Berani berkata benar.
Sheikh Abdul Kadir Jailani seorang ilmuan dan juga kuat imannya adalah seorang yang rajin menuntut ilmu sejak dari kecil lagi. Dia merancang hendak menyambung pelajarannya ke bandar Baghdad. Pada suatu hari, Kadir bersiap-siap kerana hendak bertolak ke bandar Baghdad bagi melanjutkan pelajarannya. Apabila sudah bersiap, dia pun bertolak dari rumahnya dengan iringan doa dari ibunya. Ibunya juga membekalkannya sedikit wang sebanyak 40 keping wang emas sebagai perbelanjaannya pergi dan balik nanti.
“Ibu, saya pergi dahulu. Doakan saya berjaya.”
“Baiklah anakku. Ibu ingin berpesan kepada kamu.”
“Apakah dia, ibuku?”
“Ibu meminta kamu sentiasa bercakap benar dalam segala perkara.”
“Baiklah ibu.”
Kadir salam tangan ibunya dan kemudiannya keluar dari rumahnya.
Bandar Baghdad adalah sebuah tempat yang jauh dari rumahnya. Namun begitu dia berazam hendak ke sana demi menambah ilmu agamanya meskipun umurnya masih muda lagi. Dalam perjalanannya itu, dia bernasib baik kerana dapat menumpang sebuah rombongan pedagang yang membawa barang. Dia menumpang unta mereka. Oleh itu, Kadir terpaksa mengikut rombongan itu pergi ke sebuah tempat yang bernama Hamadan sebelum ke bandar Baghdad.
Dengan tidak diduga, apabila mereka sampai ke daerah itu, satu kumpulan orang jahat menahannya dan juga rombongan pedagang yang dia tumpang. Perompak itu menangkapnya dan menjadi kan Kadir sebagai tawanan mereka. Kadir dibawa pergi bersama dengan perompak -perompak itu.
Dalam perjalanan, salah seorang perompak bertanya kepada Kadir, “Apakah yang kamu bawa bersamamu wahai budak!”
Kadir memandang wajah perompak itu dan berkata dengan berani, “Saya hanya membawa 40 keping wang emas sahaja.”
Apabila mendengar jawapan daripadanya, perompak itu meninggalkan Kadir seorang diri kerana menyangkakan Kadir mempermain-mainkannya.
Tidak lama kemudiannya, datanglah seorang perompak lain bertanya kepada Kadir, “Wahai budak! Apakah yang kamu bawa dalam beg itu?”
Kadir memandang wajah perompak itu dan menjawab, “Saya membawa 40 keping wang emas.”
Sebaik sahaja perompak itu mendengar jawapan dari Kadir, perompak itu membawa Kadir berjumpa dengan ketua mereka. Ketua perompak itu pun menanyakan soalan yang sama kepada Kadir. Tetapi Kadir tetap memberi jawapan yang sama.
Apabila mendengar jawapan dari Kadir, ketua perompak itu hairan. Dia pun bertanya kepada Kadir, “Wahai budak! Mengapakah kamu berani berkata benar, yang kamu membawa wang ?”
Kadir memandang wajah ketua perompak itu sambil berkata, “Pak cik! Semenjak kecil lagi ibu saya mengajar supaya saya selalu bercakap benar. Sehingga saya hendak pergi menuntut ilmu ke Baghdad, dia tetap berpesan supaya saya jangan bercakap bohong.”
Kadir diam sebentar dan kemudiannya menyambung lagi, “Saya tidak sampai hati hendak membantah nasihat dan pesanan ibu saya itu. Apakah nilai 40 keping wang emas ini dengan nilai saya hendak menuntut ilmu, pak cik?”
Apabila mendengarnya, ketua perompak tiba-tiba menangis tersedu-sedu. Ketua perompak itu berkata kepada Kadir, “Alangkah mulianya akhlak kamu wahai budak. Sesungguhnya, beruntungnya ibu yang melahirkan kamu. Usia kamu masih muda tetapi sudah takut melakukan dosa. Tetapi pak cik ini, tanpa segan silu membuat kejahatan dan mengkhianati janji dan amanah Allah.”
Ketua perompak itu menangis lagi dan menyambung katanya, “Demi Allah! Mulai hari ini pak cik bersumpah hendak bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.”
Kemudiannya, ketua perompak itu mengarahkan orang-orangnya memulangkan kembali harta rampasan kepada rombong pedagang yang Kadir tumpang. Mereka meneruskan perjalanan ke bandar Baghdad dengan selamat.
No comments:
Post a Comment