Awak comel!(...siri 2)
Hannah lega setelah meluahkan apa yang terbuka di hatinya. Apakah orang tidak tahu yang dia juga ada perasaan? Umurnya muda tidak semestinya dia tidak ada rasa sedih. Di sudut hatinya menaruh dendam dengan budak lelaki yang sedarjah dengannya. Budak lelaki yang bernama Hamzi memang suka menyakatnya sejak dari darjah satu lagi. Peliknya, kenapalah guru kelas masih menempatkan ia di dalam satu kelas yang sama sehingga darjah lima. Bila ditanya siapakah yang menyakat, ia hanya dia. Biarlah ia rahsia. Ia tidak mahu abangnya membalas dendam pula!
Tapi satu yang paling mengejutkannya, pada suatu hari dia terima sepucuk surat. Sekeping kertas yang boleh dianggap sebagai surat walaupun tak ada sampul surat. Diselitkan di helaian buku teks mata pelajaran agama pula. Terkejut sungguh bila sudah tiba waktu pelajaran agama, Ustaz Riduan suruh anak muridnya keluarkan buku teks. Sedang mengelak halaman yang diminta ustaz untuk membacanya, terselitlah surat biru itu yang dilipat tiga kali. Mukanya cuak. Siapa pula yang hantar surat yang misteri itu? Cepat-cepat dia sorokkan dalam beg sekolahnya. Nasib baik tiada yang perasan.
Tapi, perasaannya tidak tenteram. Sepanjang yang diajar oleh Ustaz Riduan tak ada yang masuk dalam otaknya. Fikirannya menerawang. Hatinya bagai digamit-gamit tak sabar nak baca surat misteri. Ah! Kacau sungguh! Siapa pula nak tulis surat untuk aku? Masih sekolah rendah tapi ada hati nak tulis surat, getus hati Hannah. Kalau emak tahu ini mesti aku kena marah. Kecil-kecil sudah pandai main mata. Siapa pula main mata? Budak lain yang main mata. Atau itu bukan surat tapi hanya secebis kertas kosong. Ah tak pasti? Belum lagi dibuka mana hendak tahu surat atau kertas biru!
Dia terlupa juga tentang surat misteri itu. Mulanya tak sabar nak baca kini hilang bila dia mula berborak dengan kawan-kawan semasa waktu rehat di kantin. Sampai balik pun dia masih lupakan surat itu. Malam itu dia hendak buat kerja rumah. Dia keluarkan satu persatu buku teks. Ada kerja rumah yang disuruh oleh Ustaz Riduan. Ia hendak habiskan juga malam itu juga.
Sedang selak dan cari muka surat yang ada latihan, tiba-tiba jatuh sekeping kertas yang berlipat. Ya Allah! Baru dia teringat surat misteri itu. Hatinya berdebar-debar. Tangannya menggigil semasa membuak lipatan surat itu. Nasib baik dia seorang diri dalam bilik. Dia bangun sekejap dan pergi ke pintu. Saja hendak pastikan pintu biliknya berkunci. Dia duduk di birai katilnya. Dia mula membaca. Eee... teruk tulisannya!
Kepada,
Nurin Hannah Abdullah
Saya sungguh minat pada awak. Saya ingin kenal dengan awak, boleh tak? Awak comel dan putih. Saya suka lihat awak bila awak marah. Kita boleh jadi kawan baik, boleh tak? Kita harap awak tak marah, ya! Tapi boleh tak nanti awak balas surat kita ni.
Pecah kaca pecah gelas,
sudah baca nanti awak jangan lupa balas.
Hamzi.
Hannah campak surat yang sudah dibaca. Hatinya terasa geli geliman. Hamzi yang hantar surat itu. Budak yang suka sakatnya. Dia ambil balik surat itu dan mengoyaknya kecil-kecil dan dibuang dalam bakul sampah yang terletak di sebelah meja belajar. (...bersambung)
No comments:
Post a Comment