5.8.08







Pesta Buku Selangor 2008, kurang menarik!



Awal pagi sudah bertolak dari rumah. Kali ini aku ke Shah Alam dengan menaiki pengangkutan awam. Suami tidak dapat hantar kerana dia bekerja. Tetapi tidak menjadi masalah kepadaku kerana Shah Alam adalah tempat yang menjadi kenanganku semasa belajar lebih dari 14 tahun yang lalu. Bandar Shah Alam sudah banyak berubah. Dari bandar yang suatu ketika dulu apabila jam 7 petang adalah bandar mati kini berkembang pesat dengan kewujudan hotel, pusat membeli belah dan sebagainya. Kawasan perumahan juga semakin padat dan sendat dengan penduduknya.




Aku teringat, bila tiba saat menghadapi peperiksaan besar, aku dan kawan yang lain sering menghabiskan masa di taman tasik yang berhampiran ataupun kami beruzlah di masjid negeri Shah Alam yang terletak betul-betul di tengah Shah Alam. Nostalgia itu bermain-main di mataku sepanjang aku berada dalam bas rapidkl. Alhamdulilah, akhirnya aku sampai seawal pukul 10 pagi. Memang kompleks PKNS telah sesak dengan pelbagai tawaran jualan dari pelbagai jenis kedai. Dan mataku mencari-cari, mana pula lokasi pesta buku Selangor ini. Oh! Rupa-rupanya petak pamerannya di susun di tengah-tengah kompleks bahagian bawah dan terletak di celah-celah gerai-gerai lain yang menjual pelbagai barang termasuk kain tudung, aksesori kaum wanita dan banyak lagi. Mataku tiada tertancap logo PTS. Akhirnya aku bertanya dengan kaunter pertanyaan bagi pesta buku itu, dan rupanya ruang yang disediakan untuk penulis adalah dikongsi bersama dengan ejen buku PTS.




Tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu, tiada gantungan diskaun yang memeriahkan gerai-gerai buku di situ. Aku sendiri tidak pasti berapakah diskaun yang diberikan kepada pembeli yang akan membeli buku-buku di situ. Yang aku dengar, hanya 10 % sahaja. Dengan tawaran yang tak pasti, sudah tentu tidak menggamit para pembeli untuk membeli buku. Tekaan aku memang tepat. Menjelang pukul 11.00 pagi, orang semakin ramai datang tetapi bukan untuk menyinggah di gerai kami tapi sekadar lalu dan menjeling sahaja. Tambah menggamatkan, apabila gerai yang aku duduk berhampiran dengan kedai muzik dan jual vcd. Tambah riuhlah dan tenggelamlah pesta buku.




Dalam kebosanan itu, aku ditemani oleh dua editor PTS Islamika, Sdri, Firdaus dan Sdri. Assyura. Tidak lama kemudian kelihatan, Alif Firdaus, editor dan penulis PTS One. Diikuti pula dengan kawan penulis yang lain, Ainin Naufal dan Serunai Faqir yang berjalan menuju ke pentas utama. Kami sempat berbalas lambaian dan senyuman sahaja. Tidak lama kemudiannya, menyusul pula penulis dari PTS Profesional, Sdra. Sunthara Segar. Maka aku mengajaknya untuk turut duduk bersama meskipun masanya belum tiba dan mempamerkan buku-bukunya yang laku keras. Dia mensyorkan supaya aku bercakap tentang buku aku. Aku hanya tersenyum dan menyatakan aku tidak sepertinya pandai bercakap. Meskipun aku dulu suka bertanya orang lain dengan pelbagai soalan tetapi dalam keadaan sekarang, adakah aku ini layak untuk bercakap dengan buku sendiri? Aku sendiri jadi bingung. Apa yang perlu aku perkatakan tentang buku aku? Entahlah, aku masih belum memikirkan secara serius. Perlukah aku menyatakan mengenai buku-buku aku?




Menurut, editor PTS Islamika, buku Selembut Bicara sudah habis dalam stor dan akan diberi wajah baru dari segi saiznya bila diulang cetak nanti. Alhamdulilah, itu satu berita menggembirakan bagi dirku. Dan proses lesen di Indonesia bagi buku, 'Selembut Bicara' dan juga buku, '10 sahabat yang dijanjikan Syurga' juga telah diselesaikan dan menantikan penerbitan di Indonesia. Itu juga satu berita yang menyenangkan hatiku.
Sesetengah orang mungkin tidak suka untuk duduk dan menandatangani buku yang dibeli oleh orang ramai. Tapi bagiku, pengalaman menunggu reaksi dari orang yang membeli adalah sesuatu berharga. Dari situ kita boleh kenal siapa yang membeli dan membaca buku kita. Dalam kebosanan itu, ada seorang wanita yang agak berumur bersama anaknya datang bertanyakan buku aku. Dia berminat untuk membeli. Setelah membayar dia minta aku tandatangan, aku bertanya siapakah pemilik buku itu, dia kata, dirinya yang akan membaca buku itu. Ini bermakna, buku itu yang dikatogerikan sebagai bacaan untuk remaja, turut dibaca oleh kelompok dewasa.




Orang ramai semakin membanjiri ruang itu apabila menjelang pukul 12.00. tapi seperti yang dikatakan tadi, mereka tidak singgah ke gerai kami tetapi berlalu dan mungkin singgah di kedai berhampiran. Suasana hingar bingar tidak mengizinkan untuk bercakap atau menarik orang ramai ke gerai. Memang tak sesuai! Akhirnya tempoh satu jam berlalu. Malangnya, buku 'Selembut Bicara' tidak dapat dipamerkan kerana sudah tiada dalam stor. Sesungguhnya, pengalaman di Pesta Buku Selangor 2008 memberikan satu inspirasi lain.
Coretan ini akan disambung untuk mengisahkan Pesta Buku Malaysia 2008, yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur.

No comments: