14.3.07

Benarkah Nabi Isa di bunuh?

Para pengikut Nabi yang juga dikenali dengan Hawariyin adalah pengikut setia serta beriman kepada Allah dan juga rasulnya, iaitu Nabi Isa yang diberikan kepada Kitab Injil. Pada suatu hari, pengikut Nabi Isa yang setia itu pernah bertanya kepadanya. Mereka bertanya, “Wahai Isa anak kepada Maryam! Adakah Tuhan kamu itu mempunyai kuasa menurunkan satu hidangan dari langit bagi kami?”

Nabi Isa menjawab dengan nada amaran kepada pengikut-pengikutnya, “Hendaklah kamu takut kepada Allah, sekiranya kamu itu orang yang beriman!”
Pengikut-pengikut Nabi Isa tidak berpuas hati dan bertanya lagi, “Kami hanya ingin makan dari hidangan itu supaya kami boleh makan bagi mendapat berkat dan supaya tenang hati kami. Dan supaya bertambah yakin kepercayaan kami. Sesungguhnya, kamu seorang yang bercakap benar. Dan kami hendak menyaksikan kebenaran itu dengan sendiri.”
Nabi Isa pun berdoa kepada Allah, “Ya Allah, ya Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit bagi menjadi hari raya kami. Ia adalah satu mukjizat daripadamu sebagai bukti kebesaran dan kekuasaanmu. Dan berikanlah kami rezeki kepada kami kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki.”

Allah menurunkan hidangan seperti yang diminta Nabi Isa. Maka bertambah kepercayaan dan keimanan pengikut-pengikut Nabi Isa. Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya meneruskan usaha sebarkan ajaran Allah. Ajaran Nabi Isa sama seperti agama Islam. Ajaran yang mengatakan bahawa Tuhan itu hanya satu. Nabi Isa bukan anak Tuhan bahkan dia adalah rasul pilihan Allah.
Pengikutnya semakin bertambah dan pengikut-pengikut Nabi Isa diberi nama Nasara atau Nasari. Namun bergitu tidak semua yang mahu mendengar ajakan Nabi Isa. Ada yang menerima dan terus beriman dan ada juga yang masih dalam amalan sesat.

Orang-orang yang menentang ajaran Nabi Isa adalah musuh utama Nabi Isa. Mereka ini sejak dari dahulu tidak suka dengan Nabi Isa. Mereka mengadakan mesyuarat dan membincangkan bagaimana hendak menghentikan ajaran Nabi Isa. Satu keputusan sudah diambil iaitu mereka hendak menangkap Nabi Isa dan kemudian membunuhnya. Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya melarikan diri.

Namun begitu, ada di kalangan sahabat Nabi Isa yang sudah berpaling tadah dan murtad ( iaitu keluar dari agama). Nama sahabat Nabi Isa yang berpaling tadah itu ialah Yahuza. Dialah yang memberi maklumat mengenai Nabi Isa kepada orang-orang yang hendak menangkap Nabi Isa. Musuh-musuh Nabi Isa percaya kepada maklumat itu tetapi dengan kuasa Allah, orang yang ditangkap oleh musuh itu bukanlah Nabi Isa. Akan tetapi dia ialah Yahuza yang khianat itu. Dengan kuasa Allah, muka Yahuza seolah-olah serupa dengan muka Nabi Isa. Yahuza ditangkap dan dia pula di paku di batang kayu sehingga terbunuh. Sedangkan Nabi Isa, dengan kuasa Allah, dia diangkat naik ke alam ghaib. Sesungguhnya, manusia tidak dapat tandingi kuasa Allah!

Petikan dari buku "25 Rasul Allah" yang akan terbit tidak lama lagi. Sesuai bagi bacaan kanak-kanak dan juga remaja. Orang dewasa juga boleh membacanya bagi tambahan maklumat. Insya Allah terbit pada hujung bulan Mac ini.

No comments: