13.10.08

Nostalgia Idul Fitri 2008



i.
Tahun ini persiapan raya tidak seperti tahun lalu. Memang berbeza dan malang sekali kuih raya yang selalu aku buat sendiri tahun ini tidak ada kesempatan untuk menyediakan. Bukan kerana harga minyak naik dan kemudian turun beberapa sen saja. Bukan sudah lupa bahan-bahan hendak buat kuih. Bukan itu. Tetapi sesuatu yang menghalang dan tumpuan aku sekarang ini sepenuhnya kepadanya. Namun dalam kesemputan itu, alhamdulillah aku masih berkemampuan menghasilkan manuskrip.




Akibatnya, sudahlah tak sempat buat kuih, hendak beli kuih lagilah tidak terdaya. Kerana kuih yang dijual di kedai-kedai atau pasaraya, harganya mahal sekali. Balang kecil sahaja hampir 20 ringgit. Lebih baik aku beli tepung, gula, telur dengan harga itu dan buat kuih sendiri. Lagi jimat. Namun apakan daya, kudrat yang semakin lemah ini tidak mampu membuat semua itu. Atas nasihat suami tersayang, janganlah sibukkan diri buat itu buat ini, nanti penyakit lain pula timbul.



Kesannya, hanya aku sempat membeli rempeyek, muruku, kacang, kerepek ubi dan jenis-jenis kuih bergoreng. Harganya bolehlah tahan dan nampak banyak pula tu. Kuih tahunan yang selalu aku buat seperti tart nenas, mazola, semperit hanya tinggal kenangan. Melepaskan gian makan kuih itu di rumah saudara mara saja. Jadilah! Tapi aku sempat juga memasak rendang, nasi himpit, kuah kacang dan sayur sambal goreng (jawa punya) pada petang raya. Habis pada raya ke dua.





ii.




Raya tahun in memang sungguh mencabar terutama dari segi cuaca. Mencabar juga aku sekeluarga adalah orang yang paling lambat sampai ke rumah emak. Tahun lalu aku orang pertama tahun ini aku yang tercorot. Nasib baiklah emak memahami, dan abang-abang, kakak dan adik turut memahami keterlambatan aku itu. Memalukan saja. Tapi tersengih-sengih kepenatan.


Kebiasaannya, selepas lepak rumah emak beberapa jam, kami adik beradik akan berkonvoi berkunjung ke rumah sanak saudara di sekitar Kampung Baru, Gombak dan Sungai Buluh, tapi tahun ini terbalik pula. Hanya lepak rumah emak sahaja memandangkan emak pun tidak berdaya hendak ikut kami beraya lagi. Maklumlah umur emak semakin emas dan anak dan cucunya pula ada yang sudah hampir pencen dan juga hendak kahwin(cucunya je). Jadi aku dan yang lain duduk di rumah emak tungguh tetamu datang.



Kebiasaannya, raya kedua aku ikut suami balik kampungnya di Melaka. Tapi tahun ini pelik sikit. Adik ipar aku ada rancangannya sendiri. Mengajak kami bercuti. Mula-mula terdetik, betul ke adik ipar aku ini? Macam hendak banyak hati yang lara saja? Mula-mula terasa malas pula tapi setelah sehari suntuk beraya di Melaka, mungkin inilah masa aku bersantai di pantai sekian lama memerap di rumah dan menghadap komputer riba tanpa batasan waktu. Okey juga cadangannya. Emak mentua aku pun tidak berapa sihat, mungkin boleh ubah angin. Dan akhirnya aku dengan ipar duai dan ibu mentuaku bersantai di Port Dickson di Tanjung Tuan milik syarikat adik ipar. Bayar murah saja.




Rupa-rupanya, cuti begini ramai yang datang ke PD termasuklah aku dan keluargaku. He he he. Tak pernah dibuat orang. Kalau saudara mara tahu ini memang kena bambu! Orang beraya, kami semua bersantai pula di pantai.
Tinggal di Tanjung Tuan ini membangkitkan nostalgia aku semasa berkhidmat di RTM. Tempat ini adalah menjadi tempat penginapan aku dan krew sekiranya aku ada tugasan di negeri ini. Boleh dikatakan kerap juga ke sini sampai sudah jemu. Tapi kehadiran aku pada hari raya ini, mengingatkan aku tentang tempat ini yang dahulunya cantik tapi kini seperti tidak terjaga dari segi penyelenggaraan biliknya. Mungkin disebabkan apartment di sini sudah dijual kepada syarikat lain. Seperti syarikat adik ipar ini, syarikatnya membeli 5 unit kondominium untuk kakitangannya bersantai. Masa sudah berubah!



iii.


Dalam kepenatan baru balik dari pantai dan kampung, hadirlah dua insan yang pernah aku tulis sebelum ini. Datin Hamidah Hamzah dan suaminya, Datuk Ramlan. Alahai terasa malu pula kerana peti ais aku kosong belum beli bahan-bahan basah dan kering. Yang ada hanyalah kerepek seperti yang aku ceritakan sebelum ini. Memandangkan mereka sudah sampai, aku terima dengan hati besar. Bangga sekali dengan kehadiran mereka di teratak kecil aku ini. Hanya menghidangkan air teh o dan kerepek-kerepek aku itu.

Dan pasangan pengantin baru itu menghulurkan kad jemputan rumah terbuka mereka yang akan diadakan pada hujung minggu ini. Inilah pertama kali aku terima jemputan formal rumah terbuka. Selalunya, jemputan mulut sahaja dari sahabat dan saudara mara.

Ada orang tanya, tidak buat rumah terbukakah? Entahlah, terasa malas pula. Suami pula suruh buat, aku belum bagi jawapan lagi. Sebabnya, yang hendak masak nanti, akulah. Dan aku jenis tidak suka order-order keluar duit, membazir. Baik masak sendiri. Nantilah aku fikirkannya!















No comments: