17.9.07

Tugasan di bulan Ramadan (bahagian satu)

Menjelangnya bulan Ramadan, mereka yang terlibat dalam media elektronik dan media cetak, adalah individu yang sibuk. Undangan bertimpa-timpa datang dan tiada masalah untuk mencari tempat berbuka puasa. Kebanyakan undangan yang diterima dari awal puasa sehinggalah ke saat-saat hendak menyambut Aidil Fitri. Majlis berbuka puasa yang diadakan itu bukan sekadar makan-makan tetapi turut disertai dengan acara khasnya untuk golongan tertentu dan yang paling popular adalah mereka yang terdiri dari anak-anak yatim. Anak-anak yatim dijemput dari segala rumah anak yatim yang ada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Beruntungnya menjadi anak yatim, tetapi untungnya mereka hanya dibulan puasa sahaja. Selepas itu mereka terbiar. Aku juga anak yatim, tetapi yatim yang sudah tua tidak layak dibantu pun!

Seminggu sebelum tibanya Ramadan, datanglah surat-surat berbentuk fax ataupun kad jemputan. Ingatkan kad raya, rupa-rupanya kad majlis berbuka puasa.

"Nanti esok kamu pergi ke Majlis Berbuka Puasa dengan anak yatim ni."

Kad yang cantik dan berkualitik diserahkan. Aku membacanya dengan rasa tidak berapa minat. Hari puasalah masa untuk beristirihat dengan keluarga dan berbuka sama, tetapi demi tugas yang tidak mengira masa, terpaksalah akur dengan arahan dari boss ( wajahnya adakala serius dan adakalanya, manis menawan)

"Awak kena tugas esokkah?" tanya seorang kawan yang sememangnya dia tidak pernah bertugas di luar kawasan. Kadang-kadang hairan juga, mengapalah asyik aku yang kena? Mungkin sebab sikap kerajinan yang aku tunjukkan selama ini (perasanlah tu!!) Tapi tidak mengapa, memang tugas seorang yang terlibat dalam media elektronik hendaklah sentiasa bersedia menurut arahan. Sudah itu yang diminatinya sejak dulu, kalau tidak hendak buat apa kerja di situ.

Aku membaca dengan teliti atur cara yang tertera di kad itu. Ada ucapan, penyampaian hadiah dan juga nyanyian. Ah! apa yang hendak diambil, bukannya ada perkara penting sangat. Tetapi aku terpaksa mencipta secara kreatif mengenai program yang bakal dibuat liputan. Nanti mesti bossku tanya, "Apa yang kamu buat semalam? Program siar esok pagi? Kamu buat untuk segmen sana-sini dalam masa 1 hingga 3 minit."

Program untuk jangka masa 1 hingga 3 minit adalah panjang. Apa yang hendak aku selitkan dalam program itu sedangkan program berbuka puasa ini adalah singkat. Nampaknya, kenalah aku fikir cara hendak memanjangkan slot yang diberikan kepada aku itu. Emm!! Aku sudah nampak caranya.

Aku teliti kad itu lagi. Emm! Program itu diadakan di sebuah hotel yang bertaraf lima bintang dan ketika itu, hotel itu baru sahaja beroperasi dan kini terkenal di sekitar Kuala Lumpur. Aku segera meminta kawan yang bertugas sebagai pembantu penerbit untuk membuat segala tempahan kamera dan krewnya serta juga pengangkutan. Harap-haraplah, adalah krew untuk aku pada hari itu nanti. Alhamdulillah! Krew sudah dapat ditempah dan juga pengangkutan juga ada. Nampakanya, jadi jugalah aku berbuka puasa di luar dan di hotel lima bintang pula! Mulalah berangan, agaknya apakah juadah berbuka puasa nanti? Mesti sedap dan pelbagai menu. Astagfirullah! Makan saja yang timbul dalam otak ini!

Tetapi timbul persoalan lain, memandangkan masa solat Maghrib yang pendek, sudah tentu aku terkejar-kerja hendak mengejarnya. Diharap pihak hotel itu ada menyediakan surau. Ketika itu, pihak pengurusan hotel tidak memberatkan dalam menyediakan tempat sembahyang atau surau kecil. Tidak seperti hari ini, setiap hotel sudah menyediakan surau kecil yang cantik. Aku sudah mula risau. Ini kerana program itu dijangkakan habis dalam pukul 9 malam. Dalam kad itu pula, tidak pula dicatatkan acara solat Maghrib. Tertera, 'berkemundangnya azan Maghrib," adalah ditulis dalam kad tetapi sembahyang berjemaah Maghrib tidak ada. Bila pula aku hendak buat rakaman temuduga nanti. Mestinya aku kelam kabut dibuatnya. Aku mengaruk kepala yang sememangnya gatal sekali kerana tidak sempat menyampu rambut pagi itu. Mulalah aku termenung dan sememangnya tengah mengantuk kerana bertugas siaran pagi hari itu.

Apakah yang harus aku lakukan? Tidak sanggup aku meninggalkan waktu solat meskipun dengan alasan sibuk bekerja? Tidak boleh aku tangguhkan dengan alasan yang remeh. Habis dosaku bolehkah ditangguh? Inilah cabaranya bagi sesiapa yang hendak menceburi diri dalam bidang penyiaran. Keimanan sentiasa diuji...(-sambungan kesudahannya, esok hari insya Allah)

No comments: