9.10.08


Perihal Surah-surah Rindu


i.


Kiranya belum terlambat untuk mengutuskan Salam Aidil Fitri kepada semua yang sudi berkunjung ke sini. Dalam kesibukan harian, ada beberapa perkara yang hendak ditulis tetapi tidak ada kesempatan waktu. Namun, memandangkan semua dalam blog ini bukan berita terkini, maka peristiwa yang lalu boleh juga dicatatkan.


Dalam minggu ke dua berpuasa, aku menerima kiriman 10 naskhah novel Surah-surah Rindu. Di samping dititipkan sekeping kad raya kiriman dari PTS Milinnea dan juga PTS Islamika. Terima kasih kepada editor, Siti Nor Fadilah yang memenuhi permintaanku untuk menghantar novel itu secara pos kerana aku tidak berkesempatan untuk mengambilnya di pejabat PTS editorial atas sebab-sebab tertentu.


Perasaan ketika menerimanya adalah berlainan kerana inilah novel sulung ku yang sering membuatkan hati berdebar-debar menunggu kemunculannya. Kini, Surah-surah Rindu sudah berada di pasaran. Carilah di MPH bookstore, Popular, Kinokuniya dan kedai buku yang mengedar buku-buku terbitan PTS.


ii.


Setelah berada di pasaran, kini aku berdebar-debar pula menerima reaksi dari para pembaca. Namun aku bersedia untuk menerima sebarang kritikan, cadangan, komentar, dan sebagainya. Maklumlah, genre kreatif ini sesuatu yang berseni dan ada nilai sastera. Bagi individu yang ulat novel, sudah tentu dapat membezakan antara satu sama lain. Yang pastinya, sebagai penulis, sudah tentu tidak dapat memenuhi citarasa ke semua pembaca.


Aku ingin praktikkan ilmu komunikasi dan penulisan yang dimiliki selama ini dalam genre kreatif pula. Semoga kehadiran aku dalam dunia sastera diterima.


Niat aku menulis dalam bentuk genre adalah ingin menyampaikan sesuatu kepada para pembaca. Selama ini niat itu hanya terpendam sekian lama. Tapi, sesungguhnya untuk menghasilkan satu manuskrip yang penuh bukanlah semudah yang disangka. Bukan senang dan juga bukan susah untuk menghasilkannya. Apa yang penting, perlu ada semangat, kesungguhan, pengalaman, ilmu penulisan, bacaan meluas, kajian dan semua itu bila digarapkan ia akan menghasilkan satu manuskrip seperti yang dikehendaki.


Sebenarnya, aku mensasarkan manuskrip itu siap dalam masa dua bulan. Tetapi akhirnya tersasar juga hingga empat bulan. Kerana aku bukan sahaja menumpukan kepada penulisan novel tetapi beberapa manuskrip lain juga aku ingin siapkan. Terpengaruh dengan KJ Method yang diperkenalkan oleh sifu PTS, Puan Ainon Mohd. Apatah lagi, aku juga melakukan kerja-kerja freelance sebagai editor buku. Kekangan itulah yang melambatkan untuk menyiapkan manuskrip novel sulung.


Alhamdulillah, akhirnya terbit juga novel itu. Untuk menghasilkannya perlu juga disisipkan perasaan menulisnya. Bagi memulakan rasa mood menulis novel cinta Islam sesuatu yang payah. Maklumlah, zaman bercinta aku semasa remajaj sudah berlalu, maka untuk membangkitkan kembali perasaan itu, aku banyak mendengar lagu-lagu cinta (maaflah ye..lebih kepada lagu cinta kepada Tuhan tapi ada juga cinta sesama manusia...he he he) dan kebetulan memang aku ini suka kepada lagu yang sentimental dan romantis. Itu membina jiwa yang lembut. Mungkin pelik orang mendengarnya. Begitu juga aku banyak membaca novel cinta Islami dan novel yang lain.


Bukan mudah untuk membina ayat yang menyentuh perasaan.(Adakah orang membaca akan tersentuh hatinya, tapi bagi aku memang ada, kerana aku sendiri mudah tersentuh dan ada kalanya menangis bila ayat yang ditulis oleh penulis itu betul-betul menyentuh perasaan. Itu jika sipembaca membacanya dengan hati yang hadir. Tapi kalau baca sekali lalu, memang tiada perasaan langsung!) Entahlah, bagi aku memang susah. Setiap ayat perlu dipastikan lembut dan mudah difaham. Apatah lagi isu yang aku bawa dalam novel ini adalah berat dan jarang disentuh oleh pengarang lain. Aku terasa tercabar juga maklumlah aku ini bukannya seorang yang berilmu agama. Namun begitu, banyak juga buku agama yang menjadi rujukanku. Sesetengah pandangan mengatakan bahawa, novel Islami hanya layak ditulis oleh mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama.


Entahlah, aku ini bukan kelulusan agama tetapi aku berminat untuk sampaikan apa yang aku tahu dari apa yang aku belajar. Salahkah? Adakah menyampaikan ilmu Islam itu hanya layak untuk orang yang ada pendidikan agama? Tapi bagaimana dengan pesanan Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan, "sampaikan dari ku walau satu ayat pun."


Atas kefahaman itulah aku ingin sampaikan kepada para pembaca, harap-harap semua pihak menerimanya.

No comments: