4.2.07

Ziarah orang sakit

Beberapa hari lalu, saya ziarah seorang saudara yang bergelar pak cik. Dia di masukkan ke dalam sebuah hospital yang jauh dari tempat tinggalnya. Ini memandangkan penyakitnya serius dan dikatakan yang hospital itu berkemampuan menyembuhkan penyakitnya.

Apabila sampai bersama ahli keluarga yang lain, saya melihat pak cik itu terbaring sambil mata dilelapkan. Salah seorang dari kami memberi salam, dan salam bersambut dengan suara yang lemah. Dimaklumkan yang pak cik itu sudah berada hampir sebulan di hospital.

Dalam wad yang sama, ada beberapa pak cik-pak cik yang kebanyakannya sudah tua dan bertaraf pencen. Masing-masing menghidap penyakit yang sama seperti pak cik saya. Memandang waktu zuhur sudahpun masuk, lalu kami pun pergi menunaikan solat zuhur di surau yang berdekatan dengan wad itu.

Apabila selesai sahaja solat, kami pun masuk kembali ke dalam wad itu. Kelihatan seorang pak cik yang agak uzur sedang mengerjakan solat zuhur di atas katilnya. Saya asyik memandang beliau yang sedang khusyuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang maha penyayang. Saya mengalihkan pandangan kepada pak cik saudara saya, yang masih membaringkan dirinya dan seolah-olah tidak bermaya hendak berbual mahu pun menegakkan badannya di katil itu.

"Tidak pernah kamu membawa keluar berjalan-jalan pada waktu petang," tanya saya kepada anak pak cik saudara itu.
"Saya hendak membawanya tapi dia menolak," katanya dengan suara yang perlahan bimbang didengari oleh bapanya. Dia pun menyambung dan berkata,"Doktor pun menyuruh bapa berdikari seperti berdiri sendiri, bergerak menggunakan tangan dan juga belajar menggunakan kerusi roda ini. Tetapi...." dia terhenti dari berkata-kata dan keluarlah keluhan kecil.
Saya memandang wajah saudara saya itu dengan penuh pengertian. Saya faham maksudnya dengan melihat wajah sayunya.

Apabila tamat masa melawat, saya berbual dengan ahli keluarga saya dan bertanya adakah pak cik saya itu mengerjakan sembahyang.

"Itulah yang abang pernah katakan padanya, tetapi dia nampaknya marah," kata abang saya dengan nada kesal.
"Itulah menunjukkan kita ini begitu jahil tentang amalan ibadah dalam Islam," sambung abang saya lagi sambil menggeleng kepalanya.
"Sebenarnya dalam masa sakit ini lah yang memudahkan kita beribadah. Kalau kita tidak boleh solat berdiri, kita boleh berbaring. Itu kan satu cara yang mudah," kata salah seorang saudara saya yang lain. Saya yang mendengarnya hanya mengangguk sahaja.

"Bila abang cakap kena sembahyang, pak cik bagi alasan badan tidak bersih," kata abang lagi."Kita tidak boleh bagi alasan begitu. Mustahil sepanjang hari badan kita sentiasa kotor," ujar abang dengan tegas.

Bayangkanlah, sekiranya sudah 30 hari berada di hospital itu dan sejak itulah juga tidak mengerjakan sembahyang. 30 hari darab dengan 5 waktu solat yang ditinggalkan secara sengaja.....Banyaknya hendak kena ganti. Tapi itu bukan persoalannya...kalau sempat mengqadar sembahyang, tapi jika tak sempat sudah meninggal dunia, bagaimana?

Itulah akibatnya kalau dalam soal agama diambil sebagai remeh dan sampingan sahaja. Bukan dijadikan sebagai satu cara hidup. Entahlah, saya pohon kepada Allah semoga dikuatkan iman dan amal saya ini..Amin.

Dalam minda saya, masih adakah orang yang masih tidak faham mengerjakan solat semasa sakit? Perlu dilakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Adakah mungkin perlu ada sebuah buku yang membicarakan mengenai cara-cara mengerjakan ibadah semasa sakit?

No comments: