Perkongsian Penulisan
Bismillah.
Segala puji-pujian hanya layak ditujukan kepada Allah SWT. Pemilik diri ini
dan juga segala sekalian makhluk dan alam buana.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulis, kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad s.a.w, para keluarga dan juga
sahabat baginda.
Alhamdulillah, sekian lama bercuti dari menulis blog ini, kini ingin
menulis agar dapat berkongsi ilmu yang sedikit ini kepada mereka yang sudi
membaca status blog ini.
Kali ini, ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penulisan. Selamat
berkenalan kepada yang baru membaca blog ini dan juga selamat menjadi penulis
yang disayangi Allah SWT kepada yang baru hendak berjinak-jinak mengenali dunia
penulisan ini.
Dalam apa jua perbuatan yang hendak kita lakukan biarlah ia adalah sesuatu
yang memberi manfaat pada diri dan juga orang lain. Apa yang penting, ia
diterima sebagai satu ibadah di sisi Allah SWT. Setiap perbuatan hendaklah
disertai dengan niat. Begitu juga dengan tujuan ingin menulis dan juga menjadi
penulis. Saya mengutarakan perkongsian sedikit ini dengan perkara pertama yang
perlu kita perhatikan iaitu,
Pertama: Niat
Setiap pekerjaan yang hendak kita lakukan mestilah bermula dengan niat. Insya-Allah
niat saya ingin berkongsi pengalaman penulisan bersama adalah kerana Allah SWT.
Ilmu dan pengalaman yang dimiliki bukan miliki mutlak saya. Ini adalah ilmu
milik Allah yang diberikan kepada saya dan saya amalkan serta sebarkan untuk
anda semua. Sama-samalah kita berkongsi. Semoga perkongsian ilmu ini adalah
satu sedekah dan diterima sebagai amalan ibadah di sisi Allah.
Niat amat penting. Pahala amalan bergantung pada niat. Dalam hadis yang
bermaksud,
“Amalan-amalan itu bergantung pada niat, dan setiap orang akan mendapat apa-apa
yang dihajatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka
hijrahnya itu kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana seorang
perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa-apa yang
ia berhijrah kerananya.”
Cuba tanyakan diri , mengapakan kita hendak menjadi seorang penulis? Adakah
sebab kita berbakat? Adakah sebab kita hanya berminat? Adakah sebab kita
melihat orang lain menjadi penulis maka kita pun hendak jadi penulis terkenal?
Adakah sekadar ingin mengisi masa lapang? Mencari kepuasan dalam hidup? Saja-saja
atau suka-suka? Ingin memeriahkan dunia penulisan? Ingin menyampaikan sesuatu?
Mungkin ada seribu alasan ingin menjadi penulis.
Bagi saya, saya menulis adalah kerana minat dan juga bakat saya dalam
penulisan. Terus terang saya katakan, saya tidak berminat melakukan kerja-kerja
yang teliti seperti mengira stok, melakukan kerja-kerja menyimpan maklumat
dalam fail, membuat kerja-kerja pejabat, menaip surat dan sewaktu dengannya.
Itu bukan kerja yang saya minat. Pengalaman bekerja pelbagai jawatan dan
semuanya tidak kekal. Saya suka mencuba sesuatu yang mencabar minda dan
kreativiti. Saya ingin memberi. Saya ingin menyampaikan apa yang saya tahu dan
saya ingin berdakwah melalui penulisan.
Ya, menulis adalah mencabar minda dan memerlukan kreativiti. Dua perkara
itu akan saya huraikan pada perkongsian yang lain. Saya akui, pengalaman dalam
menulis lebih banyak dalam hidup saya. Saya pernah menjadi wartawan akhbar,
majalah, penulis skrip, terlibat dalam dunia penyiaran dan juga editor buku.
Semuanya berkaitan dengan penulisan. Saya, kerja dan tulisan. Semuanya dalam
satu. Kerja saya berkaitan dengan penulisan. Jadi setiap masa, saya tidak boleh
tinggalkan untuk menulis. Makin hari makin saya mantap dalam penulisan.
Ambil komputer riba, dan mula menekan papan kekuncinya, maka lahirlah
ayat-ayat yang dikehendaki. Alhamdulilah, Allah anugerahkan jari-jari ini dapat
menaip dengan cepat dan tepat ejaannya. Seperti seorang jurutaip yang pakar
dalam taipan apabila sudah melalui kursus. Saya belajar menaip sendiri.
Menggunakan mesin taip milik kakak sendiri. Merujuk buku taip kakak.
Alhamdulillah hinggalah jari-jari ini mahir dengan huruf-huruf di papan kekunci.
Itu mungkin satu kelebihan saya kerana boleh menaip dengan pantas. Sehingga
saya boleh menghasilkan karya novel kanak-kanak dalam masa seminggu.
Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan saya.
Kembali kepada niat. Niat saya menulis novel adalah untuk berdakwah. Jika
zaman remaja saya boleh bergerak aktif dalam persatuan pelajar islam, kini apabila
sudah berkahwin dan bekerja ia tidak seperti waktu dulu. Pandangan harus ke
hadapan. Saya berfikir dalam bentuk apakah yang boleh saya sumbangkan untuk
dakwah Islam. Sekurang-kurangnya ia menjadi pencen kubur saya. Sedikit amalan
ini diharapkan dapat dijadikan penyebab untuk memudahkan saya di alam akhirat
nanti.
Bagaimana dengan anda? Sudahkah tentukan niat anda selari dengan apa yang
hendak dilakukan. Biarlah ia bermula dengan ikhlas dan berakhir dengan
kebaikan. Tidak ada putus asa ditengah jalan. Kesusahan itu akan berakhir
dengan kesenangan jika landasannya adalah betul dan diredhai Allah SWT. Jadi
pastikan niat ikhlas dan perjuangan tetap diteruskan walaupun tidak ditaburi
dengan bunga rampai. Walau onak melanda diri dengan duri tajam. Biarpun tohmah
dilumuri jika diri yakin insyaAllah semuanya akan jadi baik dan memberi manfaat
kepada sesiapa sahaja.
Selamat menulis.
----bersambung.
#saridahamidnovelis