6.5.07

Mencari Buku (Pesta Buku 5.5.07)

Hari ini adalah hari ke dua terakhir pesta buku. Semasa saya tiba di PWTC kurang 10 minit ke pukul 11 pagi, orang ramai sudah memenuhi di setiap aras yang diadakan pameran buku itu. Sebelum menghadirkan diri di booth PTS, saya meronda ke beberapa gerai yang berdekatan di situ. Hajat hati hendak mencarikan buku untuk dibuat hadiah bagi anak saudara. Akhirnya, jumpa juga dan dapat membelinya dengan harga yang murah sekali.

Berjalan lagi dan menyinggah di sebuah booth yang menawarkan jualan murah bagi buku-buku lama termasuklah pelbagai jenis kamus. Saya memilih buku yang menjurus kepada persoalan wanita tulisan seorang penulis wanita dari Indonesia. Penulis ini memang saya kenali dan minat dengan tulisannya. Tetapi bukunya sudah diiktiraf lellong dengan begitu murah sekali. Adakah itu nilai seorang penulis yang mana setelah bertungkus lumus memerah otak dan menulis bagaikan tidak ingat lagi dunia ini, akhirnya bukunya di nilai sebegitu? Kemudiannya atas dasar hendak menghabiskan stok dan dikategorikan buku lama dalam simpanan penerbit itu, lalu dijual dengan harga lelong. (Minta maaflah, saya pun beli kerana dilelong!)

Saya berjalan lagi dan akhirnya mata saya tertumpu kepada sebuah buku yang selama ini saya mencarinya, iaitu tulisan Dr. Hamka yang sudah di beri wajah baru kepada kulit dan layout bukunya. Dengan potongan diskaun 20 %, saya membeli buku Dr.Hamka yang bertajuk, "Di Bawah Lindungan Kaabah' dan 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck'. Sebenarnya saya sudah membaca buku ini semasa saya kecil lagi milik mak cik. Tetapi, kini sudah meningkat matang (maksudnya sudah alam remaja tualah itu!), saya sudah lupa jalan ceritanya dan memasang niat mesti memilikinya sendiri. Memang kulitnya berubah dari kulit yang lama. Tetapi saya harap isinya tidak berubah kerana masih berminat dengan gaya tulisan Dr. Hamka yang penuh dengan nilai sastera Indonesianya. Saya belajar memahami bahasa Indonesia dengan membaca banyak buku tulisan Dr.Hamka dan juga Pram...(dulu belajar sastera terpaksalah mengkaji bahasa mereka kerana buku tulisan mereka digunakan sebagai buku teks). Mungkin sebab itu saya mudah membuat adaptasi buku.

Orang ramai semakin membanjiri dewan itu. Mungkin yang ramai datang ini adalah orang Kuala Lumpur dan yang sewaktu dengannya. Kelihatan budak-budak sekolah rendah dan menengah datang dengan rombongan bas sekolah. Saya pun menuju ke booth PTS setelah dirasakan sudah mula semput kerana ramai orang dan niat hati hendak menyambung beli belah kemudian nanti.
Kelihatan orang ramai mengerumuni booth PTS seperti biasa. Tetapi menurut Puan Nor, semalam Jumaat orang tidak berapa ramai. Saya lihat, penulis Pn. Ainin Naufal sudah berada di situ bagi sesinya menandatangani buku. Kami bertegur sapa setelah sekian lama tidak bertemu. Beliau bertanya mengapa lambat? Saya tidak lambat malahan sampai dahulu dari beliau, cumanya pergi merayau cari buku. Tidak lama, Pn. Ezee Rahmani tiba, diikuti dengan Pak Latip.

(nanti malam saya sambung....sebabnya saya hendak ke PWTC. Minta maaf semua tidak sempat tulis semalam kerana balik lewat malam kerana ada urusan lain)

No comments: