17.4.08

Alahai pesta buku....


Selama sepuluh hari berada di bangunan PWTC yang menjadi tempat terpamernya buku-buku tempatan dan juga luar negara memberi seribu pengalaman. Sama ada merasa letih badan sehingga ke hari ini. Belum lagi termasuk minda yang perlu dicas semula supaya boleh berfungsi seperti biasa dengan idea-idea yang bernas.


Alhamdulillah, selama sepuluh hari berada di sana, setiap sudut dijelajahi. Berkenalan rakan baru dan juga menerima pelbagai informasi sama ada dari buku-buku yang dipamerkan dan juga dari program yang dianjurkan sama ada berbentuk informasi, perbincangan, diskusi, teater, berpuisi, perasmian produk buku terbaru dan sebagainya. Selain itu, inilah masanya berjumpa dengan rakan penulis yang sudah lama tidak mendengar khabarnya.


Namun seminggu sudah berlalu, fizikal masih lemah. Mungkin akibat dari booth-booth buku yang ditempatkan tiga kawasan yang berlainan. Apatah lagi, program yang selalunya dianjurkan di ruang legar telah berpindah ke seberang sungai. Namanya juga seberang sungai, maka ikut rentak kakilah. Kalau kaki ini ingin melangkah ke sana atas kekuataannya, maka melangkahlah ke sana. Jika tidak hanya mampu melangkah setakat di ruang legar dan juga aras 3. Itupun pada hari terakhir terasa mampu untuk menjejak kaki ke aras 4. Dapatlah mencari tajuk-tajuk buku yang berkenan di hati dan juga buku lama yang dijual dengan harga yang murah. Adalah enam tajuk buku dibelii dengan harga lebih kurang RM60 setelah diskaun 10%. Setiap hari memborong beberapa buah buku..itupun yang ada diskaun. Tetapi pada hari terakhir, ingin mencari buku yang berjaya menarik hati ini tetapi tidak berjaya. Antara faktornya, orang ramai berpusu-pusu menyerbu booth tertentu, dan alasan yang lain pula, kaki ini sudah tidak larat hendak melangkah lebih laju dari sebelumnya. Menyesal tak sudah. Mana lagi hendak mencari buku yang rasanya sukar untuk mendapatnya di kedai buku biasa.



Rasanya sudah tiba masanya pihak penganjur mengubah tempat berlangsungnya pesta buku. apa kata dibuat di sebuah bangunan yang besar yang boleh menempatkan semua penerbit. Ini adalah untuk kesenangan orang ramai bergerak dalam satu tempat. Apa kata, kalau pesta buku diadakan di stadium tertutup seperti di Bukit Jalil atau di Cheras. Lebih adil untuk semua pihak. Tiada pemilik gerai yang mengeluh, bukunya tidak laku disebabkan tersorok di hujung sungai. Kali ini dikhabarkan, ada berlaku kekecohan kerana rasa tidak puas hati pihak tertentu kerana tempat mereka kurang dikunjungi oleh orang ramai. Sama ada orang ramai tidak tahu, atau sudah penat berjalan ataupun sudah habis duit apabila berkunjung di ruang legar sahaja.

No comments: