26.9.07


Tingkat takwa dalam diri


Pandangan orang yang berilmu, masa dalam bulan Ramadan kita hendak berubah kearah kebaikan bukan sebaliknya. Sekiranya, dahulu kita belum lagi menutup aurat, kita berubah dengan menutup kepala dan badan dengan sebaiknya mengikut syariat Islam. Sekiranya kita dahulu suka sangat bercakap yang bukan-bukan dan merapu, lebih baik kita mendiamkan diri dan bercakap perkara yang penting.


Kalau dahulu, kita suka membuat perkara-perkara tidak senonoh, masa bulan Ramadanlah kita buang semua tingkah laku yang buruk itu. Kita (termasuklah diri ini) berusaha mempertingkatkan tingkah laku kearah yang lebih baik, tingkatkan amalan ibadah, budi pekerti, keikhlasan, pemurah jangan kedekut, jujur jangan menipu, setia jangan berpura-pura baik, cakap serupa bikin jangan buat jahat di bekalang tetapi di hadapan orang, baik ibarat pijak semut tidak mati.


Begitu juga dengan usia kita, setiap hari semakin meningkat tua bukannya muda. Mungkin kita selalu dengar kata-kata ini, "kehidupan bermula apabila masuk 40" atau "life begin 40". Apakah tanggapan itu benar? Bukankah kehidupan dan tanggungjawab itu bermula apabila masing-masing sudah baligh. Ini kerana apabila sudah baligh, sebagai orang Islam diwajibkan sembahyang, puasa, dilarang berbuat kesalahan dan banyakkan buat kebaikan. Bagi budak perempuan, diwajibkan menutup aurat, bukan mendedahkan rambut dan badannya. Perlu menuntut ilmu dunia dan akhirat sebagai bekalan semasa mati nanti. Bagi budak lelaki, sama juga kena jaga aurat, jangan pakai seluar pendek yang boleh nampak bulu kaki yang belum tentu cantik dipandang.


Tetapi, ada juga berpendapat, apabila umur sudah 40 hanya ada dua sahaja, sama ada berubah jadi baik atau berubah jadi gatal. Sepatutnya, apabila usia meningkat tua, fikiran semakin matang dan berwibawa. Ilmu semakin mendalam dan amalan ibadah semakin meningkat. Namun begitu, amalan yang dilakukan tidak meninggalkan kesan dalam diri seseorang itu, sudah tentu ia tergolong dalam kumpulan orang-orang yang rugi di dunia dan di akhirat. Semakin meningkat usia, sewajarnya menunjukkan tingkah laku yang baik kepada orang yang lebih muda. Ini kerana orang yang lebih tua daripada kita adalah orang yang banyak pengalaman. Orang muda akan lebih menghormati orang tua apabila orang tua menunjukkan tingkah laku yang mulia. Tetapi, sebaliknya apabila orang tua menunjukkan belangnya yang tidak cantik itu, rasa hormat orang muda terhadapnya akan hilang sama sekali.


Dalam dunia penulisan, tulisan yang ditulis sewajarnya mencerminkan diri sipenulis yang ikhlas hendak menyampaikan ilmu kepada orang lain kerana Allah. Tetapi apabila niat menulis itu menyeleweng kerana semata-mata hendak mengejar wang royalti dan glamer, sudah tentu pahalanya tidak kemana. Apa yang lebih berkesan, apa yang ditulis itu adalah kerana kita hendak menyampaikan ilmu dan juga perkara yang baik untuk pembaca. Namun begitu, sekiranya apa yang kita tulis itu tidak dapat kita praktikkan dalam diri kita, keberkesanan ilmu yang disampaikan itu ibarat di angin lalu. Ini kerana tujuan kita menulis hanya mengejar kepentingan dunia. Dan apabila diri sudah terkenal, senanglah untuk kita mengumpan orang lain supaya suka dengan diri kita sedangkan kita ini adalah penulis yang dikenali sebagai baik pada zahir sahaja tetapi secara batinnya, Allah sahaja yang maha mengetahui.


Dunia penulisan tidak sama dengan dunia hiburan yang kebanyakannya hanya palsu. Dunia penulisan adalah salah satu cabang menyampaikan ilmu kepada yang tidak tahu. Walau ilmu hanya setitis air, tetapi adalah wajib disampaikan. Itulah dia berkat ilmu yang ikhlas disampaikan kepada masyarakat dan tidak hairanlah, kita lihat banyak buku-buku cerdik pandai Islam terkenal sehingga ke hari ini seperti Imam Nawawi, Yusof Qardawi, Hassan al Banna, al Maududi, dan ramai lagi yang perjuangannya mereka ikhlas kerana Allah dan demi menegakkan Islam di bumi ini.


Akhlak dan tingkah laku penulis adalah cerminan peribadinya. Oleh itu, kita dikehendaki menulis perkara yang baik dan benar. Yang mendidik dan mengasuh pembaca. Tetapi bukan sahaja diri pembaca, diri kita sebagai penulis juga perlu ikhlas apabila menulis. Apa yang ditulis itu diamalkan sebaik mungkin. Ini satu peringatan pada diri ini yang sedang menulis. Apabila kita menulis mengenai tingkah laku baik, kita pun haruslah menunjukkan tingkah laku yang baik. Bukan sebaliknya, kita yang lebih sudu dari kuahnya. Kita yang lebih teruk dari tingkah laku yang dikritik. Kita yang lebih suka mengata orang dari apa yang kita tulis. Ibarat pepatah orang biasa, "cakap tak serupa bikin". Sama-samalah kita mengikhlaskan diri ini pada setiap saat, pada setiap nafas dan pada setiap denyutan nadi kita.

4 comments:

Latiptalib said...

Satu nasihat yang baik. Umur lebih 40 sepatutnya makin baik bukan makin gatal? hehehe.

Menulis salah satu bentuk berdakwah walaupun kadangkala diri sendiri melakukan kesilapan juga.

mohamad kholid said...

tulisan kita sebenarnya mewajahkan apa yang terkandung dalam fikiran...

Unknown said...

ya, betul. tulis biar serupa bikin. tapi rasanya sebagai manusia, kita pun x lari dr kesilapan dan x mampu buat macam yg kita tulis. hehee...

saridahamid said...

Pak Latib, memang betul sebagai manusia kita sering melakukan kesilapan tanpa disedari, tetapi kita harus sering berusaha untuk menghindari dari melakukan kesalahan yang berulang.

Sdr. Mohamadkholid..saya setuju dengan saudara.

Sdr. Ainin Naufal, kesilapan harus diperbaiki dan kita perlu berazam dari masa ke semasa untuk melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga orang lain.