30.11.08

Karnival Membaca dan ujian hidup

Dua minggu lebih sudah tidak mencatat apa-apa dalam blog yang serba kekurangan ini. Bukan malas atau sengaja tetapi tanpa disengajakan. Pelbagai peristiwa berlaku. Bermula pada 11.11 hari itu aku telah menghadirkan diri dalam satu karnival. Bukan karnival beli belah atau yang bukan-bukan tapi karnival membaca buku di Kuala Selangor. Suatu ketika dahulu, semasa masih di sekolah menengah, pernahlah bertandang ke Kuala Selangor kerana mengikuti rombongan sekolah melawat negeri sendiri, Selangor. Kelakar kan? Maklumlah orang bandar dan hidup pula bukannya senang, hendak mengharapkan ibu bapa membawanya, tak mampu lagipun adik beradik ramai, tak muatpun kalau disumbatkan dalam satu kereta. Jadi bila ada peluang sekolah membuat rombongan, maka hati ini melonjak-lonjak. Ah! itu kenangan silam. Apa yang hendak aku katakan, bahawa kehadiran aku di tempat itu mengimbau kisah lama.

Berbalik kepada karnival itu, aku dijemput sebagai salah seorang panel yang mewakili kaum hawa. Membincangkan tentang buku kegemaran. Apabila Cik Emy dari Perpustakaan Awam Selangor bertanyakan apakah buku kegemaran aku, aku kata, banyak tak terhitung. Dan diapun meminta senarai buku yang digemari. Lagi satu tak tertaip pula aku kerana begitu panjang. Apa yagn sempatlah dan aku emailkan kepada rakan setugasnya. Akhirnya, Cik Emy memberitahu, yang mereka hanya ada buku "Warkah Cinta Berbau Syurga" yang hendak dipamerkan dalam karnival itu. Maka, aku pun diminta bercakap tentang buku itu. Memang novel Islami itu sudah habis aku baca beberapa bulan yang lalu. Kalau tak silap, dalam dua hari aku boleh habiskan.

Menjadi panel adalah pengalaman baru. Aku tak pernah pun sebelum ini. Terima kasih Encik Roslan Isa, PR PTS yang membuka jalan untuk mengenali PPAS (Perpustakaan Awam Selangor). Pada mulanya, aku risau kerana tidak tahu cara hendak pergi kerana suami sendiri tidak dapat menghantar dan perpustakaan di Kuala Selangor pula aku tak tahu di mana tempatnya. Tetapi, segala masalah terurai apabila Cik Emy sendiri menawarkan agar menumpang van PPAS ke sana. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

Tiba masanya, aku diapit dengan tiga panel lelaki yang hebat-hebat. Alahai, terasa kecil diri ini. Nanti entah apa-apa yang aku bicarakan. Harap-harap tak tersasul dan melalut. Dipendekkan cerita, semuanya berjalan lancar. Mungkin di lain hari aku catatkan isi perbincangan.

Sekembalinya dari Kuala Selangor, malam baru aku sampai ke rumah. Badan sudah mula terasa letih. Perutku sudah menyengat. Sakit kerana perutku kosong. Dan dua hari kemudiannya, rumahku tiada bekalan elektrik, itu mungkin keadaan biasa. Tapi yang dahsyatnya, ia melibatkan perkakas elektrik yang lain. Jiranku, mesin basuhnya rosak, diikuti dengan tv berasap. Aku pula, komputer riba pula meragam, agaknya kesan kerosakan elektrik. Kuasa elektrik yang melampau. Apa taknya, tiba-tiba, kipas laju macam kipas helikopter. Lampu tiba-tiba padam, macam ada hantu pula nak main kelip-kelip dengan aku. His! menakutkan saja!!

Hingga kini komputer riba baru tak boleh pakai, sedih rasanya. Ujian...ujian...sabor je la. Itu yang sampai ke hari ini hati tak berapa ceria, ingat nak ke Low Yat, tanya apek di sana boleh tak baiki supaya hatiku gembira semula!!. Doakan semuanya baik belaka! Amin.

2 comments:

A. Ubaidillah Alias said...

Assalamualaikum

Terima kasih sudi membual bicarakan novel Warkah Cinta Berbau Syurga. Semoga ia kian diladeni oleh khalayak pembaca.

Terima kasih.

saridahamid said...

Wualaikumussalam,

sama-sama, novel yang baik tidak akan dikesampingkan. Malahan novel ini turut disyorkan kepada anak buah saya.