21.3.08


Berita gembira memulih semangat!

Dalam badan yang masih tidak sesegar dahulu, diri ini digagahkan untuk melihat perkembangan semasa. Laman siber dilayari untuk mengikut isu semasa. Kesibukan calon-calon Piliharan raya Umum ke 12 tetap menarik perhatian. Sebagai seorang yang pernah terlibat dalam dunia media cetak dan elektronik dan memang mengambil kursus media komunikasi, isu-isu semasa sering diikuti meskipun tidak terlibat secara langsung.

Sebagai individu yang peka, perkara semasa perlu diketahui. Begitu juga, sebagai penulis, jangan sempitkan minda hanya dengan apa yang berlaku dalam lingkungan diri kita sahaja. Kita perlu luaskan minda dan pengalaman kerana itulah yang akan dijadikan sebagai rencah dalam penulisan. Tidak kiralah, apa sahaja bentuk berita dan maklumat perlu diterokai termasuklah sosial, politik, undang-undang, hiburan, sukan, kesihatan dan apa sahaja yang berlaku dalam dunia hari ini.

Ada sesetengah penulis, tidak begitu gemar bila berbicara tentang politik. “Saya tak minat politik. Politik ini kotor dan leceh!” Adakalanya aku tersenyum mendengarnya. Tapi malas nak komen takut kecil hati pula. Takut melarat-larat dan jadi gaduh. Tapi dalam hati kesian kerana mengecilkan minda dan idea. Menyempitkan fikiran yang sedikit sebanyak merugikan diri sendiri.

Apabila membuka blog sendiri, terima berita gembira dari PTS…buku ketiga aku dicetak semula. Alhamdulillah. Berita itu sekurang-kurang memulihkan semangatku yang lemah ini. Moga-moga aku cepat sembuh dan ingin kembali berkarya. Hampir dua minggu aku tidak menulis apatah lagi menjenguk laptopku yang second hand ini. Terbaring sahaja di sofa dan katil. Jika mata ini larat, melihat berita di tv. Kalau tidak, berada di alam mimpi. Itu pun jika tidak terganggu oleh rasa bisa dan kebas seluruh badan.

Aku berdoa semoga aku sembuh dengan segera. Bukan apa, sekurang-kurangnya sempatlah aku mengundi. Tangan ini sudah gatal dan tidak sabar-sabar hendak memangkah calon pilihan hati. Kali ini, mengundi lebih menyeronokkan. Kerana calon yang bertanding di kawasan parlimen tempat aku, seseorang yang aku kenali. Seorang yang dikagumi kerana kepakaran dalam ekonomi. Dan lebih penting, seorang melayu yang jarang bertanding di kawasan ini. Hati ini melonjak-lonjak menghitung hari mengundi yang terasa lambat sekali. Namun begitu, aku hanya boleh mendengar berita dari internet dan tv sahaja. Tidak dapat menghadirkan diri dalam perhimpunan ahli berkempen. Walaupun aku ini bukan orang politik, tapi seperti yang aku katakana sebelum ini, aku suka cari pengalaman. Teringin hendak melihat orang berkempen. Dari situ kita boleh mendapat pelbagai idea penulisan. Boleh lihat tingkah laku manusia yang pelbagai ragam. Boleh lihat cara seseorang itu bercakap dan menyampaikan isi ceramahnya yang adakalanya berisi dan ada masanya entah apa-apa. Ada yang suka mengutuk orang lain. Ada yang suka fitnah. Ada yang cakap secara umum dan orang ramai tak faham. Ada yang macam pak lawak…dan pelbagai ragam lagi. Itulah yang menyeronokkan aku kerana peristiwa itu hanya berrlaku sekali dalam lima tahun.

Akhirnya, alhamdulillh, aku sembuh walaupun tidak sepenuhnya. Badan masih lemah dan kakiku terasa kebas. Tidak boleh dengan lama. Dan yang paling utama aku mula masuk kerja. Rakan-rakan sejawat termasuk bosku, bertanya tentang kesihatanku. Aku terharu dengan keprihatinan mereka. Lebih-lebih lagi, pejabat ku baru berpindah ke bangunan sendiri milik bos akulah. Lebih besar dan elegan. Lebih selesa tapi jauh sikitlah dari tempat shopping dan lepak-lepak. Itu lebih baik. Nanti kalau dekat dengan tempat shopping asyik nak laburkan duit sahaja. He..he..he..!!

Aku mula sibuk dengan kerja harian disamping badanku masih lemah. Aku berjumpa dengan doktor meminta nasihat darinya. Menurutnya, aku perlu tabah dan bersemangat melawan lemah badan. Dia berikan aku vitamin yang boleh memulihkan tenaga aku. Alhamdulillah, rasa segar sikit. Dan yang paling seronok, aku berasa segar untuk pergi mengundi. Seronok sungguh memangkah calon pilihan hati. Moga-moga menanglah calon pilihan itu.

Bila waktu malam, aku dan suami menghadap kaca tv. Ingin mengikuti perkembangan kemenangan calon-calon yang bertanding. Tunggu punya tunggu sambil mengikut sembang-sembang politik dengan ahli panel yang aku minati, keputusan masih belum keluar. Sudah pukul 9.00 tapi keputusan banyak dari Malaysia Timur. Apa sudah jadi? Katanya, keputusan awal pukul 7.00 tapi tunggu punya tunggu, keropok yang dikunyah pun habis tapi keputusan tiada lagi.

Tidak puas hati, layari sesawang media yang terkenal… (bagi akulah..bagi orang lain tak tahulah) yang memberikan laporan terkini dan berita benar. Terperanjat membaca berita terkini dari alam siber. Bagaikan tak percaya….akhirnya terpaksalah percaya!!! Kemenangan yang tidak disangka! Kekalahan yang tidak pernah diduga! Allahuakhbar!!!

1 comment:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya bangga jadi orang Perak..

Taman di rumah saya di Parit Buntar, bertemakan hijau putih..Semua bunga putih sahaja (yang punya haruman semerbak mewangi) dan pohon renik berdaun hijau. Warna ini tertempias akhirnya menjadi era baru di sini..

Moga Allah membantu memudahkan segala urusan kita semua seterusnya..Amin