14.3.07


Daerah kaum Sadum ditonggengkan

Nabi Lut adalah anak kepada Hasan bin Tareh. Beliau mengikut bapa saudaranya Nabi Ibrahim berhijrah dari negeri Babil ke negeri Syam. Apabila beliau dilantik menjadi Nabi oleh Allah dan diutus ke sebuah negeri bernama Sadum. Penduduknya yang menyeleweng dan tidak patuh kepada perintah Allah. Akhlak dan budi pekerti penduduk di situ begitu hina kerana menolak amalan perkahwinan dalam Islam. Lelaki tidak mahu berkahwin dengan perempuan tetapi mereka lebih suka berkahwin dengan kaum sejenisnya.

Nabi Lut datang menemui penduduk di situ dan berkata, “Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk di dunia ini sebelum kamu.”

Kemudiannya, Nabi Lut menyambung lagi, katanya, “Patutkah kamu mendekati orang lelaki bagi memuaskan nafsu kamu? Kamu menghalang orang yang berjalan di sini bagi tujuan jahat kamu? Dan kamu juga melakukan perbuatan yang hina di tempat-tempat kamu berkumpul?”
Apabila mendengar kata-kata dari Nabi Lut, mereka tidak menjawab malahan mengejek-ejeknya. Mereka berkata dengan sombong, “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah yang kamu janjikan itu. Jika betul kamu dari orang-orang yang benar.”

Nabi Lut yang merasa sedih dan marah dengan sikap mereka, berdoa kepada Allah, “Wahai Tuhanku! Tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan dan menderhaka kepada mu!”

Pada suatu hari, datanglah utusan dari Allah ke rumah Nabi Lut bagi menyampaikan pesanan. Utusan itu adalah berupa seorang lelaki yang kacak dan segak menjadi tetamu Nabi Lut. Masyarakat Sadum yang terkenal dengan sikap gelojoh apabila melihat lelaki kacak mula terpesona dengan lelaki utusan Allah itu. Mereka mula hendak mengacaunya.

Tetamu lelaki itu berkata kepada Nabi Lut, “Negeri ini akan dibinasakan oleh Allah dengan seksaan yang dahsyat.”
Nabi Lut yang mendengar berita itu begitu bimbang. Tetapi utusan Allah berkata lagi, “Janganlah engkau takut dan bersedih, sesungguhnya kami akan menyelamatkan mu dan keluargamu serta pengikut-pengikut mu kecuali isteri mu.”

Kaum Sadum yang derhaka itu mengintai-intai tetamu yang berada di rumah Nabi Lut. Mereka tanpa rasa segan meminta supaya tetamu yang kacak itu diserahkan kepada mereka.

Pada sebelah malamnya, Nabi Lut, ahli keluarga serta pengikut-pengikut setianya keluar dari negeri itu. Tidak lama kemudian, negeri Nabi Lut diterbalikkan dengan isi penghuninya. Ini terdapat dalam kitab Quran pada surah Hud ayat 82, Allah berkata, “Maka apabila datang perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu ditonggengkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar dan menimpanya dengan bertalu-talu.”

Petikan dari buku "25 Rasul"

No comments: