Pesta Buku Malaysia 2008, boleh tahan.
Pada 3 Ogos pula, aku dijemput untuk sesi tandatangan buku pada sebelah pagi. Tiba tepat pada pukul 11.00 pagi, kelihatan gerai-gerai buku sudah di kunjungi orang ramai. Kali ini, pesta buku di adakan dalam satu dewan di PWTC. Kali ini amat mudah untuk mencari gerai PTS. Dalam hati berdebar-debar, adakah orang hendak membeli buku aku dan juga meminta tandatangan sekali? Apa-apapun aku serahkan kepada Allah.
Pada awalnya, kelihatan ada beberapa pengunjung di gerai PTS yang dikendalikan oleh ejen mereka. Kelihatan beberapa editor PTS, Sdri. Firdaus dan Sdri, Assyura dari PTS Islamik sudah bersedia. Begitu juga rakan editor dari PTS Professional, Sdri. Rozita Abdul Razak yang sedia menanti kehadiran, kerana memang kami ada temujanji. Buku-buku disusun dengan kemas oleh editor Islamika. Tempat kami agak terhujung kedudukan dan berhampiran dengan pentas utama. Ada acara berlangsung di situ anjuran Perpustakaan Negara Malaysia. Kebetulan, ramailah murid sekolah dan budak-budak yang datang bersama ibu bapa mereka. Riuh rendah suasananya.
Kehadiran editor perolehan Islamika, Sdra. Imran yang bertindak sebagai 'dj' tak rasmi, sibuk berkata-kata tentang kehadiran aku dan buku-buku yang dipamerkan. Terasa segan pula, tapi buat tak tahu je! Alhamdulillah, ada juga penggemar buku-buku tulisan aku terbitan Islamika. Kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa bertuah, kerana keluarga mereka pasti membelikan buku untuk mereka. Kiranya, tidaklah aku termenung seorang diri, ada peneman dan riuh rendah. Orang semakin ramai dan pengunjung gerai PTS semakin meriah. Termasuklah membeli buku aku, hehehe, Alhamdulillah!
Semasa sudah tamat sesi itu, aku berbual dengan pengurus pemasaran dan promosi, Puan NorHazizam. Dia mempelawa aku untuk terlibat dalam sesi bercakap tentang buku aku yang bakal keluar. Novel Surah-surah Rindu. Aku termenung lagi sekali. Kiranya masuk ini sudah dua orang yang menyuruh aku bercakap tentang buku sendiri. Sambil tersenyum aku katakan, "Apa yang hendak dikatakan?" Aku belum ada pengalaman lagi. Menurut Pn. Nor, ramai yang terlibat hanya sesi tandatangan buku tetapi tidak mahu bercakap tentang buku sendiri. Dia hendakkan orang yang bercakap dan bermesra dengan orang ramai tentang buku sendiri. Aku tarik nafas panjang. Entahlah, antara malu dan segan. Antara tak mahu dengan tak faham. Rasanya macam berat je nak terima tawaran itu. Akhirnya, dia memujuk dan dengan ringan mulut ini berkata, 'baiklah'. Kiranya, itu macam satu perjanjian. Alahai, berdebar-debar rasanya!
Kemudian, Imran dan rakan editor aku mempelawa makan tengahari. Perut pun sudah berkeroncong! Kami berjalan ke bawah dan tiba-tiba Imran terhenti kerana menjawab panggilan telefon bimbitnya.
"Kak, ada orang nak tandatangan buku."
"Tak payah, suruh je Pn. Nor sain."
"Tak boleh kak, dia nak akak juga sain."
"Malasnya akak nak naik atas balik."
Imran borak-borak dengan Pn. Nor lagi.
"Tak pa kak, kita tunggu di bawah ni. Nanti budak yang beli buku tu datang jumpa akak."
"Alahai, rajinnya adik tu."
"Itu kira peminat akak lah ye!"
"Siapalah akak ini?" Tersenyum.
Kami tertawa. Ramai yang jadi pengiring saya, hehehe! Termasuk Sdr1.Firdaus, Sdri. Asyura dan Sdri. Rozita. Semua sudah rasa kebulur. Belum sarapan pagi. Akhirnya dalam masa sepuluh minit, adik yang membeli buku, 'Bahtera Nabi Nuh', pun turun. Macam kenal pula dengan kami yang sedang menunggu di ruang legar PWTC. Rupa-rupanya bukan sekolah tetapi pelajar IPTS. Alhamdulillah ada juga kelompok sebegitu membaca buku aku yang tergolong kumpulan remaja ini. Itulah saat-saat manis sebagai seorang penulis meskipun bilangan yang terjual ketika itu tidaklah banyak. Sempat pula berpesan dengan pelajar IPTS itu, jangan lupa membeli novel terbaru, "Surah-surah Rindu". Terima kasih kepada semua editor PTS Islamika yang melayan aku dengan baik dan belanja makan tengahari!
2 comments:
at the same time di Bandung juga tgh ada pameran buku :)
oh ya boleh saya tahu email ibu sarida? saya mau pesan satu novel yg baru publish itu :)
Salam Sdri. Dianz,
Email saya, saridah_64@yahoo.com. Dianz juga boleh order buku secara online melalui www.BOOKCAFE.com.my
Post a Comment