8.5.07



Ku Petik Cinta itu

Ku petik cinta itu
ku semat dalam hati kosong
ku raih cinta itu
dengan rasa rindu dendam

selama cinta bersemi dalam hati
hati semakin resah gundah gelana
galau cinta di tolak
bak burung pungguk rindukan bulan

kini cinta tidak kesampaian
ku petik cinta sekali lagi
ku semai di halaman hati sepi
cinta berpadu hati terlara
layakkah daku bercinta dengan hati rapuh?
saridahamid
8 Mei 2007
7.00 pm
Penulis iklankan buku ke seluruh dunia

Saya meminta jasa baik sahabat Pn. Ezee Rahmani menulis maklumat mengenai penulis mengiklankan buku di dalam Google. Beliau bersetuju dan bolehlah sahabat semua mengunjungi rumah beliau yang beralamat http://bicaraku-ez.blogspot.com .

Minta maaflah saya tidak berkesempatan hendak menulis buat masa kini (yang pendek-pendek itu bolehlah) kerana kesuntukan masa kena siapkan manuskrip yang sudah diminta oleh editor semalam. Ini pun masih terkial-kial menyiapkan bagi sentuhan terakhir (bukan Sentuhan Kecundang! Hehehehe! -sambil tutup mulut, tidak elok ketawa kuat-kuat)
Sudah habis baca buku cinta!

Buku yang nipis dan hasil tulisan Habiburahman (penulis Ayat-ayat Cinta) sudah saya bacanya dengan tekun dan tamat dalam beberapa jam. Dalam keadaan pening kepala dan sedikit demam, saya asyik membacanya. Aduh! sungguh menyentuh hati, hampir juga hendak meleleh air mata dan hingus sekali gus (sedang selesema, itu yang demam sikit). Teringat semasa sedang bercinta dahulu (pernah saya bercinta? Adalah sikit-sikit).

Tetapi bukunya, 'Pudarnya Pesona Cleopatra' mengandungi dua cerita pendek yang berkisar mengenai perkahwinan tanpa cinta tetapi akhirnya bercinta (macam mana itu? bacalah sendiri!) Membaca novel cinta Islami membuat diri saya terasa muda (itu salah satu petua awet muda..heheheh...betul atau tidak Pn. Sifu?).

7.5.07

Berakhirnya pesta buku (6.5.07)

Semalam berakhirnya pesta buku peringkat nasional yang hanya diadakan sekali dalam setahun. Meskipun hari terakhir, para pengunjung ramai dan di saat-saat terakhir booth buku hendak ditutup masih ada lagi yang hendak membelinya. Ini mungkin golongan yang suka membeli belah di saat terakhir. Macam bulan ramadhan, biasanya penduduk Malaysia suka bersesak-sesak di saat terakhir kerana dirasakan ketika itulah harga runtuh akan diberi oleh para peniaga kepada pelanggannya. Maklumlah hendakkan habis stok yang ada.

Begitulah strategi PTS yang menawarkan diskaun 30% bagi belian 2 buah buku ke atas pada hari terakhir. Itu satu potongan yang banyak bagi tajuk-tajuk buku yang baru! Saya lihat gerai-gerai ternama yang mengeluarkan buku baru mereka, janganlah haraplah mendapat potongan harga walaupun 10 sen. Saya apabila tahu tidak ada diskaun, lalu mengangkat kaki..(kirim salamlah kepada penerbit yang kedekut hendak tawarkan diskaun).

Sepatutnya di pesta buku sebeginilah, diskaun harus atau pun wajib diberikan. Tidak kiralah bagi buku baru mahu pun buku lama. Ini kerana dalam fikiran saya (tapi tidak tahulah orang lain..) diskaun itu mesti ada. Sebagai pembeli mesti bayangkan sudah tentu diskaun ada, kalau tidak mampu bagi 20%, bagilah 10 atau 15 % (adalah juga potongannya) sebab itulah pesta buku diadakan! Sama seperti kanival beli belah yang saban tahun diadakan yang menawarkan potongan istimewa. Entahlah! Mungkin penerbit terkenal itu menyangka bahawa dirinya sudah terkenal walau tidak ada potongan harga, peminat tentu membeli (bagi saya itu jenis peminat yang buta tuli...tidak tahu menilai yang mana baik atau tidak).

Sesetengah orang datang lagi pada hari terakhir. Mereka terkejut apabila PTS menawarkan tawaran potongan yang istimewa itu. Mereka meluahkan perasaan, "Jika saya tahu ada potongan sebegini, saya datang hari ini sahaja!" Saya tersenyum sahaja. Pak Latip pun sama. Tapi akhirnya, beliau membeli juga beberapa buah buku lagi!

Buku Pak Latip, laju jualannya ibarat pisang goreng terutama buku pahlawan Islam, Salehuddin..sudah habis di booth PTS. Ramai yang hampa dengan muka sedih berlalu dan diberi pesanan cubalah cari di kedai buku lain seperti MPH, Popular. Pak Latip tersenyum lega. Itulah hasil titik peluh menulis dan apabila sambutan diterima baik dari pembaca, itu adalah satu kepuasan. Bagi seorang penulis, bukanlah hendak dikejar nama yang glamour apa yang penting kepuasan menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada para pembaca.

Hari raya bagi penulis sudah habis dan kini penulis masuk kembali dalam 'kandang' bagi menghasilkan karya baru dan yang lebih segar! Sepanjang seminggu pesta berlangsung, ada pelbagai tajuk buku baru yang ada di pasaran. Dan buku yang ditulis dalam bahasa Melayu juga semakin bertambah (itu pada pengamatan saya). Tetapi malangnya, ada juga yang beriya-iya hendak menjual buku dalam bahasa asing untuk kanak-kanak. Agaknya, bahasa Melayu sudah tidak begitu penting lagi. Lebih-lebih lagi, harga yang ditawarkan itu terlalu tinggi dan boleh dibayar pula dengan ansuran. Namun begitu, ada juga yang menjadi mangsa perangkap secara halus itu. (kasihan para ibu bapa yang terpaksa mengadap dan mendengar celoteh juru jual. Kalau saya mungkin terlelap di buatnya!). Saya juga pernah di sapa, dan saya menjawab, "Terima kasih! anak-anak saya semua sudah besar dan masuk universiti!" Sejak itu,tidak berani ditegurnya! (garang juga saya ini!)

Di hari terakhir saya berada di gerai PTS, saya sudah tidak mampu hendak berdiri. Duduk sahaja sambil memerhati orang ramai dan sekali sekala adalah juga menyain buku "Bahtera Nabi Nuh"dan " Selembut Bicara" Berkongsi rasa dengan saya, Sdr Ida Munira yang terasa hendak pitam dan juga Diana (pelatih Uitm) yang demam. Kami tidak habis-habis menyapu minyak angin bagi menguatkan badan (tidak juga lut..badan masih lemah dan muka pucat lesu). Puan Nor berkata, "Kenapa datang?" Saya jawab, "Pagi tadi ok sahaja, sekarang macam tidak ok." Mungkin melihat orang semakin ramai dan kepala pun semakin berputar-putar. Saya tengok Pn. Nor pun semacam hendak bergabung dengan kami, tetapi dia masih dapat bertahan lagi.

Sebelum saya ke booth PTS, saya singgah dahulu ke pentas utama bagi mengikuti program sebuah penerbit terkenal dan pengedarnya. Kebetulan, pelakon,pelawak dan penyanyi terkenal ada di situ bertindak sebagai pengacara. Terhibur juga hati ini melihat telatahnya yang bersahaja (sama sebangsa-jawa). Saya lihat ramai kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir. Ini termasuklah budak sekolah yang membuat persembahan bercerita. Dan juga pelajar universiti dari Songkla, Thailand yang menyampaikan beberapa sajak terbitan majalah terkenal di kalangan pelajar. Pada mulanya saya seorang diri, tetapi disergah lembut oleh Sdr. Rozita (PTS) yang turut berminat melihatnya. (Ini kerana beliau hendak mencari peluang supaya boleh mempromosi buku-buku bisnes PTS dalam majalah terbitan syarikat itu).

Sebenarnya, di pentas itu pada setiap hari ada sahaja aktivinya. Cumanya saya yang tidak berkesempatan mengikutinya. Ini suatu yang baik sebagai satu cara para penerbit memperkenalkan buku-buku baru dan juga penulis mereka kepada orang ramai. Saya ada cadangan, apa kata pesta buku mesti diadakan dua kali setahun supaya menambah minat rakyat Malaysia ke arah membudayakan buku dalam kehidupan harian mereka.

Sebelum saya balik, saya dan suami merayau dari gerai ke gerai yang belum saya kunjungi. Ada gerai yang sudah tutup dan ada juga gerai yang masih rancak dan ramai pengunjungnya. Selepas maghrib, datang lagi ke booth PTS bagi menggamit Pn. Sifu hendak melaporkan diri berundur diri. Dalam perjalanan ke situ, berselisih dengan Sdr. Firdaus yang hendak ke surau, mengirimkan khabar yang penulis Ayat-ayat Cinta kembali berada di gerai berhadapan dengan gerai PTS bagi sesi menyain autograf bagi bukunya yang bertajuk, "Pudarnya Pesona Cleopatra". Pn. Sifu pula bertindak menjadi pengacara jemputan (jangan marah sifu!) memperkenalkan penulis yang masih bujang itu. Saya pun tidak pasal-pasal mencapai buku itu (memang niat hendak beli tapi tunggu diskaun naik dulu!) dan membayar di kaunter. (Murah sahaja tidak sampai RM10). Mintalah penulis Habiburrahman El Shirazy sain buku itu yang ditulisnya "Salam dari Penulis." Suami saya bertanya, "Dia tulis apa? Salam cinta lagikah?" Saya tersenyum, (cemburu lah tu!) dan menjawab, "Tidak!" Agaknya si Habiburrahman itu nampak suami berada di sisi terus ditulisnya 'Salam perkenalan." (hehehhe!...) Kami pun bergambarlah bergilir-gilir. Kenapalah saya suka beli buku dia? Entahlah...agaknya saya teringin hendak menulis novel cinta sepertinya. Anggaplah ini sebagai satu perangsang bagi diri saya supaya selepas ini saya ikut jejak langkahnya!

Selama beberapa hari saya hadir ke PWTC (kecuali, Jumaat, Sabtu dan Jumaat) banyak pengalaman yang diperoleh yang mungkin tidak dapat di mana-mana. Atas sokongan suami, saya gagahkan diri datang ke PWTC dalam keadaan sebenarnya tidak berapa sihat. Alhamdulillah akhirnya berbagai perkara boleh berlaku. Bertemu dengan sahabat blog yang selama ini berbicara di alam maya tetapi berbicara secara bersua muka. Saya terperanjat juga kerana saya baharu sahaja menceburkan diri di alam maya ini atas dorongan sahabat yang lain. Sebelum ini, terasa malas kerana masa dirasakan begitu cemburu. Tetapi atas dorongan suami, anak buah (yang mahir komputer dan alam siber) dan juga sahabat, saya pun menyibukkan diri di alam ini (terima kasih semua atas dorongan dan sokongan anda). Dan bermulanya menjadi ahli blogger, saya tanamkan azam hendak menulis walaupun sedikit di paparan maya ini.

Akhir sekali, terima kasihlah kerana sudi membaca laporan saya yang tidak seberapa. Jika dahulu menulis berita secara formal tetapi kini tidak formal (diselit dengan lawak bodoh dan juga ulasan sendiri..hehehhe...jangan marah ye!) Seandainya tidak berpuas hati, luahkan rasa tidak puas hati saudara dalam blog saya ini. Jangan mengata belakang-belakang, tidak baik. Katalah depan-depan dan telus! Saya terima sahaja walaupun pahit (pahit itukan ubat yang mujarab!).

Sekian Wassalam.



6.5.07

Mencari buku ( sambungan...)

Apabila saya duduk menemani Pn. Ainin Naufal, Pn Ezee Rahmani dan Pak Latip, saya ditegur oleh Pn. Ezee kerana seperti berjanji dengan Pn. Ainin kerana baju berwarna sedondon. Saya baru sedar dan kami ketawa. ( Semalam sedondon warna tudung dengan Pn. Ezee, dan kini pula warna baju sedondon dengan Pn. Ainin, itu dinamakan ada keserasian jiwa dan cita rasa...hehehe...entah betul, entah tidak! orang kata ada chemistry entahlah saya bukannya aliran sains..tidak tahulah istilah sains!).

Sesekali sekala berkumpul dengan sahabat penulis yang lain dapatlah bertukar fikiran. Terutamanya dengan Pak Latip, orang lama dalam dunia penulisan. Bukan senang hendak jumpa beliau yang datang dari Jelebu dan buku beliau juga boleh tahan sambutannya. Saya tabik (pakai ayat En. Faris...dengan izin) Pak Latip dapat menghasilkan novel pahlawan Islam dalam serentak sekali, empat buah terus terbit. Aduh! bilalah saya hendak menghasilkan seperti itu? Cabaran! Cabaran! Itulah dia, diam-diam ubi berisi! Jangan jadi macam ayam, telur sebiji riuh sekampung, itupun belum tentu telurnya menjadi anak ayam! Sesetengah orang, gendang sudah dipalu seluruh alam, tetapi tiada yang hendak menari (betulkah pepatah ini...). Buku-buku Pak Latip seperti Salahuddin, Khalid al-Walid, Tariq dan Ikramah sudah saya miliki....(cuma Ikramah belum kerana dia keluar lambat sikit).

Buku-buku seperti ini memerlukan kajian dan kesabaran yang tinggi. Bukan mudah hendak mengumpul maklumat yang boleh menguatkan lagi penulisan kita. Tidak semua orang suka berbuat demikian. Dan bukan semua orang mempunyai bakat ke arah itu. Oleh itu, janganlah kita memperkecilkan hasil tulisan seseorang yang sudah bertungkus lumus bagaikan berjuang di medan peperangan. Mengumpul segala kekuatan bagi memastikan kejayaan di medan perang.

Oleh itu, para penulis jangan malu-malu hendak bertegur sapa dengan orang yang lebih senior dari kita. Inilah masanya mengorek ilmu dan pengalaman dari mereka. Sekiranya hendak menjadi seorang penulis yang matang dan berjaya, janganlah menyombong diri (ini peringatan bagi diri saya juga) dan berlagak pandai kerana ada yang lebih pandai dan berpengalaman dari kita.

Menjadi penulis juga harus banyak membaca, membeli buku (jangan kedekut!) serta banyak buat rujukan. Itulah perkara asas yang perlu dijadikan sebagai pegangan bagi seorang yang hendak bergelar penulis (minta maaflah...macam ceramah pula!). Kalau boleh penulis itu menjadi serba tahu (macam prof. serba tahulah! tapi bukan prof. penyibuk tepi kain orang lain!).

Dalam sibuk-sibuk berbual, kelihatan Menteri Penerangan menyinggah di booth PTS dalam sekelip mata (sebab beliau tidak membeli pun) dengan diiringi beberapa jawatankuasa pesta buku. Pada sebelah petang, kelihatan Ustazah Nabilah sedang mempromosi bukunya yang bertajuk, "Ibu, benarkah Tuhan itu ada?" (kalau tidak silap saya). Buku itu elok dimiliki kerana bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang keletah dan suka bertanya yang kreatif, belilah buku ini supaya kita tidak tergagap-gagap hendak menjawab!

Saya tidak berada lama di booth PTS, dalam pukul 5.30 saya mengambil keputusan hendak balik kerana ada urusan lain. Tunggu laporan pesta buku pada hari terakhir. Sabarlah yeh!

Mencari Buku (Pesta Buku 5.5.07)

Hari ini adalah hari ke dua terakhir pesta buku. Semasa saya tiba di PWTC kurang 10 minit ke pukul 11 pagi, orang ramai sudah memenuhi di setiap aras yang diadakan pameran buku itu. Sebelum menghadirkan diri di booth PTS, saya meronda ke beberapa gerai yang berdekatan di situ. Hajat hati hendak mencarikan buku untuk dibuat hadiah bagi anak saudara. Akhirnya, jumpa juga dan dapat membelinya dengan harga yang murah sekali.

Berjalan lagi dan menyinggah di sebuah booth yang menawarkan jualan murah bagi buku-buku lama termasuklah pelbagai jenis kamus. Saya memilih buku yang menjurus kepada persoalan wanita tulisan seorang penulis wanita dari Indonesia. Penulis ini memang saya kenali dan minat dengan tulisannya. Tetapi bukunya sudah diiktiraf lellong dengan begitu murah sekali. Adakah itu nilai seorang penulis yang mana setelah bertungkus lumus memerah otak dan menulis bagaikan tidak ingat lagi dunia ini, akhirnya bukunya di nilai sebegitu? Kemudiannya atas dasar hendak menghabiskan stok dan dikategorikan buku lama dalam simpanan penerbit itu, lalu dijual dengan harga lelong. (Minta maaflah, saya pun beli kerana dilelong!)

Saya berjalan lagi dan akhirnya mata saya tertumpu kepada sebuah buku yang selama ini saya mencarinya, iaitu tulisan Dr. Hamka yang sudah di beri wajah baru kepada kulit dan layout bukunya. Dengan potongan diskaun 20 %, saya membeli buku Dr.Hamka yang bertajuk, "Di Bawah Lindungan Kaabah' dan 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck'. Sebenarnya saya sudah membaca buku ini semasa saya kecil lagi milik mak cik. Tetapi, kini sudah meningkat matang (maksudnya sudah alam remaja tualah itu!), saya sudah lupa jalan ceritanya dan memasang niat mesti memilikinya sendiri. Memang kulitnya berubah dari kulit yang lama. Tetapi saya harap isinya tidak berubah kerana masih berminat dengan gaya tulisan Dr. Hamka yang penuh dengan nilai sastera Indonesianya. Saya belajar memahami bahasa Indonesia dengan membaca banyak buku tulisan Dr.Hamka dan juga Pram...(dulu belajar sastera terpaksalah mengkaji bahasa mereka kerana buku tulisan mereka digunakan sebagai buku teks). Mungkin sebab itu saya mudah membuat adaptasi buku.

Orang ramai semakin membanjiri dewan itu. Mungkin yang ramai datang ini adalah orang Kuala Lumpur dan yang sewaktu dengannya. Kelihatan budak-budak sekolah rendah dan menengah datang dengan rombongan bas sekolah. Saya pun menuju ke booth PTS setelah dirasakan sudah mula semput kerana ramai orang dan niat hati hendak menyambung beli belah kemudian nanti.
Kelihatan orang ramai mengerumuni booth PTS seperti biasa. Tetapi menurut Puan Nor, semalam Jumaat orang tidak berapa ramai. Saya lihat, penulis Pn. Ainin Naufal sudah berada di situ bagi sesinya menandatangani buku. Kami bertegur sapa setelah sekian lama tidak bertemu. Beliau bertanya mengapa lambat? Saya tidak lambat malahan sampai dahulu dari beliau, cumanya pergi merayau cari buku. Tidak lama, Pn. Ezee Rahmani tiba, diikuti dengan Pak Latip.

(nanti malam saya sambung....sebabnya saya hendak ke PWTC. Minta maaf semua tidak sempat tulis semalam kerana balik lewat malam kerana ada urusan lain)

4.5.07

Bengkel Google dan Budak Sekolah (pesta buku 3.5.07)

Hari ini datang lambat lagi kerana ada urusan di tempat lain. Badan terasa sungguh letih dan mata pula sekejap buka, sekejap tertutup. Walau sudah dicuba menyegarkan badan dengan minum teh tarik, nescafe, tetap tidak lut bagi memulihkan tenaga yang semakin menurun. Tetapi memikirkan sudah berjanji dengan sahabat yang akan datang ke PTWC bagi mengikuti bengkel Google, digagahkan juga kaki ini melangkah ke sana.

Semalam sudahlah balik lambat, saya pula ingin menyampaikan maklumat terkini kepada sahabat yang lain perkembangan terkini. Malam tadi masih tidur lambat. Itu yang bertambah-tambah kurang tenaga dalaman. Teringat waktu bekerja dahulu dalam bidang penyiaran, apabila hendak menyiapkan bagi siaran pagi esoknya, pukul 12 malam baru balik dari pejabat. Dan keesokkannya, jam 5 pagi perlu berada di studio. Tapi ketika itu, saya bekerja bagai tidak ingat siang dan malam, masih bersemangat dan berjiwa besi. Namun begitu, sekarang...rasanya cepat semput dan kurang tenaga. Ini kena cas bateri cap apa, yeh?

Sebaik sahaja tiba di perkarangan bangunan PWTC, kelihatan deretan bas sekolah dan universiti, di bahu jalan laluan masuk ke situ. Sudah pasti, hari ini para pengunjungnya terdiri dari budak-budak sekolah (amboi! seronoknya mereka, hari ini berjalan tengok pesta buku. Tidak sekolah hari ini). Teringat masa sekolah dahulu, mana ada peluang berjalan-jalan sambil makan angin. Dulu-dulu, cikgu-cikgu tidak sibuk hendak memikirkan membuat rombongan melawat ke sana-ke sini (kasihan saya walaupun duduk di Kuala Lumpur, tidak ada peluang melawat ke tempat bersejarah apatah lagi Muzium Negara, Masjid Negara, Zoo Negara dan tempat yang sewaktu dengannya. Apatah lagi luar Kuala Lumpur, jangan mimpilah. Pergi sendiri dengan kawan lepas sekolah, itu pun tanpa pengetahuan emak, nasib baiklah tidak kena culik! Tapi rasanya zaman saya , culik menculik kurang berlaku.....alhamdulillah! melalut pula saya ini, minta maaflah sahabat semua!)

Sementara menunggu pukul 2 petang, saya ke gerai PTS. Sahabat yang ditunggu belum sampai. Kelihatan berderet-deret budak-budak sekolah rendah dan menengah berjalan dan bertaburan dalam dewan itu. Ada yang sudah menjinjing beg plastik, ada yang sedang membelek buku di gerai berdekatan dan ada juga yang menyinggah di gerai di PTS.

Saya sempatlah menyarung jersi apron PTS dan beberapa pelajar mengerumuni buku-buku novel remaja. Seperti biasa, ayat yang sama keluar dari mulut saya,

"Beli adik, kami bagi potongan 20 peratus!"
"Ini berapa kak?"
"11.20 sen selepas dipotong 20 peratus."
"Tidak mengapalah kak." Adik itu meletak balik buku itu selepas diperiksanya dompetnya dan mungkin duitnya sudah susut atau langsung tidak ada. Tapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya adik itu ada niat hendak beli cumanya itu bukan rezekinya.

Saya merasa seronok apabila budak-budak sekolah rendah atau pun menengah berminat hendak melaburkan duit mereka yang tidak sebanyak duit orang dewasa semata-mata hendak membeli buku kegemaran. Ini suatu budaya yang perlu dipupuk sejak mereka kecil. Supaya mereka tahu hendak membelanjakan duit mereka ke arah yang lebih memberi manfaat kepada diri sendiri.

Tidak lama kemudian, datanglah Pn. Kushi dan Pn. Ez Rahmani bagi menggabungkan diri dengan saya di gerai itu. Kemudiannya, kelihatan Puan Sifu datang. Saya ingatkan beliau tidak datang kerana dikatakan ada urusan lain. Puan Sifu ada cerita menarik yang disampaikan, tetapi biarlah beliau bercerita di blognya, nanti tidak seronok pula.

Jam 2 petang, saya pun pergi ke bengkel bersama Pn.Kushi dan suaminya yang berada di aras bawah. Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik itu, tidak ramai yang hadir. Kelihatan beberapa kakitangan PTS termasuklah boss PTS, En. Arief, En. Faris, Sdr. Majidah dan En. Roslan. Bengkel Google itu dikendalikan oleh En. Erik Hartmann dari Amerika Syarikat yang pandai berbahasa Mandarin.

Di awal penerangan beliau, saya boleh mendengar lagi tetapi selepas itu saya tidak boleh mengikutinya, mata sudah tidak boleh ditahan lagi (tidak nampak wajah En Erik, macam kelabu sahaja). Saya pula belum mengambil makan tengahari, perut sudah berlagu rindu. Tidak lama kemudian, saya bisik dengan Pn. Kushi saya minta diri sebentar. Niat hati hendak keluar sebentar tetapi akhirnya...terlupa langsung.

Saya mengaktifkan diri yang seperti lalang ini mengambil beberapa keping gambar. Ini termasuklah gambar Datuk Dr. Fadzillah Kamsah dan Sdr. Fazdli Yusof. Sementara saya menunggu Sdr. Firdaus menghabiskan dutinya tengahari itu bagi makan tengahari bersama. Akhirnya saya jumpa juga makanan yang boleh menyegarkan badan ini iaitu Laksa Penang...boleh tahan sedap juga, licinlah juga satu mangkuk besar dengan harga RM3 sahaja yang terdapat di gerai tepi sungai yang indah itu!

Sekembalinya saya dan Fir (nama manja beliau), kelihatan En. Erik dari Google di gerai PTS. Rupa-rupanya beliau sedang menunjukkan cara-cara seorang penulis boleh mempromosikan buku-buku tulisan sendiri dalam Google melalui laptopnya dan saya pun menggabung diri dalam perbincangan itu dan mula memahami cara menggunakan khidmat Google yang diberi secara percuma sahaja.

Dalam dunia tanpa sempadan ini, apa-apa sahaja boleh kita lakukan termasuklah mempromosikan buku di seluruh dunia tanpa bayaran. Bagi sahabat penulis yang lain, peluang ini harus direbut. Nantilah saya tulis kemudian nanti panjang pula ceritanya. Atau mungkin minta Pn.Kushi menulisnya kerana dia sudah pun mendaftarkan dirinya menjadi ahli.

Hari ini (Jumaat, 4.5.07) saya tidak datang ke PWTC bagi merehatkan diri bagi mencas diri yang semakin lemah. Jumpa lagi di gerai PTS,insya Allah. Sesiapa yang belum hadir itu, hadir-hadirkanlah diri. Nanti menyesal pula di kemudian hari! (Bergurau sahaja....he! he!)




3.5.07

2.5.07

Beli Buku Adik! (pesta buku 2.Mei 2007)

Hari ini 2 Mei, saya datang lambat sedikit ke PWTC kerana tidur lewat (lepas Subuh sambung peluk bantal lagi...) sebabnya saya menulis laporan terkini dan berita sensasi untuk sahabat semua. Maka pukul 2 pagi baru boleh lelap mata. Itu pun nasib baik tidak disambung melihat televisyen kerana ada perlawanan bola (Liverpool lawan Chelsea), kejutkan suami dan saya pula sambung tidurnya (eh! eh!, jangan ingat saya tidak tahu perkembangan bola...itu pun nasib baiklah suami tidak mengajak menemannya tengok bola tapi saya sudah ada wakil iaitu Muharam kucing manja saya itu!)

Semalam Sdr. Ann mempengaruhi saya supaya saya menjual dan mempromosikan buku saya, Bahtera Nabi Nuh. Saya katakan kepadanya, saya bukanlah pakar jual menjual malahan dengan ilmu hisab (sekarang matematik) pun saya fobia apatah lagi hendak jadi juru jual memang langsung tidak ada tokoh! Tapi kalau diajak berbual boleh sikit-sikit!

Namun saya sahut cabarannya, dan sebaik sahaja sampai saya sudah terlihat dua orang penulis sudah jadi juru jual tidak rasmi PTS. Sdr. Faizal dengan buku Yong Tau Fu dan Pn. Noorul dengan novel sulung, Menjadi Bintang (kalau saya tidak silap, ini mata saya pun sudah hendak tertutup, skrin laptop ini macam nampak kelabu sahaja. tetapi demi sahabat yang hendak tahu perkembangan terbaru, saya gagahkan juga. Belum mandi lagi ni!).

Pada mulanya saya tidak perasan Pn. Noorul (dalam hati berkata, ini mungkin kakitangan PTS). Subhanallah, rupanya sahabat bengkel. Beliaulah orang pertama yang memakai apron PTS di suruh oleh Puan Sifu. Saya berbual dan bertanya khabar serta melihat novel sulungnya. Tapi sebelum itu, saya lihat En. Zamri Mohammad dan En. Samsuddin Kadir sudah sedia ada di meja bulat di ruang dekat dengan rak buku PTS yang lain.

Kenal atau tidak dengan En. Zamri yang terkenal dengan buku cintanya, tetapi dia sendiri belum bina cinta! Sama sahajalah dengan penulis Ayat-Ayat Cinta, masih bujang terang-tang-tang! Saya cadangkan tajuk terbaru kepada En. Zamri, Bagaimana Mencari Cinta alias Jodoh! (he! he!, jangan marah En. Zamri!).

Hari ini keadaan tidak seperti semalam tetapi orang ramai masih berpusu-pusu. Saya juga mengambil peluang menyertai Pn. Noorul dan petugas yang lain memujuk, merayu dan menjual buku kepada orang ramai yang lalu lalang di situ. Mula-mula nada suara dan ayat sama sahaja antara kami iaitu,

"Mari adik beli buku, potongan 20 peratus!"

"Mari kakak beli buku, kami bagi potongan 20 peratus!"

"Mari abang beli buku, potongan 20 peratus!"

"Mari mak cik beli buku untuk anak-anak, potongan 20 peratus!"


Mula-mula nada ceria dan kuat. Tetapi semakin menjelang petang dan malam, nada suara semakin kelam, muka semakin kelat dan badan pun macam hendak tumbang. Nasib baiklah gerai di hadapan memasang lagu nasyid Sami Yusuf terhibur sedikit hati dan hilang rasa mengantuk dan letih badan. Itulah pengalaman saya memujuk, merayu dan menjual buku sendiri dan juga buku-buku sahabat yang lain. Seronok dan menyeronokkan.

Saya merasa seronok melihat pembeli kecil membeli buku. Sama ada mereka ini pilih dan bayar sendiri. Atau ibu bapa yang pilih dan bayar. Dan ada juga yang bergaduh siapa yang hendak bayar. Ada juga yang memilih lebih dari lima tajuk buku termasuklah buku saya sebagai pilihannya.

Dan yang uniknya bukan saya seorang sahaja yang jadi penulis, kakitangan PTS juga penulis termasuklah, Pn.Nor Hazizam, Sdr. Nurismaliza, Sdr. Mazlia, Sdr. Ida Munira, Sdr. Alif Firdaus , Sdr. Norasyikin yang turut bertindak menjual buku. Ini satu keunikan yang mungkin tidak ada di syarikat penerbitan yang lain.

Hari itu saya tidak berbual panjang dengan Sifu kerana sibuk berdiri dan berada sebaris dengan petugas lain. Sebelah petang, Sifu menyerahkan apronnya kepada saya. Saya memakainya terasa macam hendak memasak pula. Ada seorang pelanggan datang dan bertanya,

"Hendak memasakkah?"

"Sudah, inilah menu kami yang tersedia di atas meja ini." Saya menjawab sambil tersenyum. Terlebih ramah pula saya. Diana yang berada di samping saya tergelak mendengar lawak bodoh saya.

"Potongan 20 peratus, belilah. Kalau tempat lain tidak dapat seperti ini!" tambah saya lagi bagi menyedapkan pendengaran pelanggan itu supaya terus tertarik hendak membeli.

Pelanggan itu tersenyum dan terus membelek buku dan mengambil beberapa buah buku untuk anak-anaknya.

Tidak berapa lama kemudian, kelihatan penulis tersohor En. Abdul Latip Talib datang bagi mempromosikan bukunya. Saya sempat bermesra dan bertukar pandangan dengan beliau. Pak Latif (panggilan mesra) dan bukunya mendapat sambutan yang baik. Sempatlah bergambar dengannya sebelum beliau balik ke Jelebu. Dan insya Allah, hari sabtu ini Pak Latip akan datang lagi. Hari Sabtu ini, mungkin ramai penulis PTS yang datang.

Saya sudah tidak larat menulis lagi. Ini yang ditulis apa yang terlintas di fikiran. Badan sudah terasa letih. Saya fikir, petugas PTS akan lebih letih dari saya. Inilah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan!

Saya akan ke PWTC esok kerana hendak menghadiri bengkel dengan Google. Jumpa di sana!

Laporan tidak rasmi pesta buku (01.05.07)

Hari ini saya bertandang lagi ke PWTC bagi meneruskan perjuangan mempromosikan buku-buku saya. Kali ini saya datang seorang diri. Dalam pada itu, saya juga hendak mendengar ulasan buku oleh penulis Dr. Danial Zainal Abidin yang mempromosikan buku terbarunya dengan PTS. Di samping itu, bertemu dengan puterinya, Cik Fatimah Danial buat kali terakhir sebelum beliau berpindah pulang ke Pulau Pinang. Sempat juga berkenalan dengan ibu Cik Fatimah yang diperkenalkan oleh En. Faris.

Sebelum program itu bermula, saya menuju ke aras atas bagi menuju ke booth PTS. Orang ramai semakin membanjiri ruang legar dewan itu. Tidak berapa lama kemudian, orang semakin menyesak dalam dewan dan lebih sesak dari laporan saya pada 29/04/07. Laluan semakin sukar dan dalam pada itu kedengaran pengumuman, ibu bapa tertinggal anak. Ada yang tertinggal buku di kaunter kedai buku, dan bermacam pengumuman akibat dari kesesakan manusia yang tidak terkawal. Ini termasuklah seorang kakitangan PTS yang pitam akibat penangan orang ramai yang datang berkerumun di booth PTS.

Saya pun mengikut program Dr. Danial pada pukul 1 tengahari. Sungguh mengkagumkan, orang ramai mulai membanjiri tempat duduk yang disediakan dan juga ramai yang berdiri di sekeliling pentas utama. Ini termasuklah orang tua, orang muda, lelaki dan wanita, budak lelaki dan juga budak perempuan. Dan tidak ketinggalan kehadiran istimewa Pengerusi PTS, Puan Sifu, Ainon Mohd dan suami, Prof. Emiritus Abdullah Hassan.


Masa semakin berlalu dan saya juga tidak berputus asa setia menunggu walaupun tidak ada penulis wanita yang hadir. Termangu-mangu duduk seorang diri dan mulai merasa mengantuk. Tetapi nasib baik saya berkenalan dengan penulis baru dari PTS Professional yang mempromosikan buku kerjaya mengenai Pegawai Tadbir, En. Shaharuddin dan En Samsudin Kadir.

Dalam pada itu, muncullah Abang Long dengan anak-anaknya.
"Inilah penulis buku yang abang baca." katanya kepada anak lelakinya.
"Kenapa cerita itu pendek sahaja. Saya sudah habis membacanya."
Saya hanya tersenyum mendengar anak Abang Long berkata demikian.

Tidak lama kemudian, datanglah seorang penulis duduk di meja yang sama dan saya menegur, "Ini En. Razzi ar-Mansur, " beliau mengangguk dan saya pula memperkenalkan diri. Kami mula berbual dan hilang sikit rasa mengantukdan bosan.

Saya pun beralih tempat duduk dan masih keseorangan. Ketika itu orang masih belum ramai kerana mungkin makan tenghari ataupun solat. Tidak lama kemudian, orang semakin ramai tetapi tidaklah seramai tenghari tadi. Di kejauhan, saya lihat Puan Sifu datang (ingatkan beliau sudah balik). Saya mulai tersenyum, sudah ada orang yang boleh saya berbual dan bertanya khabar dengan Sifu. Kami berbual dan En. Samsuddin kemudiannya datang menggabungkan diri berbual dengan kami. Dalam masa berbual itu, mata saya tertumpu kepada seorang lelaki yang berkerusi roda di tolak oleh seorang lelaki muda. Dalam hati terdetik, "Seperti aku pernah lihat orang ini, tetapi di mana yeh!"

Tidak berapa lama kemudian, datang En. Fauzul datang berjumpa dengan Puan Sifu dan menyatakan ada orang hendak bertemu. Saya dan Puan Sifu pun menoleh. Saya hampir menjerit, tetapi masih kawal suara.

"Oh! Saudara Kassim Selamat!" kata saya dengan suara girang.

Saya lihat Puan Sifu turut gembira dan saya turut terharu dengan kesanggupan beliau bersusah payah semata-mata hendak menjenguk gerai PTS! Saya lihat Puan Sifu mulai mengalirkan air matanya dan saya yang ada di situ hampir juga menggabungkan diri dengan Puan Sifu mengalirkan air mata kegembiraan bercampur baur sayu. (tetapi tiba-tiba kakitangan PTS berkata, kak tolong sain buku, maka saya tidak sempatlah...)

Kami bergambar dan sayangnya gambar saya dengannya tidak menjadi (sebabnya bukan saya yang ambil!) tetapi gambar dengan Puan Sifu cantik. Itulah dia hikmah bersahabat dengan blogger...saya terharu dapat berjumpa dengan Sdr. KS dan sempat bertanya khabar dan bermesra dengan isterinya.

Sdr. KS atau Matahati, datang hendak beli buku saya dan Pn. Ez Rahmani. Tetapi Puan Sifu yang baik hati, belanja Sdr. KS.

Lepas itu saya tanya, "Hendak pergi ke gerai mana selepas ini?"

Sdr. KS menjawab, "Hendak balik."

Kedatangan beliau semata-mata hendak berkunjung ke gerai PTS. Sahabat sekalian, sekiranya sdr KS boleh datang, kenapa tidak anda?

30.4.07

Pesta Buku di PWTC (29.04.2007)

Hari ketiga di Pesta Buku Antarabangsa KL, saya membawa anak saudara yang tidak pernah berkunjung ke pesta buku apatah lagi menjejakkan kakinya ke bangunan PWTC (menjadi pemandu pelancong yang tidak bertauliah kepada mereka). Awal pagi pengunjung tidak berapa ramai. Namun begitu, meningkat waktu tengahari. pengunjung melaut memenuhi ruang legar bawah dan atas. Bagaikan laluan trafik semakin sesak semasa hendak balik kampung.

Saya ke sana bagi memenuhi hasrat anak saudara, hendak bertemu dengan sahabat blog yang baru dan juga duduk di gerai PTS bagi mempromosi buku saya. Masya Allah, gerai PTS bergegar mungkin sampai ke malam, apabila para pengunjung mengerumuni gerai bagaikan besi berani (magnet). Saya duduk bersama dengan penulis PTS One, Sdr. Majidah, Puan Kushi Hirdan dan juga Puan Ezee Rahmani.

Sempatlah mengambil beberapa keping gambar, tetapi tidak berapa cantik( tangan gementar apabila melihat ramai pengunjung) dan gambar tidak berfokus, (hanya petik sahaja). Begitu juga bertemu dengan sahabat blog baru, Abang Long dan juga Pok Cik Mersik. Bergambar Abang Long sahaja tetapi Pok Cik Mersik tidak pula sebabnya beliau menjadi juru kamera. Sempat berbual ala kadar hanya pembuka bicara berkenalan secara ringkas.

Saya sempat juga memperkenal Puan. Ez kepada mereka berdua. Aduh! pertemuan macam jejak sahabat sahaja (jangan marah abang long dan pok cik) sempat berkirim salam kepada Zalisa (harap beliau baca blog saya ini).

Semasa hendak pulang, saya bertembung pula dengan penulis Ayat-ayat Cinta. Apa lagi ambil kesempatan bergambar dengannya tetapi kenalah beli bukunya dahulu. ( bagi mendapatkan tandatangannya saya belilah bukunya .Sebenarnya saya sudah baca buku itu tetapi pinjam dari sahabat (senyum...masa itu budget terhad!) Alahai! orangnya gantang dan tidak sempat berbual disebabkan gerai buku itu berhadapan dengan gerai PTS yang sesak tanpa kawalan itu. Kalau hendak berbual pun, rasa-rasanya kena pakai mikrofon (bising bangat!) Tetapi terdengar juga dia bercakap bahasa Arab dengan orang lain (terlopong dibuatnya - buta arablah katakan)

Saya lihat buku yang di sain, jangan marah beliau tulis "SALAM CINTA". Aduh! Gegar rasanya jantungku ini! (Acah sahaja!)

Untuk pengetahuan sahabat semua, saya akan berada di sana pada 1 Mei, 2 Mei dan 5 Mei. Datanglah bagi memberi sokongan kepada industri buku tempatan.

27.4.07


Selamat Berpesta Buku

Hari ini adalah hari membelah-belah secara murah. Bukan membeli belah kain baju, beg atau kasut tetapi memborong buku-buku yang dijangkakan akan diberi potongan yang istimewa. Bagi individu yang memang kaki buku (seperti saya...senyum) sudah tentu inilah harinya yang ditunggu.
Pelbagai buku boleh didapati. Sama ada bacaan yang berat mahupun ringan. Ilmiah, novel, majalah, agama, sains, sastera. masakan, komputer dan pelbagai genre yang sesuai untuk semua peringkat umur, kanak-kanak, budak sekolah, remaja, dewasa mahupun orang tua. Bacaan untuk lelaki dan wanita turut tersedia.

Pokoknya, semuanya ada. Macam-macam ada. Antara hendak dan tidak hendak, tepuk hati tanya fikiran (eh!! pepatah baru). Pameran Buku Antarabangsa hanya diadakan sekali dalam setahun dan dalam masa 10 hari ia berlangsung. Oleh itu, tidak ada alasan untuk tidak pergi. Tetapi tidak tahulah kepada individu yang memang tidak minat membaca apatah lagi memegang buku selepas tamat sekolah atau universiti.

Jangan jadikan alasan tiada masa, tiada duit, tidak minat, lecehlah sebab jauh, susah hendak pergi dan seribu alasan yang direka dan dicipta dengan senang hati tanpa rasa malu. Tetapi apabila dikatakan ada konsert itu, konsert ini, tidak dapat tiket pun hendak pergi. Sanggup diredah mahupun banyak halangan. Menyedihkan hati saya jikalau ini berlaku.

Luangkanlah masa sebentar (walaupun setengah jam) berada di PWTC tempat berlangsungnya pesta buku itu. Kini, banyak kemudahan disediakan sekiranya malas membawa kenderaan sendiri. Ada bas, teksi dan juga aliran ringan transit (lrt la tu) atau komuter. Kuala Lumpur sudah menjadi bandaraya terkenal, masalah pengangkutan bukan isu utama lagi. Hanya sediakan sedikit duit untuk bayar tambang sahaja!

Saya kalau tidak sibuk atau ada perkara lain, memang saya tidak pernah ketinggalan dari menghadirkan diri dalam pameran itu. Saya lebih selesa pergi seorang diri supaya dapat melayan diri sendiri dan membelek buku dari satu gerai ke satu gerai. Tapi rasanya tahun ini hendak bawa anak-anak buah supaya mereka cintakan buku dan juga ilmu.

Peristiwa yang tidak boleh saya lupakan adalah pertemuan kali pertama dengan sahabat yang juga bekerja di sebuah syarikat penerbitan yang kini cukup dikenali di kalangan masyarakat Malaysia. Saya berjalan dari satu gerai ke satu gerai dan terlihat satu papan kertas (sebab di tulis atas kertas kadbod) bertulis, "Anda ingin menjadi penulis." Hati saya terpanggil untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai kenyataan itu.

"Saudari, betulkan sini ada menawarkan menjadi penulis." tanya saya kepada seorang gadis manis menawan. Dia melemparkan senyuman dan hati saya menjadi sejuk (sebab sudah penat berjalan dan penghawa dingin pula kurang berfungsi). Gadis itu mengangguk.

"Benar puan. Puan berikan nama dan nombor telefon, nanti kami akan buat panggilan. Sebenarnya yang menguruskan bengkel ini adalah Puan Ainon." katanya dengan suara lembut. Aduhai, lembut tutur katanya. Saya ini hendak kata lembut susah. Suara tidak ada nada rendah atau tinggi, biasa sahaja. Sudah biasa berkata biasa lebih-lebih lagi bekerja dengan kaum lelaki yang jangan dibagi muka bercakap lembut dengan mereka. Tetapi adakalanya terpaksa cakap lembut sebab hendak memujuk. Eh! melalut pula saya.

"Puan Ainon! Dia ada di sini?" tanya saya balik kepada gadis itu.

"Puan Ainon belum ada, mungkin sebentar lagi dia akan datang."

"Tidak mengapalah nanti saya datang balik." Saya pun beredar dan pergi ke rak buku di gerai itu. Dan mengambil sebuah buku motivasi. Eh! inikah tulisan buku Puan Ainon, semacam aku kenal sahaja. Oh! dia inilah penulis buku 'cara hendak buat terjemahan' yang saya gunakan semasa belajar di universiti. Ini tidak boleh jadi, saya mesti jumpa dengannya hari ini. Hati saya melonjak dan tidak sabar hendak bertemu dengan individu yang dimaksudkan. Bagi menghabiskan masa menunggu itu. Saya pun pergilah merayau ke gerai-gerai lain. Tidak berapa lama kemudian, saya kembali ke gerai itu.

"Boleh saya jumpa Puan Ainon?" saya bertanya kembali kepada gadis tadi.

"Boleh, itu dia baru sahaja sampai." Gadis itu menunjukkan ke arah seorang wanita yang sudah berusia (tapi masih cun lagi!) sedang duduk di meja kecil dan ada seorang lelaki sedang bercakap dengannya.

"Adik ini siapa namanya?" Mesra pula saya sampai sempat bertanya nama gadis itu.

"Fatimah!" jawabnya ringkas dan lembut sambil tersenyum ceria.

"Nama puan?" tanya dia pula.

"Saridah!" saya pula menjawab.

"Baiklah, saya pergi jumpa Puan Ainon dahulu."

Saya pun menuju ke meja Puan Ainon dan memperkenalkan diri hendak mendaftar sebagai penulis. Saya berikan nama penuh dan nombor telepon. Menurut Puan Ainon, dalam masa terdekat dia akan mengadakan bengkel. Beliau berjanji akan menghantar sms (pesanan ringkas dalam telefon bimbit) kepada saya nanti. Saya mengucapkan terima kasih.

Mengapa saya hendak jadi penulis? Selama ini saya banyak menulis dalam majalah, akhbar dan juga membuat penulisan skrip dan penyelidik bagi syarikat yang hendakkan saya menyelidik bagi sesuatu projek. Tiada tulisan yang kekal. Kalau tulis skrip, keluar hanya sehari, itu pun hanya setengah jam atau 4 jam (bagi program siaran pagi) dan berpuluh mungkin beratus skrip saya sudah tulis dan ia berlalu begitu sahaja. Orang dengar dan lihat dan adakalanya hilang begitu sahaja dalam ingatan. Itulah dia penulisan skrip dan adakalanya orang lupa bahawa adanya orang yang menulis skrip. Dan mereka mungkin tidak ingat lagi apa yang cuba disampaikan oleh penulis skrip sebab lebih banyak melihat gambar yang menarik dari tutur kata yang dibaca oleh suara latar.

Saya teringin menulis buku tetapi saya tidak tahu siapa yang boleh terbitkan buku saya dan buku apa pula yang hendak saya tulis? Itulah persoalan yang sering berlegar dalam otak saya. Saya belum lagi memfokuskan bidang yang hendak saya tulis. Saya minat bidang agama tetapi saya tidak dilahirkan sebagai seorang yang mendapat pendidikan agama hanya pendidikan warisan agama (senyum..) Maka rasanya tidak layaklah menulis dalam bidang agama. Saya juga minat isu wanita (kononnya pembela kaum wanita!) dan itulah memang sesuai dengan jiwa. Ada juga teringin hendak tulis novel (novel cinta islami) tapi masih belum kesempatan.
Saya menulis bukan kerana nama (macam lirik lagu Ramli Sarip).kalau hendakkan nama, nama sudah sering terpapar di majalah, akhbar dan televisyen tapi orang mungkin tidak perasan hanya saya sahaja yang perasan (syok sendiri!). Niat saya menulis hendak sampaikan ilmu walaupun saya ini bukannya banyak ilmu (tidak sampai setitis air atau mungkin sehalus kuman...) dan biarlah ilmu yang tidak sesat. Biarlah tulisan saya itu nanti akan sentiasa kekal sehingga akhir hayat. Hanya itulah sahaja bekalan yang boleh saya bawa bila hayat habis di kandung badan.

Dipendekkan cerita, saya ikutlah bengkel anjuran PTS dari bulan ke bulan dan kini memakan hingga 2 tahun barulah saya boleh menerima konsep dan kaedah PTS dan terhasillah 2 buah buku denga PTS Islamika (alhamdulillah akhirnya Allah makbulkan cita-cita saya sehingga saya buatlah sujud syukur....hampir hendak meleleh air mata gembira). Namun begitu, dalam gembira ada dukanya...(tidak mengapa biarlah saya simpan duka itu nun jauh di sudut hati)

Jangan lupa berkunjunglah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, K.L. dari hari ini hingga 5 Mei 2007. Datang jangan tidak datang dan belilah buku saya ! (Sedang tersenyum riang...) Jumpa saudara di sana!!








26.4.07

Kerana mu Bunga Tulip (bab 5)


Selepas balik dari makan di kedai makan yang berdekatan dengan rumah, jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Perut masih penuh dengan makanan yang sekali gus dianggap sebagai sahur. Ini kerana saya mungkin tidak masak untuk makan sahur, disebabkan saya hendak out-station.

Mata masih tidak boleh lelap dan saya melihat suami sudah pun lena dengan mimpinya yang indah. Manakala saya pula berkhayal sementara menanti mata lelap sendiri. Fikiran menerawang dan mula mengimbas kembali peristiwa beberapa hari yang lalu di pejabat.

"Cik Suria panggil, ada perkara penting yang hendak disampaikan," kata Zarimah kepada saya yang hendak mula melelapkan mata kerana baru sahaja habis siaran pagi. Pagi-pagi tadi sudah bangun. Sebaik sahaja lepas sahur terus ke pejabat dan solat Subuh di pejabat. Ini kerana siaran akan bermula jam 6 pagi. Mata seperti tidak boleh hendak di buka.

"Apa yang dia hendak cakapkan. Tidak bolehlah hendak rehat sekejap. Kamu tidak nampak mata saya yang tidak boleh celik. Mengantuk sangat!" kata saya dengan suara yang serak basah akibat berpuasa dan mengantuk. Saya menurunkan kepala ke meja dan menutup kepala saya dengan suratkhabar mengelak silau lampu bilik. Dapat lelap 10 minit pun jadilah. Bagi menghilang rasa ngantuk yang tidak boleh ditahan.

"Nanti kamu pula yang kena marah. Pergilah sekejap. Lepas itu, sambunglah tidur wahai permaisuri!" usik Zarimah dengan nada ceria. Betul juga, dibuatnya penerbit saya itu mengamuk mahu diamuknya satu pejabat. Tidak pasal-pasal kena hambur kata-kata laser dengan percuma. Sakit pula telinga ini nanti.

Saya pun bangun dan membetulkan apa yang patut. Mengambil cermin dan melihat wajah yang kelat. "Ada rupa macam orang bangun tidur tak?" bisik saya dalam hati. Sambil itu menyapu sedikit bedak biar nampak ceria. Nanti dikatakan pucat macam hantu. (Betulkan hantu itu pucat? Tidak pernah pula saya melihatnya. Simpang 44, janganlah bertemu dengan makhluk asing itu, menyeramkan!)

Dengan langkah lemah gemalai dan diiringi dengan ketukan kasut tinggi saya (hari siaran pagi saja pakai kasut tinggi sebab kena layan tetamu vvip. Takkan hendak pakai capal! Kalau hendak kena perli, beranilah pakai!) Saya menuju ke meja penerbit Cik Suria (belum kahwin- kira anak dara tua) dan melemparkan senyuman padanya.

"Ada apa Cik Suria?" ringkas soalan saya. Beliau memang suka dipanggil Cik. Tiba-tiba Cik Suria menghulurkan sehelai surat yang baru sahaja diterima. Kertas lembut itu (kerana ia dari kertas fax) saya sambut dan membacanya dengan asyik.

"Kamu pergi ke sana dan buatlah booking kamera dan kenderaan." katanya dengan nada biasa sahaja.

"Bulan puasa ni?" tanya saya dengan nada yang kurang tinggi. Bukan apa ,terperanjat. Kebiasaannya, dalam bulan puasa kami jarang pergi out-station kerana menghormati bulan puasa. Ini kerana sebelum puasa, kami sudah melakukan pelbagai rakaman termasuklah rakaman program hari raya. Cumanya, kalau ada aktiviti penggambaran pun hanya di kawasan yang berhampiran dengan pejabat. Itu pun adakalanya merasa penat yang tidak boleh digambarkan.

"Mengapa, kamu tidak mahu pergikah?" tanya Cik Suria sambil merenung wajah saya. Renungannya diselit dengan senyuman manisnya. Aduh! Ini betul-betul menguji kekuatan fizikal dan mental saya. Dan saya pula sukakan cabaran! Kalau tidak suka, sudah lama saya tinggalkan bidang ini.

"Hendak, siapa yang tidak mahu. Saya sudah biasa ke sana. Lagipun, saya sudah kenal orang-orang di Gunung Jerai." cepat-cepat saya menjawab bagi menyakin kepadanya yang saya ingin sedia berkhidmat. (Yalah tu!)

"Baguslah begitu. Semua sudah disediakan tempat tinggal dan makan. Cuma kamu kena uruskan yang lain." katanya sambil mengambil beberapa tape beta dan diberikan kepada saya.

"Ambil ini, erase isi di dalamnya. Bawa banyak sikit tape itu. Biar berlebih, jangan kurang." pesannya lagi. Saya hanya mengangguk dan mengambil tape beta yang di letakkan di atas mejanya.

Bagus juga pergi Gunung Jerai. Rindu rasa dengan tempat itu yang sejuk, pokok yang menghijau, pemandangan yang cantik. Boleh bertemu dengan pengurus resort itu lagi. Keseronakan menjelma dalam hati dan mata yang mengantuk tadi sudah hilang.

Lamunan terhenti dan saya pun akhirnya terlena sambil tersenyum. (Tidur dalam iman!)




(bersambung...)

Selesai Satu Masalah (bab 4)

Selepas menunaikan solat Isyak, saya melabuhkan diri di kerusi sofa yang agak uzur. Terasa nikmat berehat sungguh menggasyikkan sekali. Namun begitu, otak ini masih berligat memikirkan esok hari.
Pakaian yang hendak dibawa belum lagi dikemas. "Nantilah!" Satu perkataan yang sebenarnya tidak elok diamalkan. Tapi semangat hendak pergi macam sudah tiada dan rasa macam sudah hilang nafsu hendak bekerja. Tetapi apabila mengingatkan keindahan dan kesejukan apabila berada di Gunung Jerai, rasa tidak sabar pula menunggu esok. Ah! hati ini berbolak-balik.

Saya merenung siling rumah yang sememangnya siling zink yang bila waktu malam sejuk sementara waktu siang menyengat badan dibuatnya. Tiba-tiba, saya menyaksikan seekor tikus sebesar lengan saya berlari di palang kayu siling rumah itu. "Mak!!!..tiba-tiba saya menjerit terperanjat dan cepat-cepat menutup mulut yang ternganga besar. Sambil mengurut dada yang semakin sesak.
"Tikus ini tidak masa lainkah hendak bergurau dengan aku!" Saya berkata dalam hati supaya tikus itu tidak mendengarnya. Orang tua kata, kalau dimaki tikus alamak nanti tunggulah balasan dendam darinya. Tidak mahulah saya. Sudahlah koleksi buku saya banyak, tidak pasal-pasal nanti digigit dan dibahamnya buku-buku sebagai melepas dendamnya. Itu pun ada yang sudah dibahamnya dengan ganas! Apa tah lagi almari murah saya. Tidak boleh hendak menyimpan barang antik.

Rumah sewa yang diduduki itu adalah bersambung dengan tuan rumah dan dibuat dari papan, atap zink dan dinding batu. Hendak sewa murahlah katakan! Dan dekat dengan tempat kerja. Sedang asyik menyambung angan-angan dan hampir terlelap, kedengaran pintu di buka. Krekk!! bunyinya. Berderau darah! Terperanjat sekali lagi. Aduh! nasib baiklah jantung sihat. Kalau tidak sudah terpaksa panggil ambulan.

Rupa-rupanya, suami baru balik dari mengerjakan solat Isyak dan terawih (saya sahaja malas, badan tidak larat kerana terpaksa menyiapkan kerja-kerja sebelum pergi out-station) . Saya duduk dan melihat suami tersenyum. (ini mesti ada berita baik yang hendak dikatakannya).

"Betulkah esok tiada siapa yang hendak temankan?"

Saya hanya mengangguk dan buatlah muka sedih (sebenarnya penat). Suami duduk di sebelah saya.

"Baiklah!"

"Apa yang baik?" tanya saya kerana tidak faham apa yang dimaksudkannya.

"Baiklah, esok abang temankan awak pergi ke Gunung Jerai!" Itu dia jawapan penuh dari suami saya. Saya merenung suami seperti mamai (kerana baru lepas berangan).

"Awak dengar atau tidak?"

"Oh!!! Jadi abang hendak temankan saya!" kata saya separuh menjerit kerana gembira yang tidak terhingga.

"Kalau begitu, biar saya berkemas dahulu. Lepas itu kita keluar makan, saya belanja abang!"
Kata saya dengan girang dan terus melompat dari sofa,bergegar sikit sofa itu.

"Betulkah? Selalunya awak belanja, saya yang kena bayar!" ujar suami sambil membuka kopiahnya lalu di letakkan di atas meja.

"Betul kali ini saya belanja! Cakap sahaja hendak makan apa? Kiranya kita bersahur sekalilah!" kata saya dengan nada yang ceria dan bersemangat. Alhamdulillah selesai satu masalah.

Saya pun mengemas beberapa helai t'shirt lengan panjang, seluar panjang, telekung dan beberapa alat yang lain. Ini termasuklah baju dan keperluan suami. Tidak lupa kasut sukan (itulah kasut yang sesuai hendak panjat gunung, takkanlah hendak pakai kasut tinggi! Tidak masuk akal. Lagipun tiada siapa yang hendak lihat saya bergaya macam model di Gunung Jerai itu)

Rasa tidak sabar menunggu esok. Gunung Jerai! Nantikan kedatangan daku yang kali ke tiga! (Saya menjerit dalam hati)

(bersambung.....)

25.4.07


Rahsia di Peti


jalinan mesra berpadu
ku curahkan kisahku
kau luahkan cita-citamu
digabungkan jadi semangat


rahsia mu tersingkap
rahsia ku terungkap
tersimpan rapi di peti
tiada siapa berani selongkar


gelisah hati ini
ramah ku melepasi batas
kau tersenyum ceria
ujar mu, “saya suka!”


suatu masa hati tersentak
kau berikan satu susulan
adakah salah bicara ku
keputusan mu sebegitu


kau senyum lagi
bukan aku penyebabnya
azam hijrah tekad di ambil
meski pulangan belum tentu mewah


bukan saja hati ini merintih
hati-hati lain turut bersendu
pergilah sahabat
redha ku bersama redha mu
di iringi doa kasih sayang.



saridahamid
25 april 2007 (9.45am)

Usah dikenang

kenangan mengusik jiwa
bersama si dia jelita menawan
teringat senyuman di bibir
terukir dalam apa jua masa

hijrahnya mawar ke daerah baru
usahlah dikenang lagi
biarlah dia bahagia
bersama cita murni sejati

barisan yang teguh
teruskan perjuangan
tingkatkan semangat
padukan hati

pohon kepada-Nya
kukuhkan gerak gempur
usah di risau sokongan
bantuan pasti dikirimkan
ranjau juang mesti diteruskan
meski ditusuk kenangan lalu



saridahamid

25 april 2007

24.4.07

22.4.07


Esok hari di daerah itu

Hari-hari terakhir di daerah ini
tinggal palitan kenangan pengalaman
hidup mengajar kedewasaan
muktamad teguh di hati

Di daerah itu nanti
keringat tertumpah berbakti
keluarga bahagia di sisi
simekar kembali bersatu

saridahamid
22 april 2007

21.4.07


Hanya Sebentar

Hanya dua waktu berlalu
kenal dan mesra
lahir bibit kasih sahabat
erat sehati sehaluan

semangat jitu berpadu serasi
coretan ilmiah kini terbukti
selangkah demi selangkah
atas rangsangan sokongan dari mu

kini kau bersama cita-citamu
memisahkan dua daerah
tanggungjawab mu diutamakan
tekad kau perjuang

namun aku rasa gundah
bicara ku bimbang tersalah
tapi kau senyum selesa
niat mu penuh nekad

kau ingin impikan kejayaan
sahabat teruslah berjuang
bagi meruntun hati yang mekar
seharum cempaka merebak wangi
membawa angin bahagia

walau hanya sebentar
mesramu tetap dalam lipatan
kenangan jiwaku


saridahamid
3 rabiulakhir 1428/21 April 2007


Terasa hendak berpuisi

Minta maaflah bagi sahabat yang hendak tahu kesudahan cerita yang bersiri. Minggu ini terasa hendak berpuisi bagi merawat hati yang rawan. Namun begitu, saya berjanji akan menyambung siri itu sehingga selesai. (sabarlah ye!...)

Lagipun, saya didesak rasa tanggungjawab supaya menghabiskan manuskrip yang perlu dihantar secepat mungkin. Maka coretan puisi sahaja yang mampu dititipkan bagi mengisi kesunyian blog ini...doakan saya dapat menghabiskan kerja yang tiada penghujungnya. Amin.

20.4.07


Hati di Musim Luruh


Hatiku tersentuh
Bila di sapa sahabat
bersama utusan pedih
mendera rasa
Jiwa kalbu sahabatnya


Hatiku tersayat
Bisikan bisa tajam menyusuk
Titipan coretan menyentuh rasa
Nilai cemburu dan kebencian


Hatiku tergores
Tidak sedikit parah
Kental dan padu
Jiwa bergabung
Atas nama kekasih...


Hatiku terubat
Kekasih di samping
Memujuk merayu
Membina harapan
Teruskan perjuangan
Walau berduri di jalanan...


Berlalulah Musim Luruh...



saridahamid

2 rabiaulakhir 1428/20 april 2007

18.4.07


Sahabat, Kekasih dan Teman (bab 3)

Kekasih yang ditunggu pun tiba. Hari itu, kami bercadang hendak berbuka puasa di sebuah restoran yang glamour (tapi tidak berbintang) yang menyajikan ayam bakar yang digolek-golek di atas bara api. Terkenal dan murah. Lagi pun, esok saya hendak berangkat luar daerah. Malas pula hendak masak. Tengah pening dan mood pun berkurangan. Makan di kedai sahajalah!

Petang itu ramai yang memenuhi meja di restoran itu. Nasib kami baik kerana masih ada meja kosong. Jam di tangan menunjukkan lagi 20 minit hendak masuk waktu berbuka. Saya termenung. Masih memikirkan masalah yang tidak selesai. Tidak mengapalah, pergi sahajalah. tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya masih berfikir dan terus berfikir. Rasa macam hendak pecah otak!

"Apa yang ditenung itu? Sudah tidak sabar lagi hendak berbuka. Ayam golek itu tidak lari ke mana. Sekejap lagi datanglah dia." Suami saya memecah kesunyian. Saya tersentak sebentar. Memang saya sedang merenung ayam yang sedang digolek-golek itu tapi tidaklah sampai membayangkan betapa enaknya ayam golek itu. Tetapi memikirkan perkara yang tidak selesai.

"Esok, abang cuti atau kerja?" adakah soalan tidak bijak keluar dari mulut saya. Suami saya memang bekerja setiap hari, manalah dia ada cuti kecuali hujung minggu atau cuti umum.

"Awak ini tengah mimpi atau berkhayal. Memanglah saya kerja. Kenapa?" suami saya memandang dengan wajah kelat ke wajah saya yang semakin suram. Bulan puasa, malas hendak cakap banyak-banyak. Tetapi terpaksa juga bercakap. Orang belajar komunikasi lah katakan, kenalah pandai komunikasi terutama dengan suami. Mesti pasang strategi! (heh! heh!-gelak dalam hati).

"Abang tahukan, esok saya hendak ke Gunung Jerai. Semuanya sudah siap tiada yang kurang. Duit pendahuluan pun sudah ada dalam tangan. Tempat tidur sudah diatur, makan dan minun semuanya beres. Pokoknya, semuanya sudah disediakan. Krew yang hendak ikut pun sudah disediakan dan pengangkutan pula tiada masalah." kata saya dengan panjang lebar.

"Habis tu, apa pula masalah awak. Termenung macam kehilangan emas pula?" tanya suami saya sambil menyusun pinggan-pinggan yang di hantar pelayan termasuklah ayam golek. Emm..baunya sungguh menggoda! Ah! tidak sabar hendak berbuka puasa.

"Tidak adalah masalah besar..." tiba-tiba azan maghrib berkemundang dari surau yang berdekatan. Suami saya memberi isyarat supaya berbuka puasa dahulu. Saya hanya menggangguk. Berbuka tidak boleh dilambat-lambatkan. Kami pun makanlah nasi dengan ayam golek yang sungguh menyelerakan!

Apabila selesai berbuka puasa dan yang tinggal hanya rangka-rangka ayam. Emm sungguh kenyang. Otak yang sesak, sudah terasa ringan. Tapi perut pula rasa berat. Memang tidak boleh kawal kalau berbuka puasa. Setelah selesai baca doa selepas makan (sebelum makan tadi sudah dibaca doa berbuka puasa..)

"Apa yang awak hendak katakan tadi. Ada masalahkah esok?" tanya suami sambil membuka pintu kereta. Perlu segera balik ke rumah kerana mengejar waktu maghrib. Saya tidak menjawab pertanyaan suami kerana terpaksa penat disebabkan kekenyangan.

"Katakanlah!" saya tersedar yang saya belum menjawab pertanyaan suami.

"Begini, inikan bulan ramadan. Abang kamera itu kata, saya elok bawa teman pergi out-station kali ini. Buat peneman. Tapi masalahnya, siapa yang hendak menemankan saya?" saya menyuarakannya dengan nada sedih (kononnnya menagih simpati dari suamilah tu!).

Kami pun sampai ke rumah. Persoalan yang dibincangkan dengan suami belum terlerai. Apakah jawapannya?

(tunggu!!........)



16.4.07


Panggilan Gunung Jerai (bab 2)

Petang itu setelah selesai membuat persiapan barang-barang yang perlu dibawa untuk esok, saya melepaskan penat. Hari kerja di bulan Ramadhan memang mencabar. Nasib baiklah duduk dalam suasana di hembusi dengan angin pendingin hawa yang nyaman. Saya membelek-belek lagi kotak yang berisi tape beta di atas meja. Ada enam semuanya. Cukuplah itu. Tape beta adalah elemen penting dalam membuat kerja-kerja shooting (ambil gambar bukan menembak yeh!). Kalau tidak ada tape beta, baik tidak usah pergi. Mahunya kena bambu dengan abang kamera. Ialah kalau tidak dibawa tape beta, dengan apa hendak diambil gambar dan direkodkan gambarnya. Takkan dengan kamera biasa kot. Kalau hendak kena amuk dengan boss, buatlah kerja bodoh itu!

Sementara menanti pak we datang ambil. Kepala makin pening. "Siapalah yang hendak aku ajak," itu dialog dalam hati. Persoalan itu tidak saya ajukan kepada sesiapa. Kawan sepejabat masing-masing sedang sibuk memikirkan apa yang hendak di makan semasa berbuka puasa. Jadi kalau saya lontarkan soalan itu, mahunya saya kena pulau. Sebabnya tidak masuk tajuk. Orang sedang seronok fikir hendak makan apa hari ini, saya pula sibuk hendak tanya siapa yang hendak ikut saya shooting ke gunung. Siapa yang gila hendak pergi shooting dalam bulan Ramadhan (kecuali sayalah tu!).


"Saya dengar kamu hendak shooting ke Gunung Jerai, betulkah?" soal Leman dengan senyum kambingnya. Saya memandangnya sambil menggangguk lesu (penat sedang berpuasa)

"Wah! baguslah! Hebatlah kamu ini!" banyak pula pujiannya. Ini mesti ada maksud yang tersirat. Hati saya menganggak.

"Boleh pesan tak?" katanya tersenyum sambil mengusik kotak tape beta saya yang sudah saya tutup dengan pelekat warna putih. Saya sudah agak, ada makna pujiannya!

"Apa dia? " soal pendek dan ringkas dari saya.

"Kamu pergi shoot gambar bunga tulip kan?" tanyanya sambil menggaruk kepalanya yang botak.

"Macam mana kamu tahu? Cepat benar berita tersebar. Sudah tidak rahsialah misi saya kali ini," Saya mendongak melihat Leman yang tergaruk-garuk kepalanya lagi.

"Nanti tolong bawakan aku buah tangan."

"Bunga Tulip?"

"Yalah!"

"Mana boleh hidup di sini. Bunga tulip hanya tumbuh sihat di tempat yang sejuk. Apa kamu hendak tanam bunga tulip dalam pejabat inikah?" Saya sengaja menimbullkan kontroversi.


Malas hendak layan mamat seorang ini. Selalu sahaja banyak pesanan komersialnya. Sudahlah saya tengah pening memikirkan siapakah yang hendak dibawa bersama dalam misi saya ini. Kalau hendak diharap kawan pejabat, mereka lebih suka berada di rumah dan kalau boleh tidak keluar ke mana-mana dalam bulan Ramadan. Duduk pejabat lagi bagus. Hendak ajak penerbit saya, lagi tidak mahunya. Mesti dia hendak berbuka dengan keluarga dan mengerjakan solat terawih di rumahnya.


"Ya Allah! berilah daku ilham!"


(bersambung......tunggu!!!!)