10.9.07

Salam Ramadan untuk Saudara Se-Islam



Hari Khamis ini dijangkakan kita berpuasa hari pertama di bulan Ramadan. Rasanya, begitu cepat masa berlalu dan kini kita bertemu kembali dengan bulan yang penuh dengan keberkatan. Mungkin kita sudah mengetahui manfaat atau fadilat bulan Ramadan. Di sini dipaparkan antara fadilat Ramadan sekadar peringatan bersama.



Nabi Muhammad sallahualaihiswassalam berkata, "Diberikan kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat yang dahulu. Antaranya,



1. Bau mulutnya orang puasa lebih daripada harum kasturi di sisi Allah.



2. Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasa adalah syurga balasannya.



3. Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatulqadar.



4. Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 ganda, melainkan puasa itu bagi-Ku. Aku balas kepada yang berpuasa menahan syahwatnya, makan minumnya kerana Aku.



5. Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereaka keseronokan semasa berbuka dan semasa menemui Tuhan di Akhirat.

Nabi Muhammad berkata lagi,

"Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepada-Nya) dan sabar itu adalah syurga balasannya. Bulan ini dilebihkan rezeki kepada hamba-Nya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa, sesiapa memberi makan kepada orang berpuasa, pahalanya seperti memerdekan hamba, dan diampunkan dosanya.

Seorang sahabat bertanya, " Bagaimana sekiranya kami tidak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa), ya Rasulullah?"

"Allah memberi pahala kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma, atau segelas air. Sesiapa mengenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diberi minum Tuhan daripada kolam Haudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa."

Sekiranya, menjelang bulan Syawal kita sibuk merancang untuk membuat rumah terbuka. Apa kata, di bulan Ramadan ini, kita berlumba-lumba merancang membuat rumah terbuka berbuka puasa. Ini kerana, memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah digalakkan seperti yang dijelaskan dalam hadis di atas. Betapa besarnya pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa. Marilah kita bersama merebut peluang yang hanya tawarannya pada bulan Ramadan.

Kita sering melihat apabila tiba bulan Ramadan, ibarat cendawan lepas hujan, tumbuhnya gerai-gerai, bazar-bazar, warung-warung dan restoran yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa. Tidak hairanlah sekiranya berlaku sifat suka membazir di bulan Ramadan. Semuanya hendak dibeli dan hendak dimakan. Ibarat, bulan Ramadan seperti pesta makan-makan. Apa kata, makanan yang disediakan dalam pelbagai bentuk itu dijamu untuk mereka yang berpuasa. Utamakan mereka yang memerlukan. Bebelanja ala kadar atau tidak perlu membeli makanan di luar bagi yang mempunyai untuk menyediakannya. Apatah lagi, harga barang semakin naik, duit semakin kecil dan bulan Ramadanlah untuk kita berlatih berjimat cermat.

Salam ramadan dari saya untuk semua teman yang sudi menjenguk terataq ini.

No comments: