......

Alasan Kontra ( Tidak berapa baik)

1. Kalau ada duit banyak tidak mengapa. Tapi kalau duit gaji pun tinggal sen-sen di hujung Syawal mana pula hendak dibuat belanja?

2. Menu yang disediakan mesti macam-macam dan dalam kuantiti yang banyak. Kena sewa khemah dan kerusi, kena masak periuk besar dan lain-lain. Kalau mampu upah je katering tapi yang tidak mampu terpaksa masak sendiri.

3. Bila sudah kena masak sendiri, tukang masaknya tentulah si wanita (isteri, adik.....kakak, emak....). Bila sudah masak banyak, tentulah penat. Apatah lagi yang datang berduyun-duyun serentak, makanan pula tak cukup (sebab orang datang niat mereka nak makan je, bukannnya beraya) dan kalau tak sedia pula, jadi bahan umpatan orang.

4. Adakalanya, rumah terbuka ini macam buat kenduri pula. Sama ada ala-ala kenduri arwah ataupun kenduri kahwin. Bila hendak jemput orang, mesti dipilih-pilih. Siap senarai dan memilih orang-orang tertentu. Sehinggakan jiran sebelah atau dua belah tidak dijemput kerana tidak ada dalam senarai. Apakah konsep ini betul? Alasannya, jemput kawan sepejabat je! Jiran sebelah melongo dan hanya mampu hidu bau makanan yang semerbak.

5. Bila sudah ramai yang datang secara serentak, sudah jadi macam orang kahwin pula. Tuan tanah tidak sempat hendak bermesra atau beramah mesra dengan tetamu. Apatah lagi hendak bertanya khabar, bercerita tentang diri, keluarga atau apa-apa saja. Dialog biasa dikeluarkan, "Jemput makan! Layan diri ye!" Tetamu datang hanya makan dan kadang-kadang balik tidak sempat jumpa tuan rumah kerana sibuk menyiapkan hidangan dan menjemput orang makan. Apakah raya itu hanya makan-makan je? Entahlah!

6. Tetamu datang hanya lima atau paling lama 15 minit. Mereka datang tunjuk muka, makan dan balik. Sebabnya hendak bekejar ke rumah terbuka yang kali keberapa.

7. Bila tetamu terlalu ramai, sudah panik hendak layan. Ataupun tidak terlayan. Tuan rumah kepenatan dan mungkin hampir pitam. Badan sakit, pinggang hampir bengkok kerana menyiapkan juadah yang sentiasa habis. Bila badan letih, muka tidak mesra, mulut malas hendak berkata, bersalam pun ala kadar je...alahai tercapaikah konsep rumah terbuka?

Sekadar pandangan....terpulanglah kalau hendak buat rumah terbuka. Tapi pintu rumah aku sentiasa terbuka bila perlu saja (kalau asyik terbuka, lain pula yang masuknya). Kalau hendak datang beraya, datanglah.Tapi telefon dahulu, dibuatnya aku tiada di rumah kan penat saja! Makanlah apa yang ada dalam rumah aku. Kalau sempat aku masak sedap-sedap, kalau tidak makan biskut kering je. Janji, niat kita hendak menziarahi sanak saudara dan rakan taulan di bulan yang mulia.

No comments: