22.2.07

Makanan ringan! Makanan berat!

Minggu ini, heboh pula mengenai makanan ringan. Apakah itu makanan ringan? Adakah ia seringan kapas? Atau adakah mudah dikunyah? Dia ringan disebabkan lazatnya hingga menjilat jari? Kecohnya makanan ringan hingga hendak dibincang dalam kabinet.

Teringat saya semasa zaman kecil. Emak akan memastikan anak-anaknya cukup makan pada waktu pagi, tengahari, minum petang dan makan malam. Bagi kami yang keturunan melayu jawa, nasi tidak pernah ditinggalkan. Sarapan pagi dengan nasi, tidak kiralah nasi putih, nasi lemak, nasi goreng, sudah tentunya emak yang masakkan. Tidak ternilai jasa emak memasakkan makanan yang enak bagi kami adik beradik.

Jika nasi tidak jadi menu sarapan pagi hari itu, digantikan pula dengan lain seperti lempeng, cekodok, mee hoon goreng dan lain-lain. Waktu pagi, perut kami sudah kencang dan tidak terfikir dengan diisi perut itu dengan makanan ringan yang lain. Makanan ringan tidak berpeluang langsung masuk ke dalam menu kami adik beradik.

Waktu tengahari, sudah tentulah makan tengahari, cukup dengan nasi, ikan, sayur dan berkuah. Itulah zat makananan yang asli dan dimasak dengan enak oleh air tangan emak. Emm sedap tidak terkata. Tiada peluang makanan ringan hendak masuk dalam menu makan tengahari.

Waktu petang pula, emak rajin memasakkan kami sarapan seperti cekodok pisang, pengat pisang, ubi goreng, pisang goreng atau apa sahaja yang ringan tapi buatan sendiri. Kami tidak berpeluang untuk beli makanan ringan. Lagipun bajet beli makanan ringan tidak diperuntukkan kepada kami.

Waktu malam pula, biasalah makan nasi dan lauk pauk seperti makan tengahari. Dan pula kami adik beradik tidak bimbang jadi gemuk gedempul. Tidak ada masalah berat badan. Sehingga kini nasi dan sayur mayur tetap menjadi makanan utama.

Hairanlah yeh! Kenapa kita hari ini begitu takut nak makan nasi takut gemuk? Tapi kalau makan makaanan ringan tidak pula! Sebenarnya makanan ringan itulah puncanya kegemukan dan pelbagai penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, tekanan perasaan dan pelbagai penyakit lain.

Namun kita perlu beringat, makan itu harus berpada-pada, makan apabila lapar, berhenti makan apabila sudah kenyang. Bukan makan ikut perut, melantak bagaikan esok hati kita tidak akan jumpa makanan lagi! Ada kisah benar di sebalik makanan ringan ini.... bersambung....

3 comments:

mohamadkholid said...

masalah zaman kini - masa. kalau diikut katogeri makanan segera - sosej, burger dll - mungkin juga termasuk karipap frozen food... susah juga ya? teringat lempeng yang mak selalu masak dulu...

Abang Long said...

salam hormat buat Puan.
Tentang makan dan minuman ringan ini, ramai yang mengambil ringan. Pernah mendapat maklumat PPIM supaya umat Islam memboikot Coca - cola (sebagai contoh). Saya maklumkan kepada rakan sepejabat dan saudara mara. Namun tidak diendahkan. Sekarang bila semua sudah tahu yang minuman itu boleh merosakkan sistem dalam tubuh badan, dan kajian itu ditulis oleh bukan Islam, barulah masing - masing terngadah. Membawa maksud "cakap professional Islam" tidak ada harga, tapi cakap "orang barat" diambil perhatian.

saridahamid said...

Oleh itu, ibu bapa hendaklah perhatikan apakah yang anak kita makan hari ini. Di kedai-kedai runcit yang berhampiran dengan rumah kita, banyak menawarkan makanan ringan yang sememangnya ringan tanpa zat. Tidak hairanlah, jika kanak-kanak hari ini mudah dijangkiti pelbagai penyakit. Allah sahaja maha mengetahui!

Itu belum masuk bab halal dan haram. Adakah soal halal diambil berat? Benarkah apa yang dimakan oleh anak itu, adalah halal? Janganlah kita memandang remeh mengenai masalah ini.