24.9.07



Sabar menghadapi ujian hidup


Sabar dari sudut praktikalnya adalah perlakuan rohani yang dapat menahan diri dari melakukan perbuatan yang tidak baik. Sifat sabar itu menunjukkan pembinaan hati yang mulia dan membentuk tingkah laku baik. Pelbagai pandangan diberikan secara berbeza daripada beberapa bijak pandai Islam.


Al-Junaid bin Muhammad apabila ditanya oleh seseorang mengenai sifat sabar, beliau memberi pandangannya, iaitu sabar itu adalah melalui keperitan hidup tanpa sebarang sungutan.


Sementara itu, Dzun Nun berpendapat, sabar itu boleh mengelakkan diri dari melakukan sesuatu kesalahan. Ia juga boleh membuat seorang itu tenang menghadapi dugaan hidup dan redha apabila ditimpa kemiskinan. Sabar juga dikatakan bersikap tabah dalam menerima ujian besar dan bersedia menghadapi sebarang ujian tanpa mengeluh.


Abu Usman pula berpendapat, orang sabar adalah individu yang sentiasa bersedia menghadapi ujian yang menimpanya. Sebagai umat Islam, ketaatan dituntut bagi mengerjakan amalan ibadah kepada Allah walau dalam keadaan apa pun sama ada senang ataupun susah. Jika seseorang itu berada dalam keadaan senang, hendaklah bersyukur dan sebaliknya, bersikap sabar apabila ditimpa kesusahan.


Amru bin Usman al-Makki memberikan pandangannya, yang sabar itu adalah satu kekuatan dalaman hati yang bersedia dan berlapang dada apabila menerima ujian dari Allah. Jauh sekali, mengungkit atau mengeluh dengan ujian yang diterima.


Al-Khawash menghuraikan, bersikap sabar semasa melaksanakan undang-undang yang termaktub dalam kitab al-Quran dan juga Sunnah Nabi Muhammad.


Dan Ruwaim pula berpendapat, sabar itu memberi makna yang tidak ada aduan. Ini adalah satu tafsiran yang biasa. Dalam pada itu, ada yang berkata yang sifat sabar itu adalah dengan meminta pertolongan daripada Allah.


Abu Ali pula memberikan pandangannya, yang sifat sabar itu adalah seperti namanya. Manakala, Ali bin Abu Talib berpendapat yang sifat sabar itu adalah diumpamakan seperti kereta yang tidak pernah tersasar dari jalannya. Akhir sekali, Abu Muhammad al-Hariri menyatakan sabar itu menunjukkan hati yang tenang. Tanpa mengira sama dia mengalami situasi senang mahupun susah.


Apa yang jelas, saya hendak menjelaskan iaitu penerangan mengenai sabar ini adalah sesuatu yang sukar dihuraikan. Hanya Allah yang mengetahui kerana Allah yang mencipta tingkah laku manusia itu sehingga manusia itu dapat membezakan situasi semasa senang dan sempit. Manusia hanya mempunyai kemampuan yang terbatas sekadar dapat menahan diri daripada menangis dan tidak lebih dari itu. Allah memberi keselamatan kepada manusia dengan luas daripada sifat yang dituntut menahan kesabaran.


Nabi Muhammad dalam doanya berkata, “Jika Engkau tidak menyimpan marah kepada saya, saya tidak peduli. Keselamatan yang Engkau anugerahkan kepada saya lebih kuat bagi saya.”
Dan Nabi Muhammad berkata lagi, “Tidak ada satu pemberian yang lebih luas dan lebih baik daripada kesabaran bagi seseorang.”


Allah hanya menguji kesabaran hambanya dengan memberi ujian. Kesabaran itu adalah pemberian dari Allah. Dan keselamatan pula penting sebelum tibanya ujian. Oleh itu, jagalah keselamatan dengan baik.


Abu Ali ad-Daqqaq berpendapat, sabar itu ada batasannya iaitu tidak melawan takdir yang menimpa ke atas dirinya. Ertinya, seseorang yang ditimpa musibah tidak akan menunjuk-nunjuk atau mengadu masalah kepada orang lain. Kita lihat beberapa contoh dalam sejarah Nabi Ayub yang menghadapi ujian hidup yang hebat.


Allah berkata dalam surah Shad ayat 44,
“Kami mendapati Nabi Ayyub itu seorang yang sabar...”


Sementara itu, dalam surah Al-Anbiya, ayat 83, Allah berkata,
“Sebutkanlah peristiwa Nabi Ayub semasa dia berdoa, merayu kepada Tuhannya dengan berkata, 'Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.'”


Jelasnya di sini, terdapat dua jenis aduan iaitu, pertama, aduan kepada Allah yang tidak bertentangan dengan sifat sabar itu. Contohnya, aduan Nabi Yakub kepada Allah dalam surah Yusuf ayat 86,
“Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacita ku kepada Allah...”

Dalam al-Quran, menceritakan mengenai Nabi Ayub yang berdoa,
“Sesungguhnya, aku sudah ditimpa penyakit, dan Allah mengatakannya sebagai orang yang sabar.”


Sementara itu, Nabi Muhammad berkata, “Ya Allah, aku mengadu kepadamu atas kelemahan kekuatanku dan kekurangan kebijaksanaan ku.”


Nabi Musa pula mengadu, “Ya Allah, bagimu segala pujian, Engkaulah tempat mengadu. Engkaulah tempat ku pohon pertolongan. Engkaulah tempatku pohon keselamatan. Engkaulah tempat aku bergantung, kerana tiada daya dan upaya aku selain dari mu, Ya Allah.”


Aduan yang kedua adalah aduan yang bersesuaian dengan situasinya yang sebenar atau tidak sesuai dengan situasinya yang sebenar. Amalan yang dilakukan itu tidak seiring dengan sifat sabarnya kerana ia bertentangan dan menghapuskan makna sabar yang sebenarnya. Ada maksud yang berlainan antara mengadu Allah dan mengadu kepada Allah. Ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam bab 'perbezaan antara sabar dan pengaduan.'


Sabar dalam makna yang lain adalah keberanian hati. Keberanian yang dimaksudkan ibarat sabar dalam setiap detik masa. Lebih tepat dikatakan sabar adalah kekuatan dalaman jiwa semasa menghadapi ujian yang diberi. Sementara itu, sifat sabar dengan sifat yang suka mengeluh adalah dua sifat yang berbeza. Allah berkata mengenai ahli neraka dalam surah Ibrahim ayat 21,
“...Sekarang sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita bagi melepaskan diri (dari azab itu).”


Sifat suka mengeluh adalah sahabat yang rapat kepada sifat yang lemah. Manakala, sifat sabar adalah sahabat kepada kebijaksanaan. Seandainya, sifat mengeluh itu boleh ditanya, “Siapakah ibu bapa kamu?” Dia menjawab, “Kelemahan.” Begitu juga, jika ditanya kepada kebijaksanaan, “Siapakah ibu bapa kamu?” Dia tentu menjawab, “Sifat sabar.”


Hati adalah ibarat sebuah kereta yang membawa manusia melalui jalan yang hendak dituju sama ada syurga ataupun neraka. Dalam situasi ini, sifat sabar pula diibaratkan seperti tali yang mengikat tunggangan kita. Sekiranya binatang tunggangan kita itu tidak diikat sudah tentulah dia terlepas dan berlari tidak tentu arah.

No comments: