27.5.08

Kita tidak serupa dik! (siri 1)

Panas terik matahari itu berada tepat di atas kepalanya. Mata memincing menahan peritnya cahaya yang menghalang matanya untuk membuka dengan besar. Dia berjalan dengan tenang. Peluh semakin membasahi belakang bajunya. Em! Baunya sungguh menyesak hidungnya. Peluh menitis di mukanya bagaikan titisan peluh jantan sedang bekerja di tapak pembinaan. Aduh! Penatnya hari itu.


Si gadis sunti yang jalan beriringan bersamanya mendahuluinya. Fathi Nur Hakim melangkah besar. Si gadis sunti tidak menoleh bila namanya dipanggil bertalu-talu. Mereka berdua memakai pakaian seragam sekolah rendah. Si gadis sunti berkulit putih dan memiliki sepasang mata yang sedikit sepet memakai seragam gaun sekolahnya, berjalan dengan lajunya sehingga meninggalkannya. Terpinga-pinga dibuatnya. Muka masam si gadis sunti seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.


“Hannah! Hannah! Tunggulah Abang! Mengapa laju sangat?” Fathi berlari anak cuba menyaingi adiknya yang kini melangkah dengan laju. Hairan dengan tingkah adik. Muka yang tidak jelak dipandang kini mukanya bertukar kemerah-merahan. Terasa tidak jemu melihat wajah itu yang bertukar dari putih ke merah itu. Comel sekali. Tidak seperti dirinya yang berkulit sawo matang. Terkena pancaran cahaya matahari yang menyengat, mukanya bertambah berkilat dan hitam. Tumbuh sebiji dua jerawat jantannya. Sungguh memalukan!


“Hannah! Berhenti sekejap!” kata Fathi sambil menarik lengan kanan adiknya. Adiknya terhenti dan menoleh ke arahnya.
“Mengapa abang tarik tangan adik, sakitlah!” katanya dengan suara yang kasar. Merenung abangnya dengan mata tajam. Tiada sedikit senyuman di wajahnya. Lidah dijuihkan kepadanya yang dianggap sebagai menyibuk.
“Cakaplah, apa salah abang? Jika salah abang minta maaf. Ada masalah? Abang tidak faham kenapa adik tiba-tiba mendiamkan diri dan tidak bercakap dengan abang?”


Tuanya hanya setahun daripada adiknya Nurin Hannah. Bersekolah rendah di sekolah yang sama. Masing-masing berada di dalam darjah enam dan lima. Setiap pagi di hantar oleh bapa ke sekolah dengan kereta. Balik dari sekolah hanya berjalan kaki. Jarak antara sekolah dengan rumah lebih kurang 20 minit berjalan kaki.


Tiba-tiba mereka berhenti di sebatang pokok ceri yang rendang di tepi jalan. Pokok ceri yang berbuah kecil kelihatan ada yang sudah masak merah dan boleh dipetik. Selalu memetiknya bila balik dari sekolah. Adik beradik itu duduk di tembok simen yang dibina rendah separas peha orang dewasa yang membolehkan sesiapa hendak berhenti dan duduk sebentar bagi melepaskan penat.


“Adik Hannah cakaplah, sebab apa adik marah?” Fathi memujuk adiknya yang masih enggan bercakap.
“Tadi di kelas adik, ada seorang budak lelaki yang suka mengusik adik. Adik tak kisah. Tetapi...,” Hannah terhenti dari meneruskan kata-katanya.
“Mungkin dia sengaja usik adik. Adik itu comel, sudah tentu ramai budak lelaki yang suka dengan adik.”


Fathi ketawa kecil. Tetapi kata-kata Fathi sedikit pun tidak mencairkan hati Hannah yang sedang marah. Kemarahannya semakin bertambah. Meluap-luap. Abang bukan hendak membelanya. Malahan dirasakan seperti mengusiknya. Dia menarik muka masam. Fathi sedar dengan sikap adiknya dan mula memujuk supaya teruskan ceritanya. Hannah termakan pujukan abangnya.


“Adik marah, mereka kata adik ini anak orang Cina bukan anak orang Melayu,” kata Hannah dengan sebak dan mula mengalirkan air matanya. Kedua-dua tapak tangannya menutup mukanya. Hatinya mudah tersentuh bila orang lain mengejek-ejek yang dia anak orang Cina. Mereka kata, mukanya tidak sama dengan abangnya. Berbeza sungguh ibarat langit dengan bumi.


Fathi melihat adiknya mulai menangis. Tidak tentu arah dirinya. Ia menoleh ke hadapan kerana budak-budak sekolah masih ramai yang lalu lalang di tepi jalan itu. Ia rapatkan diri dengan adiknya dan memujuk dengan suara perlahan.


“Adik Hannah, janganlah menangis kat sini. Orang lain tengok tidak elok. Nanti orang ingat kita bergaduh!”


Fathi memegang tangan adiknya. Ia tarik dengan lembut dan mengajaknya beredar dari situ. Ia bimbang nanti ramai pula yang melihat adiknya menangis dan dia pula dipersalahkan.


“Sabarlah dik! Jangan ikutkan hati. Nanti adik sendiri sakit hati dan susah hati. Biarkan mereka. Nanti mereka yang dapat dosa kerana mengejek dan mengata adik. Pekakkan telinga. Adik banyak berdoa kepada Allah supaya adik banyak bersabar.”


Panjang nasihat Fathi kepada adiknya. Itu sahaja yang ia mampu lakukan untuk memujuk adiknya supaya berhenti dari menangis. Sebagai seorang abang, rasa tanggungjawab menjaga kebajikan adiknya dari diusik. Meskipun usianya masih muda, Fathi amat menyayangi adiknya dan ia rasa perlu menjaga hati adiknya supaya tidak terguris lagi. Didikan dari kedua ibu bapanya mematangkan fikirannya. Ia bertindak seperti budak berada di sekolah menengah. Fizikalnya yang tinggi tidak sangka dia baru darjah enam. Sekiranya tidak menyarung seragam sekolah rendah, orang sangka dia sudah berusia 13 tahun ke atas. Dia tidak seperti budak lelaki lain yang masih bersikap keanak-anakan.
...................................................................
Tuah badannya kerana memiliki adik secantik Hannah. Kulit Hannah putih daripadanya. Ada masanya dia berasa hairan, mengapakah kulit mereka tidak sama dari segi warna? Bila dtanya dengan emak, dikatakan yang dia mengikut kulit bapanya dan Hannah kulit emaknya. Tetapi yang pelik, mengapa pula mata Hannah sepet dan mata dia tidak sepet? Banyak pula soalan yang bermain di mindanya. Dia pernah ajukan soalan itu buat kali kedua kepada emaknya semasa Hannah menceritakan dia diejek sebagai anak Cina. Emaknya membeliakkan matanya tanda tidak suka soalan-soalan yang mengaitkan dengan diri Hannah. Ia mula gusar dengan sikap emaknya. Mengapakah emaknya mula naik angin bila soalan yang sensitif begitu? Angin emaknya jelas bila soalan itu dikhususkan tentang diri Hannah.


Selepas itu, ia tidak peduli lagi. Malas hendak memikirkan terhadap soalan yang tiada jawapan. Bila ditanya, jawapan dari memek muka emaknya sudah terkesan di hatinya. Tapi ada masanya bila termenung seorang diri, ia mula fikir. Lebih-lebih lagi bila kena marah dengan emak atau bapa. Ia bawa diri menyorok bawah katil berjam lamanya sambil tersedu-sedan. Mulalah ketika itu, fikirannya mula menerawang yang bukan-bukan. Bapa pilih kasih. Emak tidak suka pada dirinya. Semuanya berkecamuk dalam darah mudanya. Bila perut berkeroncong baru keluar dari sembunyiannya. Buat muka sardin terus pergi dapur cari makanan. Tiada sesiapa di dapur. Dia duduk sambil menikmati biskut. Bila perut kenyang adakalanya dia sambung monolog dalam hatinya.


“Benar juga, mengapa antara aku dengan adik Hannah berbeza. Ish! Banyak yang tak sama. Aku gelap, Hannah putih. Mataku bundar, mata Hannah sepet. Rambutnya lurus, rambut aku pula ketak-ketak. Aku lebih tinggi dari dia. Tapi aku lelaki mestilah kena tinggi dari perempuan! Kulitnya lembut, kulit aku kasar. Ish! Memanglah kasar! Aku lelaki, dia perempuan. Takkan sama kulit lelaki dengan perempuan. Memang tak sama! Jelas antara aku dan dia memang berbeza. Kita tidak serupa dik!” Garuk kepalanya yang dihiasi dengan rambut ketak-ketak.


Betul juga tekaanku! Gerutu dalam hatinya. Tidak berani hendak luahkan kepada sesiapa. Nanti dikata dengki dengan adik. Tapi betullah! Emak rambut ikal mayang, tidak lurus macam adik. Bapa pula macam aku, ketak-ketak! Ish....ish.....! Aduh sakit kepala aku fikir. Ya, Allah apakah benar tekaanku? Biarkanlah! Bukan masalah aku! Tapi aku cemburu juga!


Geleng-geleng kepala sambil mengunyah biskut lemak yang diambil dari tin yang disorok emaknya dalam almari. Dia tahu mana sahaja yang emaknya simpan barang yang penting. Itulah kelebihan dirinya yang suka mengintai emaknya buat kerja di dapur. Dia tersenyum sendiri sambil matanya meliar lihat di pintu masuk ke dapur. Bimbang pula ada orang masuk ke dapur semasa dia sedang nikmati biskut kegemarannya.

(...bersambung)

No comments: