24.3.07


Berani kerana Benar


Fatimah memeluk Islam di awal penyebaran Islam yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah. Dia adalah wanita mulia dan berasal daripada golongan terhormat kaum Quraisy. Dia memeluk Islam secara rahsia bersama suaminya dan tidak diketahui oleh ahli keluarganya yang lain, terutama abangnya Umar. Bagi menambahkan ilmu dan kefahamannya tentang Islam, Fatimah dan suaminya mempelajari membaca Quran daripada Khabbab yang selalu datang ke rumahnya.

Umar adalah salah seorang yang paling kuat memusuhi Nabi Muhammad. Pada suatu hari, Umar keluar daripada rumahnya dalam keadaan marah dan bengis dan seperti biasa membawa bersamanya pedang. Kali ini dia berazam mencari Muhammad dan membunuhnya jika ada peluang.

Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu bertanya kepadanya,
“Wahai Umar, hendak ke mana?” Lelaki itu tahu bahawa Umar sedang dalam keadaan marah dan wajahnya kelihatan bengis. Dia juga tahu jika Umar membawa pedangnya, mesti ada sesuatu perkara yang hendak dilakukannya.

“ Aku hendak membunuh si Muhammad itu!” jawab Umar dengan nada marah sambil merenung tajam kepada lelaki yang menegurnya. Lalu ia bertanya kembali kepada lelaki itu, “Kamu tahu di manakah dia berada sekarang?!”

“ Bagaimanakah kamu hendak menyelamatkan dirimu daripada tuntutan bela kaum Muhammad iaitu Kaum Hasyim dan Kaum Zohrah, sekiranya kamu berjaya membunuhnya?” tanya lelaki itu pula. Lelaki itu merasa kurang senang dengan sikap Umar, kerana Muhammad itu adalah saudaranya. Menjadi tanggungjawab bangsanya melindungi sanak saudaranya yang teraniaya daripada perbuatan kejam orang lain.

“Aku fikir tentu kamu juga sudah menukar agamamu, betulkah?” tanya Umar dengan nada mengugut.

Lelaki itu tidak menjawab soalan Umar, tetapi dia berkata, “ Kamu hendak tahukah mengenai satu perkara yang sekiranya aku beritahu kepada kamu, sudah tentu kamu terperanjat?”

Umar terperanjat mendengar kata-kata lelaki itu dan dia pun bertanya dengan pantas, “ Apakah dia?”

“Adik ipar kamu, Saad bin Zaid dan adik kamu sendiri, Fatimah, kedua-duanya sudah memeluk Islam. Dan mereka meninggalkan agama kamu.” terang lelaki itu.

Umar sungguh terperanjat mendengar berita yang disampaikan oleh lelaki itu. Dia terharu sekali. Sikap bengis bertambah. Dia tidak berkata walau sepatah perkataan pun. Dia terus meninggalkan lelaki itu. Jika benarlah berita itu, dia begitu malu sekali! Apakah yang hendak dikatakan kepada kawan-kawannya nanti?

Dalam keadaan yang malu dan marah, Umar menuju ke rumah adiknya. Secara kebetulan, Khabbab yang selalu datang ke rumah Fatimah bagi mengajar mengaji Quran, ada di situ. Fatimah dan suaminya sedang belajar mengaji. Daripada jauh, Umar terdengar bacaan yang tidak difahaminya dari rumah adiknya itu. Dia menghampiri rumah adiknya dengan perlahan supaya tidak diketahui oleh orang-orang yang berada di dalam rumah itu. Apabila merasa puas adiknya cuba merahsiakan sesuatu daripadanya, Umar pun mengetuk pintu rumah itu. Umar mengetuk pintu rumah itu dengan kuat sekali. Ketukan kuat itu menakutkan orang-orang yang berada di dalam rumah itu.

“Siapakah itu?” Fatimah bertanya.

“Aku!” kata Umar dengan suara keras. “Aku Umar! Abangmu. Cepat buka pintu ini!” Umar meninggikan suaranya.

Semua orang yang berada di dalam rumah itu bimbang. Umar bin Khattab dikenali sebagai musuh Islam yang paling kuat sedang berada di hadapan pintu rumah Fatimah dengan membawa pedangnya. Sudah tentu ada sesuatu yang hendak dilakukannya. Khabbab yang berada dalam rumah itu amat bimbang sekali. Apabila mendengar sahaja suara Umar, dia dengan segera mencari tempat bersembunyi. Dia berharap tiada kejadian yang tidak baik berlaku.

Fatimah membuka pintu rumah. Umar tanpa berlengah menerpa masuk ke rumah, dan melihat hanya Said, adik iparnya dan Fatimah sahaja berada di dalam rumah itu. Umar berlegar-legar dalam rumah itu mencari jika ada orang lain, tetapi dia hampa. Tiada siapa selain mereka berdua sahaja.

“Apakah ada orang lain bersama kamu tadi?!” tanya Umar dengan keras.

“Tidak ada,” jawab Fatimah dengan segera. “ Kami berdua sahaja."

“Apakah yang aku dengar tadi? Kamu membaca apa tadi?” tanya Umar bertalu-talu.

“ Apa yang abang dengar?” Fatimah bertanya dan kemudiannya berkata, “Abang tidak mendengar apa-apa.” Sebenarnya, Fatimah dendang menyembunyikan kepingan tulisan-tulisan ayat Quran di belakangnya.

“Betul, aku belum pekak lagi. Aku mendengarnya apa yang kamu baca tadi,” kata Umar dengan tegas dan menyambung lagi, katanya, “Aku tahu kamu berdua sudah mengikut agama Muhammad, betulkah?”

Umar menghampiri adik iparnya lalu memegangnya. Dia hendak memukulnya. Fatimah mengetahui niat abangnya itu yang hendak melakukan sesuatu perkara jahat. Dia cuba menolong suaminya dengan menarik suaminya. Tetapi tangan Umar lebih pantas. Umar cuba memukul adik iparnya tetapi pukulan itu terkena adiknya. Kepala Fatimah luka dan darah meleleh di mukanya.

Fatimah naik marah akibat rasa sakit yang dialaminya. Dengan perasaan marahnya, Fatimah berkata, “Ya kami sudah memeluk Islam. Kami percaya kepada Allah dan Rasulnya. Apa yang abang hendak lakukan kepada kami, lakukanlah apa sahaja!” Fatimah menangis apabila habis bercakap. Hatinya merasa sedih sekali. Suaminya hanya mendiamkan diri. Dia bimbang sekali.

Sementara, Khabbab yang bersembunyi dan mendengar apa yang Fatimah katakan tadi bertambah bimbang dan kecut perutnya.

Apabila melihat darah bercucuran daripada kepala Fatimah, Umar menyesal atas perbuatannya itu. Dia kasihan melihat adiknya yang menangis teresak-esak. Dia menyesal atas tindakannya yang tergesa-gesa tanpa menyiasat terlebih dahulu. Umar cuba cara berlembut kerana dia ingin mengetahui apakah yang dibacakan oleh mereka tadi.

“Berikanlah kepada aku bahan yang kamu baca itu tadi,” kata Umar dengan suara lembut. Kemudian dia berkata lagi, “Aku berjanji tidak akan buat perkara yang tidak elok. Aku ingin tahu, apakah yang dibawa oleh Muhammad itu?” sikap Umar yang garang sudah bertukar menjadi lembut.

“ Kami bimbang, jika kau tidak kotakan kata?” jawab Fatimah.

“Usah bimbang! Aku bersumpah dengan Tuhan Muhammad, aku kembalikan nanti sesudah membacanya.” Umar menyakinkan adiknya.

Fatimah melihat wajah abangnya dan dia merasa abangnya jujur kali ini. Perasaan kasih sayang antara adik dan abang tidak hilang. Meskipun, Fatimah tahu hati abangnya itu degil tetapi dia berharap abangnya dapat menerima kebenaran Islam. Tetapi hendak menyerahkan kepingan yang tertulis ayat quran adalah mustahil kerana Umar masih lagi belum memeluk Islam. Apakah yang perlu dilakukannya?

“ Wahai abangku! Abang masih belum memeluk Islam. Aku tidak boleh menyerahkan Quran ini melainkan mereka yang bersih dan sudah memeluk agama Muhammad,” terang Fatimah kepada Umar tentang syaratnya.

Umar disuruh oleh Fatimah supaya mandi jika dia masih hendak memegang Quran itu. Umar mengikut kata Fatimah dan dia pergi mandi dahulu. Kemudiannya Fatimah menyerahkan kepingan yang bertulis ayat Quran di atasnya. Umar menerima dan membaca dengan penuh teliti. Ayat-ayat Quran itu adalah daripada ayat Taha. Apabila selesai membacanya, Umar berkata, “Sungguh indahnya kata-kata ini!”

Khabbab yang masih di tempat persembunyiannya, tidak sabar apabila mendengar pengakuan kata-kata Umar tentang ayat Quran itu. Dia segera keluar dan mendekati Umar. Umar terperanjat melihat Khabbab berdiri di sisinya secara tiba-tiba.

“Wahai Umar! Demi Allah, aku berharap supaya Allah memasukkan kamu dalam doa Nabi Muhammad. Semalam aku dengar Muhammad berdoa, 'Yal Allah! Ya Tuhanku! Permudahkan agama Islam ini dengan bantuan Abul Hakam bin Hisyam ataupun dengan Umar bin Khattab.' , kata Khabbab dengan beraninya dan kemudiannya menyambung, “ Pergilah kau kepada Muhammad dengan segera, Umar!”

“Apakah Muhammad berdoa supaya aku menjadi penyokongnya?” tanya Umar dengan hairan.

“Ya,” jawap Khabbab.

Fatimah yang melihat keadaan abangnya, begitu gembira kerana abangnya mulai berminat dan tertarik dengan kata-kata Khabbab itu. Dia berdoa, semoga hati abangnya terbuka memeluk Islam.

“Baiklah, aku setuju bertemu dengan Muhammad, kau boleh tunjukkan di mana dia berada sekarang supaya aku boleh memeluk agamanya?” Umar meminta Khabbab membawanya ke tempat Muhammad.

Khabbab menunjukkan kepada Umar tempat Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya berkumpul. Apabila sampai di rumah itu, Umar mengetuk pintu. Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bangun dan menuju ke pintu. Alangkah terperanjatnya dia, apabila melihat Umar berada di hadapan pintu dengan pedangnya. Dia segera memberitahu Nabi Muhammad kedatangan Umar dengan perasaan takut.

“Wahai Nabi Muhammad! Umar bin Khattab berada di hadapan pintu rumah ini dengan pedangnya!” kata lelaki itu.

Hamzah bin Abdul Muttalib adalah bapa saudara Nabi Muhammad yang berada bersamanya menyampuk dan berkata, “ Wahai Rasul Allah! Benarkan dia masuk. Sekiranya dia berniat baik, kita akan layannya dengan baik. Tetapi, jika niatnya jahat, kami sendiri membunuhnya dengan pedangnya sendiri.”

Nabi Muhammad bertenang sahaja. Semoga doanya dimakbulkan oleh Allah. Umar datang dengan sendiri dan tiada siapa yang memujuknya.

“Benarkan dia masuk!” kata Nabi Muhammad kepada sahabat-sahabatnya.

Umar dipersilakan masuk ke dalam rumah itu. Nabi Muhammad bangun dan menyambutnya dan dijemputnya masuk ke dalam sebuah bilik. Kemudian Nabi Muhammad mengambil kainnya lalu diletakkan ke tubuh Umar dan direntapnya dengan kuat. Nabi Muhammad berkata dengan tegas dan berani, “Apa yang menyebabkan kamu ke mari, wahai Umar!”

“Wahai Nabi Allah! Aku datang ini kerana hendak beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan apa yang kau bawa daripada Allah,” ujar Umar menerangkan maksud kedatangannya.

Nabi Muhammad kemudiannya bertakbir dengan lantang dan seluruh sahabat Nabi merasa gembira.

Fatimah yang mengetahui tentang abangnya yang memeluk Islam, gembira sekali. Hatinya tenang kerana tidak ada orang yang boleh mengancamnya ketika dia dan suaminya menyebarkan agama Islam.

Petikan dari buku, "Selembut Bicara...."

No comments: