30.3.07

Sabar mengharungi ujian hidup

Pada suatu hari, Nabi Muhammad ke rumah anak perempuannya, Fatimah. Apabila sampai di rumah Fatimah, Nabi Muhammad bertanya kepada anaknya, “Di manakah kedua-dua cucu bapa?”


Fatimah menjawab, “Hari ini kami tidak memiliki apa-apa pun untuk di makan. Segala puji bagi Allah, suami saya telah mendapat kerja dengan seorang Yahudi. Suami saya turut membawa ke dua-dua anak lelaki bersamanya.”


Setelah mendengar penjelasan Fatimah, Nabi Muhammad pun pergi mencari cucu-cucunya iaitu Husin dan Hasan. Apabila Nabi Muhammad bertemu dengan cucu-cucunya, beliau melihat mereka sedang bermain di suatu tempat. Di tangan mereka masih menggenggam sisa kurma.


Apabila Nabi Muhammad melihat cucu-cucunya yang asyik bermain sementara menantu serta sepupu beliau iaitu Ali sedang membuat kerja, Nabi Muhammad pun berkata, “Ali, tidakkah kamu hendak bawa pulang anak-anakmu sebelum panas terik matahari?”


Ali menjawab, “Ya Nabi Allah, pagi ini kami sekeluarga tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan. Oleh itu, biarlah kami anak beranak di sini untuk mengumpul buah kurma dengan lebih banyak untuk dibawa balik dan memberikannya kepada Fatimah.”


Nabi Muhammad apabila mendengar jawapan daripada menantunya itu, pun turut bersama-sama dengan Ali dan cucu-cucunya membuat kerja seperti mengangkat air. Upah mengangkat air sebaldi bersamaan dengan satu biji kurma. Ali dan Nabi Muhammad melakukan pekerjaan itu sehinggalah berjaya mengumpulkan beberapa biji kurma. Selepas berpuas hati dengan hasil itu, mereka pun pulang ke rumah.


Begitulah kehidupan Fatimah anak kepada seorang utusan Allah iaitu Nabi Muhammad yang begitu sabar dalam mengharungi kehidupannya. Fatimah tidak pernah menunjukkan perasaan menyesal atau kesedihan di wajahnya. Fatimah hanya akan berkata, “Segala puji bagi Allah, yang memuliakan diriku dengan kematian mereka. Aku berharap, Allah akan menghimpunkan aku bersama dengan mereka dalam naungan rahmatnya.”


Petikan dari buku: Selembut Bicara


Sempena menyambut Maulidur Rasul...tanamkan azam di dalam diri kita hendak mengikut jejak sunah Nabi Muhammad.

No comments: