23.3.07


Bila jiran tidak tahu jaga hati jiran


Sudah hampir setahun menyewa rumah teres biasa di Semenyih. Alhamdulillah, boleh dikatakan barang dapur, murah sedikit berbanding duduk di rumah lama. Selalu jugalah pergi ke pasar yang menawarkan pelbagai jenis sayur kampung dan juga ikan-ikan yang segara.

Namun begitu, apabila duduk berjiran dan dalam kawasan rumah teres ini, sudah tentulah kita bertemu dengan jiran sebelah menyebelah. Kebanyakan penghuni di sini banyak menggunakan khidmat pembantu rumah asing. Oleh itu, yang lebih dikenali adalah pembantu rumahnya daripada tuan rumah itu sendiri.

Itu tidak mengapa lagi. Ada seorang jiran sebelah rumah tidak begitu mesra alam dan juga tidak tahu jaga hati jiran lain. Sesuka hati membuang sampah dan juga membakar sampah. Kalau setakat sampah kecil boleh tahan lagi, ini tidak katil dan almari tidak pakai dicampakkannya di seberang jalan berhadapan rumah. Satu pemandangan yang tidak cantik. Lepas itu sesuka hati membakar sampah sehingga hampir memusnahkan rumpunan serai dan juga pokok buah yang lain.

Anak-anaknya pula tidak dijaga dan dididik dengan sopan. Sesuka hati masuk ke dalam pagar rumah dan mencampakkan segala sampah seperti bekas makanan ringan, kulit limau, dan sebagainya. Hati tetap bersabar dan suamilah menjadi mangsa mengutip sampah. Kami masih lagi berdiam diri. Teringat peristiwa Nabi Muhammad dengan wanita Yahudi yang suka membuang sampah.

Tetapi itu wanita yang bukan Islam dan kes saya ini pula orang yang menganut Islam. Tidak pernah terungkap di mulutnya hendak meminta maaf. Sabar, sabar (mengurut dada yang semakin semput). Nasib baiklah, Muharam saya itu sebagai penawar. Hendak marah pun tidak jadi marah. Nasib baik tidak terkena tekanan darah tinggi.


Bukan setakat anaknya suka memanjat pagar dan masuk ke dalam rumah saya tetapi bapanya juga sama. Nasib baiklah umur pagar itu panjang dan masih kukuh, kalau tidak satu hal pula suami saya kena betulkan pagar. Semuanya ini berlaku di depan mata saya. Mereka ingat saya tidak berada dalam rumah. Telinga ini masih belum pekak. Setiap bunyi bising di luar, saya menjenguk. Takutlah ada pencuri masukkah? Tetapi bukan pencuri tetapi jiran sebelah. Entahlah, agaknya dia tidak tahu saya berada di dalam rumah. Namun begitu, jika seseorang itu tahu adab berjiran, dia tidak akan dan tidak boleh buat begitu.

No comments: