12.5.07

Kenang Sepanjang Hayat

Ibu, bukan hanya bila saat tibanya Hari Ibu di bulan Mei ini barulah daku terkenangkan mu. Tidak sekali-kali begitu. Setiap detik masa berlalu, di ingatan ku ini hanya memikirkan ibu sahaja. Ibu, kesusahan, kepayahan, keperitan dan kesabaranmu membesar diri ku dan juga adik beradik yang lain tetap tersemat dalam lubuk fikiran ku.

Masih ku ingat, di saat-saat permergian bapa buat selama-lamanya, wajah mu begitu tenang sekali. Tanpa sekelumit keresahan dan kegusaran yang ibu paparkan di wajah mu. Meskipun, ketika itu aku dalam meningkat remaja, masih ku ingat wajah tenang mu itu. Ibu, kau begitu tabah menerima takdir Ilahi. Ibu tidak menunjukkan sebarang kerumitan di wajah mu tetapi aku tahu bahawa di lubuk hati mu, mungkin ibu sudah memikirkan kesengsaraan yang bakal di hadapi bagi membesarkan lapan anak-anak mu yang baru membesar.

Namun begitu, tidak sedikit pun ibu luahkan kerisauan hati mu. Ibu, ketabahan mu mengajar diri ku agar juga tabah seperti mu atas apa jua ujian yang bakal menimpa diri ku kelak. Ujian melanda demi satu persatu, tetapi ibu sayang, kau tetap sabar menghadapinya. Ibu dengan sabar membesarkan kami adik beradik yang bermacam kerenah.


Ibu tidak jemu-jemu membela, mengasuh dan memastikan kami mendapat pendidikan yang sempurna. Makan dan minum kami, tidak sekali-kali ibu abaikan. Malahan, kami bersyukur kerana kami membesar dalam keadaan sihat fizikal dan akal fikiran. Ibu, hubungan kami adik beradik juga rapat dan mesra. Usahlah ibu bimbang. Cumanya, apabila diri ku ini sudah menjadi milik orang lain, pertemuan semakin terbatas. Namun begitu, tanggungjawab sebagai isteri dan juga anak tidak aku abaikan. Sekiranya, jasad tidak bersama dengan mu, talian telefon menjadi penghubung kemesraan antara kita.

Ibu, anak mu ini sentiasa mendoakan kesejahteraan dan semoga ibu sentiasa berada dalam keadaan sihat bagi membolehkan ibu meneruskan amalan ibadah dengan sempurna dan aman. Salam sayang yang tidak terkira dari anak mu yang jauh di mata tetapi dekat di hati.

No comments: