20.2.07



Iman tidak diwarisi

Kisah 1

Masih ada yang tidak memahami hukum fekah terutamanya yang melibatkan rukum Islam iaitu mengerjakan solat lima waktu. Sebagai umat Islam, wajib mengerjakan solat lima waktu walau dalam keadaan yang sukar, bukan alasan meninggalkan rukun yang menjadi dosa besar bila meninggalkan secara disengajakan.

Tapi, itulah hakikatnya, iman tidak boleh diwarisi dari bapa ke anak cucunya. Meskipun, bapa itu imam yang terkenal di kampung, atau pun bapanya bekas mufti atau ulamak, iman tetap tidak boleh diwariskan. Apabila iman dapat diwarisi, sudah tentulah aman dunia ini.

Berbalik kepada tanggungjawab menunaikan solat wajib, ada di antara kita bila terlantar di hospital dan tidak boleh bergerak tetapi masih sedar dan boleh berbual serta makan, kira itu masih bernafas dan berkemampuan untuk berfikir. Tetapi sebaliknya memberi seribu alasan tidak mampu menunaikan solat kerana sakit. Baru sahaja Allah menguji sedikit, kita sudah memberi pelbagai seribu alasan yang direka sendiri bagi menafikan tanggungjawab itu.

Kata seorang saudara kepada saya, "Mengapakan mak cik itu begitu?"

Tanya saya, "Kenapa? Apa yang tidak kena dengannya?"

Saudara saya terdiam dan kemudian dengan berat dia bersuara, "Entahlah! Hendak dicakap, dia mak cik saya. Bila tidak cakap rasa serba salah. Tapi saya hendak cakap juga, biar hati ini tidak rasa bersalah."

Saya memandang wajahnya dan menantikan kata-kata seterusnya.

"Mak Cik saya itu baru dibedah tempurung lututnya. Kalau sebelum ini dia rajin mengerjakan sembahyang tetapi sekarang tidak. Saya sedih. Mereka ini keturunan baik-baik, nenek moyang, ibu bapa mereka semuanya dari baik-baik."

"Baik-baik macamana?"

"Bapa dan datuk mereka dahulu imam kampung ini."

"Habis itu kenapa pula?"

"Mengapa mereka tidak seperti datuk nenek mereka?"

"Iman tidak boleh diwarisi, saudaraku. Mungkin ilmu sudah diberikan tetapi terpulanglah pada kita sama ada hendak amalkan atau tidak."

"Tapi saya sedihlah. Mereka sudah meningkat usia tua. Inilah masa membuat banyak amal ibadah."

"Saya bimbang jika mereka nampak yang mereka buat itu sebagai adat keluarga sahaja bukan sebagai kewajipan individu yang mesti dilakukan hanya kerana Allah. Bila kita lihat sekeliling kita rajin solat, kita pun solat. Kita lihat orang lain pakai tudung, kita pun pakai tudung. Tetapi malang niat mereka itu tidak disertai dengan ikhlas dan juga ilmu yang mantap"

"Betul itu. Kita buat ibadah ini bukan semata-mata terikut-ikut dengan orang lain."

Kisah 2

Kita dikejutkan dengan nekad seorang ibu yang sanggup membunuh dua anak lelakinya semata-mata kerana geram dengan sikap suaminya yang kononnya hendak berkahwin lagi satu. Apakah kewarasan seorang manusia hari ini hilang pedoman dan iman Islam?

Sebenarnya, iman itu tidak diwarisi!

1 comment:

Abang Long said...

Salam hormat buat Puan. Sebenarnya, sejak kecil, amalan SOLAT ini mesti diberatkan. Dan yang terpenting adalah kita sebagai ibu bapa WAJIB menjadi ROLE MODEL dalm PERLAKSANAAN SOLAT.