14.3.07


Bila laporan mendahului maklumat benar


Apabila sesebuah maklumat yang belum pasti sahih atau tidak beritanya, sudah digembar-gemburkan sehingga melibatkan perasaan orang yang menerima berita itu. Inilah yang berlaku apabila wartawan dan juga sidang redaksi sebuah akhbar yang begitu ghairah hendak mengejar berita 'terkini' akibatnya berita yang disiarkan itu sama sekali tidak benar maklumatnya. Keputusan yang dikatakan akan diraih oleh seorang pelajar perempuan dengan mendapat 19 A menjadi tidak tepat bila disiarkan pada Isnin lalu. Alangkah malunya si calon itu yang mengharapkan dia dapat memecahkan rekod SPM yang terdahulu yang dipegang juga oleh seorang pelajar wanita.

Sedangkan pihak kementerian sendiri tidak berani hendak mengumumkan lebih awal siapakah pelajar yang paling cemerlang dalam Malaysia ini. Akibatnya, tiada pelajar yang cemerlang. Sungguh ajaib dan pelik akhbar itu yang berani membuat spekulasi yang boleh meninggalkan luka di hati orang yang menerimanya. Sungguh mengaibkan! Itulah dia akibat melanggar etika kewartawanan yang sepatutnya melaporkan berita yang benar lagi sahih.

Itu baru berita yang berkaitan dengan kejayaan pelajar yang tidak cemerlang, apatah lagi beribu-ribu berita yang disiarkan setiap hari itu adakah ia benar atau palsu? Kita sebagai pembaca haruslah bijak menapis berita yang sahih dan tidak sahih. Gunakan akal dengan kreatif dan jangan cepat menerima berita sebulat-bulatnya tanpa mengetahui asal-usulnya. Fikir-fikirkanlah. Banyak berita yang sudah di x-fileskan! Benarkah!

No comments: