29.5.07

Rintihan Hati Seorang Ibu

Anak,

Semasa kamu kecil, ibulah yang mengasuh dan menjaga kamu supaya seekor nyamuk tidak menggigitmu, seekor lipas tidak merayap di badanmu, menyuapimu dengan minuman dan makanan supaya tidak lapar, memandikan kamu supaya sentiasa bersih, menyaluti tubuhmu dengan pakaian supaya tidak sejuk. Ibu tahu, itulah satu tanggungjawab yang perlu dilakukan sama ada mahu atau tidak. Itu sesuatu yang wajib dan semua ibu di dunia ini melakukannya sebaik mungkin demi kesejahteraan anak-anaknya.

Anakku,

Di saat kamu menginjak kaki ke alam persekolahan, ibu dengan sekuat kudrat jasad ini memastikan bahawa kamu pasti menjejakkan kakimu ke sekolah. Melihat keperluan yang perlu disediakan seperti peralatan tulis, buku, beg sekolah, baju sekolah dan kasut sekolah. Semuanya serba baru meskipun adalah sukar hendak menyediakannya tetapi ibu sedikit pun tidak pernah menyesali dan menunjukkan kesedihan itu di hadapan kamu. Ibu amat pentingkan kegembiraan mu anakku. Apabila melihat diri mu gembira, ibu turut gembira meskipun di dalam hati ini terguris seribu duka, dan Allah juga yang memberi kekuatan kepada ibu.

Anakku,

Di saat kamu menggengam segulung ijazah, ibulah antara orang yang paling bahagia dan tidak terucap dengan kata-kata. Ibu berbangga dengan mu, nak. Kejayaan mu satu kepuasaan di hati ibu. Ibu sudah menjalankan tanggungjawab kepada kamu. Ibu sudah memberi secukupnya, didikan agama, pelajaran dunia dan akhirat, akhlak mu, tutur kata dan budi bahasa dan sebagainya, semuanya ibu sudah curahkan kepada mu anakku supaya menjadi orang yang berguna di dunia dan di akhirat.

Anakku,

Ibu tidak mengharapkan balasan daripadamu, cumanya hanya satu yang ibu pinta, sekiranya ibu sudah tiada di dunia ini, sedekahkanlah fatihah untuk ibu. Dan doakanlah ibu supaya ibu di tempatkan bersama dengan orang-orang yang diredhai oleh Allah.

Anakku,

Meskipun kamu kini sudah berumahtangga dan mempunyai isteri dan anak-anak, ibu gambarkan yang kamu bahagia. Tetapi mengapakah sejak bertahun yang lalu, selepas ibu bertungkus lumus membuat kenduri kahwin yang meriah untukmu, kamu berubah? Kamu sedikit pun tidak mahu mengingati ibu. Mengapa? Apakah salah ibu?

Anakku,

Ibu bukan mahu hartamu, ibu bukan mahu kesenanganmu, ibu tidak mahu kamu memberi apa-apa kepada ibu, tetapi anakku hanya satu yang ibu pinta. Dan ini mungkin permintaan terakhir dari ibu, jengoklah ibu, tanyakan khabar ibumu ini sihat atau tidak? Itu sahaja permintaan ibu tidak lebih dari itu?

Apakah yang menyebabkan kamu berubah? Adakah kamu takut ibu meminta-minta sesuatu dari kamu? Adakah kamu fikir ibu hendak menyuruh-nyuruh kamu itu dan ini? Adakah kamu malu dengan ibu yang miskin ini? Jawaplah anakku!

Ibu ingin tahu sebabnya. Ibu tidak hairan dengan hartamu, kerana ibu masih mampu lagi mencari sesuap nasi untuk pagi dan sesuap nasi untuk malam. Usahlah bimbang, ibu tidak akan lapar kerana masih ramai yang kasih dan sayang dengan ibu. Tetapi ibu amat kesal dengan anak kandung ibu yang sanggup melupakan ibu dengan mudah apabila berkahwin dengan wanita pilihan hati.

Sekadar bertanya khabar pun ibu sudah merasa bahagia walaupun jasadmu tiada di hadapan ibu. Tetapi itu hanyalah khayalan ibu yang rindukan anaknya. Sungguh ibu kesali. Sekiranya ibu sudah tiada di dunia ini, usahlah kamu tangisi. Saat itu, tiada gunanya tangisan air mata berdarah sekali pun. Tapi tidak tahulah jika jiwa mu masih sensitif ataupun sudah tepu dengan kesombongan. Hanya Allah yang mengetahui.

Anakku,

Ibu sentiasa mendoakan agar kamu menjadi anak soleh dan tidak ada ibu yang hendak mendoakan anaknya menjadi jahat atau ditimpa bencana. Ibu tidak mampu lagi hendak meluahkan rasa hati yang luluh ini. Akhir sekali, semoga kamu berbahagia dengan keluargamu anakku! Amin!


No comments: