18.2.07

Bila bicara ikut hati

Heboh satu Malaysia apabila seorang artis terkeluar daripada mulutnya menghina isteri Nabi Muhammad yang dicintai umat Islam. Itulah dia akibat keceluparan mulut yang sudah dijadikan sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan seharian. Akibat dari kebiasaan itulah, yang tidak dapat membezakan antara yang positif dan negatif. Bercakap ikut sedap hati tetapi bukan berdasarkan ilmu.

Mungkin perasaan diri begitu hebat dan glamour sehingga melupakan asal usul diri sendiri. Kita yang melihat dan mendengar, anggaplah ini sebagai satu pengajaran dalam hidup kita. Biar apa juga bidang yang diceburi, sedikit sebanyak hendak kita belajar cara berkomunikasi dengan baik. Apabila kita tidak tahu jawapannya, hendaklah jawap tidak tahu ataupun mendiamkan diri. Berdiam diri itu adalah lebih baik dari banyak bercakap yang tidak ada isinya.

Menyentuh mengenai komunikasi, dalam dunia yang serba mencabar dan tanpa sempadan ini, komunikasi adalah cara kita berhubung dengan orang lain. Ini bergantung kepada kebijaksanaan kita berhubung sama ada melalui berbual, membalas tulisan melalui email, dan apa cara sekalipun, bahasa komunikasi itu harus dijaga.

Dalam era tahun 2000 ini, pelbagai bahasa rojak sudah mencemari bahasa melayu. Ini mempengaruhi golongan muda atau lebih tepat, budak sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di universiti. Bahasa campur sering digunakan sama ada dalam bentuk pertuturan seharian ataupun dalam bentuk tulisan. Bila situasi ini berterusan, sudah pasti kita tidak lagi bertemu dengan anak muda yang berbudi bahasa tinggi. Benarkah begitu?

Mungkin tidak ada yang menghormati orang tua dengan panggilan mak cik, pak cik, nenek, datuk tetapi digantikan dengan kau, lu, hei orang tua! atau panggilan nama sahaja. Tiada lagi panggilan, en. puan, saudara, saudari dan sebagainya. Tidakkah ini menakutkan? Harap-harap masyarakat kita tidak begitu. Amin.

No comments: