24.3.07


Daripada tidak ada langsung...


Ini adalah buku pertama saya. Inilah juga usaha dan sumbangan kecil bagi menyahut pesanan Nabi Muhammad (Allahumma solli 'ala saidina Muhammad wa'ala aalihi wa as-haabihi ajma'in) sampaikanlah walau pun hanya sepatah ayat.


Saya ini bukanlah mendapat didikan agama seperti orang lain yang sepenuhnya mendapat didikan agama sehingga ke tahap ijazah sampai ke Phd dalam bidang syariah, usuluddin, hafiz dan sebagainya. Malah buta Arab lagi, walau pun pernah ambil kelas bahasa Arab, tetapi sekerat jalan. Namun begitu, sebagai seorang Islam yang hendak juga menyumbangkan sesuatu kepada dunia Islam, inilah usaha kecil saya.


Mungkin semasa saya masih bersekolah, saya bergerak aktif dalam persatuan pelajar Islam dan dari situ saya bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja dakwah di peringkat sekolah menengah dan juga universiti. Tetapi, apabila sudah berkeluarga, gerakan itu semakin berkurangan dan juga langsung tidak berpeluang. Lebih-lebih lagi apabila sudah menjawat kerjaya yang meruntun masa sepenuhnya dengan kerjaya itu. Tiada masa langsung untuk meluangkan masa bagi kerja-kerja dalam gerakan Islam.


Bagi saya yang mempunyai bakat terpendam dalam penulisan, inilah istiqamah saya bagi meneruskan usaha-usaha dakwah walaupun dalam bentuk yang lain. Menulis semula cerita-cerita teladan yang memberi impak yang baik kepada diri seseorang itu. Itupun sekiranya seseorang membaca dengan penuh ikhlas dan menginsafi segala cerita yang boleh dijadikan sebagai teladan dan sempadan. Jika itu berjaya, sayalah orang yang paling bersyukur. Alhamdulillah!


Tetapi saya agak kecewa sedikit namun tidaklah sampai patah semangat apabila kawan karib sendiri menyatakan buku saya itu biasa-biasa sahaja. Saya akui memanglah buku saya itu biasa-biasa sahaja dan tiada yang luar biasa. Dan itulah tujuan sebenar PTS Islamika menerbitkan buku yang biasa-biasa supaya mudah dibaca dan difahami oleh mereka yang biasa-biasa juga.


Buku saya itu sasaran pembacanya bukanlah ustaz-ustaz, cerdikpandai, golongan elit, datuk-datuk terhormat, senator, wartawan (yang serba tahu) dan mereka yang sewaktu dengannya. Sasaran buku saya itu kepada mereka yang buta sejarah Islam, buta cerita Islam, buta Islam, buta buku (langsung malas baca buku agama) dan sebuta dengannya.
Gaya penulisan buku ini adalah dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca yang buta bahasa Arab. Digarap dengan lebih ringkas dan padat supaya mesej yang hendak disampaikan itu berhasil.


Seorang remaja memberi reaksi kepada saya, "Bagus buku ini. Ia mengandungi cerita-cerita yang belum pernah saya ketahui sebelum ini."


Berbunga hati saya mendengarnya. Sekurang-kurangnya ada yang berminat hendak membaca. Saya juga mengharapkan remaja itu mendapat iktibar dari maklumat yang dibacanya. Itulah niat saya. Saya menulis bukan kerana nama atau royalty. Saya hendak menyampaikan mesej Islam seperti orang lain.


Bagi saya daripada tiada langsung, baiklah saya ada hasilkan sesuatu iaitu buku. Dan itulah cita-cita saya yang telah sampai ke kemuncaknya. Setelah semua genre penulisan saya sudah terokai seperti artikel, cerpen, sajak, puisi, pantun, menulis skrip dan yang saya sedang usahakan sekarang adalah hendak menghasilkan tulisan novel pula!


Doakanlah saya berjaya. Amin.


Dalam pada terima kritikan itu, tunggulah kemunculan buku saya yang seterusnya, 25 Rasul terbitan PTS Islamika.

No comments: