29.3.07


Tanggungjawab moral dalam tulisan

Seorang kawan pernah bertanya, "Mengapakah kamu suka menulis?"

Saya tersenyum mendengar pertanyaannya. Saya mendiamkan diri sambil menyelak buku novel yang sedang saya pegang.

"Kamu juga suka baca novel?"

Saya hanya mengangguk.

"Kamu tidak sukakah?" tanya saya balik.

"Kurang minat."

"Kenapa?"

"Buang masa!"

Saya tersenyum lagi. Tidak menyalahkan dirinya. Masing-masing punya minat yang tersendiri. Saya ini lainlah, memang sejak sekolah menengah dalam aliran sastera. Buku-buku cerita, sajak dan lain-lain menjadi koleksi peribadi. Semasa sekolah sudah belajar menganalisis novel dan puisi atau sajak dan genre yang lain. Oleh itu dapatlah sedikit sebanyak membezakan mutu penulisan yang baik atau tidak.

Bagi saya, penulis sama ada novel, artikel, wawancara, skrip, puisi dan lain-lain mempunyai tanggungjawab moral dalam penulisan mereka. Namun yang menyedihkan tidak semua penulis memahami etika itu. Mereka menulis kerana minat, jadi tujuan menulis itu tidak dipedulikan.

Tidak hairanlah sekiranya pada hari ini kita lihat perlambakan novel yang kurang tanggungjawab moralnya. Mungkin ada yang tidak setuju dengan pandangan saya. Terpulang. Ini yang hendak saya sampaikan bahawa menulis itu bukan sekadar minat atau seronok-seronok bila nama tertera di buku tetapi hendaklah juga menitikberatkan apa yang hendak disampaikan dalam penulisan itu.

Kita perlu tahu bahawa buku yang kita tulis itu akan kekal sampai 10 tahun akan datang (itupun jika diulang cetak). Oleh itu, tulisan yang tertera dalam buku itu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, anak, cucu, cicit, piut dan orang lain. Tulisan itu mencerminkan peribadi dan pemikiran kita.

Oleh itu, apabila kita menulis novel dengan penceritaan yang baik, ada unsur pengajaran dan pendidikan moral, teladan yang molek, peribadi yang mulia dan unsur-unsur baik, itu adalah satu penyampaian dakwah kepada pembaca dan kita secara tidak langsung sudah berdakwah kepada mereka yang membaca.

Tetapi jika dalam penulisan novel itu terdapat unsur-unsur tidak baik seperti perempuan tidak bertudung, mudah di ajak keluar, mudah disentuh, mudah diusik pipi dan membelai rambutnya, berdua-duaan, berdating dan sebagainya, itu satu cara merendah moral wanita hari ini. Dan, lelaki juga tidak suci kerana sifatnya yang mudah digoda dan menggoda, menyentuh perempuan yang bukan muhrimnya, mudah melontar kata-kata lucah, tidak berakhlak, tidak bersopan, kurang ajar dan sebagainya. Itu juga satu gambaran nilai moral yang tidak baik.

Oleh itu, para penulis fahamllah tanggungjawab kita. Ini kerana kita akan ditanya oleh Allah pada dunia yang lagi satu iaitu alam akhirat.



2 comments:

mohamad kholid said...

sebab itulah saya mula menulis dalam genre kanak-kanak - niat tidak ada lain untuk mendidik kanak-kanak meminati buku. jika dari kecil sudah meminati buku - insyallah akan kekal sehingga bercucu...

saridahamid said...

Semoga usaha saudara dan penulis yang lain diberkati Allah.

Teruskan perjuangan mendidik masyarakat melalui penulisan.