7.9.07

Wanita dan Marhaban
"Mak cik tidak boleh berlama di sini. Petang ini juga kena balik ke rumah. Pagi esok ada marhaban," Ujar MaK Cik Senah dengan melemparkan senyum manisnya kepada Minah. Tidak sampai sehari duduk di rumahnya, sudah hendak balik. Janji lagi dua hari baru balik ke rumahnya. Sebentar tadi dia mendengar mak ciknya menerima panggilan dari seseorang. Agaknya, kawannya yang mengajak dia program marhaban.
"Sejak bila mak cik sertai kumpulan marhaban ini?"
"Semenjak aku duduk di rumah barulah. Kumpulan marhaban yang aku sertai ini menang dalam pertandingan baru-baru ini. Dapat nombor tiga," ujar Mak Cik Senah dengan bangga. Si Minah pula tersengeh mendengarnya sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
Kesibukan Mak Cik Senah dan kumpulannya akan lebih ketara sekiranya kena pada bulan kenduri kahwin, kenduri cukur jambul anak, kenduri khatam Quran. Mereka ini ada kumpulan yang terdiri mungkin lebih dari 10 orang atau tidak lebih dari 20 orang. Baju pula mesti seragam macam boria. Sekiranya dalam sebulan mendapat undangan marhaban sebanyak 4 atau lima kali, makanya lima pasanglah baju mesti disediakan.
Dari maklumat yang diterima, kumpulan marhaban ini mempunyai tabung sendiri. Setiap kali mereka dipanggil membuat persembahan marhaban, tuan rumah akan memberi sagu hati dalam bentuk wang selain dari secucuk bunga telur dan makan percuma. Dan kumpulan marhaban ini yang paling popular dianggotai oleh kaum wanita yang sudah berumur. Adakalanya kumpulan yang popular (tidak tahulah macam mereka boleh glamor mungkin atas jajaan dari mulut ke mulut..promosi secara percuma) mendapat undangan dari tempat yang jauh. Contohnya, 'kumpulan marhaban Sinonik' ini tinggal di Bangsar, maka tidak mustahil mereka mendapat undangan dari individu yang tinggal di Rawang, Kajang, Beranang dan banyak lagi. Gerakan mereka bukan setakat di halaman rumah sendiri tetapi sehingga ke luar daerah.
Bayangkanlah betapa sibuknya kumpulan marhaban ini. Ada masanya mereka terpaksa pagi-pagi buta berkumpul di suatu tempat kerana menerima jemputan marhaban yang akan bermula pada pukul 9 pagi. Gedebak gedebuk, majlis habis dalam pukul 11 pagi. Kemudian campur dengan makan dan borak-borak kosong, pukul 12 barulah mereka balik ke rumah. Itupun sekiranya mereka tidak ada jemputan di sebelah petang. Kalau ada sebelah petang, mereka terpaksa bersiap sedia sebelum pukul 3 petang. Sekiranya, lebih hebat lagi sebelah malam pula ada yang terima jemputan selepas Maghrib. Begitulah selalunya, rentetan kumpulan marhaban yang glamour.
Anggota kumpulan marhaban ini terdiri dari kaum wanita yang setengah umur atau peringkat mak cik-mak cik dan ada juga sudah dapat gelaran nenek. Mereka akan sibuk pada hari hujung minggu atau hari cuti umum. Bagi yang bergelar janda mungkin inilah masanya mereka mengisikan masa senggang dengan aktiviti yang baik. Tetapi bagi individu yang masih mempunyai suami dan anak-anak yang perlu diberi perhatian, adakah aktiviti sebegini memberi faedah?
Bukanlah hendak memperkecilkan atau menidakkan peranan marhaban dalam menyumbang mengembangkan budaya murni. Tetapi mana yang lebih penting, tanggungjawab terhadap suami dan keluarga atau tanggungjawab terhadap masyrakat. Pernah seorang suami mengeluh, "Isteri aku tiada di rumah. Hujung minggu ini aku hendaklah dia duduk petang-petang dengan aku, tetapi tidak. Dia sibuk dengan kumpulan marhabannya. Pagi, petang dan sampai malam. Hai, sudah tua-tua ini, nasib akulah terpaksa melongo seorang diri di rumah yang besar ini."
Adakah kumpulan marhaban ini hanya diperuntukkan untuk golongan wanita yang berumur? Mengapa tidak dilibatkan golongan remaja muda belia yang masih banyak masa senggang mereka kerana mereka belum lagi bersuami atau berkeluarga. Mungkin ada yang mengatakan, mana remaja perempuan hari minat dengan marhaban. Tetapi, sebenarnya kita belum lagi beri peluang kepada mereka untuk mencuba. Kita sering memperkecilkan golongan remaja.
Apakah marhaban itu satu kemestian? Perlu diadakan di dalam majlis-majlis tertentu? Entahlah jawapan pasti belum mantap. Perlu dikaji secara mendalam asal usul marhaban dan kepentingannya. Marhaban ya marhaban!

No comments: